Kisah Si Kucing Hitam

TUAH-Si Kucing Hitam

“Ita!! Mana kau, nak?”

Suara mak menjerit dari atas rumah. Aduhh!! Baru nak main..

“Balik nanti siaplah. Mak pulas telinga tu!!!”

Akal kecilku berjalan. Macam mana nak balik tapi tak kena pulas telinga? Baru main masak tanah gaul air parit, belum pun siap mak dah jerit.

Julia yang main pondok-pondok tadi sudah melarikan diri.

“Takut mak aku pulas telinga kau ke?” Aku mengejek Yati.

“Taklah, aku kesian kat mak kau sebab dapat anak degil tak dengar nasihat macam kau. Bye!”

“Aku? Sedap mulut kau je Yati Belon! Tayar basikal pun kempis dah. Belon!”

Sambil melambai sambil Yati mengayuh basikal. Kau gelakkan aku ye Yati! Tergolek masuk parit baru kau tau.

Nyiauu

Nyiauuu

Satu suara halus muncul dari semak di belakang rumah jiran. Tidak jauh dari tempat aku bermain.

Rumah jiran yang jarak 20 meter ni sudah beberapa hari tak muncul. Mungkin dah seronok tinggal di rumah kak Amiza di KL. Fikirku.

Aku berjalan perlahan macam detektif Conan sedang menyiasat. Sampai di pintu dapur jiranku ( Mak Kiah) aku duduk di atas tanah.

Belukar di belakang rumah Mak Kiah bergerak-gerak. Aku tahu ada anak kucing sedang menyorok.

“Meow, sini.” Aku memanggil.

Nyiauu.

Lemahnya suara dia.

Aku memanggil lagi. Kali ini aku lihat separuh badan kucing hitam muncul, sebab dia berdiri. Mukanya masih tersorok.

“Marilah Meow, kakak takde kawan ni,”

“Nyiauuu!! Grrrrrrr….”

Aikk, garang pula suaranya.

Krieeekkkkkkkk….

Bunyi pintu dapur di belakangku terbuka. Aku yang berusia 10 tahun waktu itu cuma memikirkan mungkin Mak Kiah sudah balik.

Kucing hitam di depan mata menonjolkan dirinya. Mukanya garang merenung ke satu sudut. Suaranya sama macam kucing lain bila terjumpa musuh.

“Apa meow tengok tu? Ada lauk ke?”

Walau pun aku tahu dia tak akan menjawab, masih lagi nak bertanya. Kucing hitam yang tak bernama itu merapati aku.

Manja juga rupanya. Aku menggosok kepalanya. Baru nak ku peluk, tiba-tiba dia menggigit kaki seluarku. Dengan suara garaunya.

“Eh, kenapa ni? Koyaklah seluar aku. Jap lagi dapat penyapu mak baru kau tau!”

“Ita….”

“Ita….”

“Ya, Mak Kiah. Jap nak lepaskan kucing ni,”

“Ita nak makan? Marilah masuk,”

Kucing hitam melepaskan kaki seluarku lalu melompat ke atas bahu. Pantas pergerakkannya sampai aku tak sempat menangkap.

Dengan pantas dia melompat ke pintu dapur.

BAM!!

Pintu dihempas dari dalam.

Aku tercengang melihat si kucing hitam tergolek atas tanah. Rasa lucu pun ada.

“Padan muka kau, kan Mak Kiah dah marah.” Aku menepuk perutnya lalu menoleh ke belakang.

Sunyi sepi. Merajuk agaknya orang tua ni.

“Ita! Mak kira sampai 10 kalau kau tak balik mak kunci pintu!!!”

Alamak! Mak dah keluarkan amaran. Bahaya kalau tak balik sekarang. Aku mengangkat si hitam lalu menepuk badannya yang berdebu.

“Mak Kiah, Ita nak balik. Mak dah marah,”

“Yelah,” balas Mak Kiah acuh tak acuh.

Aku berlari dengan riang sambil berpusing pusing bersama si hitam. Perasaan aku macam dah lama kenal dia. Tapi yang aku kenal tak ada parut di telinga. Tiada luka di tepi hidungnya.

“Berapa lama nak main di luar, Ita? Mak dah macam orang gila mencari kau,”

Suara mak seakan menangis di atas tangga. Aku terus belok ke belakang rumah. Tidak berani lalu depan mak. Risau mak libas dengan kayu.

Seusai mandi, aku makan bersama si hitam pekat.

“Bertuah aku jumpa kau, meow. Tadi mak nampak kita makan berdua depan anjung ni. Mak tak pulas telinga pun.”

Nyiauuu…dia menggesekkan kepala di kakiku. Petang itu aku mandikan dia sebersih-bersihnya.

Malam itu aku membawa si hitam tidur bersamaku.

Sejak aku bawa dia balik, mak dan abah langsung tidak menegur.
Mungkin mak dan abah lebih suka aku berkawan dengan kucing berbanding dengan Yati dan Julia.

Si hitam ni pula kalau ada mak dengan abah dia akan menyorok dalam bilik. Bijak juga kucing ni.

Sebelum aku terlelap, kucing tu datang menjilat pipi, telinga dan hidungku.

“TUAH. Aku bagi nama baru kau. Bertuah kan…mak abah tak marah sejak kita balik,”

Tuah menjilat hidungku sambil mengiau. Kenapa perasaan aku seperti Tuah ini telah lama aku jumpa?

Lama-kelamaan mataku terpejam. Tuah bangun dan duduk berjaga di atas bantalku.

“Ita. Ita nak makan?”

Entah jam berapa waktu itu. Suara Mak Kiah memanggil di luar tingkap. Aku bangkit dan bersandar. Tuah mula berdiri tegak dengan empat kakinya.

Aku ingin bangun mendekati tingkap. Mungkin sudah subuh, Mak Kiah hantar kuih agaknya.

Tuah ikut turun dari katil. Dengan mata terpisat-pisat aku mencapai selak di daun tingkap.

“Roarrrrr!!!!!”

Tuah melompat menggigit lengan bajuku.

Apalah masalah Tuah ni? Kini dia bergantungan di lengan bajuku tak mahu lepaskan gigitannya.

Tiba-tiba dia menjadi garang. Renungan matanya juga nampak tajam.

“Kenapa kau ni, Tuah? Turunlah!”

Aku angkat lengan tinggi-tinggi lalu memeluk Tuah ke dalam dakapan. Dia mencakar tanganku bila aku nak buka daun tingkap.

“Ita, Mak Kiah tunggu di belakang dapur. Ada ayam percik ni,”

Dengar saja AYAM PERCIK, mataku automatik terang. Badan terasa segar.

Aku lepaskan Tuah ke bawah. Berjalan keluar dari bilik dengan langkah penuh hati-hati.

Suasana di rumah masih senyap dan sepi. Mungkin mak dan abah masih tidur. Gembira tak terkata bila dapat ayam percik kesukaanku.

“Mak masakkanlah ayam percik. Ita teringin,”

“Pasar malam tu ada jual. Mak malas nak buat.”

“Esok harijadi Ita lah, mak. Nak ayam percik,”

“Esok mak bagi duit, Ita pergi beli di pasar malam.”

Harijadi?

Ayam percik?

Pasar malam?

Sekejap. Langkah aku terhenti di atas tangga menuju ke dapur.

Nyiauuu….

Tuah menarik aku ke depan. Seperti waktu dia menggigit kaki seluarku. Apa yang Tuah nak tunjuk?

Pintu bilik mak dan abah terbuka. Aku melihat mak berjalan menuju ke pintu. Dibukanya dengan cemas. Aku yang sedang memeluk Tuah hanya memerhatikan kelakuan mak.

Pintu ternganga luas. Mak menjengukkan kepala keluar. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan.

Ada sehelai baju kurung yang aku pakai sewaktu raya tahun lepas berada dalam pelukan mak.

“Ita!!!!”

Mak mula menjerit. Aku tersentak.

“Balik, nak. Mak penat mencari siang malam…balik, Ita”

Lalu mak terduduk sambil mengesat airmata dengan baju kurung hitam berlace merah.

Ulang-ulang mak menyebut namaku. Aku ingin memeluk mak, biar mak tahu aku tidak ke mana-mana.

“Sayang. Sudahlah, sayang. Anak kita dah tak ada,” ayah pula keluar dari bilik.

Apa?

“Gelap lagi ni, sayang. Marilah tidur dulu. Kubur anak pun merah lagi. Siang nanti kita pergi ziarah kubur ITA,”

“Abah, Ita tak m**i lagilah. Mak…”

Batinku menjerit. Suaraku tidak terluah. Tuah seperti memahami perasaanku ketika ini. Dia menjilat airmataku yang membasahi pipi.

Mak dan abah langsung tak nampak aku yang berdiri tidak jauh dari mereka.

“Anak kita mana, bang?”

“Mak, abah.. Ita ada ni,”

“Lepas subuh kita pergi baca yasin di kubur. Bawak bersabar, yang.”

Mak dan abah masuk semula ke bilik. Aku merenung jam dinding. Tepat jam 2 pagi.

“Ita…Mak Kiah tunggu ni,”

Suara Mak Kiah memanggil lagi. Aku memusingkan badan lalu menuruni anak tangga menuju ke dapur.

Tuah seakan merengek.

Aku berdiri kaku di tengah dapur.

.
.
.

“Ini dua puluh ringgit untuk Ita beli ayam percik dengan makanan lain. Mak sakit kepala. Nak tidur,”

“Pergi dengan kawan-kawan kayuh basikal. Jangan tumpang Mak Kiah Rabun tu,” pesan abah.

“Jangan ikut orang tua tu. Dia nyanyok. Lepas langgar anak orang dia tak mengaku salah,” sekali lagi abah berpesan.

Aku cuma melompat kegirangan. Turun laju ke tanah mengambil basikal.

Tidak jauh dari jalan besar aku nampak Yati sedang mengayuh basikal.

“Tunggu aku weh!!”

Ketika aku mengayuh basikal keluar dari bawah rumah, Mak Kiah sedang terkial-kial menolak motor tua peninggalan arwah Pak Kob.

Bila aku tepat berada di depannya, Mak Kiah memanggil.

“Ita teman Mak Kiah pergi pasar malam, boleh?”

“Mak abah suruh pergi dengan kawan.” Aku separuh menolak.

“Mak Kiah nak beli ayam percik 10. Banyak tak?”

10? Aku tertarik dengan angka 10 itu. Mak Kiah tinggal seorang diri. Mana mungkin dia dapat habiskan ayam percik sebanyak itu?

“Banyak tu siapa nak makan?”

“Kita bertigalah,”

“Bertiga? Siapa lagi?”

“Tuah tu…datang dah. Bawak Tuah sekali, nanti dia dapat dua ayam percik.”

Aku tergoda juga dengan pelawaan Mak Kiah. Basikal kubaringkan atas tanah. Terus melompat ke atas motor Mak Kiah.

Pandai pula Tuah ikut melompat ke atas. Tuah ku peluk atas riba. Tersenyum riang aku bila dapat ke pasar malam membeli makanan kesukaanku.

Tak jauh dari kami, aku lihat Yati sedang mengayuh basikal. Julia pula membonceng di belakang.

“Yati!! Julia!! Yuhuuuuuu!!!!”

Aku menjerit penuh kegirangan.

Belum sempat mereka menoleh, Mak Kiah memulas trotter sekuat hatinya.

“Mak Kiah!” Aku hanya sempat menjerit.

“Allahu…. ” suara orang ramai pula menjerit.

Mak Kiah melanggar basikal yang dinaiki Yati dan Julia.

Aku dan Tuah tercampak ke jalan yang bertentangan lalu dirempuh oleh sebuah kereta. Kehangatan lidah Tuah dapat kurasakan sedang menciumi pipiku.

Rupa-rupanya aku dan Tuah m**i di tempat kejadian. Tuah tidak meninggalkan aku walau pun dia mampu menyelamatkan diri.

Mataku terpandang tiga tubuh yang bergelimpangan di atas jalanraya. Mak Kiah, Julia dan Yati masing-masing menggelupur di atas jalan tar.

Biarlah aku ditemani Tuah, selamat tinggal semua.

Satu bunyi yang kuat bergegar di atas jalanraya.

Sebuah bas pula merempuh mereka bertiga. Seorang pun tidak terselamat dari nahas itu.

Aku renung ke mata Tuah.

Barulah aku faham.

Kita berlima…..

Selamat Tinggal, mak dan abah.

Maafkan anakmu yang degil ini.

Yati, Julia. Maafkan aku.

Tuah, temankan aku.

Aku mulai merasa dingin.

Mulai rasa badan ini ringan.

Tuah melompat ke atas bahuku.

“Jom, Tuah. Tempat kita bukan di sini,”

Perlahan-lahan kami tinggalkan dunia ini ke dunia abadi.

-TAMAT-

Sekian sahaja.

#karyapanda

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 20 Average: 4.4]
Mizs Panda

1 thought on “Kisah Si Kucing Hitam”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.