Kebahagiaan Dalam Perpisahan

Bismillahirrahmanirrahim. Aku Tom. Selepas peristiwa pelamin anganku musnah, aku berkesempatan mengikut Pak Nin berubat seorang kenalan kepada Pakcik Ramli. Aku gelarkan Pak Mat. Pak Mat ni tinggal di kawasan yang sama dengan Pakcik Ramli cuma berlainan blok. Pakcik Ramli yang ‘rekemen’kan Pak Nin. Pada hari yang ditetapkan, aku yang bertindak sebagai pemandu bertandang ke rumah Pak Mat dengan ditemani Pakcik Ramli. Pak Mat seorang yang peramah dan ceria walaupun sudah menderita penyakit misteri selama dua tahun. Ceritanya, satu hari Pak Mat jatuh tangga ketika membaiki lampu rumahnya. Akibat dari jatuh tangga tu timbul tulang ‘misteri’ di kerongkong Pak Mat. Bentuknya seakan gading gajah. Menyebabkan Pak Mat sukar nak menelan makanan dan tunduk ke bawah. Maksudnya, dia tak boleh solat secara normal. Tak boleh rukuk dan tak boleh sujud. Kalau sujud je tulang misteri akan menekan kerongkong dan dia akan alami sesak nafas.

Pernah Pak Mat rujuk kes ni kepada anak saudaranya yang juga seorang doktor. Dibawa untuk x-ray dan rujuk kepada pakar namun tiada penyelesaian. Dia siap selongkar almari kemudian bawak sebemban fail laporan perubatan dengan gambar x-ray tunjuk dekat kami. Dalam tempoh dua tahun menderita penyakit tu, pernah juga Pak Mat ke bomoh dan pengamal perubatan tradisional tapi masih tiada yang rasi. Yang buatkan aku terkedu bila Pak Mat cerita seorang bomoh ni siap ugut dia kalau dia berubat dengan orang lain bomoh tu akan buat Pak Mat sekeluarga lagi menderita. Pelik aku dengan orang yang macam ni. Kemudian Pak Mat perkenalkan kami (aku dan Pak Nin) dengan anak sulungnya. Lelaki berumur awal 30-an dan pemegang kad OKU (jenis lambat pick-up, maaf aku tak tahu apa perkataan yang betul). Kata Pak Mat, anak sulungnya bekerja dekat sebuah kilang. Rajin membantu emaknya dalam menguruskan kehidupan sekeluarga walaupun dengan keadaan dia yang macam tu. Betul-betul anak syurga.

Tetapi sejak Pak Mat terkena penyakit misteri ni, anak sulungnya pun terkena tempias. Mulanya sukar tidur malam. Kalau tidur pun dalam jam 3 pagi macam tu dia akan terjaga dan menjerit. Bila ditanya dia jawab mimpi takut (ngeri). Baru-baru ni pulak bila terjaga dia akan berguling-guling sambil menjerit. Beberapa minit sebelum azan subuh barulah dia akan berhenti dan tidur balik. Dan perkara ni berlangsung dekat dua minggu sebelum kedatangan kami. Dekat sejam berborak barulah Pak Nin mulakan ‘ritual’ perubatan. Pak Nin menggunakan tasbih batu dengan sebatang buluh kering (kecil dan pendek ja). Aku pula bertindak sebagai pembantu dengan memegang botol kaca kosong yang bakal diisi dengan makhluk-makhluk pengacau ni. Terkumat kamit mulut Pak Nin menyebut nama-nama dan ayat-ayat agung Allah. Proses ‘ritual’ ni mengambil masa dua jam lebih. Tiada apa yang pelik pada pandangan aku yang tak tembus dimensi ni tapi kalau Pak Nin aku tak tahulah. Kejap-kejap berkerut mukanya. Kejap-kejap menjeling sekeliling. Entah apa yang dia nampak aku pun tak tahu. Pakcik Ramli pulak hanya keras membatu (siap tertidur lagi).

Sebelum balik Pak Nin pesan kepada Pak Mat “Mat, aku ni usaha saja. takdak kuasa apa. Jadi kata Allah maka jadilah usaha ni. Sama-sama la kita berdoa kepada Allah.”
Pak Mat menjawab “Bang Nin, aku nak ucap terima kasih sangat-sangat. Dan aku harap sangat usaha ni diberkati Allah.” Lantas memeluk Pak Nin.

Lebih kurang sebulan kemudian aku dan Pak Nin dijemput ke rumah Pak Mat kembali. Kali ni aku bawak seorang kawan yang mata dia boleh tembus dimensi lagi satu. Si kawan aku ni sekampung dengan aku. Satu-satunya murid Pak Nin yang aku tahu. Lepas masuk askar dia menyepikan diri sampailah terjumpa dengan aku. Nantilah aku cerita pasal dia ni. Masuk ja rumah Pak Mat kawan aku berbisik beritahu aku ada makhluk berkuku panjang sedang perhati kami. Selepas bersalaman Pak Mat pun cerita. Segala penyakit misteri yang dulu tu dah hilang. Dia sudah boleh solat (siap buat demo depan kami). Sudah boleh makan dengan baik. Badan pun berisi balik. Dan yang paling menggembirakan dia, tulang misteri tu dah hilang dengan cara misteri jugak. Aku yang dengar pun tumpang gembira cumanya Pak Mat beritahu anak sulungnya pula terkena penyakit misteri. Selepas Jam 12 pagi dia akan duduk mencangkung sambil menggayakan gaya seekor katak. Siap dengan kembung kat leher lagi (macam katak menguak panggil hujan). Bila nak masuk azan subuh barulah dia akan berhenti. Kejadian ni sudah lebih seminggu sebab itulah Pak Mat mintak Pak Nin datang. Lagi satu dia mengadu sakit seluruh badan. Bila diteliti nampak bekas cakaran.

Dengan adanya kawan aku a.k.a. anak murid Pak Nin ni, aku hanya duduk membatu dan akhirnya terlelap jugak aku (siap berjemaah dengan Pakcik Ramli). Sedar-sedar ‘ritual’ perubatan dah pun selesai. Selepas tu kami berkunjung pula ke rumah sepasang suami isteri beranak tiga. Diorang mengadu kedai makan yang diusahakan tiada pelanggan. Kadang ada jiran bertanya kenapa tak buka kedai. Maka Pak Nin pun membuat lawatan ke kedai makan diorang. Selepas itu kami ke rumah seorang janda berusia 50-an. Dia mengadu diganggu oleh seorang warga bangladesh. Bila tak bersua muka dia akan rasa benci. Tapi bila berjumpa akan jadi sebaliknya. Terasa macam dipukau. Dan Pak Nin pun jalankan tugasnya. Balik dari sana terus Pak Nin nak pulang ke utara (rumahnya). Selang beberapa minggu (rasanya lebih sebulan) Pak Nin menghubungi aku. Memberi arahan untuk aku melawat anak sulung Pak Mat yang sedang koma di hospital yang terletak di Jalan Gasing. Sudah dua hari. Sambil-sambil itu Pak Nin memberi aku satu tugasan yang bagi aku amat sulit untuk aku kerjakan.

Dengan berbekalkan tiga biji limau nipis , pisau lipat, dua botol air mineral, beberapa ayat amalan (Pak Nin bagi) dan sedikit perasaan gugup aku memandu ke hospital tu. Aku bawa dua orang kawan sebagai peneman. Sesampainya di sana, melilau jugak aku mencari wad yang menempatkan anak Pak Mat. Dengan bantuan dari pengawal keselamatan dan papan tunjuk arah (sebenarnya bantuan Allah semata) kami jumpa wad tersebut. Anak Pak Mat ditempatkan di wad untuk pesakit buah pinggang. Selepas bersalaman Pak Mat pun memulakan cerita. Katanya anak sulungnya tu tiba-tiba saja pengsan di rumah. Bila dibawa ke hospital, dia dirujuk dibahagian sakit jantung. Diberi bantuan pernafasan dan dimasukkan tiub air ke dalam badan. Doktor tak dapat mengesahkan apa sebenar penyakit anak Pak Mat (menangis Pak Mat semasa cerita kat aku). Hampir satu hari di wad tu, setitis air pun tak keluar dari saluran kencing anaknya. Doktor syak saluran kencing tersumbat dan dia dipindahkan ke wad sakit buah pinggang pula dan disitu pinggangnya ditebuk. Pun masih tiada setitis kencing yang keluar.

Badan anak Pak Mat kembung dengan air. Bila ditekan dengan jari terasa seperti menekan span basah. Sedih aku tengok keadaan anak Pak Mat. Memandangkan kami sampai sana selepas asar maka aku membuat keputusan. Tugasan yang Pak Nin arahkan akan aku kerjakan selepas maghrib. Aku beritahu Ajai dan Kamal (kawan yang teman aku) pasal rancangan aku. Kami akan maghrib berjemaah kemudian Kamal akan menunggu dengan Pak Mat sekeluarga manakal Ajai akan meneman aku menjalankan tugasan di surau. Selesai solat maghrib aku pun mula tugasan. Aku menarik nafas sedalamnya sambil memulakan rentak zikir nafas kemudian berpindah ke zikir qalbu. Sebaik saja zikirullah menguasai diri baru aku mulakan bacaan ayat pemberian Pak Nin (ayat quran, jangan risau) sambil tangan memotong limau. Betapa sayu, sedih, sebaknya aku sepanjang nak menghabiskan bacaan tu sampaikan mengalir airmata. Aku mohon dengan sangat kepada Allah yang menguasai tiap-tiap sesuatu agar dipermudahkan perjalanan ajal anak Pak Mat (1.sebab tu ja doa yang terlintas kat benak aku dan 2.sebab Pak Mat cakap doktor kata dah tak ada harapan hidup).

Habis saja ‘ritual’ tu aku dan Ajai bergegas ke katil anak Pak Mat. Aku perlu jalankan satu lagi ‘ritual’ menggunakan limau yang d******g atasnya (dekat tangkai tu). Satu masalah pula bila masa tu ada jururawat membuat rondaan dan setentang dengan katil anak Pak Mat ada pesakit perempuan india sedang memerhati gerak geri kami dengan muka syak wasangka (ke aku yang syak wasangka dia?). Selepas mundar mandir beberapa ketika, aku nampak tirai yang boleh menutup katil. Dengan pantas aku menarik tirai tu tapi sayang, tak mampu tutup sepenuhnya. Untuk pengetahuan, katil anak Pak Mat ni bersebelah saja dengan meja jururawat dan masa tu ada tiga orang jururawat tengah duduk-duduk kat situ. Makanya aku gunakan Ajai dan Kamal sebagai pelindung (aku takut jadi fitnah atas aku nanti-tak pasal-pasal orang tuduh aku buat khurafat). Dan aku mulakan ‘ritual’ terakhir. Aku pegang limau nipis kemudian letakkan atas kepala anak Pak Mat. Tangan kanan pulak membuat isyarat seperti menarik segala penyakit masuk ke dalam limau bermula dari kaki naik ke atas. Sambil tu aku baca ayat bekalan Pak Nin. “Ya Hayyu, Ya Qayyum, Ya ilahana wa ilaha kulli syai in………..”.

Selesai sudah tugasan yang Pak Nin bagi. Maka aku pun ajak Ajai dan Kamal balik. Ketika bersalam Pak Mat menggenggam erat tangan aku. Matanya masih bergenang. “Terima Kasih banyak tom. Saat-saat macam ni aku dah tak tau nak buat apa. Nasiblah hangpa semua mai.” bergetar dihujung suara dia. Aku tengok Ajai. Ajai menyeka airmata. Hati siapa yang tak sebak. Dengan berat hati kami pun memandu pulang. Masing-masing diam sepanjang perjalanan dan aku baru teringat yang kami belum makan malam. Aku mencadang dan diorang pun setuju. Aku menyeluk poket. Eh limau ‘ritual’ tadi. Datang idea nak menyakat diorang. Menggelabah sorang-sorang bila aku bagi limau tu (hahaha-gelak besar). Lepas makan dan hantar Ajai dan Kamal balik aku pun memandu pulang ke rumah. Letihnya satu badan macam baru lepas berkebun. Jam kereta menunjukkan hampir pukul 12 tengah malam. Telefonku berdering. Tertera nama Pak Mat sebagai pemanggil. “Dukacita Pak Mat maklumkan, anak Pak Mat dah selamat menghembuskan nafas terakhir setengah jam lepas. Terima Kasih banyak-banyak. Kirimkan berita ni kat Pak Nin. Walau sedih tapi Pak Mat bersyukur. Tamat sudah derita dia.” aku tergamam.

“Allah berfirman: Turunlah kamu semuanya, dengan keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi setengahnya yang lain dan bagi kamu disediakan tempat kediaman di bumi dan juga diberi kesenangan hingga ke suatu ketika (m**i).” -Al Áraf ayat 24.

Terima Kasih Admin. Assalamualaikum.

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

 

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 0 Average: 0]

17 thoughts on “Kebahagiaan Dalam Perpisahan”

  1. Innalillahiwainnailaihorojiun…kcian pak mat dgn fmily dia.tp sebab ap pnyakit misteri tu?mmg xdpt dirungkai ker ataupun sngaja encik tom sembunyikn..?
    Cerita best.
    Akak rate siap2

    Reply
  2. Sedihnye,..semoga anak pak Mat tenang di sana..utk keluarga pak Mat, semoga dipermudahkan dan dilindungi Allah dr segala perkara buruk. Amin

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.