#KENYALANG – PENJAGA PEJABAT

Salam sejahtera kepada semua pembaca fiksyen shasha dan admin. Terima kasih sekali lagi seandainya admin publish cerita aku yang ketiga ni juga. Sesiapa yang belum baca dua entri aku yang dulu tu bolehla tekan link Pengalaman Seram Ketika Menuntut di UiTM M dan Pengalaman Seram Ketika Menuntut di UiTM M #Part 2. Kali ni aku akan berkongsi pengalaman aku yang lain pula. Aku takkan sambung cerita UiTM M sebab dah janji nak tutup pasal kisah di situ walaupun banyak lagi yang aku tak sempat ceritakan.

Entri kali ni aku nak ceritakan pengalaman aku ketika bermalam di sebelah pejabat arwah atuk. Arwah atuk aku dulu adalan sorang pemegang lesen kelas E untuk construction. Jadi dia ada pejabat kecil di salah satu shoplot kat Marudi. Selalunya kalau ada hal penting di pekan Marudi, atuk akan benarkan saudara mara tumpang menginap di pejabatnya atas shoplot. Dia tak pakai sangat pejabat tu tapi dia selalu ke situ untuk menyimpan dokumen2 penting mengenai bisnesnya. Pejabat atuk kecil sahaja dan merupakan sebuah bilik yang sederhana besarnya. Bilik sebelah pula pejabat kepada kenalan atuk. Aku tak kenal sangat kenalan atuk tu tapi dia juga pemegang lesen kelas E. Atuk kalau pergi kursus selalu terserempak dengan kenalannya itu. Walaupun tak rapat tapi mereka berada di industri yang sama. Kebetulan menyewa pula di shoplot yang sama.

Kisah pengalaman aku bermula sebelum aku menuntut di UiTM M lagi. Tahun tu aku tak pasti sangat sebab dah lama. Masa tu aku ada temuduga sebagai cikgu ganti kat Marudi. Mesti banyak yang pelik cikgu ganti pun ada temuduga kan. Selalunya orang terus call suruh kita turun keja je tapi kali ni ada temuduga pula. Lepas aku gi sana baru aku faham kenapa, sebab banyak sangat orang apply, jadi mereka nak tapis. Ok berbalik kepada cerita aku tadi, disebabkan last minit aku tak sempat plan perjalanan aku kat sana. Nak balik kampung, jauh pula dari pekan Marudi. Nak menginap kat hotel, bajet pula tak ada. Jadi mak aku cadangkan supaya aku dan kakak tidur je kat pejabat atuk. Masa tu, kakak aku tengah cuti semester jadi dia yang temankan aku pergi Marudi. Sebelum berangkat, mak ada telepon atuk nak minta kebenaran aku dan kakak tidur kat pejabat dia. Arwah atuk ok je, dia cakap kat pejabat tu ada bantal dan tilam jadi senang untuk sesiapa bermalam di situ. Atuk pesan yang dia ada tinggalkan kunci spare pejabat kat rakan kongsinya di pekan. Atuk ada bagi no telefon sekali untuk kami berhubung dengan rakannya di pekan nanti.

Pada hari kejadian, aku dan kakak aku sampai di pekan tu dalam pukul 5-6 petang. Sampai je, kami terus cari rakan kongsi atuk. Rakan kongsi atuk tu perempuan yang dalam lingkungan umur 40an. Namanya Ani (bukan nama sebenar). Orangnya baik je. Sebelum dia tunjukan kat mana pejabat atuk, dia berceritalah tentang dia dan suami dia dah lama kenal atuk. Kiranya dialah yang selalu tolong atuk handle bisnes sebab atuk aku ni tak arif sangat pasal bisnes. Lepas tu, Kak Ani offer nak tolong carikan hotel berdekatan sebabnya spare key pejabat atuk dia tak dapat jumpa. Tapi kakak menolak sebab bajet kami tak cukup untuk bermalam di hotel. Dia ajak juga tinggal kat rumah dia tapi sekali lagi kakak menolak. Kakak tak nak menyusahkan Kak Ani sebab kami ni baru berjumpa. Macam tak manis kalau kami bermalam kat rumah dia. Akhirnya, Kak Ani bagi kami cadangan supaya tidur je kat pejabat sebelah iaitu pejabat kenalan atuk tu. Kak Ani ni rupanya tolong simpankan spare key pejabat sebelah juga. Kak Ani cakap nanti dia telefon owner pejabat tu. Kak Ani cakap kalau tumpang bermalam orang tu tak kisah asalkan tak kacau barang2 dalam pejabat tu. Kakak dan aku setuju je sebab hari pun dah nak senja.

Lepas tolong bukakan pintu pejabat, Kak Ani pun meminta diri pulang. Aku dan kakak pun masuklah bilik pejabat untuk merehatkan diri. Bilik pejabat ni sebijik macam pejabat atuk cumanya takde tilam dan bantal. Untuk pengetahuan semua, pejabat ni kat tingkat atas sekali kat bagunan shoplot tu iaitu tingkat dua. Tak tinggi mana pun sebab ni shoplot kat pekan. Lepas duduk kejap, kakak dan aku keluar dari bilik untuk jenguk-jenguk kawasan tingkat dua tu. Sebenarnya kami nak cari tandas. Tandas dan bilik mandi kat aras dua ni ada satu je. Satu tandas dan satu bilik mandi. Maksudnya setiap pejabat kena kongsi tandas dan bilik mandi yang sama. Tapi kami tak khuatir sebab aras tu ada pejabat atuk dan pejabat kenalan atuk tu je. Bilik satu lagi kosong tak berpenghuni. Kenalan atuk tu sama je macam atuk, mereka pergi pejabat bila perlu je. Jadi memang kosonglah aras 2 tu. Aras satu pula kedai-kedai makan. Kat pekan ni, pukul 7 dah kosong dah area tu. Memang sunyi.

Bila je masuk tandas dan bilik mandi tu, aku dan kakak terus mencemikkan muka. Tandas dan bilik mandi tu kotor dan macam tak pernah orang guna. Jangan2 tak pernah dicuci. Macam tandas dalam movie horror dalam tv tu. Corong paip keluar bilik mandi tu pula tersumbat. Air yang kita dah pakai tak dapat mengalir keluar dari situ dan bertakung dalam bilik mandi tu. Kalau nak buang air tu, kita kena timba dan buang dalam mangkuk tandas kat sebelah. Dahsyat betul aku tengok. Nak tak nak pakai jela untuk mandi. Nak mandi kat tandas sebelah, paip tak de pula kat sebelah tu. Khas untuk orang membuang je. Tak de ruang untuk mandi juga kat tandas tu.

Lepas je membersihkan diri, aku dan kakak terus tidur sebab esoknya nak bangun awal. Malam tu lah aku dan kakak diganggu oleh penjaga di situ. Pada mulanya, aku dan kakak tak terfikir pun yang tempat tu ada penjaga. Masa nak tidur tu, aku rasa biasa je. Suasana memang sunyi sebab ni kawasan luar bandar. Jadi memang perasaan takut tu tak ada muncul. Aku cuma rasa cuak untuk temuduga esok je. Tapi malam tu, entah pukul berapa aku terbangun sebab aku terdengar ada orang mengetuk pintu bilik pejabat tu kuat sekali. Aku terbangun dari tidur tapi aku tak pergi buka pintu. Badan aku rasa malas nak bangun. Mata aku pula mengantuk sangat. Aku rasa aku masih dalam keadaan mamai masa tu. Aku pandang ke arah kakak, aku tengok dia nyenyak je tidur. Untuk pengetahuan semua, kami berdua tidur di tepi meja pejabat. Kaki kami menjulur ke arah pintu pejabat tu. Jadi memang agak dekat dengan pintu pejabat. Rasanya dalam tiga langkah kecil jarak kaki kami berdua dengan pintu pejabat tu.

Bila aku tengok kakak tak bangun, aku sambung tidur balik. Mungkin khayalan aku je orang ketuk pintu tu. Lepas aku tidur balik tu, aku bermimpi. Aku bermimpi ada satu portal kat pejabat tu yang membolehkan kita ke tempat lain. Kira macam pintu doremon la. Dalam mimpi aku, famili aku ketuk pintu pejabat dan bila buka pintu pejabat tu, aku nampak mak, ayah dan adik kat luar tu. Dalam mimpi tu aku rasa happy sebab mak dan ayah jengguk kami. Bila aku tanya, “kenapa mak ke sini?”. Mak aku jawap sebab dia rindu. Pelik sungguh mimpi tu. Lepas tu aku terjaga lagi sekali sebab terkejut dengan mimpi yang tak masuk akal tu. Yalah baru je berangkat pagi tadi, takkan la mak aku dah rindu.

Terbuka je mata aku, aku terus pandang ke arah pintu. Kat bawah pintu tu ada ruang kecil yang membenarkan sinaran lampu luar menerobos masuk ke dalam bilik. Aku dan kakak tak padam lampu luar tu tadi jadi memang nampak sinaran lampu tu dari dalam bilik pejabat yang gelap. Tiba-tiba aku tengok ada bayang kaki orang mundar-mandir kat luar pintu. Nampak macam ramai je orang lalu. Lepas tu bunyi macam orang sibuk bekerja. Aku agak blur. Kat tingkat ni ada dua pejabat je yang ada orang sewa, macam mana pula boleh ramai yang lalu lalang kat luar tu. Takkan la orang bawah naik atas ni tanpa sebab. Bilik tu tak kedap bunyi jadi macam-macam bunyi boleh masuk. Bunyi orang memasak pun ada.

Baru aku teringat tingkat bawah kan kedai makan, mungkin sebab tu ada bunyi orang memasak. Tapi bila aku fikir semula, mana de orang masak tengah-tengah malam ni. Kan kedai dah tutup. Serta merta bulu aku rasa meremang. Aku terus paksa mataku untuk tutup. Takut nanti ternampak yang bukan2. Lepas tu akhirnya aku terlelap semula. Dalam aku tertidur tu, aku terdengar lagi ketukan pintu yang bertalu-talu. Bunyi tu aku dengar dalam mimpi. Seakan-akan real bunyi tu. Bising sekali. Bukan main lama dia ketuk. Dalam mimpi, aku terdengar Kak Ani yang datang sebab dia nak hantar makanan. Yang peliknya aku tak bangun pun bukakan pintu. Aku dengar je Kak Ani panggil kami sambil ketuk pintu.

Aku lepas tu terbangun sekali lagi sebab alarm dah berbunyi. Kakak pun bangun sekali masa tu. Dia kemudian buka lampu bilik sebab masa tu hari masih gelap. Pukul 5.30 pagi kalau tak silap. Kemudian, dia duduk sebelah aku. Aku tengok mata dia terkebil-kebil memandang syiling. Lepas tu dia pandang aku. Tiba-tiba dia cakap, “Kau ada dengar tak apa yang aku dengar semalam?”.

Mata aku terus terbuntang. Aku mengangguk. Kakak rupanya dengar juga!
Lepas je dia tengok reaksi aku, dia terus letakkan telunjuk kat mulut. “Shhhh…”, katanya.
“Lepas kita keluar nanti, kita cerita ya”, ujar kakak lalu keluar mandi.

Sebaik sahaja membersihan diri pagi tu. Kami kemas cepat-cepat. Kakak tak suruh aku buang sampah atau apa-apa pun dalam bilik tu. Dia suruh aku simpan dalam plastik dan buang masa kami keluar nanti. Dia tak nak kami tinggalkan apa2 kesan dalam bilik tu.

Keluar sahaja dari kawasan tu, kakak terus membuka balik cerita yang tergendala tadi.

“Kau ada tak dengar orang ketuk pintu malam tadi”, Tanya kakak.

“Ada. Orang berjalan kat luar bilik pun aku ada nampak”, Kata aku lagi kat kakak.

“Kau tahu tak malam tadi aku nampak ada orang berdiri depan pintu tu sambil memandang ke arah kita. Sebab tu aku buat-buat tidur sebab aku takut.” Ujar kakak. Aku terkejut. Dalam bilik ke maksud kakak ni?

“Dalam bilik kita ke kak?”, Ujar aku mahukan kepastian.

“Ya dalam bilik kita. Dia berdiri depan pintu!”

“Aku tak nampak pun ada orang berdiri situ. Yang aku nampak, orang mundar mandir kat luar bilik. Lepas tu aku dengar macam kat luar tu riuh rendah macam orang sibuk buat kerja je”, Ujar aku lagi.

“Betul aku nampak. Sebab tu aku tak berani nak bangun. Lepas aku dengar orang ketuk2 pintu tulah aku tengok kelibat orang berdiri tu”, Jelas kakak lagi.

Menurut kakak, aku kelihatan lena tidur malam semalam. Jadi dia pun tak sangka yang aku dengar juga. Tapi aku ada juga beritahu kakak, yang aku ada termimpi Kak Ani yang ketuk pintu semalam. Dia cakap tak masuk akal lah sebab masa tu tengah malam. Takkan Kak Ani nak pergi situ. Tapi aku dalam hati masih berpegang teguh bahawa Kak Ani memang ada pergi ke situ (untuk menyenangkan hati sendiri).

Lepas aku habis interview, aku dan kakak pergi berjumpa dengan Kak Ani untuk bagi balik kunci pejabat bilik kenalan atuk tu. Masa bagi kunci balik kat Kak Ani, aku ada bertanya, “Kak Ani, akak ada pergi bilik kita tak semalam?”.

Kening Kak Ani mengerut. “Tak de pulak. Kenapa ya?”, Ujar Kak Ani hairan.

Hati aku terus berdegup kencang bila dengar Kak Ani cakap macam tu. Kalau bukan Kak Ani jadi memang sahlah yang ketuk semalam tu bukan orang. Kakak aku memberi signal supaya tak bercakap lebih lanjut mengenai pasal tu.

“Eh, tak de apalah kak. Saya nak tahu je”, Ujarku kemudiannya.

Lepas bagi balik kunci tu, aku dan kakak terus pulang ke bandar masa tu juga. Tak nak berlama2 di pekan tu. Masa nak balik tu kakak ada telefon mak. Kakak beritahu pada mak pasal yang kami alami malam tadi. Mak terus bertempik, dia cakap mana de hantu kat situ. Dia cakap atuk selalu tidur kat pejabat dan takde apa2 yang berlaku. Mak tuduh kami terlalu terfikirkan benda yang bukan-bukan. Mak aku memang susah nak percaya benda yang mistik2 ni. Dia cakap kami takut sangatlah sebab tu sampai terdengar bunyi yang macam-macam. Serius aku tak terfikir pun pasal benda yang menakutkan malam tu sebab aku asyik sibuk memikirkan sesi temuduga aku esok.

Sampai je kat rumah, aku dan kakak buka balik cerita tu. Mak m**i-m**i tak percaya. Sampai dia telefon arwah atuk esoknya untuk tanyakan hal tu. Lepas tu arwah atuk aku pun buka rahsia. Dia cakap pejabat sebelah tu ada penjaga. Penjaga tu belaan kenalan atuk. Dia letak situ supaya tak ada orang curi barang kat situ. Atuk cakap benda tu tak kacau kita. Mungkin sebab aku dan kakak baru pertama kali pergi situ, sebab tu penjaga tu macam bagi warning. Aku tanya kat mak sama ada arwah atuk ada tak letak penjaga kat pejabat dia juga. Mak cakap tak ada. Arwah atuk aku pun ada ilmu juga sebab dulu dia selalu merantau dari dia muda dulu. Tapi arwah atuk takde belaan, dia cuma suka kumpul ubat2 yang dia beli or dapat dari orang tempat dia merantau. Mak cakap arwah atuk tak letak apa2 kat pejabat dia jadi kami tak perlu risau.

Sejak dari hari tu, aku tak ada lagi menjejakkan kaki ke pejabat tu lagi. Lepas arwah atuk meninggal tahun lepas, pak cik aku yang menjadi waris bisnes atuk. Pak cik aku dah tak menyewa pejabat kat situ lagi. Jadi kami semua memang tak pergi lagi ke situ. Sampai sini saja cerita aku kali ni. Cerita ni tak seram sangat sebab aku tak nampak sendiri secara berdepan dengan penjaga tu. Kakak aku yang nampak tu pun cakap yang dia nampak dari paras dada ke bawah je sebab masa tu gelap. Aku pula setakat dengar bunyi-bunyian dan bayang bayang je. Itupun aku dah rasa seram, apalagi kalau berdepan kan. Mesti aku pengsan kat situ juga. Aku bersyukur sangat sebab aku tak dapat nampak macam pencerita yang lain. Aku tak rasa aku dapat handle kalau aku nampak benda tu secara real. Huhuhu.

Lain kali aku share pengalaman lain pula. Bila ada masa aku akan hantar lagi entri. Sampai berjumpa lagi…

Kenyalang

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 5]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.