KENAPA ASYIK AKU JE KENA KACAU? PART 2

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Beberapa bulan lepas, aku ada kongsi 3 pengalaman seram sepanjang aku belajar dekat sebuah kolej matrikulasi. Siapa yang belum baca dan nak baca, boleh lah search ‘KENAPA ASYIK AKU JE KENA KACAU’. (https://fiksyenshasha.com/kenapa-asyik-aku-je-kena-kacau/)

Hari ni, aku nak share lagi kisah-kisah yang lain. Sebelum ni aku pernah bagitau yang hampir setiap bulan aku kena kacau kat sini sepanjang pengajian aku. Marilah aku sambung ye.

KISAH 4
Kisah ketiga ni terjadi pada waktu tengah hari. Masa tu tengah ada kelas dekat amali tingkat 3. Sebelum aku start cerita gangguan tersebut, aku cerita struktur kelas-kelas aku dulu. Di kolej matrikulasi aku ni, ada beberapa jenis kelas.
– Yang pertama merupakan kelas kuliah, di mana pelajar kena masuk lecture hall besar. Selalunya kelas ni lah yang paling mengantuk haha.
– Kelas kedua merupakan kelas biasa, di mana pelajar masuk bilik darjah macam zaman sekolah dulu.
– Kelas ketiga pula merupakan kelas amali, di mana pelajar kena masuk lab/makmal. Bangunan lab ni agak tinggi ye. Ada 4 or 5 tingkat, aku tak berapa ingat tapi memang kena mendaki naik tangga sikit la.

Berbalik semula kepada kisah aku. Semasa tengah kelas, aku rasa nak buang air. So aku minta izin lecturer aku untuk ke tandas. Dekat bangunan lab ni, tandas hanyalah terletak di level yang paling bawah (aku tak sure sama ada tandas ada atau tak dekat level lain, aku tak ingat dah). So, aku terpaksa turun tangga sebab kelas aku dekat tingkat 3 masa tu. Bila dah sampai dekat tandas, aku nampak tandas tu gelap je. Aku tekan la suis beberapa kali tapi tak menyala pun lampu. Laa, lampu m**i rupanya.

Aku jenguk ke dalam tandas, memang gelap dan nampak samar-samar je kat dalam walaupun masa tu tengah hari. Nak pergi tandas satu lagi tu jauh la pulak dan aku memang tak tahan dah nak buang air. So, aku pun masuk je la tandas tu dan aku tolak buka pintu tandas tu luas-luas supaya cahaya luar dapat masuk sikit ke dalam tandas. Dalam tandas ni ada 3 cubicles. Aku pergi dekat cubicle pertama, paip air tak ada. Aku pergi cubicle kedua, pintu tak boleh lock pulak. So aku pergi la ke cubicle terakhir, nasib baik yang ni elok sikit.

Sesudah selesai, aku keluar dari cubicle dan terus ke sinki. Semasa aku tengah basuh tangan, tiba-tiba aku terdengar bunyi pintu cubicle berkuak (bunyi orang buka pintu). Aku pandang ke arah bunyi tapi tak ada sesiapa pun. Lepas tu sekali lagi bunyi pintu berkuak. Terus meremang bulu roma aku sebab semasa aku berjalan ke sinki tadi, semua cubicle memang kosong dan tak ada orang pun masuk tandas.

Aku cepat-cepat basuh tangan dan nak keluar daripada tandas. Semasa aku hampir dah nak keluar daripada tandas, pintu tu macam slow-slow nak tertutup. Apa lagi, aku pun terus tarik pintu bagi kekal terbuka dankeluarkan diri daripada tandas.
At the same time, aku dengar suara halus daripada arah cubicle tu cakap;
“S**, jangan la keluar lagi.” (Nama aku start dengan S btw, benda tu panggil nama aku)
Apa lagi, aku pun terus lari lintang pukang naik tangga nak menuju ke kelas sampai terkoyak kain baju kurung aku.

Masa tu dalam otak memang segala bagai sumpah seranah keluar. Sial betul benda tu tahu nama aku. Tengah hari buta macam ni pun nak kacau. Sebelum ni paling awal dia kacau pun waktu petang, sekarang dah berani kacau waktu tengah hari pula ye. Termengah-mengah aku sampai kelas masa tu. Semenjak daripada peristiwa tu, aku langsung tak jejak kaki ke tandas tersebut dah.

KISAH 5
Kisah 5 ni terjadi tak lama selepas kisah tandas tadi. Masa ni baru lepas maghrib macam tu. Lepas solat, aku siap-siap nak ke bilik salah seorang classmate aku di Blok A untuk siapkan assignment bersama-sama.

Sebelum ni aku pernah bagitahu yang kolej matrikulasi ni ada 3 jenis blok asrama. Blok A & C untuk pelajar perempuan and Blok B untuk pelajar lelaki. Aku tinggal di Blok C so, nak jalan ke Blok A tu agak jauh sedikit. Aku kena jalan turun bukit sikit dulu, lepas tu akan ada 3 jalan pilihan nak ke Blok A.

Jalan pertama kena lalu tepi surau dan padang bola. Manakala jalan kedua kena lalu di antara bangunan kelas kuliah yang jadi gelap gelita apabila malam menjelang. Dan jalan ketiga kena lalu tepi café D, astaka dan bangunan kelas lab/amali. Disebabkan masa tu dah malam, aku memutuskan untuk menggunakan jalan ketiga sebab jalan tersebut yang paling meriah (banyak orang lalu lalang).

Semasa aku baru keluar daripada blok asrama aku, tiba-tiba hujan lebat. Mula-mula aku nak batalkan hajat tetapi bila memikirkan yang assignment ni susah and classmate aku je tahu macam nak buat, aku pun teruskan perjalananku. Nasib baik aku letak kertas assignment ni dalam plastic file so tak la basah kena hujan.

Semasa turun bukit ni masih okay lagi sebab jalan dia ada bumbung so tak kena hujan, tapi masih kena tempias la. Lepas sudah turun bukit, aku terpaksa menggunakan jalan pertama (tepi surau & padang bola) sebab jalan ni sahaja yang ada bumbung, jalan lain semua tak ada bumbung.

Semasa aku start jalan sebelah surau tu, aku perasan tak ada seorang pun pelajar lain yang tengah jalan atau lepak dekat persekitaran aku ni. Dalam surau pun aku hnaya nampak beberapa orang je tengah lepak. Mungkin dorang stay dalam bilik kot sebab hujan lebat kan.

Semasa aku tengah berjalan sambil humming (nyanyi perlahan) lagu kpop dengan guruh berdentum, tiba-tiba ada angin kuat datang. Kuat dia bukan main-main sampai aku pun hampir terjatuh dan plastic file ni hampir melayang. Aku gagahkan diri juga berjalan. Lepas seminit macam tu, angin tu finally berhenti tapi hujan masih lebat. Masa tu, aku dah start rasa tak sedap hati. Rasa macam nak patah balik pun ada. Aku tengok keliling aku nak pastikan semua okay untuk aku meneruskan perjalanan.

Apabila aku pandang belah kiri iaitu padang bola, aku nampak macam satu benda warna hitam dekat betul-betul tengah padang (jarak tengah padang dengan aku masa tu lebih kurang 50-60 meter). Size benda hitam tu lebih kurang besar bola sepak je. So aku assume benda tu bola yang pelajar tinggal kat situ kot. Aku pandang depan semula, then lepas beberapa saat, aku tergerak hati nak pandang kiri semula.

Sebaik sahaja aku pandang kiri, benda hitam tu dah jadi besar. Size dia sekarang dah macam size tong sampah besar tu, tapi aku still tak boleh nak describe apa benda tu. Nak kata bulat, tak. Nak kata bentuk orang, tak. Nak kata bentuk binatang, pun tak. Yang pasti dia warna hitam and macam berasap sikit. Time tu, aku dah start jalan laju dan aku tutup pandangan belah kiri aku dengan plastic file. Rasa macam jauh pulak perjalanan aku padahal tak jauh sangat pun. Lepas tu walaupun rasa takut, mata aku gatal nak pandang kiri lagi sekali. Aku turunkan plastic file slowly and guess what, benda hitam tu dah tak ada kat situ.

“Ah sudah. Mana pulak dia pergi.” Aku tercakap.
Aku terus tekap mulut aku sebab tercakap padahal nak sebut dalam hati je. Orang kata kalau nampak benda pelik, jangan tegur. Ni aku dah tertegur. Tadi aku jalan laju, sekarang aku dah start berlari. Usually, jalan tepi padang ni ambil masa 5-6 minit je, tapi sekarang rasa macam lebih 10 minit dah.

Masa tengah lari, aku hampir terjatuh sebab jalan licin. So aku stop lari dan jalan laju semula. Tiba-tiba, ada benda cuit bahu kiri aku daripada belakang. Apa lagi, aku pun lari la tak fikir dah jalan licin ke apa. Sampai je bilik classmate aku, aku terus cakap yang aku nak tidur bilik dia malam ni sebab aku tak larat jalan balik. Tapi sebenarnya, aku takut kena hadap benda tu semula.

KISAH 6
Kisah keenam ni terjadi semasa dah hujung semester 2. Masa ni semua orang busy buat revision sebab final exam dah dekat. So, pelajar-pelajar semua dah start buat study group dan mereka akan study dekat One Stop Center (macam student center gitu) selalunya. Hari tu, aku dan 2 classmates aku, Fiqa dan Rina (bukan nama sebenar), bercadang nak buat study group dekat student center lepas maghrib. Student center ni terletak di bangunan bersebelahan bangunan lab/amali. Student center ni memang selalu meriah malam-malam so tak ada la rasa takut ke apa.

Lepas maghrib, aku dan Fiqa gerak berjalan sama-sama ke student center sebab kami stay di blok C yang sama. Untuk ke One Stop Center, kami menggunakan jalan ketiga (tepi café D, astaka dan bangunan kelas lab/amali). Jalan ketiga ni memang banyak pelajar guna sebab ada kedai serbaneka, kedai fotostat dan café. Walaupun jalan ni tak menyeramkan, tetapi ada satu pokok besar yang agak scary depan café dan astaka tersebut. Aku ada dengar banyak cerita pasal pokok tu tapi disebabkan kami jalan berdua, so rasa takut tu kurang.

Sesampai di One Stop Center, aku nampak Rina sudah duduk ni salah satu meja dekat situ. Rina stay dekat blok A, so dekat je from Student Center tu. Lepas tu kami start study sambil borak-borak.
Jam sudah menunjukkan angka 10.30pm, so kami pun siap-siap nak balik ke blok masing-masing. Selepas melambai kepada Rina, aku dan Fiqa bergerak semula ke jalan ketiga. Masa tu memang dah sunyi kawasan tersebut. Agaknya dorang ni dah balik bilik kot.

Sambil jalan tu sambil aku borak dengan Fiqa yang berjalan sebelah kiri. Semasa kami jalan mendekati pokok besar depan café tu, Fiqa dah mula senyap. So aku pun senyap la juga.
Bila kami betul-betul berada bawah pokok besar tu, tiba-tiba ada benda warna hitam lalu berdesup betul-betul sebelah kanan aku. Aku terkejut sebab benda tu laju betul dan aku tertegur juga.

“Wuish. Apa benda tu laju nak mampos!” Aku cakap sambil pandang ke arah benda tu pergi. Aku rasa sangat bodoh time tu sebab cakap macam tu. (Maaf la readers, aku ni bengong sikit. Dah banyak kali kena kacau pun, asyik tertegur je benda-benda mistik ni.)
“Bodoh!” Fiqa hampir jerit sambil tarik tangan aku dan mula berjalan laju. Aku pun turut saja.
Apabila sampai je dekat jalan bukit untuk naik ke blok C, kami berhenti lari dan jalan seperti biasa.
“Kau nampak kan benda hitam tu? Aku tak berangan kan?” Aku tanya Fiqa.
“Ye aku nampak. Tapi aku buat-buat tak nampak je la. Yang kau pergi tegur tu apa hal?” Fiqa sedikit memarahi aku.
“Sorry la. Aku terkejut tadi.” Aku balas kepada Fiqa.
“Hopefully benda tu tak ikut kita balik.” Fiqa cakap.

Apabila sampai je di blok C, kami pulang ke bilik masing-masing. Apabila aku buka je pintu bilik aku, 3 orang roommates aku sedang study bersama-sama di ruang tengah bilik. Disebabkan aku belum penat, aku join mereka study.
Kami study sambil bersembang dan jam pun sudah menunjukkan lebih kurang pukul 1 pagi. Tiba-tiba, aku terdengar bunyi tapak kasut budak (kasut baby yang bunyi cit cit tu) betul-betul depan pintu bilik kami.

“Korang dengar tak bunyi tu?” Aku bertanya kepada roommates aku.
“Dengar.” Salah seorang roommates aku balas dan yang lain mengganguk tanda setuju.
Lepas tu, bunyi tersebut datang lagi. Kali ni bunyi tu makin panjang. Bunyi kasut budak tu seolah-olah jalan mundar mandir depan bilik kami. Kejap jalan ke kanan, kejap jalan ke kiri tanpa henti. Nak kata manusia, budak mana pulak yang datang dekat blok kami tengah malam macam ni? Parents dia mana? Lagipun dekat matriks ni mana ada budak kecil.

Kami berempat saling berpandangan antara satu sama lain. Dengan sepantas kilat kami semua tutup buku, tutup lampu dan semua lompat ke katil masing-masing untuk tidur. Sebelum ni aku pernah cerita tentang pengalaman aku dikacau tetapi roommates aku macam tak berapa nak percaya. Lepas je kejadian bunyi kasut budak ni, dorang dah percaya dengan apa yang aku pernah nampak dan dengar sebelum ni.

Okaylah guys, sampai disini sahaja cerita aku. Walaupun pengalaman aku tak lah menakutkan sangat, tetapi ia sudah meninggalkan memori yang kuat dalam ingatan sampai buat aku seram sejuk bila teringat. Kalau aku ingat cerita yang lain, aku kongsi lagi ya. Terima kasih sebab sudi membaca, jumpa lagi dia lain hari. Bye~

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

SR

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 58 Average: 4.7]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.