Kisah Aneh Sepanjang Hidup

Hai nama aku Ira. Sebelum ini aku ada baca kisah salah seorang pembaca fiksyen syasya yang berkongsi kisah-kisahnya diganggu makhluk halus sepanjang hidupnya. Jadi aku hendak menceduk idea tersebut kerana cerita-cerita aku diganggu kebanyakannya pendek jadi seeloknya aku rangkumkan dalam satu hantaran sahaja.

Makhluk Hijau

Kejadian ini berlaku sewaktu aku masih bersekolah rendah. Aku tinggal di rumah opah kerana ibu bapaku bekerja shif. Jadi bagi mengelakkan hanya anak-anak mereka ini tinggal di rumah bersendirian maka mereka akan tinggalkan aku di rumah opah sampai shif salah seorang mereka habis…

Banyak kejadian aku diganggu di rumah opah sebenarnya. Aku ada terdengar perbualan ahli keluargaku yang atukku mempunyai saka. Tapi aku tak boleh memastikan kesahihannya kerana perkara itu adalah taboo dalam keluargaku. Jika aku bertanya tentangnya, pasti akan dimarahi.

Pada suatu malam, aku tidur di tilam di ruang tamu macam biasa. Di rumah ini ada opah, atuk, adik, dan acuku. Acu ialah bapa saudara aku yang bongsu. Tilam aku tidur bertentangan dengan tilam acuku. Pada pukul 3 pagi lebih (jam dinding betul-betul depan mataku), aku terjaga kerana terdengar bunyi gelak ‘hi…hi…hi…’ Aku melilau mencari bunyi apakah itu dan dari mana datangnya? Aku duduk dari posisi baringku dan mataku tertancap pada acuku. Ya Allah, aku nampak jelas acuku terbaring tidur tapi ada kepala berwarna hijau terangkat dari tengkuknya. Macam acuku ada dua kepala. Faham tak?

Makhluk itu tidak mempunyai jasad yang solid tapi lebih kepada transparent. Makhluk itu memandangku sambil tersenyum luas dan mengeluarkan bunyi ‘hi…hi…hi…’ seperti tadi. Matanya merah dan giginya bertaring. Dia tahu aku memandangnya dan dia berterusan memandangku sambil mengeluarkan bunyi yang menyeramkan itu. Aku ketakutan dan cuba mengejutkan opahku yang sedang baring di sebelahku tapi hampa. Opahku bukanlah sejenis yang tidur m**i tapi aku tak berjaya mengejutkannya walaupun badannya kugoncang kuat…

Aku melihat kembali ke arah makhluk itu dan melihat dia cuba bangun dari badan acu aku. Hah sudah! Kalau dia pergi ke arah aku bagaimana? Aku terus membaca surah-surah pendek yang aku belajar di sekolah dan menutup mukaku dengan selimut. Aku sangat-sangat takut dan berharap dia tidak datang ke arahku. Apa yang boleh aku buat dalam keadaan aku keseorangan begini dan tiada siapa yang terjaga?

Aku tidak tahu bagaimana aku boleh tertidur. Keesokan harinya aku bertanya kepada acuku,

“Acu, semalam acu ada bangun ke pukul 3 pagi?” Sejujurnya aku tahu itu bukan acu tapi aku tidak tahu pertanyaan bagaimanakah yang sesuai kulontarkan.

Acu aku terus mengerutkan muka seperti tidak senang dengan pertanyaanku dan membalas, “Mana ada!”.

Aku menceritakan kepada acu dan opahku apa yang aku nampak semalam. Muka mereka semuanya berubah muram dan mengatakan padaku tiada apa-apa dan aku hanya bermimpi.

Buka mata, putih sahaja

Kejadian ini berlaku di waktu hampir 12 tengah malam di rumah opah. Aku sedang asyik menonton tv apabila opahku mengatakan dia ingin buang air besar. Tandas untuk buang air besar ada di luar rumah. Jarak lebih kurang dua meter dari pintu rumah opahku (pintu yang menghadap tandas).

Biasanya kalau ada di antara kami ingin buang air besar di waktu malam, kami akan berteman antara satu sama lain. Contohnya kalau aku ingin ke tandas, opahku akan duduk di pintu itu dan aku akan memanggil opahku setiap 2 minit. Nak buat macam mana, seram. Tapi kalau opahku yang hendak ke tandas, aku boleh teruskan kerja aku macam biasa dan hanya membiarkan pintu tersebut terbuka. Opah yang menetapkan seperti itu. Ya pintu terbuka luas walau pukul berapa pun kerana kalau jadi apa-apa senang orang di dalam tandas hendak berlari masuk rumah. Walaupun hakikatnya pencuri atau apa-apa sahaja boleh masuk rumah dahulu sebelum orang yang di dalam tandas itu.

Kembali ke ceritaku. Selepas opahku masuk ke dalam tandas dan membiarkan pintu yang mengadap tandas itu terbuka seperti biasa, aku meneruskan untuk menonton tv. Aku rasa seperti mahu terlelap tetapi terkejut kerana aku dengar suara opah memanggilku seperti cemas. Aku menyahut “Ye’ dengan kuat. Aku pelik kerana opah tidak pernah memanggilku sebelum ini jika dia di dalam tandas.

Aku teruskan menonton tv. Kemudian aku tiba-tiba terkejut kerana aku dengar seperti bunyi pintu berbunyi. Mungkin opahku sudah masuk rumah. Aku menoleh ke pintu. Opah tiada di situ. Aku menoleh ke depan semula, tapi aku melihat semuanya putih. Aik? Bagaimana boleh semuanya berwarna putih sedangkan di depanku sepatutnya ada tv dan di sebelah tv ada almari baju yang berwarna biru? Aku pejam celik pejam celik beberapa kali tapi masih berwarna putih. Aku ketakutan. Adakah aku sudah buta? Aku tak faham.

Tiba-tiba aku dengar suara opah memanggilku dengan kuat. Aku toleh ke belakang dan semuanya kembali normal. Aku toleh ke depan dan aku kembali melihat tv dan almari seperti biasanya. Aku terus berlari menuju ke arah opah.

Keesokan harinya aku bertanya kepada opah apakah opah ada memanggilku dan kenapa dia memanggilku semalam sewaktu dia di tandas. Opahku mengatakan tidak ada memanggilku. Aku menceritakan peristiwa semalam kepada opah dan opah menyuruhku membaca ayat Kursi sekiranya perkara itu terjadi lagi.

Pernah juga aku menceritakan kisah ini kepada orang lain. Ada yang mengatakan aku kena peluk dengan pocong. Entahlah, aku juga tak dapat memastikan kesahihannya. Aku pasti aku tidak bermimpi tetapi mungkin sahaja aku bermimpi.

Cerita Bilik Atas

Apabila aku menginjak dewasa aku mahukan privasi dalam rumah opahku maka aku memilih bilik atas. Rumah opahku ini rumah kayu atas sahaja sebenarnya tapi telah dibuat rumah batu bahagian bawah. Bahagian atas akhirnya tidak digunakan dan aku telah menawarkan diri untuk menjadikan ruang atas itu bilik tidurku.

Rumah atas itu telah banyak berlubang. Bukan lubang kecil berbentuk bulat, tapi lebih kepada lubang papan-papan lapis yang telah hilang. Rumah atas itu juga mempunyai empat tingkap tradisional ala2 tingkap dalam iklan adabi. Salah satu tingkapnya telah hilang semua pintunya dan hanya ditutup dengan zink yang kecil sahaja. Kalau hujan biasanya akan tempias masuk ke dalam bilikku itu. Jika kawan-kawan datang ke rumah, mereka akan bertanya bagaimana aku boleh tidur dalam bilik yang berlubang besar yang kebanyakannya tidak ditutup dan kalau ditutup pun, tidak ditutup dengan sempurna? Aku hanya mahu tidur berseorangan sementelah diriku semakin meningkat remaja. Papan-papan lapis yang hilang itu hanya bahagian atas sahaja, orang dari luar tidak akan dapat melihat aku. Tetapi kalau langsuir lalu, kami pasti akan nampak sesama sendiri.

Kerap juga aku diganggu di situ. Tatkala aku tidur, aku terdengar bunyi jelas pasir dibaling ke atas zink. Makin lama makin kuat pula bunyinya. Aku ketakutan dan tidur di bawah. Pernah suatu hari semasa aku baru sahaja hendak melelapkan mata, hujung jari tangan dan hujung jari kakiku seakan-akan ditarik sesuatu. Sekejap jari kaki, sekejap jari tangan. Kemudian aku baca ayat kursi dan kuulang ayat terakhir sehingga tujuh kali dengan harapan apa sahaja yang menggangguku pergi dari situ. Ustazah di sekolah yang ajar. Tiba-tiba aku dengar kekecohan di tingkat bawah. Opahku berkata kepada atukku, nak pergi mana ni? Atukku berkata, “Panas! Panas! Aku nak keluar!”

Ah sudah! Aku tak tahu semua ini kebetulan atau ayat kursi yang kubaca tadi telah ‘memanaskan’ apa sahaja yang ada dalam rumah itu. Kekecohan itu berlaku dalam 10 minit. Mujur juga pintu itu berkunci kalau tidak susah juga opahku hendak menahan atukku. Aku hendak menolong tapi badan aku seolah-olah tersekat dan berpeluh-peluh. Aku seperti tidak berdaya untuk bangun dari situ.

Keesokan harinya aku bertanya kepada opah mengenai apa yang berlaku semalam. Opah berkata atukku berlari ke pintu mahu keluar rumah pergi ke hutan di sebelah rumah kerana rumah itu panas katanya. Oh ya, kejadian itu berlaku pada pukul 1 pagi lebih kurang. Nak ke hutan pada pukul 1 pagi kerana panas? Wallahualam.

Kejadian lain pula, pernah aku bermimpi didatangi seorang nenek tua rambut menggerbang , pakaiannya semua hitam, bibir dan kukunya hitam, kukunya panjang dan runcing, dan dia memegang tongkat. Dia datang dengan terbang melalui salah satu tingkap ke bilikku. Beberapa kali juga dia datang dan memberikan aku senyuman seram. Setiap kali dia sampai ke depan muka aku di tempat aku tidur, aku akan terjaga. Sehingga aku ketakutan dan memilih untuk tidur dengan opah sahaja di bawah.

Sewaktu raya haji tahun 2020, acuku telah datang ke rumahku (rumahnya dekat sahaja). Banyak perkara yang dibualkan sehinggalah ke topik seram. Aku menceritakan tentang mimpiku mengenai nenek tua itu kepada acu. Wajahnya berubah. Dia mengatakan yang abahku juga dulu pernah bermimpi perkara yang sama. Acu menyebutkan kembali ciri-ciri nenek itu dan ianya sama dengan nenek dalam mimpiku. Acu berkata nenek itu mungkin saka keturunan kami atau mungkin sahaja entiti yang ‘suka’ kepada kami anak beranak. Ingin sahaja aku memusingkan biji mataku ke atas. Tapi kenapa kami anak-beranak boleh bermimpi nenek yang sama ya?

Kisah-kisah di sekolah pedalaman

Selepas aku habis maktab perguruan, aku dihantar bertugas di sebuah sekolah orang asli di pedalaman perak. Sekolahnya jauh ke dalam hutan dan hanya dihubungkan dengan tanah merah laluan lori balak. Aku perlu tinggal di rumah guru kerana tidak boleh berulang seperti sekolah-sekolah di bandar. Terdapat beberapa kejadian di sekolah ini yang berjaya membuatkan aku takut teramat sangat.

Kisah pertama ialah ‘salam perkenalan’ di rumah guru. Aku tinggal di situ dengan seorang rakan sebayaku yang juga posting di tempat yang sama. Pada hari pertama di rumah itu, aku masuk ke bilik-bilik untuk melihat keadaan rumah tersebut. Ketika aku masuk ke bilik kedua yang menempatkan bantal-bantal, terdetik di hatiku ada sesuatu tidak menyenangi kehadiranku di dalam bilik itu. Di kawasan lain aku tidak berasa apa-apa. Ketika aku hendak keluar dari bilik itu, aku menarik tombol pintu dengan perlahan kerana aku memang tidak suka tutup pintu dengan kuat. Tiba-tiba, pintu tersebut terasa ditolak dari dalam. Bermakna tangan aku yang sedang memegang tombol pintu itu memang terasa pintu itu ditolak. Kedegang! Terkejut aku. Tak mungkin angin kerana tingkap semuanya ditutup dan bilik itu bilik tengah. Tidak mungkin ada sumber angin yang cukup kuat untuk menolak pintu itu seperti yang kurasakan tadi. Hatiku terdetik, “eh, tak suka ke?”. Sejak itu aku tidak selalu masuk ke dalam bilik itu kecuali terpaksa.

Kejadian seterusnya juga cukup menakutkan bagi aku. Sekolah ini padangnya terbuka untuk orang kampung datang bermain bola petang-petang. Memang cukup meriah bunyinya sementelah rumah guru ini memang betul2 berhadapan padang. Suatu hari, aku dan rakan serumahku terlewat mengerjakan solat Asar. Lebih kurang 6.45 petang. Penduduk kampung bermain bola seperti biasa dan memang meriah bunyinya. Rakanku pergi mengambil wuduk dahulu dan solat dahulu. Kemudian aku pula pergi ke bilik air untuk mengambil wuduk. Apabila aku masuk ke dalam bilik, rakanku sedang solat. Tapi kulihat matanya melilau dan bergerak-gerak dengan cepat. Aku pelik. Dan aku terus duduk di katilku yang berada di belakang rakanku yang sedang solat tadi. Aku membuang pandang ke arah tingkap di hadapanku (mengadap jalan), terang macam biasa. Aku membuang pandang ke arah tingkap yang mengadap padang, gelap segelap gelapnya seolah-olah ditutup oleh sesuatu. Mungkin kain hitam ataupun apa-apa yang berwarna hitam. Tingkap nako 4 panel. Panjang jugalah tingkap itu. Dan aku perasan bunyi penduduk kampung bermain bola tadi senyap. Tak mungkin. Penduduk kampung ini maghrib pun main bola lagi kerana bukan semuanya beragama Islam. Aku pandang tingkap yang mengadap jalan tadi. Terang. Pandang tingkap mengadap padang. Gelap. Aku terpinga-pinga. Ya Allah apakah yang sedang terjadi?

Aku menutup mata dan membaca ayat kursi sebanyak-banyaknya sambil menggeletar. Tiba-tiba aku mendengar kembali suara keriuhan penduduk kampung sedang bermain bola di luar. Tingkap yang gelap itu juga sudah cerah kembali. Aku masih lagi menggeletar dan terasa takut teramat sangat. Usai rakanku solat, aku terus solat. Boleh sahaja aku solat sekali tadi tapi aku terlalu terkejut dan pelik dengan apa yang terjadi.

Sudah menjadi kebiasaan kami sekiranya diganggu di rumah itu kami tidak akan menceritakannya di situ. Aku hanya mengatakan kepada rakanku aku ada benda nak cerita. Dengan pantas dia membalas, aku pun! Hati aku kuat mengatakan kami menghadapi situasi mistik sebentar tadi. Apabila tiba waktu untuk kami menceritakannya, kebetulan kakak-kakak pembantu pengurusan asrama juga ada di situ. Mereka senyum dan mengatakan itu perkara biasa kerana mereka juga sudah lali diganggu selama bertugas di sekolah itu.

Ya baru aku teringat apabila ada guru-guru dan staf pernah bertanya kepada kami sama ada kami ada benda untuk diceritakan atau tidak. Kata mereka semua orang di situ kalau baru masuk sekolah ini akan ada benda untuk diceritakan. Mula-mula kami tak faham. Rupanya semua menanti salam perkenalan dari ‘mereka’ untuk kami kerana kami yang paling baru di sini.

Di rumah itu juga aku pernah bermimpi lelaki yang sama 3 kali. Semasa kami awal-awal tinggal di situ, tidak banyak perkara yang kami boleh buat sementelah kami belum biasa dengan persekitaran dan orang kampung. Jadi selepas balik sekolah kami biasanya akan tidur sehingga waktu asar. Tidur tengahari lah kata orang. Kali pertama aku bermimpikan lelaki itu, dia sedang berdiri di pintu bilik, memerhatikan aku yang baru terjaga dari tidur (dalam mimpi). Anehnya aku tidak dapat melihat wajahnya kerana dia besar dan tinggi. Aku hanya dapat melihat badannya sahaja. Dia memakai jubah putih. Bagaimana aku tahu dia melihat aku? Kerana badannya sepenuhnya mengadap aku dan aku dapat rasakan seolah2 diperhatikan. Aku terkejut dari tidur dan terus melihat pintu tersebut. Aku merasakan seolah-olah kejadian itu betul-betul berlaku. Kemudian aku buat tidak peduli sahaja dan menganggap itu mainan tidur. Aku jugak tidak menceritakan mimpiku itu kepada rakan serumahku.

Keesokan harinya aku tidur tengahari seperti biasa. Aku bermimpi lelaki yang sama, memakai jubah yang sama, dan anehnya aku masih tidak dapat melihat wajahnya seolah-olah dadanya terlalu bidang dan besar sehingga menutup wajahnya. Tetapi yang menakutkan aku ialah posisinya kini adalah di hujung katilku!

Aku terus terjaga dari tidur dan walaupun aku sangat mengantuk aku terlalu takut untuk tidur kembali. Aku mula berasa tidak sedap hati. Aku hampir tak pernah bermimpi dengan mimpi yang sama. Mana mungkin. Lelaki itu jugak tidak pernah kujumpa untuk minda aku memainkan mimpi yang sama. Walaupun aku tidak nampak wajahnya tapi dia tidak mengingatkan aku kepada mana-mana lelaki yang aku pernah kenal.

Beberapa hari selepas itu aku tidak berani tidur tengahari lagi. Kemudian aku merasa makin hilang takut dan mungkin aku tidak akan bermimpi lelaki itu lagi. Maka suatu petang aku pun tidur. Dan ya, aku bermimpi lelaki yang sama, keadaan yang sama cuma kali ini dia berdiri di tepi pinggang aku! Aku terlalu takut dan terkejut dari tidur.

Aku sangat takut. Aku tidak ingat selepas itu apa sekiranya ada amalan khusus yang aku buat untuk tidak berjumpa lagi lelaki itu di dalam tidurku. Dia tidak muncul pada waktu lain, hanya pada waktu tengahari sahaja. Aku sangat susah hati dan aku takut untuk tidur. Aku berdoa bersungguh-sungguh supaya aku tidak berjumpa lelaki itu lagi di dalam tidurku. Apa yang aku boleh katakan aku tidak lagi tidur tengahari selepas itu dan selepas 3 bulan, aku berpindah dari rumah itu. Apa yang aku takutkan ialah dia yang semakin dekat denganku. Aku takut kali keempat aku berjumpa dengannya dia akan menunjukkan wajahnya kerana pada pandangan aku, kali ketiga dia berdiri di sebelah pinggang aku, seterusnya mungkin di sebelah kepala akukah?

Tapi yang pasti jika dia tidak suka aku tidur tengahari, strateginya berjaya.

Suara ke-tiga.

Masih berkisar tentang kejadian di sekolah juga. Pada hujung tahun 2018 aku telah menghadiri jamuan akhir tahun asrama di sekolah itu. Jalan tar sudah dibina maka aku sudah boleh balik ke rumahku di bandar sekiranya aku mahu. Jarak sehala ke rumahku adalah dalam 55 – 56 km. Jamuan itu diadakan pada waktu malam selepas maghrib.

Asalnya aku mempunyai teman untuk balik selepas majlis pada malam itu iaitu teman sekerjaku namun dia terpaksa membatalkannya pada saat akhir. Penolong kanan HEM pula begitu mengharapkan semua guru dapat hadir untuk meraikan murid-murid dan makanan yang ditempah juga banyak. Maka dengan berat hati aku hadir juga pada malam itu dan aku telah berjanji dengan seorang guru lelaki senior untuk konvoi dengannya sewaktu balik nanti. Malangnya dia seorang sahaja yang akan balik ke rumah pada malam itu maka nanti kami dua kereta sahajalah yang akan konvoi. Yang lain memilih untuk tidur di sekolah.

Kenapa aku tak tidur di sekolah? Wallahi aku katakan aku terlalu takut untuk tidur di sekolah selepas pelbagai peristiwa angker yang terjadi kepadaku. Terasa seperti menyerah tengkuk pula kalau tidur. Terus terang aku katakan memang aku tak berani. Tetapi aku pun tidak faham kenapa aku lebih rela memandu di jalan yang sunyi berseorangan (20km hutan perkampungan orang asli) bertemankan kereta konvoi di depan daripada merana sepanjang malam tidur di sekolah itu. Ketakutan dan trauma benar-benar mempengaruhi keputusanku. Waktu itu aku rasa mungkin tidak akan berlaku apa-apa sekiranya aku memandu pulang sahaja. Percayalah aku dah banyak kali merasa malam yang sangat panjang di sekolah itu kerana diganggu.

Dipendekkan cerita tibalah masanya untuk aku dan cikgu lelaki itu balik ke rumah. Jam menunjukkan pukul 11 malam. Aku tidak berasa apa-apa pada malam itu. Semangatku untuk memandu pulang lebih kuat dari apa-apa perasaan lain pada waktu itu. Dan aku tidak mahu memikirkan yang bukan-bukan kerana 20km seterusnya aku berseorangan dalam kereta. Aku masuk ke dalam kereta dan terus memasang lagu-lagu dari CD. Aku sengaja tidak memasang surah Al-quran kerana akan mengingatkan aku mengenai benda-benda yang aku takutkan itu. Aku hendak buat macam biasa sahaja. Tapi aku masih ingat Allah ya.

Aku meminta cikgu lelaki itu memandu di depan dan aku mengikut di belakang kerana aku kalau memandu memang perlahan jadi aku mahu mengikut rentaknya sahaja. Aku tidak mahu cikgu lelaki itu berasa stres denganku.

Aku memandu sambil melayan lagu-lagu dari CD. Beberapa kilometer pertama terasa biasa sahaja dan tiada apa-apa yang berlaku. Lagu Putus Terpaksa nyanyian Ziana Zain berkumandang. Aku juga turut menyanyikannya. Rangkap pertama tiada apa-apa. Rangkap kedua tiba-tiba aku mendengar satu suara lain yang turut menyanyi bersama aku tetapi lebih lambat dari suara Ziana Zain dan suara aku. Sebab itu juga aku amat pasti adanya suara ketiga itu. Ahh sudah! Suaranya suara perempuan tua dan kedengaran di tempat duduk belakang. Tengkuk aku pula meremang sahaja.

Aku diam. Suara itu juga turut diam. Hanya suara penyanyi asal sahaja yang berkumandang. Tingkap kubuka sedikit dan aircond kututup. Tiada alasan logik aku cuma tidak mahu berasa seperti berada dalam kawasan tertutup. Aku cuba mendengar dengan teliti. Suara itu tidak kedengaran lagi tetapi aku masih meremang. Aku teruskan pemanduan. Seketika kemudian lagu tersebut habis dan masuk pula kepada lagu Carta Hati nyanyian Najwa Latif. Aku kembali menyanyikannya sementelah hatiku mula merasa tenang.

Ketika lagu itu sudah masuk korus kedua, suara itu kedengaran lagi. Suara perempuan tua dan nyanyiannya lebih lambat dari kami. Aku menggeletar. Aku rasa ini bukan andaian atau tersalah dengar lagi. Aku pasti ada entiti lain dalam kereta aku pada waktu itu! Kakiku yang sedang memijak pedal terasa menggeletar dan lemah. Keretaku makin perlahan. Cikgu lelaki itu juga sudah sedikit jauh meninggalkan aku. Sumpah aku sangat takut. Aku tak boleh lari ke mana mana. Aku tak boleh tutup mata. Bayangkan jalan dalam hutan, sebiji lampu pun tiada. Gelap gelita hanya lampu dari kereta kami berdua sahaja yang menerangi.

Air mataku sudah bertakung. Bibirku benar-benar menggeletar sewaktu aku membaca ayat Kursi menyebabkan bacaanku menjadi jelas tak jelas sahaja. Kali ini aku dapat merasakan entiti itu sudah berada di tempat duduk sebelah pemandu, iaitu di sebelahku. Aku tidak berani memandang sekeliling atau cermin sisi dan cermin belakang. Mataku terus memandang kereta cikgu lelaki di hadapanku. Aku perasan dia memperlahankan keretanya. Ingin sahaja aku high beam dan hon secara menggila untuk menyuruhnya berhenti dan aku ingin menaiki keretanya sahaja tetapi aku tahu semua akan menambah panik. Lagipun jalan di situ sempit dan hampir tiada bahu jalan, di mana aku mahu berhenti? Fikiranku pada waktu itu hanya mahu keluar dari hutan itu.

Lalu dengan kudrat yang ada aku pijak pedal dan memandu dengan laju. Bayangkanlah jalan gelap dan bagai ular dipalu aku tetap memandu dengan laju dan ‘mencucuk’ kereta cikgu lelaki itu. Selepas itu dia juga terus memandu dengan laju. Aku risau juga terlanggar penduduk kampung tetapi mujur perkampungan orang asli di situ tidak banyak jadi aku perlu berhati-hati di kawasan tertentu sahaja. ‘Dia’ masih aku rasakan ada disebelahku.

Setelah aku melalui kampung terakhir, aku rasakan ‘dia’ sudah tiada. Aku tidak berasa meremang lagi. Aku terus memandu pulang dengan peluh yang merenik di dahiku.

Sampai ke rumah aku memberi mesej mengucapkan terima kasih kepada cikgu itu kerana telah membenarkan aku berkonvoi bersamanya. Dan aku meminta maaf sekiranya aku memandu agak laju. Dia membalas ucapan terima kasihku dan tidak bertanya lebih.

Keesokan harinya aku menceritakan pengalamanku kepada rakan sekerjaku. Dan sekejap sahaja cerita tersebut menjadi bualan di sekolahku. Cikgu yang berkonvoi denganku mengatakan patutlah aku memandu laju dan kelam kabut sahaja. Semua orang tahu aku memandu memang perlahan.

Mereka percaya dengan ceritaku kerana kalau ikutkan sekolah kami dalam kawasan hutan dan sepanjang jalan memang hutan. Seorang staf pula pernah membawa bayinya ke sekolah (terpaksa) dan apabila pulang bayi tersebut menangis tidak henti-henti sehingga terpaksa dibawa berjumpa ustaz. Ustaz berkata anaknya terkena gangguan jin dan berpesan untuk tidak membawa bayinya masuk ke hutan lagi. Wallahualam.

Sekian sahaja ceritaku. Banyak lagi pengalaman tapi cerita-cerita ini sahaja yang aku ingat secara jelas. Aku harap Fiksyen Shasha siarkan sebab pengalaman-pengalaman ini ingin sangat aku kongsikan dengan geng-geng Fiksyen Shasha. Terima kasih.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Ira

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 17 Average: 4.3]

1 thought on “Kisah Aneh Sepanjang Hidup”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.