Kawan atau Lawan?

Assalamualaikum admin. Terima kasih sudi terbitkan cerita aku. Ini kali pertama aku tulis cerita di FS, inshaAllah ada rezeki panjang umur, aku tuliskan lagi cerita seterusnya. Nama aku Naz, 27. Aku memang minat dengan kisah-kisah hantu, mistik dan misteri dari aku kecil lagi tapi tak lah waktu kecil sangat-sangat tu, ate gilo apo umur 2 @ 3 tahun baca buku cerita macam tu, ye idok? Maksud aku masa aku darjah 6 gitu.

Aku dibesarkan oleh opah aku, atok aku dah lama meninggal, sebelum aku lahir lagi. Mak dan ayah aku meninggal sebab kemalangan jadi opah ambil dan bela aku dari kecil. Aku bekerja dari rumah je. Tak perlu lah aku terangkan sebab tak penting pun. Kadang-kadang aku tolong opah ke kebun dia. Masa aku banyak terluang jadi aku travel banyak tempat untuk mencari cerita-cerita hantu. Aku dengar, rakam dan catat. Melalui pencerita-pencerita inilah aku menulis cerita. Setakat mana kebenaran cerita, aku sendiri tak pasti sebab kejadian-kejadian yang bakal aku ceritakan ini bukanlah dari kejadian yang aku alami sendiri, semuanya diceritakan oleh si pencerita kepada aku. Ok, panjang sangat intro, moh ler kome baca cerita teman.

Tajuk :- Kawan atau Lawan?
Pencerita :- Aina
Lokasi :- Perak

Kisah ini terjadi kepada keluarga Aina. Untuk cerita ni, aku jamin 80% kebenaran ceritanya sebab aku dah jumpa dan lihat sendiri keadaan ibu kepada Aina ni.

Tahun 2000

“Kau kena larang bini kau dari berkawan dengan bini aku. Bini aku orang jahat.” Wak memberi amaran keras kepada Man.

“Ishhh kau ni. Tak baik burukkan isteri. Kau kena jaga aib dia, nanti aib kau sekali terbuka. Aib isteri adalah aib suami. ” Man pula berbalas amaran.

“Sebab aku suami dia lah, aku bagi amaran kat kau. Jangan bagi bini kau kawan dengan bini aku. Kalau boleh jangan berjumpa lagi selepas ini. Anggap sahaja kita tak pernah mengenal satu sama lain.”

Man memandang tepat ke wajah Wak. Dia tahu Wak tidak bergurau. Muka Wak ternampak reaksi gelisah dan serius dalam masa yang sama.

“Cuba kau cerita pada aku dari a sampai z, apa yang bini kau buat sampai kau kata macam ni?”. Man berkata dengan nada tenang. Wak menghembus kasar nafasnya dan mula bercerita.

********************

Man :- Umi masih berkawan dengan Nab, bini si Wak?

Siti :- Ya abinya.. kenapa tanya begitu?

Man :- Selepas ni jangan berkawan mahupun berjumpa dengan Nab, abi tak suka.

Siti :- Mana boleh begitu. Sepanjang kita berkahwin, umi hilang kawan-kawan sekolah umi, umi hanya ada Nab.

Ya, Siti seorang wanita cantik di kampungnya namun ibu ayahnya terlampau teruja mahu dia menikahi anak orang kaya kampung seberang kerana lelaki itu bakal melanjutkan pelajarannya di Universiti Al-Azhar di Mesir. Kerjayanya sebagai guru sekolah kerajaan terpaksa dilupakan. Dia bersama suaminya hidup di Mesir bersama dua orang anaknya yang dilahirkan di Mesir. Sepanjang kehidupan disana, suaminya tak pernah ambil tahu pasal makan,minum, susu, pampers dan keperluan yang lain. Dia terpaksa meminjam duit pelajar-pelajar Malaysia yang lainnya. Kadang-kala menjual makanan di kem-kem pelajar bagi menampung kehidupan mereka berempat. Pulang ke Malaysia pula, suaminya masih bersikap yang sama dan tidak bekerja.

Mereka meminjam pinjaman dari sebuah agensi dan membeli satu kedai untuk dibuat kedai baju dan permainan budak. Dari situlah dia mengenali Nab. Dia sering nampak Nab ke hulu hilir mengangkut barang. Rupa-rupanya Nab juga mengalami kehidupan yang sama dengannya bezanya suami Nab bekerja cuma duit-duitnya sering ‘disedekahkan’ kepada kawan-kawannya sehingga untuk mereka makan anak beranak pun tiada duit. Siti menyangka mestilah Wak akan cuba burukkan isterinya untuk menutup keburukkan dirinya sendiri.

Man :- Abi kata jangan berkawan, jangan berdegil.

Siti :- Berikan umi sebabnya, baru umi pertimbangkan.

Man :- Ishhh.. umi ni degil. Wak beritahu abi yang Nab itu penyihir. Banyak saka dia bela. Umi nampak dia senyum depan umi padahal hati dia busuk nak rosakkan hidup umi. Wak sendiri yang beri amaran pada abi. Fikirlah, kalau suami sendiri yang larang, apa maksudnya? Wak tu hidup dah lama dengan Nab tu.

Siti :- umi tak percaya. Nampak sangat Wak tu bukanlah lelaki yang baik. Sanggup burukkan isteri sendiri.

Man :- Ikut umi lah. Apa-apa yang jadi pada umi, abi dan anak-anak kita selepas ini, semuanya adalah dengan izin Allah tapi jika asbabnya adalah dari Nab, umi menyesal pun tidak berguna lagi. Abi dah bagi umi amaran.

********************
Tahun 2003, kedai Man dan Siti lingkup manakala Tahun 2006, Man dan Siti bercerai. Anak-anak semua duduk dengan Siti disebabkan Man tidak bekerja kecuali anak lelaki mereka, tinggal bersama mak dan ayah Man.

Aina beritahu selepas umi dan abinya bercerai, mereka menyewa rumah dikediaman cina, bekas rumah Nab sekeluarga sebab Nab sudah berpindah ke rumah yang lebih besar selang beberapa buah rumah dari rumah mereka. Di rumah itu, Aina sekeluarga sering diganggu seperti terdengar bunyi gelang kaki mengikuti dari belakang, suara seperti sekelompok manusia sedang berborak dan kadang kala ternampak susuk tubuh Makcik Nab memasak didapur. Orang kata kalau benda yang suka menyerupai tuannya selalunya adalah Hantu Raya.

Umi Aina, Makcik Siti dapat rezeki untuk bekerja sebagai Guru Kafa disebelah petang. Waktu pagi, Uminya akan mengambil upah mencuci rumah orang, kerja di kedai makan, membuat laksa untuk diletakkan di gerai-gerai dan membuat kerepek pedas untuk diletakkan dikedai-kedai makan. Sejujurnya aku kagum dengan Makcik Siti, seorang wanita dan ibu yang hebat. Bukan senang nak besarkan lima orang anaknya yang masing-masing masih bersekolah.

Alhamdulillah, Allah tidak akan uji hambaNya melebihi kemampuan mereka dan ada ganjaran yang besar kepada orang-orang yang bersabar. Kerepek pedas Makcik Siti semakin mendapat tumpuan ramai. Ramai yang order direct dengan Makcik Siti sampaikan Makcik Siti tidak perlu lagi untuk mengambil upah cuci rumah orang dan melakukan kerja-kerja sambilannya yang lain. Waktu pagi dan malam Makcik Siti membuat kerepek pedas, waktu petang mengajar sebagai guru kafa.

Namun, kesihatan Makcik Siti makin lama makin merosot. Setiap kali Makcik Siti hendak membuat kerepek pedas, kepalanya akan berdenyut kuat, tangan dan kakinya membengkak merah kebiruan selama beberapa hari dan setiap bulan, Makcik Siti akan mengalami period pain yang teruk. Aina beritahu yang d***h kotor uminya berketul-ketul hitam keluar seperti air. Bau hanyir menusuk didalam rumah, setiap kali jadi begitu uminya akan meraung kesakitan dan menangis. Untuk menampung sekolah anaknya lima orang, uminya banyak berhutang disebabkan gaji guru kafa ketika itu hanyalah RM400 sebulan (sekarang baru dinaikkan menjadi RM1000). Jadi Aina dan adik beradik yang lain meneruskan jualan kerepek pedas untuk menampung kehidupan seharian dan membayar hutang bank dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang memerlukan mereka untuk membayar setiap minggu dan hujung bulan. Makcik Siti dirawat dengan perubatan hospital dan juga rawatan islam.

Kesemua rawatan islam yang ditemui semuanya memberikan hint bahawa orang yang menghantar ‘sesuatu’ kepada Makcik Siti adalah Nab manakala pihak hospital pula mengesahkan yang Makcik Siti tiada apa-apa sakit setelah dilakukan pelbagai rawatan dan ujian. Akhirnya Makcik Siti berpindah ke kampung bekas suaminya selepas suaminya meninggal pada tahun 2011. Ayah dan ibu mertuanya yang memaksa Makcik Siti untuk tinggal dirumah peninggalan arwah suaminya kerana itu hak anak-anak suaminya. Makcik Siti pun mahu menjauhkan diri daripada Nab, jadi dia bersetuju untuk pindah ke kampung suaminya.

Semakin tinggi permintaan kerepek pedas Makcik Siti, semakin banyak dan kerap Aina sekeluarga di ganggu.
Pernah suatu ketika, rumah mereka terpadam elektrik, sudahlah rumah mereka jauh daripada jiran-jiran. Tiba-tiba ada satu kelibat nenek tua berjalan membongkok sambil memegang sebatang lilin mengelilingi rumah Aina. Makcik Siti, Aina dan 3 lagi adik beradiknya berpelukan ketakutan didalam bilik. Setiap kali nenek tua itu melintasi bilik mereka, akan terdengar bunyi ketukan ditingkap sebanyak tiga kali. Nenek tua itu mengelilingi rumah Aina sebanyak tujuh kali. Hilang sahaja kelibat nenek tua itu, elektrik dirumah Aina kembali berfungsi seperti biasa.

Diantara pukul 12 malam sehingga pukul 4 pagi, Aina sekeluarga sering mendengar bunyi sesuatu jatuh berdetum di atas atap rumah seakan-akan benda yang tersangat berat dan bergolek-golek dari hujung penjuru kanan atap ke hujung penjuru kiri atap dan jatuh ke tanah. Bila keesokkan hari nya dilihat ke tanah, tiada apapun yang jatuh dari atap malah daun pun tiada.

Antara gangguan lainnya, ketika sedang lena diulit mimpi, Aina terasa seperti ada sesuatu sedang memerhatikannya. Aina mula-mula mahu buat tidak endah sahaja namun dia terasa ‘mata’ itu tetap memandangnya hampir setengah jam jadi Aina beranikan diri membuka matanya. Hampir luruh jantungnya apabila melihat adiknya,Iqah sedang merenung tajam kearahnya.

Aina :- Eh adik, terkejut acik. Hang pasai pa? nak pi toilet ka? Duk renung gitu nak boleh apa, kejutlah acik.

Aina membebel namun Iqah masih tidak bersuara dan tetap merenungnya. Iqah bangun dan menuju ke pintu. Aina menghembus nafas kasar, rimas apabila tidurnya diganggu tetapi masih tetap bangun dan mengikuti jejak langkah adiknya, Iqah. Untuk pengetahuan semua, ketika kejadian ini tandas rumah Aina masih diluar rumah sekarang sudah didalam. Aina menunggu Iqah dari luar namun dirasakan Iqah berada didalam tandas terlalu lama, tidak keluar. Kebetulan telinganya mula menangkap bunyi tangisan mendayu-dayu, bulu romanya meremang.

Aina :- Adik, hang lambat lagi ke? Udah lama hang dalam jamban tu adik. Lenguh dah kaki acik ni.

Aina memberi alasan untuk menyembunyikan perasaan takutnya.

“Huwaa~ huwaaa~ huwaaaaa~” Bunyi tangisan bayi mula bergema. Aina terasa seperti bunyi itu betul-betul disebelahnya. Tanpa berlengah, lantaklah apa yang nak jadi atau apa yang adiknya sedang lakukan, diterjah sahaja pintu tandas itu sekuat hati. Difikirannya, dia ingin cepat-cepat kembali ke biliknya namun terbuka sahaja pintu tandas, dia terkesima. Seluruh badannya mengeras. Tiada sesiapa didalam tandas. Aina yakin, dia nampak Iqah memasuki tandas, jika Iqah keluar, tidak mungkin dia tidak perasan kerana pintu tandas cuma ada satu dan tidak mungkin adiknya sanggup meninggalkannya seorang diri. Yela, Aina sanggup bangun pi teman adik dia pi tandas, suka suki je adik dia tinggal dia seorang kat situ. Banyak cekadak!. Itu apa yang Aina kata lah.. aku taip sahaja.

“Cari siapa tu, Cu?”

Kelibat nenek tua tiba-tiba muncul beberapa langkah darinya sambil tersenyum menyeringai kearah Aina. Tanpa banyak bicara, Aina lari lintang pukang ke dalam biliknya sambil membaca pelbagai surah yang terlintas di fikirannya.

Sampai sahaja Aina ke bilik, dilihat adiknya sedang nyenyak tidur. Ditampar bontot adiknya sekuat hati. Iqah bangun dalam keadaan terpinga-pinga sambil mengosok bontotnya yang terasa pedih. Kini giliran Aina pula merenung tajam sambil jarinya menunding ke arah Iqah.

“Ini semua salah hang.” Aina berkata sambil selimbung badannya dengan selimut. Esoknya Aina demam panas.

Aku rasa sampai sini sahaja dahulu aku menulis. Disebabkan aku rasa banyak lagi kisah berkaitan Makcik Siti, Aina dan sekeluarga yang perlu aku taip.
Harap sedikit sebanyak dapat hilangkan kebosanan pembaca FS sepanjang PKP ini.

#Mintalah perlindungan hanya kepada Allah.
#Stay at home, guys..
#tq for all our frontliners.
#We ♡ Malaysia.

Hantar kisah annda : fiksyeshasha.com/submit

Naz

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 5]

4 thoughts on “Kawan atau Lawan?”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.