Hai pembaca setia Fiksyen Shasha. saya pun salah seorang pembaca setia blog ni. hari2 bukak pc utk baca cerita2 latest kat sini dulu. Saya pernah kongsi kisah HOSPITAL sebelum ni. hari ni saya nak kongsi kisah sebuah kilang di Selatan Tanah Air. Malas nak meleweh, jom la kita mula!
Kilang yang saya nak cerita ni, dah lebih 10 tahun beroperasi. Terletak di kawasan yang sedikit terceruk dari bandar. Menempatkan lebih kurang 100 orang pekerja dan beroperasi untuk shift siang dan juga malam. Maknanya 24 jam la kilang ni beroperasi ye. Dekat kilang ni, ada gudang stor nya sendiri. Besar dan luas. Ada banyak rak untuk letak kotak-kotak hasil dari output production dan bersedia untuk dihantar pada customer.
Yusuf merupakan Storeboy yang bertanggungjawab sepenuhnya pada gudang tu. Malam tu, partner Yusuf cuti. Jadi Yusuf bekerja seorang diri. Sebab dah tahu diri tak berapa berani untuk duduk dalam gudang sorang2, jadi Yusuf selesaikan semua kerja pengiraan stock lebih awal. Dalam pukul 11 malam, semua kerja Yusuf untuk hari tu dah selesai. Bila dah settle, Yusuf boleh duduk di office sambil menghadap komputer je. Tak perlu dia bersusah susah masuk gudang lagi malam tu.
Selesai kerja, Yusuf terus melangkah ke office gudang. Sunyi sungguh malam tu memandangkan partner nya cuti. Kalau tidak, ada juga kawan untuk diajak berborak. Sedang asyik Yusuf menghadap komputer, loceng rehat berbunyi. Baru lah Yusuf perasan, jam dah menunjukkan pukul 2 pagi iaitu waktu rehat mereka. Terus Yusuf bangun menuju ke kantin. Ramai rakan rakannya yang lain juga berpusu ke kantin dengan tujuan yang sama, mengisi perut yang lapar!
“Oi. Sorang ke harini?”, sapa Ayub. Salah seorang senior production di kilang itu.
“Sorang ler. Membe cuti pulak. Dahla shift malam. Pishang betul aku malam ni…” Jawab Yusuf.
“Hati-hati ler ko tu. Kang tak memasal, ada membe lain yang datang ganti!”, seloroh Ayub sambil ketawa besar.
“Ahhh. Dari melayan kau, baik aku makan. Lapor ni”, jawab Yusuf.
Sambil menyuap makanan ke mulut, hati kecil Yusuf mendengus juga. Cabul betul mulut Ayub ni. Nak aje aku tenyehkan sambal ni kat mulut dia. Saja je nak tambahkan takut dalam hati aku. Huh!
Selesai makan, Yusuf menuju ke kawasan merokok. Dicapai sebatang rokok untuk dihisap. Sudah dia lupa mengenai usikan Ayub sebentar tadi. Yusuf meraba handphone nya di dalam poket namun tak berjaya. ‘Ahh! Mana pulak handphone aku ni. Tadi masa datang kerja elok je aku main game!’ Yusuf sambung mencari di semua poket seluarnya, namun tiada. ‘Tertinggal dalam office la ni. Aduh’
Kringggg. Loceng tamat rehat berbunyi. Menandakan jam sudah menunjukkan 3 pagi. Yusuf bergegas ke office nya. Dicari ke merata tempat telefon bimbitnya, tapi tiada.
‘Ya Allah. Takkan la aku tertinggal dalam gudang. Jadikan kerja betulla nak pergi masuk gudang waktu-waktu macamni! Apabenda laaaaaaa’
Nak tak nak, Yusuf terpaksa juga pergi ke gudang. Takkan nak dibiarkan handphone nya tak bertuan. Yusuf pula memang langsung tak boleh berpisah dengan handphone.
‘Apesal la dari tadi aku tak perasan handphone aku takde. Aduhai’, bebel Yusuf dari dalam hati sambil kaki nya perlahan melangkah ke gudang. Jarak dari office nya ke gudang dalam 500 meter sahaja. Cuma, perasaan gerun tu tiba-tiba muncul, membuatkan langkahnya semakin perlahan. Kawasan sekeliling pula sunyi, memandangkan kawasan production berada agak jauh dengan gudang.
Setibanya di hadapan gudang, Yusuf membuka roller shutter untuk masuk ke dalam. Yusuf menghidupkan lampu, dan terus menuju ke tempat dia membuat kerja tadi. Sedang dia berjalan, terdengar seretan kaki orang lain berdekatan dengannya.
“Siapa tu?”, jerit Yusuf.
Sunyi tiada balasan.
Yusuf abaikan bunyi itu memandangkan tiada balasan. Terus dia sambung langkahnya untuk mencari telefon.
Sreeeetttt. Sreeeeettttt. Bunyi orang menarik kotak kedengaran.
‘Ahhh! Siapa pulak la nak mengusik aku waktu-waktu macamni!’
Yusuf segera mencari handphone nya sambil membongkok. Mungkin terjatuh di atas lantai ketika dia membuat kerja. Dia membongkok untuk melihat ke bawah rak kotak.
‘Haish. Kat sini rupanya handphone aku.’
Yusuf hulurkan tangan untuk mencapai. Terasa aneh. Tadi rasanya dekat je handphone tu. Tapi bila cuba dicapai, tak berjaya pula. Yusuf memanjangkan lagi tangannya. Gagal. Yusuf membongkok dan jenguk kembali ke bawah rak almari.
“Allah!!!” itu saja yang keluar dari mulut Yusuf. Kelihatan rambut panjang memenuhi kawasan bawah rak. Segera dicapai handphone nya dan sewaktu Yusuf bangun menegakkan badannya kembali, lampu gudang terpadam!
Yusuf pejamkan mata. Cuba bertenang. Yusuf nyalakan handphone nya. Cuba mencari jalan keluar. Kalau benar blackout, kenapa lampu kecemasan pun tak menyala.
‘Ini betul-betul ada yang mengusik aku’
Sedang Yusuf berjalan keluar dengan terkapai-kapai, ada suara mendayu menyeru namanya.
‘Yuuuuusuuuuuuuuf. Sini laaaaaaa. Nak pergi mana tuuuuu?’
Bagai nak pecah dada Yusuf. Segera dia berlari mencari jalan keluar. Dushhhh! Yusuf tersadung pallete yang entah dari mana muncul. Sempat Yusuf mengaduh. Sakit sungguh kakinya namun langsung tak dihiraukan. Dia bingkas bangun menuju ke pintu keluar. Sampai saja ke pintu, lampu gudang menyala kembali. Yusuf terus berlari menuju ke kawasan production. Tak sanggup lagi dia menoleh. Roller shutter gudang pun tak ditutupnya. Pedulikan lah!
Yusuf demam 3 hari. Bila naik semula ke kerja, rakan-rakan semua sibuk mencari Yusuf untuk bertanyakan apa yang terjadi. Bersungguh Yusuf menceritakan apa yang berlaku. Tiba-tiba datang pakcik pengawal kearah mereka.
“Kamu kena kacau ye malam tu?”, soal Pak Idris kepada Yusuf.
“Ya pakcik. Sampai demam saya dibuatnya. Tapi saya tak lah nampak benda tu dengan jelas. Saya cuma nampak rambut panjang dan dengar suara panggil saya je Pakcik.. Kalau lagi teruk kena sakat, sebulan agaknya saya demam! Taubat dah saya ni nak kerja malam sorang sorang pakcik!”, seloroh Yusuf.
“Nah… kamu tengok ni. Tapi janji jangan sambung demam ya?”, Pak Idris ketawa kecil sambil menghulurkan handphone nya.
Yusuf dan rakan-rakan memandang video yang sedang dimainkan di handphone Pak Idris itu. Bagai nak luruh jantung Yusuf bila melihat video itu adalah dirinya ketika sedang meraba mencari handphone di bawah rak. Rupanya di belakang Yusuf ada makhluk besar berwarna hitam berbulu lebat sedang berdiri rapat dengannya. Dan rambut yang Yusuf nampak di bawah rak itu adalah rambut makhluk itu! Rupanya setelah Pak Idris mendapat tahu kisah yang Yusuf diganggu, Pak Idris terus mencari rakaman CCTV di gudang itu. Dan ternyata, Yusuf benar-benar diganggu dan bukan khayalannya semata!
TAMAT.
~ANAK ABAH~
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit