Kisah Seram Lenggong

Asalamualaikum kepada pembaca setia web Fiksyen Shasha, aku sendiri juga salah seorang pembaca setia. Aku ingin kongsikan kisah benar yang di alami oleh aku sendiri dan kawan-kawan yang bekerja dan tinggal di kawasan ini yang sedikit amat jauh dari pekan dan dikelilingi hutan tebal. Sedikit pengenalan, kami tinggal di dalam satu kawasan yang mempunyai 5 unit rumah sahaja di dalam kawasan yg luas berpagar di penuhi puing-puing dari runtuhan bangunan lama yang telah dirobohkan, dan dikelilingi hutan tebal. Hanya ada 2 keluarga dan 3 bujang yang tinggal di dalam kawasan ini….

MAKHLUK SINGGAH

Kisah pertama berlaku kepada saya sendiri semasa saya masih lagi menetap di rumah bujang bersama 2 lagi rakan serumah, di dalam bilik aku sendiri. Pada satu hari, aku di arahkan untuk berpindah ke rumah kelamin yang sudah tidak diduduki selama hampir setahun. Jadi aku ambil kunci dan masuk ke dalam rumah itu dan meninjau dalam rumah tersebut, aku masuk ke dalam setiap bilik, walaupun sudah berdebu tetapi barang-barang tersusun elok. Kadang-kadang timbul perasaan seram bila memikirkan rumah ini sudah ditinggalkan bergelap selama hampir setahun tanpa berpenghuni, kadang-kadang ternampak di hujung mata kelibat-kelibat di penjuru-penjuru rumah, namun aku tidak hiraukannya.

Yang paling seram dalam rumah ini adalah 2 bilik di bahagian dapur yang sentiasa tertutup pintunya. Satu adalah bilik tidur yang kosong dan yang satu lagi bilik stor yang dipenuhi barang-barang orang lama. Keadaan di bilik itu sangat kotor dan lampu tidak berfungsi. Teringat pesan ayahku, “rumah atau bilik yang ada penunggu, lampu akan menjadi malap atau terpadam”. Sebelum ini aku pernah memasuki rumah ini berkali-kali untuk kutip sampah-sampah dan sapu debu-debu yang menebal, tetapi aku belum pernah memasuki bilik stor di belakang dapur tetapi hari ini aku memasukinya dan ketika berada dalam stor itu, perasaan seram menebal. Bulu roma aku berdiri tersangat kuat sehingga bahagian leherku sehingga ke bahu terasa hampir kebas. Aku tak tunggu lama, aku terus keluar dari rumah itu, kunci pintu dan balik ke rumah bujang. Biarlah aku teruskan kerja-kerja mencuci di hari yang lain.

Malam itu, tiada apa yang berlaku, aku tidur dengan lena tetapi di sedarkan dengan goncangan katil pada waktu pagi jam lebih kurang 7.30 pagi. Tanpa aku membuka mataku, aku terasa seperti ada seseorang sedang melompat di hujung katil ku, dan merasa seperti ada kain yang melekat pada kipas dan berputar mengelilingi kipas syiling. Perlahan-lahan aku membuka mata, waktu itu sudahpun terang, aku ternampak dengan jelas seekor pocong sedang melompat di hujung kaki ku di atas katil, seekor ponti sedang terbang mengelilingi kipas syiling, dan seekor lagi pocong sedang menjadi bantal kepada kepala ku dan mukanya berada di tepi telinga aku. Aku dapat lihat muka hitamnya di hujung mataku, aku tak mahu melihat lama, lalu aku pejamkan mata kembali.

Aneh, pada masa itu, rasa takut ku tidaklah terasa sangat, mungkin kerana waktu itu sudah pun cerah. Aku memejam mata dan tidak melihat dengan jelas makhluk tersebut, hanya samar-samar. Aku cuba bergerak tetapi tubuhku seperti terkunci. Habis surah-surah aku cuba baca tetapi sudah pun menjadi tunggang-terbalik. Selepas hampir 2 minit bergelut, dengan menggunakan tenaga terakhir, aku kerahkan habis-habisan dan cuba menampar muka si pocong yang berada di belakang kepala ku, tiba-tiba ketiga-tiga makhluk itu hilang sekelip mata. Aku terduduk atas katil terpinga-pinga dalam keadaan mamai. Setelah hilang mamai, barulah rasa seram itu datang, jantung aku berdegup kencang, bulu roma aku berdiri sehingga terasa kebas leherku. Aku cuba lelapkan mata kembali, namun tidak dapat berhenti memikirkan 3 mahkluk tersebut. Inilah kali pertama aku di serang tiga mahluk sekaligus dan dapat melihat makhluk tuhan itu. Kata orang lama dekat sini “kadang-kadang mereka singgah tetapi tak lama” atau juga makhluk dari bilik stor yang aku kacau pada siang hari itu ?

MAKHLUK KERDIL

Sebelum itu, juga terjadi di rumah bujang. Seperti malam-malam sebelumnya, rutin malam aku, aku akan menonton filem di televisyen dalam bilikku di dalam gelap. Bila aku terasa mengantuk, aku akan tutup televisyen dan pejamkan mata. Tetapi pada malam itu, aku tersedar di tengah malam dan menghadap dinding. Belakang aku menghadap ruang kosong di depan televisyen. Terasa lenguh, aku pusingkan badan menghadap ke arah televisyen, dalam keadaan mamai, dalam gelap aku ternampak samar-samar di bawah lampu jalan yang bersinar memasuki di celah-celah langsir, ada sesuatu bersaiz seperti bayi manusia, setinggi lutut manusia dewasa berlari di depan televisyen menyorok di belakang almari yang berada di tepi televisyen.

Aku tak pikir dah hantu ke apa benda ke, aku pikir nak tidur. Aku tutup je mata, perlahan-lahan otak aku memproses dengan waras apa yang aku lihat sebentar tadi. Timbul perasaan seram, bulu tengkuk aku mula berdiri, dalam kepala aku timbul satu perkataan “TOYOL”. Terus aku buka mata, buka lampu, aku intai belakang almari, sememangnya sudah tiada apa-apa disitu. Aku buka televisyen, pasang filem bagi ada bunyi sikit, dan tutup lampu dan cuba sambung tidur. Hampir sejam aku tak dapat lelapkan mata bila teringatkan kejadian itu. Sejak dari hari itu, aku akan tidur buka televisyen sampai ke pagi.

KISAH-KISAH PENDEK

Kisah ini baru terjadi 2-3 hari lepas, kawan sekerja aku, perempuan bujang yang tinggal seorang di rumahnya kerana hanya ada seorang perempuan bujang di sini. Pada malam itu, aku masuk kerja jam 12 tengah malam, ada seorang lagi mamat yang masuk jam 11 malam, dia cakap nak balik rumah kejap. Rumah dia adalah dalam 200 meter belakang pejabat, dia balik jalan kaki, katanya lapar, nak balik makan. Dalam sejam, dia datang balik. Katanya sorry lambat, tadi si Peah (bukan nama sebenar) datang rumah nak tumpang tidur dengan bininya. Katanya kena kacau. Aku berminat sangat dengan cerita-cerita mistik ni, terus aku datang dekat mamat itu, aku tanya, “kena macam mana ?”, “semua budak-budak baru sudah kena, giliran Peah lah pulak malam ni” kata aku dalam hati. Katanya si Peah tidur awal malam itu, tengah malam itu tersedar, terasa macam ada orang tidur dekat sebelah. Bila pandang sebelah, nampak bantal lekuk macam ada benda halimunan sedang baring di atas bantal itu. Apalagi, Peah terus pakai baju, cepat-cepat keluar dari rumah.

MAIN-MAIN PANGGIL

Aku sendiri pernah kena di rumah kelamin, isteri aku ada di kampung ketika itu, aku tinggal seorang dirumah. Aku ini jenis yang pendengaran kurang, tidaklah sampai tahap pekak. Pada jam 8.10 malam, aku dengar sayu-sayu ada orang panggil nama aku. Bila aku diam, cuba dengar baik-baik, memang betul ada orang panggil, aku buka pintu. Si Que rupanya depan rumah, aku sepatutnya kerja dengan dia pada malam itu jam 9, dia cakap dia nak datang kerja awal sebab ada hal dekat pejabat. Jadi aku iyakan jelah.

Jam lebih kurang 8.45 malam, tengah aku pakai baju nak masuk kerja, aku dengar ada sayu-sayu orang panggil nama aku 2-3 kali. Aku cuba dengar baik-baik, takut tersalah dengar. Kali ke-4 memang jelas dengar ada orang panggil nama aku, aku cakap dalam hati “apa lagi si Que ni nak?, boleh whatsapp je” dan aku menyahut “ye, kejap-kejap, aku datang”. Aku buka pintu, rasa angin sejuk je bertiup pada malam itu, tetapi tiada sesiapa pun depan rumah aku. Aku cuba intai mana tahu si Que cuba menyakat aku. Tengah-tengah aku mencari, dengar suara budak-budak ramai-ramai sedang gelak. Bunyi bergema jauh dari dalam hutan luar pagar lebih kurang 800 meter dari tempat aku berdiri. Aku pandang ke hutan yang gelap itu dan mula terasa seram sejuk, aku cakap dekat diri aku sendiri “celaka, terkena aku malam ini”.

Setakat ini dahulu aku ceritakan, kerana bulu tengkuk aku rasa berdiri je masa aku tengah menaip dekat pejabat ini, jam sudah 5 pagi. Nanti aku sambung banyak lagi kisah-kisah seram, salah satunya peristiwa Perayaan Hantu Lapar yang setiap tahun akan ada orang terpilih akan diganggu.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Epul

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 4]

1 thought on “Kisah Seram Lenggong”

  1. Terima kasih,Epul kongsi cerita. Lenggong tu memang pedalaman, orang kata tempat jin bertendang. Lepas ni bolehlah kongsi cerita lagi.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.