Kejadian berlaku waktu aku tingkatan lima. Duduk di asrama kalau tak dikaitkan dengan cerita hantu turun temurun dari para senior itu bermaksud sesuatu yang tidak normal. Samalah kisahnya dengan aku. Setakat cerita hantu minta teman ke tandas tengah malam, nenek atas almari mengira siapa yang belum tidur, hantu orang sebelah, itu semua memang cerita lagenda. Tapi yang sebenarnya di antara cerita-cerita tersebut, ada yang pernah aku alami sendiri. Dan kali ni bukan cerita pasal tu. Aku nak bercerita tentang junior bernama Syahira.
Aspuri sekolah aku agak tersorok sedikit di kawasan kampung. Belakang tembok asrama merupakan kawasan tanah kebun kelapa sawit. Bila waktu malam, kawasan sekeliling memang sunyi. Waktu tu aku ditempatkan di tingkat satu, aku di dorm dua manakala Syahira di dorm empat yang mana dormnya terletak betul-betul bertentangan dengan tangga utama. Bak kata para senior, dorm empat itu sedikit keras.
Sedikit tentang Syahira, cantik, bertubuh genit dengan kulit kuning langsat dan berambut lurus panjang melepasi pinggang. Tetapi dia seorang pelajar yang agak pendiam dan gemar bersendirian. Tidak gemar bercampur dengan orang. Dan aku juga tak berapa rapat dengan dia. Mungkin disebabkan itu aku tidak tahu banyak tentang dia.
Nak dijadikan cerita, setiap hari Sabtu merupakan hari untuk para penghuni aspuri mengadakan aktiviti gotong royong. Waktu tu, cuti umum Johor belum ditukar lagi. Kami dibahagikan mengikut dorm masing-masing. Ada yang bertugas membersihkan dewan makan, serambi, bilik air atas dan bawah. Lapan stesen untuk lapan dorm. Minggu tu, dorm aku ditugaskan membersihkan bilik air manakala dorm Syahira membersihkan serambi. Selesai gotong royong, kami terus ke dewan makan untuk makan tengahari.
Pukul enam petang sebelum masuk aktiviti musolla, kami sekali lagi perlu membersihkan stesen masing-masing. Rutin harian yang dah jadi kebiasaan. Tetapi malangnya, selepas sahaja waktu maghrib seorang pelajar tingkatan satu diserang histeria. Najihah, orangnya kecil halus, tetapi tenaga yang menghuni tubuhnya empat kali ganda dari biasa. Selepas Najihah, terdapat beberapa orang pelajar lain yang turut diserang histeria. Dan pelajar terakhir yang terkena adalah Syahira.
Syahira merupakan pelajar yang paling teruk dan paling sukar untuk dirawat. Ditambah pula waktu tu dia dalam keadaan uzur. Keadaan bertambah sulit kerana Syahira sendiri tidak mahu memberi kerjasama. Hilai tawa Syahira nyaring bergema hingga membuatkan para pelajar lain yang mendengar ketakutan.
Rontaan dia terlalu kuat hingga beberapa orang dari kami yang memegangnya tidak dapat bertahan. Ada yang diterajang, ada yang ditampar. Paling teruk, Syahira merangkak mengelilingi dorm lapan sambil mengilai. Rambut dia yang sedia panjang mengurai tu membuatkan penampilannya amat menakutkan.
Ustaz Halim tiba dan terus merawat Syahira. Pelajar lain yang turut terkena tempias histeria dirawat oleh ustaz yang lain. Jerit pekik kedengaran di mana-mana.
Apa yang paling merisaukan kami apabila ada pelajar yang akan terkena histeria. Yalah, histeria tu kan seperti wabak berjangkit. Keadaan dalam aspuri malam tu kucar kacir, para pelajar yang lain terpaksa dikerah untuk berkumpul di dewan makan, bacaan Yaasin dan Surah Al Jinn diadakan. Manakala pelajar senior tingkatan empat dan lima diminta untuk membantu.
“Mana ketua aspuri?”
“S..saya ustaz.” Aku menjawab takut-takut. Ustaz Halim ni garang dia memang jenis tak boleh bawa bincang. Jangankan nak dengar dia bersuara, nampak bayang kereta dia je pelajar dah kecut perut.
“Pergi naik atas, bersihkan semua sampah yang ada dekat atas.”
Aku mendongak memandang koridor tingkat satu yang gelap gelita sambil menelan liur. Takut. Aku memang seorang yang penakut, bila dah jadi macam tu, perasaan takut toksah kata la. Dalam hati aku dah niat nak buat-buat pengsan. Biarlah nak kena lucut jawatan ke apa ke, yang penting aku tak kena buat apa yang diarahkan.
“Dengar tak ni?”
“Ustaz, saya sorang ke?”
“Ya, benda tu marah sebab ada yang buat kotor. Awak ketua aspuri tapi awak tak pantau. Benda tu nak awak yang bersihkan!”
“T..tapi ustaz, saya takut.”
“Kalau takut, duduklah awak dengan benda tu. Saya tak boleh tolong.”
Aku pandang muka warden. Sungguh, warden masa tu pun macam dah nak menangis dengan keadaan malam tu. Kalau warden dah macam tu, aku ni lagilah. Dah lencun dengan air mata, nak tak nak, aku naik juga ke tingkat satu. Hampir lima minit aku berdiri di tengah-tengah tangga memerhati tingkat bawah dan tingkat satu berulang kali. Ustaz yang merawat Syahira dah berlalu ke aspura, meminta bantuan pelajar lelaki untuk bersedia.
“Cikgu, saya tak boleh…” aku merayu pada warden dengan sedu sedan.
“Cikgu Hanis, biar kitorang teman kak Maira. Peduli la ustaz Halim tu nak cakap apa.” Hidayu mencelah. Hidayu ni junior aku, pelajar yang dikategorikan sebagai pelajar nakal. Dia tak menunggu lama, plastik hitam yang aku pegang dirampas lalu dia naik mendahului aku, menghidupkan lampu setiap dorm. Kami bermula dari dorm satu.
Aku menyapu manakala Hidayu memegang plastik sampah, Nazira pula menyua penyodok sampah. Selesai dorm satu, kami beralih ke dorm dua. Apa yang aku pelik, tak ada sampah yang berselerak, dorm bersih, katil tersusun kemas. Jadi apa yang ustaz Halim tu cakap, betul atau tak? Ke sengaja nak kenakan aku?
Waktu kami beralih ke dorm tiga, tiba-tiba deretan tingkap kaca di dorm satu dan dua yang menghadap ke arah kebun kelapa sawit di belakang aspuri tu digegar kuat. Kami berpandangan seketika.
“Cepat kak Maira! Bak sini penyapu tu.” Hidayu merampas penyapu yang aku pegang. Dia menyapu ala kadar, setakat buat syarat dan lepas tu kami bertiga lari turun ke tingkat bawah. Dorm empat dan dorm lima? Langsung tak kami jengah.
“Dah?” Cikgu Hanis menyoal. Serentak kami mengangguk.
“Saya call ustaz Halim sekejap.” Cikgu Hanis terus menghubungi Ustaz Halim.
Malam tu kami tidak dibenarkan naik ke tingkat atas kecuali pelajar pertama yang diserang histeria dan Puteri, penolong ketua aspuri. Dia diarahkan untuk menemani Najihah di tingkat atas. Aku tak tahu apa motif sebenar ustaz Halim mengarahkan begitu. Arahannya, Puteri harus menemani Najihah tidur di tingkat atas dan dilarang buka lampu. Tapi kalau dah arahan pertama kami ingkar, inikan arahan kedua. Aku suruh Puteri bawa Najihah ke dorm empat. Buka pintu dorm seluasnya dan kami akan berjaga di tangga. Lampu tangga kami biarkan menyala jadi cahaya dari lampu tangga akan melimpah hingga ke dalam dorm empat.
Hampir setengah jam Puteri dan Najihah bertahan hinggalah tiba-tiba..
“Kak Puteri, apa tu…” Najihah menyoal sambil menuding jari ke arah laluan ke dorm lima yang berhubung dengan bilik air di hujungnya.
“Najihah, jangan tengok please. Jangan tengok apa-apa.” Pujuk Puteri.
“Kak Puteri, dia datang. Dia datang…” Najihah dah mengonggoi menangis.
“Maira!!! Cikgu Hanis!!!!” jeritan Puteri buat kami yang berjaga di tangga terus menerpa naik. Najihah dan Puteri kami bawa turun.
Najihah, dan Syahira kami tempatkan di dorm lapan. Manakala penghuni aspuri yang lainnya ditempatkan di dorm enam dan tujuh. Kesian, berasak-asak macam ikan dalam tin sardin. Kami para senior dan warden pula terpaksa bergilir-gilir berjaga untuk memastikan keadaan kekal tenang hingga ke subuh.
Syahira? Hampir satu malam dia tidak tidur, pejam mata pun tidak. Dia cuma duduk memeluk lutut dengan sengih menyeringai. Keadaan dia malam tu memang menakutkan tetapi kami terpaksa bertahan demi menunggu ustaz yang lebih arif untuk merawatnya.
“Kau ambil barang aku…” hanya itu yang diulang-ulang Syahira.
::BERSAMBUNG KE PART 2::
Follow Whatsapp FS KLIK SINI