Khayalan

Di tahun akhir di sekolah berasrama penuh ini, cikgu sejarahku kerap mengadakan kelas tambahan sebagai persiapan menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Bagi menyedapkan lagi suasana belajar Sejarah yang memerlukan hafalan pelbagai fakta mengenai tanah air sehingga kepada pembentukkan negara Malaysia, cikgu memilih untuk menjalankan kelas tambahannya di waktu malam.

Waktu malam selalunya lebih sejuk. Tambah mendamaikan, sekolahku betul-betul berhadapan pantai. Hembusan lembut bayu pantai yang terasa sedikit masin benar-benar menenangkanku di kala malam. Bunyi hempasan ombak juga amat melegakan perasaan. Ya, malam sememangnya waktu yang sesuai untuk mengulang kaji pelajaran. Adakalanya, aku tertewas jua dengan rasa mengantuk. Dan, tidur dengan enaknya sewaktu kelas persediaan di malam hari.

Cikgu ini hanya mengadakan kelas tambahan pada waktu malam di hari cuti. Ini bermaksud, hanya kami akan menghuni bilik kelas di bangunan akademik sedangkan pelajar yang lain seenaknya berguling di atas katil melayan walkman (oh, terasa sangat tua). Namun, tidak menjadi masalah untuk kami berjalan ke bangunan akademik di waktu malam. Sudah terbiasa.

Yang menjadikan cerita ini luar biasa, cikgu mempunyai satu kesukaan, iaitu, di samping membuat ulang kaji sejarah bersama kami, dia akan mengakhiri kelas dengan pelbagai cerita hantu dan seram. Dan, kami gemar melayan cerita beliau yang bukan-bukan itu.

Cerita pertama cikgu sejarahku:

“Awak semua balik nanti, jangan merayau sana sini, tau!”

Kami semua memandang beliau penuh minat.

“Sewaktu saya meronda sekeliling asrama hari tu, saya terperasan sesuatu di bangunan akademik. Saya cuba amati apa yang saya nampak. Lama saya perhatikan. Eh, kain putih ke tu? Tegak aje di atas bumbung kita ni. Saya terus je perhati. Betullah, kain berwarna putih. Eh! Ya, Allah. Kain tu bergerak daripada satu bumbung ke satu bumbung yang lain. Seperti melompat dan melayang.”

Beliau merupakan salah seorang warden asrama. Tidak menjadi kepelikan untuk beliau meronda di sana sini di dalam kawasan sekolah.

“Saya tak tunggu lamalah. Saya cepat-cepat jalan balik ke bilik saya. Karang tak pasal kain putih tu melayang ke arah saya.”

“Jadinya, sekarang dah nak dekat waktu light off, cukuplah kelas kita untuk malam ni. Saya nak semua kemas barang sekarang dan turun sama-sama. Jangan tinggalkan kawan-kawan, ya. Dan, jangan pandang ke belakang dah. Jalan terus sahaja ke asrama awak”

Apalagi, kelam kabut kami mengemas semua alat tulis, buku teks dan buku nota. Cepat-cepat kami keluar kelas dan turun tangga. Kelas kami pulak di tingkat 3. Aduhai, terasa begitu jauh perjalanan kami pada malam itu.

Sebaik sahaja kaki menjejak anak tangga yang terakhir, kami bertempiaran lari tanpa menghiraukan nasihat cikgu kami. Jauh kami tinggalkan cikgu kami di belakang. Apatah lagi pelajar lelaki, memang tidak boleh diharap, lagi jauh meninggalkan pelajar perempuan.

Sebagai seorang yang penakut tetapi mempunyai rasa ingin tahu yang tebal, aku sempat berpaling ke belakang dan melihat ke atas bumbung. Dan, aku menjerit sekuat hati “LARI!”.

Ha ha ha

Maka, semakin lajulah kami semua berlari. Termengah-mengah sewaktu kami tiba di dorm. Rakan-rakan dorm yang bukan sekelasku terpinga-pinga melihat kami semuanya. Namun, kami hanya tergelak beramai-ramai tanpa menceritakan apa-apa kepada yang lain. Cukuplah, mereka dihantui cerita seram mereka sendiri buat masa sekarang. Tidak perlulah kami menokok tambah kerisauan yang lain.

Disebabkan kejadian itu, kami tidak mahu mengadakan kelas tambahan di bangunan akademik. Maka, cikgu memilih untuk mengadakan kelas tambahan yang seterusnya di satu bilik di perpustakaan. Kedudukan perpustakaan ini terasing daripada bangunan akademik dan lebih dekat dengan bangunan asrama.

Dan seperti kebiasaan pelik beliau, cerita seterusnya daripada cikgu sejarahku:

“Awak tahu, semalam, saya keluar daripada bilik saya sekitar pukul 11 malam selepas light off.”

Sebagai warden, meronda selepas 11 malam adalah satu kebiasaan kerana light off ialah pada pukul 11 malam. Pelajar diwajibkan berada di dalam dorm masing-masing, kecuali beberapa pelajar yang suka mencabar keberanian diri sendiri, akan memilih untuk menyorok di merata tempat dan berdoa tidak ditemui oleh warden. Kenapa dan mengapa mereka begitu, tidaklah menjadi urusanku.

“Saya singgah di bilik rekreasi. Bilik gelap tapi tv masih terbuka. Saya intai sana-sini memang tak nampak sesiapa. Risau juga saya nak masuk. Sebab ada yang cerita, pernah nampak sesuatu di bilik rekreasi. Tapi, saya fikir, mungkin pelajar yang terakhir keluar lupa menutup tv. Saya pun, apalagi, cepat-cepat masuk, tutup tv, terus keluar dan tutup pintu.”

Entah kenapa, pada malam itu, aku benar-benar khusyuk menghayati cerita beliau. Di dalan mindaku, aku seolah-olah dapat melihat cikgu sejarahku ke sana sini seperti ceritanya. Aku benar-benar membayangkan kejadian yang beliau alami seolah-olah beliau adalah aku. Dan, beliau menyambung:

“Setelah saya yakin memang tidak ada sesiapa, saya berjalan menuju ke bilik saya sendiri. Saya lalu la di tepi ni.”

Sambil menunjuk ke arah luar tingkap bilik yang kami berada sekarang. Masih jauh jarak perjalanan untuk beliau tiba ke bilik warden.

“Eh, tetiba saya nampak seseorang di sebalik pokok. Ala, yang berhadapan tingkap bilik ni. Yang peliknya, gayanya seperti seorang perempuan, saya kan berada di zon lelaki. Tetapi, dia membelakangi saya. Saya tak dapat nak pastikan siapa tu”

Ya, beliau warden asrama lelaki.

Dan, seperti aku ceritakan tadi, aku juga membayangkan aku melihat perempuan yang dikatakan itu. Sangat jelas di mindaku. Seolah-olah, aku yang sedang memandang tepat ke arah perempuan itu. Aku menjadi semakin takut. Aku tutup mataku dengan kedua tanganku sambil telingaku terus asyik mendengar cerita cikgu.

“Semakin saya dekat, saya nampak rambutnya panjang mengurai, dan pakaiannya berwarna putih.”

Aku juga nampak di dalam bayanganku. Aku semakin kecut rasanya.

Aku seolah-olah berada di dalam kegelapan malam. Dan, di sebalik pokok itu, si “dia” berdiri. Rambutnya lurus panjang mengurai. Cantik. Aku terus memandang, tidak berkelip.

“Saya pergi lebih dekat lagi. Tiba-tiba… Dia mula berpaling perlahan-lahan…”

Dan aku, pada ketika itu, perasaan takut semakin menguasai diriku. Dan, aku, tanpa sengaja, menjerit sekuat hatiku “AAAAAAAA!”

Kerana aku seolah-olah melihat dengan jelas “dia” dengan perlahan berpaling ke arahku. Allah, takutnya. Tidak sanggup aku membayangkan wajahnya.

“Eh, kenapa awak menjerit?”

Aku tersedar dan melihat sekeliling sambil tersengih seperti kerang busuk. Alamak, malunya. pelajar lelaki dan perempuan, kesemuanya melihatku dengan muka penuh tanda tanya.

“Eh, tak ada apa cikgu. Saya cuma terlebih imagine”

Ha ha ha ha ha ha

Malu.

Cikgu kelihatan sangat risau. Dan, rasa bersalah agaknya. Aku andaikan dia menyangka aku hampir histeria. Aduh, p****g stim betul.

“Takpe cikgu, sambung-sambung. Saya okay”

“Saya tak nak dah sambung cerita. Jom balik”

“Ala, cikgu”

“Sebenarnya, saya tipu awak je. Tak betul semua tu” kata cikgu.

Entah betul, entah tidak. Hanya dia yang tahu kebenarannya.

Ha ha ha padan mukaku.

Itulah kali terakhir cikgu sejarahku bercerita kisah hantu dan seram.

Sekian.

Terima kasih Admin Fiksyen Shasha dan pembaca sekalian.

Rating Pembaca
[Total: 0 Average: 0]
WaniTua

1 thought on “Khayalan”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.