KISAH OUTSTATION

Tahun 2017.

Kisah kali ni takde la seram sangat. Boleh la buat geli-geli berdiri bulu ketiak. Masa tu saya kena kerja outstation untuk satu projek kaji selidik. Saya bersama beberapa team yang lain kena ronda seluruh Semenanjung Malaysia. Bermula di negeri Johor, naik ke Melaka, N.Sembilan, Tengah, Utara, sampailah ke negeri-negeri di Pantai Timur. Sepanjang outstation ada jugalah sesekali terduduk di homestay dan hotel yang ada penghuni lain. Kami terdiri daripada beberapa team. Satu team ada lebih kurang 6 orang termasuk seorang team leader. Saya adalah salah seorang daripada team leader…

Sepanjang tinggal dan buat kerja di Johor dan Melaka, Alhamdulillah semuanya baik-baik saja. Tiba masa buat kerja di Port Dickson, saya tempah satu homestay dan duduk bersama satu team lain. Homestay tu terletak di perumahan teres satu tingkat yang agak lama tak jauh dari pantai Teluk Kemang. Setelah sampai dan selesai bahagikan bilik, masing-masing berehat setelah kepenatan travel dari site sebelumnya iaitu Tampin.

Tengah syok masing-masing dok golek-golek atas katil, tiba-tiba… “Dum!” satu bunyi kuat seperti ada benda berat jatuh atas lantai. Bunyi tu datang dari arah dapur. Rumah tu tak besar sangat, pintu bilik pun memang dibiarkan terbuka, jadi sah-sah saya boleh nampak tiada apa pun yang berlaku di dapur.

“Bunyi dari rumah sebelah kot,” saya membuat andaian, malas nak fikir yang bukan-bukan. Lepas tu masing-masing teruskan aktiviti golek-golek.

Oleh sebab rumah tu dah jadi tin sardin, malam tu saya dan seorang lagi team leader, Amar tidur di ruang tamu. Saya tidur atas kusyen, Amar tidur atas lantai berlapik bantal kusyen betul-betul sebelah kusyen tempat saya tidur. Siang dah kepenatan, jadi malam kami hanyut awal. Pukul 2 pagi saya tersedar. Tengok-tengok Amar takde. Takde la pelik sangat. Dah tersedar tu terasa nak terkucil plak. Sayapun pergi ke toilet untuk menyahut panggilan alam. Toilet terletak dekat dengan dapur. Bila keluar dari toilet… tiba-tiba, “Dum!!” Bunyi benda berat jatuh betul-betul depan mata, tapi tiada apa-apa pun yang jatuh atau terbalik. Maka tahulah saya, ada yang tengah main-main la tu.

Saya dah genggam tangan, bersedia nak lepaskan bola api dragon ball, tapi bila fikir balik, “lantak ko lah, setakat nak main bunyi-bunyi tu takde hal lah.” Saya batalkan hasrat nak kameha-meha-kan mamat yang buat bunyi tu. Dia dah memang dok situ, kesian pulak saya nak sakitkan dia. Lagipun saya dan geng dok homestay tu satu malam je.

Esoknya kami kena buat kerja. Kami check out dari homestay siap-siap masa keluar pagi tu sebab perlu bergerak ke destinasi seterusnya sebaik sahaja selesai kerja di PD. Masa dalam kereta, saya berbual dengan Amar.

“Kenapa kau pindah tempat tidur malam tadi?”

“Aku kena tindihlah Zul. Masa tu aku rasa dalam pukul 1 lebih kot, aku sedar tapi tak boleh nak bergerak. Aku cuba kejutkan kau, tapi suara aku tak keluar, tangan aku pun tak boleh nak angkat. Ada la beberapa minit macam tu. Lepas dah ok tu aku pindah masuk tidur dalam bilik. Tengok kau sedap je berdengkur, kesian pulak aku nak kejut.”

Macam tu ceritanya. Jadi memang betul lah ada penyewa lain dalam homestay tu. Penyewa yang tak bayar sewa la. Nasib baik kami dah check out dan on the way keluar kerja dah. Kalau tak, nak jugak saya bagi sedas dua hadiah kat mamat tu sebab kacau kawan saya.

Kerja di bahagian selatan berakhir di Nilai, N. Sembilan. Kebetulan weekend, jadi semua mengambil kesempatan untuk balik berehat di rumah masing-masing yang terletak di KL dan Selangor. Hari Isnin berikutnya kami travel kembali. Kali ni ke arah utara.

Sewaktu team saya buat kerja kaji selidik di Tapah, Perak, kami tinggal di hotel bajet. Kosnya cuma lebih sikit daripada kos tinggal di homestay. Saja tukar angin. Hotel tu terletak di bangunan kedai yang masih baru. Jadi hotel itu pun masih baru. Walaupun hotel bajet, tapi deko dan kelengkapannya semua masih baru dan selesa. Bawahnya pulak ada kedai 2 ringgit, memang cantik sangat la. Suka la budak-budak team saya. Diaorang adalah pekerja sementara, khas untuk projek tersebut. Kebanyakannya masih tahap kanak-kanak ribena lagi. Ada yang tunggu keputusan exam kolej, ada juga yang masih mencari kerja tetap.

Saya dok berdua dalam bilik twin dengan seorang team member yang lebih tua dari yang lain-lain. Budak yang lagi 4 orang dok sekali di bilik lain. Lepas check in dan berehat, saya dan kawan sebilik pergi ke bilik budak berempat tu nak ajak turun cari makan. Saya ketuk pintu bilik diaorang. Tak lama kemudian salah seorang daripada kanak-kanak ribena tu, Apik buka pintu.

“Abang tak nampak sapa-sapa ke kat luar tadi?” Tanya Apik pada saya.

“Takde pun, sapa pulak yang datang?”

“Tadi ada orang ketuk pintu, dua kali. Dua kali jugak kami terus bukak, tapi takde orang pun.”

Corridor hotel tu agak panjang. Kalau ada orang ketuk, memang tak sempat dia nak bersembunyi sebelum orang dalam bilik buka pintu.

Aku masuk sekejap ke bilik diaorang. Family room, ada 2 katil queen. Bersepah tak payah cakap la. Selimut dan cadar macam dilanggar garuda, tunggang terbalik.

“Apa yang korang buat ni… ish ish ish!” Saya cuma geleng kepala sambil tersenyum.

“Sebenarnya bang. Tadi kami main-main pocong. Saya ikat si Din dan Boy ni dengan selimut jadi macam pocong. Tengah-tengah main tu la kami dengar pintu kena ketuk. Kali pertama bunyi, saya lambat sikit la gi buka, takde orang. Kali kedua bunyi saya terus buka pintu, pun takde orang. Abang rasa hantu ke yang ketuk pintu tu?”

Masa tu saya dah tak tahan nak gelak.

“Memang hantu la tu. Padan muka korang. Sapa suruh main hantu-hantu?” Kata saya sambil gelak.

Lepas tu Apik tunjuk video yang diaorang main hantu-hantu tu. Laa.. siap amik video. Dalam video tu, dengan lampu bilik hotel yang warna merah tu, pandai jugak diaorang ikat Din dan Boy, memang nampak macam pocong betul. Diaorang siap lompat-lompat atas katil sambil menghilai. Kalau saya viralkan video tu pun mesti orang ingat pocong betul 😊. Sekali lagi saya gelak sakan.

“Kalau macam ni punya video korang amik… mana taknya hantu betul yang datang. Diaorang ingat korang ni kawan diaorang.” Masing-masing cuma gelak, tapi nampak ada juga yang muka cuak.

Lepas Perak, kami ke Kedah, Penang dan Perlis. Alhamdulillah semua lancar sepanjang di utara. Seronok la beberapa hari boleh lepak di tepi laut di Kuala Perlis, sebab untuk kerja-kerja di Changlun, Jitra, Arau dan Kangar, saya based di Changlun je, malas nak banyak kali packing barang dan pindah-pindah. Sanggup tiap hari drive dari Changlun ke Kuala Perlis dengan beberapa orang kawan sebab nak release tension.

Selepas Utara, kami ke Pantai Timur melalui jalan Kulim–Grik–Jeli. Di Kelantan semuanya OK. Waktu di Terengganu, kami duduk di satu homestay tak jauh dari lapangan terbang Kuala Terengganu, di mana kejadian berikutnya berlaku. Untuk menjimatkan kos, homestay itu juga kami duduk dua team. Masuk je homestay tu saya dah rasa lain macam. Tapi untuk orang yang ‘kurang rasa’ macam saya ni, rasa saya tu bukan boleh pakai sangat. Esoknya kami keluar bekerja, tapi belum check out lagi sebab kami stay di situ selama 2 malam. Kami keluar cuma berlima sebab Boy sakit kepala.

Petang selepas habis kerja kami kembali ke homestay. Ingatkan Boy dah OK, rupa-rupanya kepalanya masih sakit berdenyut. Nampak ketara mukanya berkerut menahan sakit. Dalam hati saya dah rasa, ni lain macam ni. Masa balik tadi saya belikan makanan untuk semua. Selepas makan, saya pergi ke dapur, ambik segelas air kosong. Saya pun puh kiri puh kanan dan tiup kat air, nasiblah kalau air tu ada perisa tambahan 😊. Lepas tu saya bagi kepada Boy yang tengah baring kat bilik dia.

“Nah Boy, minum ni ye. Jangan lupa bismillah dan selawat sebelum minum.”

Boy cuma angguk dan mengambil gelas tu dari saya. Lepas tu saya masuk bilik. Golek-goleklah, apa lagi. Dah penat seharian buat kerja kat luar. Sambil golek-golek sambil borak dengan room mate. Lepas tu scroll FB. Tengah-tengah dok scroll FB tu, tiba-tiba pulak teringatkan si Boy tadi. Saya wasap dia. Dok bilik sebelah pun nak wasap, punya la malas nak bangun. Gunalah sepenuhnya teknologi yang ada kan.

Saya: “Boy, dah minum ke air tadi?”

Boy: “Dah bang.”

Saya: “Ada kurang ke sakit kepala tu?”

Boy: “Aah la bang, dah hilang terus sakit kepala saya. Air apa ni?”

Dengan tulus dan mulusnya dia tanya air apa. Mungkin dia tak pernah minta air jampi dengan ustaz kot. Nak gelak pun ada, kesian pun ada.

Saya: “Air biasa je Boy, tapi dah campur ketum skit.”

Boy: “Hahaha…”

Boy cuma gelak. Dia tau saya bergurau.

Habis je wasap dengan Boy, saya menyambung scroll FB. Apo laie nak buek jang.

Sedang dok scroll tu, room mate saya yang tadi terlelap sebelum saya wasap dengan Boy tiba-tiba menjerit, “Allahuakbar!”

Saya rasa saya tahu dia tengah mimpi apa. Saya zasstt sekali, lepas tu kejutkan dia. Termengah-mengah dia lepas sedar.

“Kau mimpi hantu ke?” Tanya saya.

“Aah bang, mimpi kena kejar hantu.”

Saya tersenyum, “Takde apa dah tu.”

Dua orang team member kena kacau. Maknanya ada penghuni lain lah dalam homestay tu. Tapi takpelah, esok dah nak keluar gerak ke tempat lain pulak. Malas nak cari pasal lah dengan dia. Tapi saya sempat bagi amaran, “lepas ni, sebelum kitaorang keluar dari sini, kalau ada lagi budak-budak ni kau kacau, tau lah aku nak buat apa.”

Sehingga esoknya kami check out dari homestay itu, Alhamdulillah tiada apa-apa gangguan yang berlaku kepada budak-budak tu. Begitu juga destinasi yang seterusnya sehinggalah ke tempat terakhir kami stay iaitu di Jerantut, Pahang, tiada apa-apa yang tak diingini terjadi. Setakat rasa seram-seram bulu idung sikit tu ada lah.

Secara keseluruhannya, takde gangguan berat yang dihadapi walaupun hasil interview tak rasmi dengan budak-budak tu sewaktu lepak makan kat kedai menunjukkan yang ada di antara mereka yang ada laluan makhluk halus dan ada sejarah gangguan. Alhamdulillah, Allah jua sebaik-baik pelindung.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Dzul Fiqar

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 18 Average: 4.2]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.