Malam ini merupakan malam kedua aku On Call berturut-turut. Seperti biasa, aku akan memulakan On Call Shift pada jam 8.00 malam. Seusai menunaikan Solat Maghrib berjemaah dengan isteriku, aku terus bersiap-siap. Setelah bersalaman dengan isteriku dan mengucup anak-anakku, aku mengunci pagar rumah dan terus memandu ke hospital. Mujurlah jarak perjalanan ke hospital dari rumahku tidak jauh iaitu dalam 10 minit pemanduan kenderaan, jadi banyak masa aku boleh luangkan bersama keluarga dan tidak perlu tergesa-gesa untuk pergi bekerja.
Setelah memasuki perkarangan hospital, aku terus memakir kereta di tempat yang disediakan. Sambil berjalan masuk ke hospital, sempat juga aku memeriksa telefon bimbitku untuk memastikan jika ada sebarang kes yang baharu masuk untuk On Call Shift aku pada hari ini. Aplikasi Whatsapp Group “Anesthesio” tidak menunjukkan sebarang notifikasi, bermakna tiada penambahan kes baharu. Aku menarik nafas lega sambil menekan butang lif ke tingkat 5.
Aku menukar pakaianku kepada pakaian khas (Medical Scrubs) yang disediakan Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Rapi sebelum memulakan tugasku di Bilik Unit Rawatan Rapi (Rawatan Kebakaran) di mana lebih kurang dalam 10 tahun lalu adalah perkhidmatan terakhirnya kerana pesakit yang mengalami kecederaan akibat kebakaran kini ditempatkan di wad biasa sahaja sebelum Bilik Unit Rawatan Rapi (Rawatan Kebakaran) dibuka semula memandangkan kes Covid-19 saban hari meningkat naik dan telah menyebabkan banyak wad dan bilik rawatan khas terpaksa ditambah.
Unit ini berlainan dengan Unit Rawatan Rapi sedia ada kerana ianya adalah tempat khas untuk merawat mangsa kebakaran yang mengalami kecederaan melecur yang teruk. Segala peralatan di unit tersebut adalah khas seperti tab mandi yang diperbuat daripada besi, katil khas dan sebagainya.
Terdapat dua pesakit pada malam itu, seorang bukan warganegara dan seorang lagi merupakan kanak-kanak. Kedua pesakit tersebut kurang stabil kerana komplikasi kuman dalam d***h. Seperti kebiasaan, selepas daripada mengikuti Patient Round bersama dengan rakan setugas dan seorang Doktor Pakar untuk memeriksa keadaan pesakit dalam Bilik Unit Rawatan Rapi aku terus menuju ke ruang kerjaku untuk memasukkan data dan laporan berkaitan pesakit tersebut di komputer.
“Doktor sudah makan atau belum?” tanya jururawat sambil sedang menyusun fail ke dalam laci di hujung sudut ruang kerja. Semua jururawat di sini akan aku bahasakan dengan panggilan “Akak” tidak kira mereka muda atau berusia dariku. Malam ini hanya ada dua orang jururawat bertugas di unit ini.
“Belum kak, nak siapkan laporan sikit.” Jawabku sambil tangan menaip di papan kekunci.
“Okey doktor, kalau ada apa-apa akak dengan Kak Sah ada di Pantri, kami nak makan sekejap.”
Kata Kak Yan menuju ke arah Bilik Pantri di hujung lorong Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Rapi (Rawatan Kebakaran) tersebut.
Masa berjalan tanpa aku sedar jam sudah menunjukkan 12.45 malam. Aku menggeliat sedikit bagi menghilangkan lenguh badan sebelum terus menyiapkan laporanku yang tinggal sedikit lagi untuk siap. Setelah itu aku menelefon isteriku di rumah namun panggilan telefonku tidak berjawab.
“Dah tidur dah agaknya isteri dan anak-anakku.”
Monologku dalam hati dan terus berjalan menuju ke arah Bilik Solat seterusnya mengambil wudhuk untuk menunaikan Solat Isyak. Usai menunaikan solat, aku terus berjalan keluar sambil mengusap mata yang sedikit mengantuk.
“Mengantuk pula, tapi tak makan lagi. Aku berfikiran elok juga aku mengisi perut dulu sebelum berehat memandangkan kerjaku sudah siap buat masa ini.”
Namun sebelum sempat aku nak menjamah bekal masakan isteriku, tiba-tiba kedengaran Kak Yan menjerit nada marah.
“Jangan berdiri, baring semula cepat. Nak kemana tu hah?”
Marah Kak Yan kepada pesakit bukan warganegara tersebut. Aku yang baru sampai di muka pintu bilik tersebut hanya memerhatikan sahaja akak jururawat membetulkan semula wayar mesin bantuan hayat dan wayar monitor yang telah dicabut dari tubuh pesakit.
“Kenapa kak? Eh, bukan ke patient ni kita dah ikat pada katil? Macam mana boleh terbuka?” tanyaku sambil merasakan sesuatu yang agak pelik.
Tujuan kebanyakan pesakit diikat di katil adalah bertujuan mengelakkan pesakit yang baru sahaja sedar kerana kesan ubat daripada mencabut wayar pantauan atau topeng oksigen seterusnya mengakibatkan kesan buruk kepada pesakit itu sendiri.
“Entahlah doktor. Takpa saya ikatkan semula.” Jawab Kak Yan yang mula mengendur ketegasannya berbanding sebelum tadi.
Baru sahaja aku nak melangkah keluar dari bilik tersebut, pesakit bukan warganegara bersuara.
“Saya cuba panggil orang tapi tiada orang dengar. Saya nak minum air, rasa haus sangat. Nasib baik ada akak seorang tadi datang bukakan tali ikatan ni tadi.” Perlahan suara pesakit tersebut menjawab, mungkin kerana masih tidak bermaya kerana kesan ubat penenang yang mungkin masih belum hilang.
“Kak Sah ke yang cabutkan..” tanpa sempat aku menghabiskan ayat, Kak Yan terus menjawab pertanyaan aku itu.
“Kak Sah dengan akak dalam Pantri tadi. Tiba-tiba kami dengar bunyi pelik dari Mesin Ventilator. Akak pun cari la sekejap bunyi tu datang dari bilik pesakit mana. Akak periksa Bilik 1, tengok adik tu tidur. Selepas tu akak pergi Bilik 3, sampai ja di muka pintu terus nampak pesakit ni dah berdiri atas katil. Akak pun suruh la dia jangan berdiri. Akak tahu doktor fikir apa.”
Aku hanya diam sambil memerhatikan pesakit tersebut. Kak Yan terus keluar dari bilik selepas selesai mengikat semula pesakit terbabit. Aku memeriksa Intravenous (IV) Drip pesakit tersebut, dan tak semena-mena pesakit itu berkata,
“Akak yang pakai baju hitam tu yang tolong cabut tali saya tadi doktor. Dia berdiri di tepi dinding.”
Aku berasa sedikit gugup, jantungku berdegup semakin laju. Namun aku cuba menenangkan diri.
“Encik, tiada siapa pun dalam bilik ni melainkan saya dan encik sahaja. Encik berehatlah ya.”
Kataku tenang kepada pesakit bukan warganegara tersebut walaupun pada hakikatnya aku sendiri yang sudah tidak boleh menenangkan diri.
Aku terus melangkah keluar dari Bilik 3 tersebut, namun hanya dalam beberapa langkah pesakit bukan warganegara tersebut memanggil aku semula.
“Doktor, boleh tukarkan saya ke bilik lain. Saya rasa takut sangat, dekat bilik ni banyak mayat.” Katanya separa menangis.
Aku hanya diam seribu bahasa.
“Nanti kami akan cuba usahakan ya encik.”
Selepas itu terus aku berjalan laju keluar dari bilik tersebut tanpa menoleh semula. Aku tahu pesakit bukan warganegara itu bukan mereka-reka cerita.
Suasana Bilik Unit Rawatan Rapi memang sangat berlainan dengan wad dan bilik khas lain. Aku perasan sejak pertama kali aku bekerja di unit ini akan tetapi aku tidak mengambil endah. Sememangnya Bilik Unit Rawatan Rapi ini sering berlaku kematian, tetapi bagiku ianya adalah normal kerana ajal dan maut semuanya adalah ketetapan Yang Maha Esa. Kita sebagai hambaNya tiada daya untuk menghalangnya. Namun setelah kejadian ini, barulah aku faham.
Kedengaran jeritan Allahuakbar berulang kali dari Bilik 3. Aku berdoa agar pesakit tersebut dilindungi daripada gangguan. Apa yang terjadi dan sejarah Bilik Unit Rawatan Rapi (Rawatan Kebakaran) tersebut sukar untuk aku ungkapkan.
Dan malam tersebut akan aku ingat sampai bila-bila…
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
Tak patutnya tinggalkan patient mcm 2… if jadi apa2 awk lah org yg akn dpersalahkan… x pown akan slhkan diri sndri…
tergantung. lepas tu apa jadi? pesakit tu kena kacau ke? tukarkan dia ke bilik lain ke tak?
Ala..kejamnya doktor..kenapa tinggalkan pesakit tu seorang diri..sebab dia bukan warganegara?sampai dia bertakbir Allah hu akbar pun doktor sampai Hati biarkan begitu Saja…