Kesayangan

Judy (8 Tahun)

Dia melihat ibu dan ayahnya bersiap di hadapan cermin berbentuk bulat di sudut bilik mereka. Ibunya mengenakan gaun mengikut tubuh rona hitam, dengan rambut disanggul tinggi ke atas. Ayahnya pula mengenakan suit dengan rona yang sama. Kemas dan sepadan keduanya. Aroma bunga Lavender dan Plumeria bertebaran ke segenap bilik, disembur lembut ke leher si ibu sebelum wanita itu tersenyum puas hati sambil membetulkan rantai mutiara putih gading yang melilit lehernya.

“Kamu tidur dulu dengan Puan Bertha, okay? Mama dan papa akan pulang lewat…”

bisik ibunya lembut ke telinga sebelum memeluknya erat.

Dia hanya mengangguk. Sudah terbiasa begitu sejak ibu dan ayahnya mula berjaya melebarkan empayar perniagaan mereka. Sudah jarang-jarang dia dapat duduk makan malam bersama. Dia melihat susuk tubuh ibu dan ayahnya menghilang di sebalik pintu sebelum dia mengeluh sedih. Dia melompat turun dari katil empuk mereka, lalu berjalan mengheret patung beruang kapasnya ke dapur tempat Puan Bertha sedang sibuk menceduk sepinggan penuh sup labu yang baru dimasaknya.

“Hey Judy! Mari makan ni..kamu suka sup ni kan?”

Perempuan berbadan gempal itu tersenyum mesra ke arahnya. Dia sekadar mengangguk perlahan. Kerusi meja makan itu ditariknya keluar sebelum dia melabuhkan duduk di situ. Pinggan putih berisi sup labu yang masih berasap nipis itu direnungnya.

“Makanlah..nanti sejuk tak sedap. Ohh..apa yang terjadi pada Bob?? Mari sini mak cik bersihkan dia ya..?”

Puan Bertha menghulur tangan pada patung beruangnya, Bob yang tergeletak di atas kaunter dapur. Kaki patung beruang itu basah terkena air lumpur ketika dia keluar bermain di laman rumah mereka petang tadi.

“Bob tak suka sejuk..”

Judy mengumam sebelum berlari mendapatkan patung beruang itu. Didakap patung itu ke dadanya sebelum dia duduk semula di kerusi tadi, lalu menyuap sup labu yang sudah suam itu ke mulutnya. Puan Bertha sekadar menggeleng melihat tingkahnya sebelum berlalu ke sinki, mencuci peralatan memasak yang digunakannya tadi.

********

Bunyi guruh berdentum mengejutkannya dari tidur. Judy memeluk Bob rapat ke dalam pelukannya, sebelum teresak menangis. Dia mengigil disebalik selimut. Bunyi dentuman guruh dan petir yang menyambar langit menakutkannya. Dia bangun lalu turun dari katilnya. Langkah kakinya dibawa ke bilik ibu dan ayahnya. Pintu bilik mereka diketuknya kuat. Tiada pamitan. Dentuman guruh dan petir kian menggila di luar. Judy mengetuk pintu bilik itu dengan lebih kuat sehingga tidak lama kemudian pintu bilik itu terkuak buka dari dalam. Kepala ayahnya terjengul dari balik daun pintu dengan mata yang separuh terbuka.

“Hey sayang..kenapa ni?”

“Judy takut…boleh Judy tidur disini…?” ujarnya perlahan.

“Sayang..kamu dah besar. Lagipun ayah perlu rehat secukupnya. Esok, ibu dan ayah ada perjumpaan khas dengan diplomat dari Berlin dan..dengar sini, Bob boleh temankan kamu..okay? Pergi balik ke bilik kamu.”

Encik Robert menguap sebelum menutup semula pintu biliknya. Judy yang tercengang hanya mampu mengeluh sebelum berjalan semula ke biliknya.

“Temankan saya ya, Bob..” bisiknya sedih pada patung beruang kesayangannya.

**********

Dia terpisat bangun dari tidurnya. Cahaya malu mentari menjengah lalu menerobos masuk melalui jenang tingkap kaca biliknya. Cuaca masih sejuk berkabus disebabkan hujan lebat semalam. Gebar tebal yang membalut tubuhnya ditolak ke tepi. Dia menoleh ke sisi, mencari patung beruang kesayangannya namun patung itu tiada di sisinya. Dijenguk di bawah katil juga tiada. Judy bangun, lalu membuka pintu biliknya. Selipar bulu yang dipakainya dibawa melangkah ke bawah, ke arah dapur. Mungkin Puan Bertha mengambil patung beruangnya untuk dicuci, fikirnya.

“Puan Bertha…puan ada nampak..”

Dia terkedu. Puan Bertha terbaring di atas lantai dengan kesan k***r pada lehernya. D***h memenuhi lantai dapur, meninggalkan bau hamis di segenap ruang. Dia mengundur ke belakang, sebelum berlari laju ke tingkat atas semula. Ibu dan ayahnya perlu tahu! Suaranya terasa tersekat di rengkungan. Pintu bilik ibu dan ayahnya ditolak kasar sehingga tubuh kecilnya hampir tersembam ke depan. Matanya menangkap susuk ibu dan ayahnya tergantung ke dinding, dengan kesan tusukan paku di kepala keduanya. D***h meleleh membasahi muka keduanya. Judy terduduk. Tubuhnya longlai melihat tubuh kaku kedua ibu bapanya. Dalam kejutan menggila yang mengasak dadanya, dia terpandangkan sesuatu di tepi sudut bilik itu. Bob, si patung beruang kesayangannya sedang berdiri tegak dengan penukul di tangan, tersenyum penuh sayang kearahnya.

Bob (937 Tahun)

Mereka membeli aku dalam jualan amal untik sebuah rumah kebajikan. Aku dibeli dengan harga yang cukup mahal, walaupun aku hanyalah sekadar patung beruang. Aku di bawa pulang ke rumah, lalu dihadiahkan sebagai hadiah ulang tahun keenam anak perempuan mereka. Dia menamakan aku Bob. Aku dibelai dan disayangi Judy. Aku dibawa kemana sahaja dia pergi. Makan, tidur, dan mandi bersama. Ikatan kasih sayang yang lompong antara ibu dan ayahnya yang terlalu sibuk, diisi dengan kehadiran aku.

Aku bersumpah dengan nyawaku, yang aku tidak akan sekali-kali meninggalkannya. Malam itu hujan lebat turun mencurah membasahi bumi. Judy terjaga dari tidur lalu mendakapku erat ke dalam pelukannya. Aku dapat rasakan gigilan tubuh kecilnya padaku. Anak itu ketakutan. Dia mengheretku ke bilik ibu dan ayahnya, mengetuk pintu bilik itu dengan harapan beban ketakutannya berkurang namun ayahnya tidak mengendahkannya. Judy pulang semula ke biliknya dengan perasaan kecewa dan hampa yang maha dahsyat. Aku tahu itu.

Dia tertidur dalam linangan air mata yang membasahi bantalnya. Aku perlu buat sesuatu. Judy tidak boleh dilayan sebegitu. Dia kesayanganku, dan aku akan lakukan apa sahaja untuknya. Aku capai penukul di bilik stor, lalu aku ke bilik ibu dan ayahnya. Aku paku kepala keduanya ke dinding. Bunyi hentakan penukul pada tempurung kepala mereka menyeruakkan bahagia pada aku. Aku hanpir selesai apabila tiba-tiba sahaja Puan Bertha masuk ke bilik itu lalu menjerit. Ahh..bunyi jeritan En Robert mungkin telah mengejutkannya.

Dia berlari ke bawah, terus menuju ke dapur dengan pisau pemotong sayur di tangannya. Aku sukakan Puan Bertha. Dia melayani Judy dengan baik. Tapi, dia perlu berhenti menjerit dan mengacu pisau ke arahku. Jeritan nyaringnya akan mengejutkan

Judy kesayanganku dari tidurnya. Jadi aku b***h dia. Aku k***r lehernya dengan pisau yang dipegangnya. Tubuhnya mengeletik lemah di atas lantai dapur yang baru dibersihkannya semalam. Aku ke atas semula, sekadar mahu memastikan kedua ibu bapa Judy benar-benar m**i sehinggalah Judy masuk ke situ tidak lama kemudian dan melihat aku di tepi sudut bilik dengan penukul di tanganku. Ahh..Judy sudah tahu. Aku perlu lakukan sesuatu.

*********

North Berwick UK – Sepasang suami isteri dan pembantu rumah mereka ditemui m**i d*****h dengan kejam di kediaman mereka yang beralamat 81 C Jalan Stanfford D North Berwick. Curiga dengan ketidakhadiran kedua ahli perniagaan yang terkenal itu ke sebuah majlis diplomat, setiausahanya membuat lawatan ke rumah mereka sebelum menemui mayat kesemuanya dalam keadaan yang sangat mengerikan di dalam rumah. Polis kemudiannya menemui anak perempuan pasangan itu, Judy Robert Stenson, 8 tahun di dalam biliknya dengan kesan jahitan pada mulut dan sebelah matanya. Anak pasangan itu dihantar ke hospital Berwick untuk rawatan lanjut. Tiada kesan pecah masuk ditemui di sekitar kawasan kediaman tersebut, namun polis akan menjalankan siasatan rapi bagi mengesan penjenayah kes ini.

TAMAT

Afrah Radzi

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 74 Average: 4.3]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.