Aku dah agak, reaksi diorang semua ni sama macam aku semalam. Sebab aku dah tahu macam mana nak tumpukan perhatian sepenuhnya pada latihan, secara tak langsung aku pun dapat kawal pernafasan supaya aku tak hilang tenaga macam tu aje.
Yang lain? Tercungap-cungap semestinya. Manakala budak berenam tu hilang entah ke mana. Lepas je hantar kitorang pergi sini, langsung aku tak nampak kelibat diorang berenam.
Selesai latihan, Pak Juna minta kitorang berdiri tegak. Dia mula berjalan mengelilingi kitorang.
“Langkah pertama untuk kalian mengalahkan Indera, kalian mesti ada seni mempertahankan diri. Dalam seni ini, aku ajar kalian untuk mengawal pernafasan karena Indera pintar dalam menyerang lawannya. Asal kalian tahu, kalian bukan kumpulan pertama yang kami lantik untuk selamatkan desa kami daripada Indera. Sudah banyak manusia sebelum ini, tapi, kami terpaksa lepaskan semula ke alam manusia karena mereka masih kurang ada semangat untuk membantu kami.
Buat ketika ini, aku bisa melihat semangat juang yang lain dalam diri setiap daripada kalian. Aku tahu kalian pada awalnya sekedar melakukan ini untuk keluar daripada dunia kami. Tapi, apabila aku melihat lagi cara kalian berlatih, ada satu semangat dalam diri kalian yang tiada pernah ada dalam manusia sebelum ini,” Pak Juna jedakan ayatnya. Pergh, tak sangka, hanya daripada melihat cara kitorang berlatih, dia dah dapat agak apa yang kami rasakan.
Ya, jujur aku katakan, dalam pada aku nak balik cepat-cepat daripada perkampungan bunian ni, aku pun nak tinggalkan diorang dalam keadaan yang aman dan aku nak tengok sendiri, macam mana orang yang dinamakan Indera ni.
“Langkah kedua, kalian hendaklah tahu di mana titik kelemahan Indera. Aku tidak mahu mengatakannya secara terus karena Indera bisa mendengar sesiapa sahaja yang berbicara tentang kelemahannya. Jadi, aku hanya berikan petunjuk sahaja. Selebihnya, kalian sendiri yang fikirkan. Sekali Indera bisa terkalahkan, dengan kuasa Allah, yang lain pun akan terkalahkan jua. Jadi, kami memberi seribu kepercayaan kepada kalian untuk mencari titik kelemahannya Indera.
Ketiga, sebaik kalian sudah bisa menguasai silat yang aku ajarkan, malam Jumaat, aku lepaskan kalian untuk berlawan tanpaku. Kencana dan yang lainnya mungkin akan datang membantu, tetapi, jangan sesekali menyuruh mereka menyerang. Untuk hal itu, bijak-bijaklah kalian menyusun langkah sendiri. Yang penting, jangan sesekali menyuruh mereka menyerang. Hanya kalian berenam sahaja yang layak melakukan itu. Itupun kalau mereka datang. Kalau tidak, kalian perlu melakukannya sendiri.
Dan yang terakhir, sebelum kalian mendatangi Si Indera, hendaklah kalian membaca ayat suci Al-Quran karena hanya dengan pertolongan Dia, Indera bisa terkalahkan. Ingat, serahkan sepenuhnya pada Allah. Jangan sesekali riak dengan kekuatan yang kalian ada.
Sudah, kalian bisa pulang. Ingat pesanku. Sepanjang latihan ini, jika ada yang mengganggu kalian, pedulikan sahaja karena itu bangsa-bangsa jin yang ingin tahu siapakah kalian. Ingat jua, jangan sesekali memberitahu mereka bahawasanya kalian adalah manusia.
Jika kalian tidak mahu jasad kalian bersemadi di dunia kami”.
Seperti biasa, tanpa penutup kata, Pak Juna terus berpaling dan melangkah menuju ke rumahnya. Kitorang semua terkebil-kebil. Mungkin belum melalui benda ni, sebab tulah kitorang masih belum faham sepenuhnya apa yang dia cuba sampaikan.
Selesai latihan, kitorang balik. Kali ini, aku tak keseorangan, jadinya rasa takutku agak sedikit berkurangan daripada semalam.
“Auuuuuuuu..” sebaik kedengaran serigala berbunyi, terus kitorang rasa nak cabut lari. Tapi, dengan akal warasku, aku tahan diorang dan mula menekup mulut Ameen dan Helmi sebaik kelihatan diorang sudah mula berniat nak menjerit.
“Ingat pesan Pak Juna. Jangan bagi sesiapa tahu siapa kita”. Keras suara aku masa tu bagi amaran dekat diorang berdua.
Aku dapat rasa yang diorang mula menangis dalam senyap. Cepat-cepat aku arahkan diorang semua supaya berjalan dengan lebih pantas sebab dekat sini aku dapat rasa semakin banyak mata memerhati.
Dalam masa lima minit, akhirnya kitorang sampai kat rumah Kencana. Cepat-cepat kitorang tutup pintu dan hela nafas lega. Kata Kencana, selain kawasan rumah Pak Juna, kawasan rumah ni jugak antara tempat selamat untuk berbincang sebab takkan ada seekor jin pun akan datang kemari. Sebabnya? Tiadalah ilmu aku untuk mengetahuinya. Ceh, aku terikut-ikut bahasa diorang. Kakaka.
Amanda terus masuk ruangan sebelah. Rumah memang satu, tapi ada dua ruang. Satu untuk Manda dan Anum. Yang satu lagi untuk kitorang yang hok jate ni.
Kitorang berlima duduk bersandar pada dinding. “Mana diorang ni? Daripada tadi aku tak jumpa”. Tanya Rizman sambil gesel belakangnya pada dinding. Dasar pemalas. Apalah salahnya garu guna tangan je.
Aku pulak kipas-kipas diri guna daun kelapa yang dianyam. Sebenarnya, kawasan ni takdelah panas sangat. Lagi-lagilah kalau waktu malam, tenang je tanpa rasa panas. Aku berkipas ni pun sebab berpeluh jalan laju-laju nak pergi sini tadi. Aku yang asalnya tak takut, terpaksa takut sebab masing-masing bukak langkah besar-besar.
“Diorang ada hal lah tu”. jawabku malas. Mata mengantuk dengan tubuh yang kepenatan. Sungguh, latihan ni memang sedikit mencabar. Cuma, malam ni rasa penatku sedikit berkurang daripada semalam.
“Sampai bila kita akan terperangkap dalam dunia ni?” tiba-tiba Helmi bersuara sejak daripada tadi dia senyap.
“Entahlah. Fiqri, kau tak boleh buat apa-apa ke nak keluar daripada sini selain kita tolong diorang?” giliran Ameen pula bertanya.
Fiqri diam sekejap sambil picit pelipis. Dalam banyak-banyak kitorang kat sini, dia sorang je nampak agak tenang. Padahal, sebelum ni dialah yang paling kecoh.
“Kita tolong je apa yang terdaya. Lagipun, aku tengok Pak Juna tu berharap sangat dekat kita. Takkan kita nak belot pulak”. Jawabnya sambil berbaring beralaskan lengan.
Betul. Apa yang Fiqri cakap tu betul. Dengan harapan yang Pak Juna dan budak berenam tu bagi, sedikit sebanyak buatkan aku rasa serba salah nak tinggalkan alam ni tanpa hulur waima sedikit pertolongan.
“Tapi, diorang tu boleh percaya ke? Aku risau kot-kot diorang tu sekadar nak pesongkan iman kita”. Komen Rizman pulak.
“Yang tu aku tak tahulah nak jawab macam mana. Aku pun tak berapa faham hukum tolong bangsa jin dalam keadaan darurat macam sekarang. Yelah, aku katakan daruratlah sebab kalau kita keluar dari sini, mungkin kita akan kena b***h. Jadi, kita ikut dulu apa yang diorang suruh”. Jawab Fiqri. Antara member aku yang ada perubahan yang agak positif.
Diam lagi. Masing-masing mungkin setuju dengan kata-kata Fiqri. Kalau aku sendiri, memang aku setuju.
Tapi tulah, agak-agak apelah kelemahan Indera tu? Macam manalah wujud makhluk bernama Indera? Gagah ke? Keding ke? Gemuk ke? Kurus ke? Hmm, adalah sikit rasa tak sabar nak lawan dengan dia.
Tapi, ingat Kasyaf! Jangan sesekali riak dengan ilmu yang ditimba hari ni. Aku ingatkan diri sendiri.
***
Hari ketujuh. Tu bermakna, seminggu dah kitorang terperangkap dalam dunia ni. Latihan pun semakin mencabar tapi Alhamdulillah lah, kitorang dah semakin kuat nak jalankan setiap latihan yang Pak Juna bagi. Kalau pasal budak berenam tu, kitorang pun dah tak tahu dah diorang kat mana. Seminggu dekat sini, seminggu tulah susah nak jumpa. Kalau jumpa pun masa-masa tertentu. Masih aku ingat kata-kata Pak Juna semalam.
“Baiklah. Aku rasa, ini latihan terakhir untuk kalian. Dan, kalian sudah mula bisa buat latihan sendiri untuk memperkukuh kekuatan yang sedia ada sementara menanti Jumaat malam minggu ini.
Dan, mulai besok, seusai fajar, kalian pergi ke timur. Gunakan 100 langkah kalian pergi ke timur dan kalian akan jumpa serumpun buluh. P****g satu sahaja buluh yang paling nipis dan bahagikan kepada enam bahagian.
Dan, kalau jadi apa-apa kepadaku, aku ingin meninggalkan petunjuk untuk kalian selesaikan sendiri. Kalian harus tahu bahawa buluh itu adalah kelemahan dia. Tapi, ia tidakkan bermakna jika kalian sekedar menikam Indera dengan buluh itu.
Gunakan kekuatan kalian. Kekuatan itu bukanlah silat yang kuajar. Kekuatan itu, hanya kalian sendiri yang tahu. Gunakan kekuatan kalian untuk menusukkan buluh itu pada Indera”. Pak Juna pandang kitorang setelah dia selesai bercakap.
Manda angkat tangan. “Kami perlu tusuk buluh tu dekat mana?”
Pak Juna senyum nipis. “Sudah kuagak soalan itu pasti akan kau tanyakan. Tusuklah buluh itu di kelemahannya manusia. Yang mengawal segala ulah manusia. Karena di situlah bermulanya seorang Indera yang tamak. Ingat, yang mengawal ulah, bukan mengawal keputusan”. Habis je Pak Juna jawab soalan Manda, terus dia suruh kitorang balik. Ni bermakna dia dah tak nak disoal.
Aku mengeluh. Kenapa susah sangat Pak Juna jawab soalan tu? Ni, dia siap bagi bahasa kiasan bagai. Manalah kitorang faham.
“Malam lusa dah malam Jumaat. Tak sabar nak balik, nak main bola, nak tidur dekat bilik sendiri. Tidur dengan korang, setepek aku kena tendang. Terutama Kasyaf tu. Entah mimpi apa sampai-sampai lenguh pipi aku sebelah sebab kena tendang. Korang rasa, dapat ke kita kalahkan Indera tu dengan benda ni?” tanya Rizman sambil belek buluh halus di tangan. Saiznya sama dengan saiz penunjuk yang kita selalu guna untuk tunjuk huruf-huruf al-Quran tu.
Ceh, aku mana tahu aku mimpi apa. Manalah aku sedar yang aku tendang dia masa tidur. Apelaa.
“Entahlah. Mungkin sebab kita belum lalui, kita rasa was-was. Kalau kita dah lalui, okay kot”. Jawab Helmi pulak.
“Kita buat ni sebab orang percayakan kita. Insya-Allah, kalau Allah izinkan, kita boleh kalahkan Indera tu”. Giliran Fiqri pula mengeluarkan pendapat.
“Aku takutlah kalau-kalau Pak Juna, Kencana dan yang lain tu tipu kita”. Ameen turut meluahkan rasa. Sebenarnya, aku sendiri pun sedikit was-was dekat diorang. Yelah, diorang tu bangsa jin. Diorang boleh je buat apa saja asalkan dapat sesatkan kaum kita ni.
“Insya-Allah tak. Kalau ya pun, mesti ada sebab Allah buat semua ni. Kita redha dan tawakal je. Lagipun, silat yang Pak Juna ajar tu macam bersih je daripada menggunakan bantuan makhluk halus. Jadi, dikira okaylah tu kot”. Amanda pun tidak terlepas daripada mengeluarkan pendapat.
“Tu sebab dia memang jin”. Ringkas aku menjawab membuatkan masing-masing mulai diam. Yang berbunyi hanya cengkerik dekat hutan ni. Seratus langkah tu rupanya hutan belakang rumah Pak Juna.
Aku pandang balik buluh tu. Sangat runcing. Ni kalau tertusuk, memang tembus ni. Tapi tulah, lawan kitorang adalah Indera. Sangat tak mustahil kalau buluh ni patah kalau mengena dekat badan dia.
Lusa, malam penentuan. Samada kampung ini selamat ataupun tidak. Dan juga penentu samada kitorang kena game dek Pak Juna, Kencana dan yang lainnya ataupun tidak. Hmm, dalam tak sabar nak balik, ada rasa risau jugak. Risau andai kitorang terkorban dalam dunia ni.
***
Malam ini, malam Jumaat. Semalam, lepas kitorang jumpa Pak Juna, Pak Juna cakap tunggu dia dekat rumah. Ada benda dia nak bagitau. Tapi, seperti biasa, dia akan bagi petunjuk terlebih dahulu. Takut jadi apa-apa katanya.
“Esok, andai aku tiada, rumah ini bakal diserang oleh penduduk kampung yang mencariku. Ketika itu, kau bilang ke mereka bahwa kalian ingin melawan Indera. Jangan lupa akan pesanku selama ini. itulah kunci kejayaan kalian semua”.
Dan, sebaik kitorang pergi ketuk pintu rumah Pak Juna, kitorang dapati dia memang takde dalam rumah. Padahal, selalunya lepas isyak, orang tua tu mesti aka nada dalam rumah dia. Walaupun baru seminggu sehari kenal, tapi, jadual dia kitorang dah boleh agak.
Dalam pada mengetuk pintu rumah, tiba-tiba persekitaran rumah Pak Juna kedengaran riuh. Kitorang pun pandang belakang dan sangat terkejut apabila melihat begitu ramai manusia berkumpul. Sangat bertepatan dengan kata-kata Pak Juna.
“Kalian siapa? Apa urusan kalian ke mari? Apakah kalian sahabat sekutunya Indera yang ingin merusakkan desa kami?” tanya salah seorang lelaki tua yang mengetuai kumpulan itu.
“Ko, err, kamu siapa? Kami kawan Kencana dan murid kepada Pak Juna”. Pfft, hampir aku guna bahasa biasa.
“Aku tok ketua di desa ini. Apa bukti kalian ini muridnya Arjuna dan bersahabat dengan Kencana? Karena setahuku, mereka itu tidak sembarangan memilih kawan dan murid. Mereka itu berkuasa di desa ini. Tanpa sahabat dan murid pun mereka bisa menguasai desa ini”. Jawab orang tua itu lagi.
“Buktinya, walaupun mereka berkuasa, tapi, mereka masih tidak mampu mengalahkan Indera. Dan tujuan kami ke mari adalah untuk mencari Pak Juna. Dia di mana?” mendengar jawapan balas daripadaku, kelihatan diorang sedikit terkedu.
“Apakah kalian.. perwira yang Kencana pernah bilang?” seorang gadis tampil ke depan sambil memandang terkejut ke arah kitorang.
Kitorang yang mendengar, tidak menjawab soalannya.
“Di mana Pak Juna?” tanyaku sedikit keras.
Tak lama lepas tu, tiba-tiba angin bertiup kencang. Sumpah masa tu aku rasa sangat takut sebab kuat angin tu lain macam. Macam nak roboh rumah ni. Kitorang dah mula berkumpul manakala penduduk kampung pulak dah mula bergerak mendekati rumah ni dengan huru-hara.
Kemudian, kedengaran gelak tawa yang sangat besar. Bergema satu kampung ni dibuatnya. Memang besar, aku tak tipu korang! Dan, muncullah beberapa orang yang berpakaian seperti hulubalang mengiringi seseorang yang gagah perkasa macam bro-bro dekat gym. Di barisan paling hadapan, seorang lelaki tua diikat mata dan tangannya dan ditolak-tolak tubuhnya oleh bodyguard dia yang sorang tu.
Tak bukak penutup mata tu pun kitorang tahu tu Pak Juna.
“Kasyaf! Jangan gentar! Ini lawanmu! Dia pengkhianat bagi kaummu! Beri dia pengajaran, tapi jangan sampai m******h!” kuat suara Pak Juna membuatkan dia dipukul dengan cemeti oleh lelaki gagah perkasa tu. Dari jauh beb dia pukul dan bayangkan, hujung cemeti tu kena dekat lengan Pak Juna sehingga berdarah lengan orang tua itu.
Tanpa buang masa, setelah membaca surah Al-Fatihah dan ayatul kursi serta doa supaya diberi perlindungan, kitorang pun mula melangkah ke bawah. Yang lain memberi laluan meskipun terpamer riak risau pada wajah diorang.
“Lepaskan dia! Kitorang lawan kau!” aku pun tak tahu dari mana kekuatan aku datang, tiba-tiba je aku cakap macam tu.
Lelaki perkasa yang aku syak adalah Indera, mula senyum sinis dan pandang ke dalam mataku dengan tajam. “Kau itu cuma manusia biasa. Tiada setandingnya dengan aku. Jangan kau berlagak untuk bisa berlawan denganku sedangkan orang tua ini sudah aku bisa kalahkan”. Dia berkata angkuh.
“Kalau kitorang bukan lawan kau, kenapa tangkap Pak Juna? Sebab takut Pak Juna dedahkan kelemahan kau? Sebab kau tahu, hanya kitorang yang boleh kalahkan kau?” aku cabar dia.
Dia diam dan ketap gigi. Kelihatan rahangnya mula bergerak, tapi tak lama sebab lepastu dia tunjukkan balik riak bengis dan angkuh.
“Pengawal, b***h mereka!” sekali saja dia bagi arahan, semua orang suruhan dia mula bertindak. Dahlah bukan sedikit, banyak gila!
“Ini ke Indera yang orang takutkan? Rasanya, dia lebih pengecut daripada orang lain. Suruh pengawal serang, dia sendiri berdiri diam”. Sambil mengelak, sambil itu Amanda berkata. Aku dapat rasakan, dia cuba membakar perasaan Indera.
Tak dinafikan, pengawal dia pun sangat laju menyerang. Hilang fokus, memang akan m**i kat sini kitorang.
“Arghhh!” kedengaran Ameen menjerit. Aku toleh sekejap ke belakang sambil mengelak serangan pengawal Indera. Dia punya tumbukan dan tendangan, memang sukar untuk aku jangka. Tapi, bak kata Pak Juna, ikut je apa yang dia dah latih. Insya-Allah tak jadi apa-apa.
“Ameen fokus!” jerit kitorang serentak. Dan, sebaik sahaja dia mula fokus, tanpa disangka salah seorang pengawal Indera tumbang. Aku tak tahu macam mana dia buat, yang pasti, pengawal tu cedera teruk. Dahlah tumbang, keluar d***h pulak tu dari mulut.
Suasana malam tu memang kecoh sangat. Dengan suara penduduk kampung yang menjerit berharap dekat kitorang lagi, dengan bunyi tapak kaki kitorang yang menyerang dan diserang lagi. Tak kurang jugak suara Indera yang menjerit dekat pengawal dia.
Aku rasa, memang lama jugak masa diambil untuk menumbangkan pengawal-pengawal ni semua. Tapi siapa sangka, dengan jumlah enam orang kitorang ni boleh kalahkan puluhan pengawal Indera.
Kali ini, pandangan kitorang diarah dekat Indera. Namun, kitorang terkejut apabila dia mula acukan pisau dekat leher Pak Juna. Memang peliklah sikit aku rasa, bolehke jin kena b***h macam tu? Tapi, sebab aku ni manusia, dah terbiasa tengok adegan macam tu dalam TV, jadi masa tu aku fikir yang Pak Juna akan matilah.
Kitorang tarik dan hela nafas. Pelik, kitorang tak terlalu penat walaupun berlawan dengan pengawal-pengawal Indera yang sangat banyak tu.
“Lepaskan dia. Yang kau perlu lawan, adalah kitorang. Kau dan aku adalah berasal dari unsur yang sama. Kau tak malu ke, dahlah tumpang tempat orang, lepastu kau aniaya orang punya tempat?” serius, aku memang sangat geram dekat mamat tu. Lagi-lagi apabila kata-kata aku disambut dengan senyum sinis dia.
“Kau tak faham. Hidupku menjadi manusia, aku selalu ditindas. Dari kecil aku dipukul oleh orang tuaku sendiri. Adik-beradikku meminggirkan aku. Bahkan sampai aku dewasa, aku masih diperlakukan seperti hamba abdi.
Tapi, di dunia ini, hanya di sini aku bisa merasakan sebuah kehidupan yang bahagia. Aku mula mengerti, kenapa bangsa manusia menindas sesama manusia. Karena rasanya sangat memuaskan! Kau bisa merasakan kau berkuasa!! Hanya di dunia ini sahaja!” kemudian dia gelak jahat. Sangat-sangat jahat.
“Masalahnya, orang yang kau tindas, takde kaitan langsung dengan orang yang menindas kau. Diorang ni hidup aman dekat dunia diorang dan korang hidup aman dalam dunia korang. Kenapa kau nak musnahkan dunia yang tak kacau kau?” Helmi berkata.
“Karena kau lahir, kau biasa menindas. Kalau kau ditindas, kau takkan berkata seperti itu”. Jawab Indera pula.
Fiqri melangkah ke depan, sebaris dengan aku. “Bukan sebab kitorang biasa menindas ataupun ditindas. Tapi, sebab kitorang lahir dengan kasih sayang. Kenapa kau datang sini, kau tak cari kasih sayang? Kenapa kau cari dendam?”
Indera diam, tapi matanya masih tajam. Tanpa kitorang sedar, dia lepaskan Pak Juna dan mula berlari dengan sangat laju menuju ke arah kitorang dengan pisau kecil di tangan. Dengan hanya cahaya bulan dan obor daripada tangan orang lain, aku dah boleh nampak pisau tu berkilau sangat.
Apabila dia mula mendekati ke arah aku, cepat-cepat aku terjun ke tepi dan syukur, aku dapat mengelak. Tapi…
“Arghhhhh!” jeritan kali ni lebih kuat daripada tadi. Terus aku menoleh ke arah punca suara tu.
“Helmi!” jerit kitorang serentak. Kali ini, Helmi pula yang tercedera. Yang terkena adalah sisi perut dia dan kelihatan banyak d***h yang mengalir dari situ. Kitorang masa tu dah mula kelam kabut. Mana taknya, dahlah Helmi tercedera, kalau dibiarkan lama, badan dia akan hilang banyak d***h dan kemungkinan untuk dia.. tak, aku tak nak jadi apa-apa dekat setiap orang daripada member aku.
Indera pula menggunakan kelajuan yang sangat tinggi menyerang kitorang membuatkan kitorang hampir-hampir je nak terkena pisau tu. Kali ni sangat berbeza dengan yang tadi. Kalau tadi, kitorang kebanyakannya menyerang. Tapi yang ni, kitorang yang kena serang. Silap langkah, putus kepala kitorang dibuatnya.
Dalam pada mengelak, aku cuba untuk memungsikan otak. “Semua, keluarkan benda yang kita ambik semalam!” jeritku membuatkan Indera tiba-tiba berhenti.
Tampak wajahnya pucat apabila melihat buluh di tangan kitorang. “Kenapa? Takut?” tanya Rizman sambil membaling buluh tu tepat pada kepala Indera. Kuat lelaki tu menjerit, macam kepanasan.
Macam tak percaya, tak sangka yang sebenarnya itulah kelemahan Inde….
“Ini saja yang kalian bisa lakukan?” dia keluarkan buluh tersebut daripada kepalanya dan ketawa semakin kuat.
Apabila dia mula melangkah, masing-masing mula membaling buluh tu ke arah Indera. Helmi, dekat kaki. Amanda dekat dada. Fiqri dekat tangan. Dan Ameen dekat mata. Semuanya langsung tak memberi kesan. Malah, tidak memberi sebarang luka pun dekat Indera.
Parah. Yang tinggal hanya dekat aku sorang je. Kalau silap lagi, memang kitorang akan terus masuk alam barzakh tanpa nisan ni.
“Kalian sudah diperbodohkan oleh orang tua ini. Sebenarnya, dialah yang mendorongku untuk menjadi manusia durjana seperti yang kalian lihat di hadapan ini..” Indera menjedakan ayat. Tapi, ayat dia tu membuatkan kitorang rasa sangat terkejut, termasuk penduduk kampung.
Aku pandang Pak Juna yang masih ditutup mata dan diikat tangannya. Aku tak sangka. Orang yang paling aku percaya… Jadi, tak salahlah firasatku selama ni. Kenapa aku tak percaya dekat firasat aku sendiri? Entah kenapa aku rasa sangat kecewa.
“Di awal aku datang kemari, dia membisikkan kata-kata supaya aku membalas segala ulah manusia. Dia juga yang melatihku menjadi orang yang sangat berdendam. Dia mengajarku untuk memanfaatkan kuasa yang aku ada. Segala kejahatan, dia yang ajarkan. Dia jin! Kau rasa, manusia mana yang boleh tahan dengan bisikan mereka?” Indera tertawa lagi. Aku yang mendengar, terasa sangat-sangat diperbodohkan.
Masa tulah segala memori bersama Pak Juna terlintas dalam minda. Aku rasa macam susah nak percaya. Tapi apabila aku ingat balik dia ni bangsa jin, jadi, semuanya tak mustahil.
“Pada awalnya, aku seperti kalian. Percaya bahawa dia benar-benar ikhlas membantuku dan melatihku silat. Tapi siapa sangka, dalam keikhlasan dia, sebenarnya dia punya dendam kesumat terhadap tok ketua karena tok ketua menolak untuk mempersuamikan dia kepada puterinya yakni kini sudah menjadi jandaku.
Kalau kalian tidak percaya, aku akan bilang sesuatu yang mungkin bisa membuatkan kalian percaya. Pak Juna, dia sering menyuruh membacakan Fatihah sebelum latihan. Tapi sebenarnya, Fatihah itu tiada kesan apapun terhadap silat kalian. Selepas itu, dia akan memberi sirih dan pinang. Tapi, atas sebab apa, tiada ketahuan. Dan yang ketiga, Pak Juna bisa menganggarkan bahawasanya ada yang bakalan menyerang rumahnya. Padahal, ini semua memang rencananya dia”.
Okay, rasa macam nak luruh jantung aku dengar. Memang, memang kesemua itu merujuk kepada Pak Juna. Aku pandang Pak Juna lagi. Kelihatan dia menunduk. Entah kenapa aku rasa sakit sangat dengar benda ni semua walaupun sebelum ni kitorang dah cakap, terima apa-apa kemungkinan.
Tapi, hati aku sakit sangat bila dengar dia sendiri yang membelot. Yang mengajar Indera jadi macam tu.
Dan, kemudian, tanpa sengaja aku terpandangkan pipi Pak Juna yang seperti kebasahan. Dia menangis ke? Kenapa? Sebab dah berjaya menipu semua orang?
“Kasy, kita ikut je cakap Pak Juna selama ni”. Ujar Manda tiba-tiba. Masa ni, kitorang dah berkumpul satu tempat termasuk Helmi dan Ameen yang tercedera.
“Kenapa? Supaya kita nampak bodoh?” geram aku, lagi-lagi dengan riak angkuh pada muka Indera itu.
“Fikir macam nilah. Kalau betul lah apa yang Indera cakap, maksudnya, ilmu silat Pak Juna bukan palsu. Buktinya, Indera boleh jadi sekuat ni. Jadi, walaupun dia cuba nak pesongkan iman kita, kita jangan abaikan ilmu silat yang dia ajar. Mana tahu, ilmu tu sebenarnya sangat bermanfaat untuk kita”. Jawab Rizman pula.
Aku terdiam. “Tapi, kita tak tahu kelemahan Indera”.
“Macam mana budak mentah? Sudah mengangkat bendera putih? Mengaku kalah saja, jadi orang suruhanku. Nescaya kau akan rasa bahagia menindas golongan lemah itu”. Dia menunjuk ke arah orang-orang yang sedang berkumpul ketakutan itu.
“Kekuatan kita adalah kelemahan Indera”. jawab Fiqri.
Aku pandang muka dia dan macam ada jawapan kat situ. “Okay, aku dah dapat!” ujarku separuh berbisik.
“Apa dia?” soal Helmi sambil pegang perut dia.
Aku mula berbisik dan menyusun strategi. Aku yakin, kali ni dia akan kalah. Ya Allah, ini kehendak-Mu. Andai kata Kau menarik nyawa kami di sini, kami redha. Yang pasti, kami ingin sentiasa menjadi hamba-Mu dan umat kekasih-Mu, Muhammad SAW.
Kitorang ambil tempat. Kelihatan Indera mula pandang kitorang aneh.
“Apa kalian mahu lakukan?”
Aku senyum sinis. “Kekuatan kitorang, adalah kelemahan kau”. Jawabku ringkas dan kelihatan dia juga membalas senyum sinisku.
“Nampaknya, kalian masih belum mengalah. Apa boleh buat? Kalian yang memintaku menjadi begini..” dia tunduk sebelum berlari menuju ke arah kitorang.
“Mula!” jeritku lantang.
Buluh ada pada Helmi. Dalam susah payahnya dia, dia mula menendang buluh itu kepada Ameen. Ameen menyambut sambil mengelak serangan Indera. Inilah salah satu ilmu yang diajar oleh Pak Juna. Gunakan naluri hati untuk mengelak musuh yang sukar dilihat pergerakannya. Semua menutup mata dan menggunakan fokus minda dan naluri hati.
Kemudian, buluh tu ditendang pula ke arah Rizman dan daripada Rizman, kepada Fiqri. Kesemua tendangan itu menerima jeritan sakit daripada Indera. Tapi, dia masih lagi kuat. Dia masih lagi menyerang kitorang dengan pantas.
Daripada Fiqri pula kepada Manda dan kedengaran ada percikan d***h daripada tubuhnya Indera. Tapi, dia masih lagi menyerang sebab derapan kaki dia kedengaran semakin laju.
Kini, daripada Amanda, menuju ke arah aku. Apabila aku rasa buluh tu semakin mendekat, aku mula melompat dan menyepak buluh halus itu kepada sasaran sambil menjerit, “Kekuatan luaran kitorang adalah main bola dan kekuatan dalaman kitorang adalah persahabatan”. Aku tendang kuat-kuat sambil membuka mata.
Indera semakin mendekati aku dengan pisau di tangan. Wajahnya sangat bengis dan kelihatan sangat menakutkan. Daripada wajah manusia sebentar tadi, berubah menjadi wajah yang aku tak tahu nak katakan sebagai makhluk apa.
Matanya merah dan wajahnya berbulu. Badannya masih badan manusia. Bentuk wajahnya juga masih seperti bentuk wajah manusia. Cuma, hidung leper dengan mulut ternganga yang menampakkan kesemua giginya bertaring dan tajam.
“Dan kelemahan kau adalah hati kau. Hati yang menyimpan rasa dan nafsu. Yang mengawal sikap manusia daripada baik menjadi jahat dan sebaliknya. Walaupun otak kau berfungsi sebaiknya, tapi, jika kau masih jugak ikut kata hati, kau tetap akan jadi jahat juga. Dan itulah yang terjadi kepada kau,” suppp, tepat pada sasaran iaitu hati Indera.
Jarak kitorang berdua hanya sejengkal. Tapi, mata Indera terjegil luas tengok aku sambil pegang bawah dadanya yang tertusuk buluh. Pisau di tangan dah jatuh sembah bumi dan diikuti Indera sendiri.
Dengan mata yang terjegil, dia mula bernafas buat kali yang terakhir sebelum jasadnya berubah menjadi tengkorak reput. Sangat busuk baunya membuatkan aku termuntah dengan banyak.
Pak Juna tiba-tiba datang setelah dibuka ikatannya oleh Rizman. Aku rasa sangat kecewa dengan dia, jadi, aku jadikan alasan Helmi dan Ameen untuk elakkan diri daripada dia.
“Ubatkan mereka dengan daun pegaga. Insya-Allah sembuh”. Arah Pak Juna sambil berdiri kat depan tengkorak Indera.
“Macam mana aku nak percayakan kau dengan semua benda yang kau dah buat?” serius aku terkilan. Tapi, cepat-cepat yang lain tenangkan aku.
Pak Juna seka air mata. “Aku akui, aku yang menjadikan Indera seperti ini. Tapi, itu dulu. Saat aku juga leka di bumi Allah ini. Setelah aku bertemu dengan Kencana dan teman-temannya, aku sudah mulai mengerti kenapa Allah menciptaku di dunia ini”.
“Apa bukti yang kau dah insaf?”
“Aku mungkin jahat. Tapi, itu dulu. Karena itulah aku membantu kalian mengalahkan Indera, untuk menebus silapku yang dahulu. Tapi, kalau kalian tidak percayakanku, aku redha. Tusuklah aku menggunakan buluh ini. Hanya yang jahat sahaja yang akan m**i. Dan mungkin aku akan m**i karena aku jahat”.
“Jangan! Kau adalah guru kami. Takkan kubiarkan kau m**i hanya karena dosamu yang lalu”. Suara yang aku kenal. Ya, suara Kencana.
Baru kelihatan muka-muka diorang berenam.
“Kasyaf, tolong jangan apa-apakan Pak Juna. Dia sudah lama mengakui silapnya ini. Bahkan sebelum ini, dia tidak habis-habis menyalahkan dirinya dengan apa yang terjadi. Dia sudah lama insaf, cuma Indera saja yang ingin membuatkan kalian benci sama guru sendiri karena salah satu angkara dia menang sebelum ini adalah kemarahan muridnya terhadap Pak Juna”. Jawab Damak pulak.
Kitorang terpaku lepas dengar kata-kata Damak. “Kenapa korang tak bagitau sebelum ni?” tanya Rizman, kedengaran sedikit terkilan. Mungkin sebab dia pun marah Pak Juna dalam diam, sama seperti aku.
“Tiada semua perkara yang perlu disuap. Selain menghapuskan Indera, kami jua mencari perwira yang hatinya bersih”. Anum menjawab pertanyaan Rizman.
“Tapi, tadi kitorang marah dekat Pak Juna,” ulas Helmi sambil menahan sakit kat perut dia.
Satria tersenyum, seolah-olah sudah mempunyai jawapan untuk persoalan tersebut. “Dalam marah, kalian masih mengikut segala tunjuk ajar Pak Juna. Lagipula, kalian sudah mula menyayangi Pak Juna. Kalian marah karena kalian terlalu menyayangi dia sehingga tidak menyangka bahwa Pak Juna pernah mendorong kepada kehancuran desa ini.
Berbanding mereka yang sebelumnya, mereka marah dan benci karena merasakan diri mereka ditipu dan mereka tidak langsung mengikut tunjuk ajar Pak Juna, sebaliknya cuba menewaskan Indera dengan benci dan dendam. Malah, mereka terfikir untuk m******h Pak Juna sekiranya mereka selesai menewaskan Indera”.
Kitorang tergamam untuk kesekian kalinya. Aku pandang Pak Juna yang sudah tertunduk kepalanya. Tanpa buang masa, aku terus meluru ke arah orang tua tu dan terus mencapai tangan kerdut itu.
“Maafkan saya, Pak Juna. Saya dah salah sangka dekat Pak Juna,” ujarku sambil mencium tangan tua itu dengan melutut kat depan dia. Aku rasa malu sangat dekat dia.
Yang lain pun ikut serta. Melutut dan meminta maaf terhadap orang tua ini kecuali Amanda. Bukan tak sudi, cuma, dia ni kan perempuan, Pak Juna pulak lelaki.
Kemudian, Pak Juna meminta kitorang untuk berdiri. “Sudahlah. Ini bukan salah kalian karena kalian bukan asalnya dari desa ini. Jadi, kalian tidak tahu cerita sebenar. Lagipula, aku diam karena aku ingin melihat, sejauh mana kalian menggunakan ilmu yang sedia ada. Sejauh mana kalian mencari kekuatan diri dan syukur aku ucapkan kepada Allah, karena menajamkan minda kalian di saat-saat akhir begini.”
Lepas dengar kata-kata yang keluar daripada mulut Pak Juna, terus kitorang peluk dia sorang-sorang. Dan sekali lagi, Manda memang taklah akan peluk dia. Sebabnya? Sama macam kat atas tu tadi.
***
Luka di perut Helmi dan di lengan Ameen sudah beransur sembuh. Kini, sudah tiba saatnya kitorang pergi tinggalkan dunia ni. Khidmat kitorang dah tamat di sini.
Aku tengok satu persatu muka diorang. Enam kesemuanya, persis macam kitorang. Sorang perempuan, lima lelaki. Dan aku perasan, setiap daripada diorang mempunyai warna anak mata yang berbeza. Kencana hijau, Satria biru laut, Aduka kuning, Puspa ungu, Damak coklat gelap dan Anum oren gelap.
Dan, kitorang difahamkan bahawa warna mata itu merujuk kepada ‘kuasa’ diorang. Kuasa apa? Aku tak tahu. diorang taknak bagitau.
“Terima kasih sudi membantu kami. Kalau ikutkan kami, kami ingin menyuruh kalian tinggal di sini buat selamanya. Tapi usah khuatir, aku mengerti bahwa kalian juga merindui keluarga kalian. Jadi, henda tak hendak, kami terpaksa lepaskan kalian pergi,” ucap Kencana dengan senyuman bangga tersungging pada bibir dia.
“Iya. Setelah ini, bisalah kami hidup seperti dahulu setelah lama kami menanti saat seperti ini. Semuanya berkat bantuan kalian,” ujar Satria pula.
Anum mencapai tangan Manda. “Sebenarnya, kami melihat kalian bertarung tadi, dan tak kusangka, dalam wajah kelembutan Manda, dia sebenarnya kuat dan hebat. Kau adalah aku di dunia manusia. Gunakan kekuatanmu sebaik mungkin untuk melindungi sahabat-sahabatmu”.
Manda angguk dan sengih. Ceh, banggalah tu ada orang tolong puji. Biasa kena keji je. Haha.
“Kasyaf, kamu ketua yang bagus. Kamu bijak menggunakan akalmu di saat akhir. Tapi, semua ini takkan terbantu jika Rizman, Helmi, Ameen dan Fiqri tiada sekali. Termasuk Amanda. Aku kagum dengan persahabatan kalian”. Giliran Aduka pula yang berkata.
Kitorang tetap terus mendengar kata-kata daripada diorang ni.
“Helmi dan Ameen, aku tahu kalian selama ini takut hidup di dunia ini. Tapi aku sangat kagum dengan kekuatan dalaman kalian berdua. Dalam takut, kalian cuba beranikan diri bahkan kalian masih terus menyerang meskipun d***h sudah mula mengalir daripada tubuh kalian. Aku katakan dengan benar, aku kagum dengan kalian”. Bahu Helmi dan Ameen ditepuk oleh Puspa dan dibalas dengan senyuman oleh Helmi dan Ameen.
Seterusnya, giliran Damak pula tampil ke depan menuju ke arah Fiqri. “Fiqri, entah kenapa aku dapat rasakan, kau sebenarnya adalah ustaz dalam kumpulanmu. Kau penasihat agama yang baik untuk mereka. Jadi, teruskan menuntut ilmu Allah dan sentiasa membimbing teman-temanmu”.
Dan yang terakhir adalah Damak. Dengan bangga, dia merangkul leher Rizman. “Kau adalah Kasyaf. Cuma, kau masih kurang berani seperti dia. Tapi sebenarnya, kau boleh setanding dengan dengan dia kalau kau keluarkan kesemua sifat berani. Jangan pendam dan teruslah berusaha. Aku perhatikan, kau antara yang hebat mengelak serangan Indera dan penendang handal untuk menendang buluh. Jadi, aku dapat rasa, kau pemain bola yang hebat di dunia kau”.
Rizman tersengih sambil garu-garu kepala. Ceh, ni lagi satu spesies yang pantang dipuji.
“Terima kasih sekali lagi buat kalian semua. Hanya Allah sahaja yang bisa membalas jasa kalian”. Ucap Pak Juna pula.
Sebelum kitorang balik, sempat kitorang berpelukan. Dah macam mood raya pulak rasanya masa tu. Haha.
Kitorang diminta untuk tutup mata oleh Pak Juna. Katanya, ni jalan pintas sikit nak balik.
“Terima kasih jugak sebab korang berikan kepercayaan kepada kitorang”. Ucapku pulak, mewakili kitorang berenam.
Tak lama lepas tu, kedengaran suara mengilai. Terus kitorang berkumpul satu tempat.
“Kuntum!” tok ketua memanggil sebaris nama tu sambil jeling Kuntum dengan pandangan amaran.
“Maaf, Kuntum tak sengaja tertawa karena terlalu teruja melihat desa ini yang sudah mulai aman, ayah”. Kuntum kemudiannya tertunduk malu.
Tergamam seketika kitorang tengok dia gelak macam tu sekali dan kelihatan sangat seram sebab mulutnya terbukak luas. Kitorang hanya mampu berha ha ha je dalam takut. Tak sangka dalam kelembutan, keseraman dia lebih terserlah.
***
“Kasyaf Mahmud! Rizman Salleh! Helmi Yusof! Fiqri Umar! Ameen Ameer! Amanda Sulaiman! Bangun!”
Terus segar mata aku dengar suara tu menjerit. Terkebil-kebil aku pandang wajah cikgu botak belakang tu. Ya, Cikgu Shaiful, guru sejarah kelas kitorang.
“Elok je setiap hari kamu semua berlari pusing sekolah, bila cikgu tanya, kamu jawab nak nikmati keindahan alam! Keindahan alam tahi kucing kamu, lepas berlari puas-puas, kamu semua tidur. Kamu berenam, keluar daripada kelas saya. Sekarang!” bergema kelas ni dengan suara orang tua tu.
Kitorang berenam terpinga-pinga, tak tahu kenapa. Kalau sebelum ni aku fahamlah sebab tak pernah siap kerja dia. Tapi hari ni…
Heh, ni mesti kerja Kencana dan geng-geng dia. Dah kenapa diorang lari-lari dan lepas tu tinggalkan jasad kitorang masa kelas orang tua ni. Aduhhhh! Nak tak nak, kena jugaklah keluar walaupun bukan salah kitorang sebenarnya.
Sebabkan penat, kali ni kitorang duduk je kat luar kelas. Biasanya memang dekat perpustakaanlah.
“Tak sangka diorang menyamar jadi kita selama ni. Entah apalah yang diorang buat,” Rizman buka cerita sambil bersandar pada dinding kelas. Pelajar yang lalu kat kelas kitorang pandang kitorang semacam. Ceh, tahulah kitorang hari ni baru tunggu dekat sini.
Aku tunjukkan kertas latihan aku dekat diorang yang sempat aku capai atas meja tadi. Full mark untuk subjek agama Islam. Haha. Dan yang tak boleh blahnya ialah, salah seorang daripada diorang tulis nama aku guna tulisan jawi dan jawab soalan tu dengan tulisan jawi. Kemas siot.
“Weh, gilalah diorang ni!” ujar Fiqri teruja.
“Mana tak gilanya, dahlah yang sorang tu menyamar jadi haruan, yang sorang lagi menyamar jadi kucing sebab nak selamatkan haruan. Patutlah Pak Mael tengok kita semacam hari tu. Rupa-rupanya, kita bayar makanan kucing. Siap bercakap dengan dia,” aku membuka sedikit kisah yang Kencana pernah ceritakan hari tu. Rasa nak ketuk je kepala mamat sewel tu. Patutlah orang lain tengok kitorang semacam je.
Diorang semua menguap sambil tergelak. Tak sangka yang kesemua kitorang kat situ memang kena aim dari awal, lepas opah Rizman ceritakan pasal sejarah kampung. Ceh, nasib baik kitorang menang lawan Indera tu.
Tapi tulah, aku dapat rasa, pengembaraan yang tak dirancang kali ni sedikit berbeza daripada sebelum-sebelum ni. Yelah, kali ni kitorang siap belajar silat dalam dunia lain dan lepastu, siap berlawan lagi dengan makhluk pemusnah Si Indera tu sampai-sampai Ameen dan Helmi tercedera. Nasib baik dah okay dah luka diorang.
Apa yang aku dapat dalam kisah kali ni, pertama, korang kena beriman dengan benda-benda ghaib. Dan salah satu benda ghaib adalah alam lain selain alam manusia. Diorang hidup sama macam kita. Buat ibadah sama macam kita. Ada jahat, ada baik. Tapi, satu benda yang kita kena sentiasa ingat, manusia dan jin takkan dapat bersatu selamanya.
Kedua, dalam pengembaraan kali ni, kitorang dah makin faham erti kerjasama. Sebab kerjasamalah, kitorang dapat kalahkan Indera di saat akhir. Saat yang hampir-hampir aku dikerat leher oleh mamat tak sedar diri tu.
Dan yang terakhir, kita kena sentiasa bersyukur dengan apa yang kita dapat. Jangan macam Indera tu. Marahkan manusia, dia pergi buat onar dekat alam lain. Dah elok-elok diorang tolong, dia balas dengan kejahatan. Tapi tulah, jangan terlampau percayakan sangat orang lain jugak. Kena siasat latar belakang dia. Siasat setiap butir bicara dia. Jangan biarkan orang lain pengaruhi kita. Tapi, semuanya takkan terjadi kalau hati kita bersih. Jadi, kalau nak bersih, kena sentiasa berzikir dan istighfar.
Dahlah, aku dah banyak sangat membebel ni. Jadi, aku tak tahu samada korang enjoy ke tak cerita fiksyen aku ni. Kalau enjoy, Alhamdulillah. Kalau tak best, aku susun sepuluh jari. Al-maklumlah, jari dan minda aku dah lama berehat daripada buat cerpen.
Sekian daripada aku. Kasy…..
“Aduh!” aku mengaduh kesakitan tiba-tiba apabila batu disalut dengan kertas mengena tepat pada dahi aku. Siapa pulak yang kurang ajar sangat baling-baling batu ni?
Terus aku bangkit dan tengok ke bawah. Seperti keadaan di koridor ni, dekat bawah pun takde sesiapa. Cepat betul sembunyi. Kurang asam.
Lalu, aku pun bukak kertas tu. Niat nak buang dalam tong sampah. Tapi, tulisan dekat kertas tu membantutkan niat aku.
“Kenapa Kasy? Siapa yang baling tu?” tanya Manda.
Aku pandang muka diorang satu-persatu sambil aku tunjuk kertas yang bertulisan jawi tersebut.
“Ini bukan pengakhiran. Aku akan tuntut kematian Indera”. baca diorang serentak.
Diorang semua terkejut, sama macam aku.
“Siapa yang hantar tu Kasy?” tanya Ameen pulak.
Aku belek kertas yang dah renyuk tu.
“Hairi. Sihir?”
TAMAT.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
Ya Allah.. Seronok baca ni.. Dh mcm citer dlm tv.. Tapi realiti..
Cop x faham. Ini kisah benar ke rekaan je?
Wehhhh best gileeee , ada satu part tu habis meremang siaaa bulu romaaaaa , cepatlaaaa sambungggggggg
Wuuuu bestnyaaa sambung la lagi okyy
Terbaik bro. Jalan cerita yg sgt syok bila baca. Aku dpt mghayati stiap rangkap bak kata org “tangkap feel!” Teruskan lagi anak muda 👍🏻👍🏻👍🏻
Mauuuu part 3 please 🥺🥺🥺🥺
ada sambungan ke nk jua baca pleaseee menarik ni.