Hi assalamualaikum semua. Hari ini aku nak menceritakan kisah seram yang dialami sendiri oleh tok (nenek) aku. Kisah ni terjadi 27 tahun yang lalu semasa aku masih bayi. Haa sudah lama kan. Tetapi tok baru sahaja menceritakannya kepada aku.
Semasa itu, mak aku baru sahaja melahirkan aku dan berpantang di rumah tok yang terletak di negeri Kedah. Mak dan ayah aku sebenarnya menetap di Kuala Lumpur, tetapi ayah aku tinggal berseorangan di sana buat sementara waktu lah. Maklumlah, aku ni merupakan cucu sulung. Sebab itu tok memang bersungguh nak jaga mak aku dan juga aku dekat rumah dia.
Rumah tok aku ni agak besar dan tok tinggal berdua saja dengan atok aku. Rumah tok ada tujuh bilik kesemuanya. Korang bayangkan mesti bosan tok dan atok tinggal berdua saja. Anak-anak mereka yang lain (mak-mak saudara aku) balik melawat kadangkala sahaja. Apabila mak aku berpantang di situ, tidaklah kedua orang tua itu kesunyian, sebab mak aku cakap aku ni kuat melalak (menangis) masa bayi.
Kisahnya begini, pada satu malam itu, tok sedang duduk bersila atas katil sambil mengayun aku yang tak mahu tidur di dalam buaian. Mak aku sudah tidur semasa itu. Disebabkan malam sudah hampir lewat dan tok sudah mula mengantuk, tok ayun buaian dengan tersengguk-sengguk sambil menyanyi kecil untuk tidurkan aku. Selepas itu, tok perasan kepala aku sedang mendongak ke belakang seperti sedang tengok ke arah luar buaian sambil cooing (membuat bunyi seolah-olah bercakap dengan seseorang).
Nenek aku bercakap sendirian,
“Eh budak ni. Orang nak suruh dia tidur, boleh pula dia cakap sorang-sorang.”
Selepas tok cakap begitu, aku yang berada dalam buaian berpaling arah tengok ke arah tok pula. Selepas itu, aku mendongak semula ke arah tempat yang tadi dan cooing lagi sekali. Semasa itu, tok sudah mula cuak. Mana tidaknya, sudah hampir tengah malam, lepas itu aku pula tak nak tidur malah cakap bersendirian lagi. Tok aku terus angkat aku keluar daripada buaian dan dukung aku. Tok dodoikan aku dengan alunan zikir, barulah aku tidur.
Pada malam seterusnya, aku tidur awal. Selepas itu, tok duduk di kerusi malas yang terletak di sebelah katil yang mak aku sedang tidur. Kerusi malas ni juga menghadap buaian aku. Tok masih belum mengantuk, oleh itu dia membaca majalah sambil tunggu jikalau aku tersedar nakkan susu. Selepas itu, tok terlena di kerusi malas dengan lampu bilik masih terbuka.
Tiba-tiba tok terdengar bunyi seretan di lantai. Dalam keadaan mamai, tok buka mata dan lihat sekeliling bilik. Tiada bunyi apa-apa dan tiada apa pun yang pelik. Tok bangun untuk tutup lampu bilik dan buka lampu malam di atas meja untuk sedikit cahaya. Tok perhatikan sekejap aku dan mak aku yang sedang lena diulit mimpi. Tok duduk semula di kerusi malas dan mahu sambung tidur.
Sedang tok masih mamai, tok perasan macam ada satu susuk perempuan berambut panjang sedang duduk bercangkung disebelah buaian. Tok menggosok matanya untuk memastikan apa yang berada dalam pandangannya. Kali ini tok betul-betul nampak susuk perempuan bercangkung tersebut sedang jenguk ke dalam buaian memerhatikan aku yang sedang tidur. Tok pandang ke arah mak aku, dia sedang tidur di atas katil. Jadi siapakah makhluk yang sedang bercangkung itu?
Tok terus bangun daripada kerusi malas. Pada masa yang sama, makhluk tersebut pandang tepat ke arah tok. Alangkah terkejutnya tok apabila melihat wajah ngeri makhluk tersebut yang jelas kelihatan kerana dipancari oleh lampu malam yang berada di meja. Rambutnya mengerbang kusut masai, wajahnya pucat lesi, matanya merah terbeliak sambil menyeringai garang menunjukkan gigi taring kepada tok.
“Allahuakbar!”
Tok menjerit lalu terus menerpa ke arah buaian untuk mendapatkan aku tanpa menghiraukan makhluk tersebut. Tok risau jikalau makhluk itu akan mengapa-apakan aku. Sebaik sahaja tok mendekati buaian, makhluk itu hilang. Tok mengangkat aku keluar daripada buaian dan membuka lampu bilik. Mak aku masih tidur seolah-olah seperti tiada apa pun yang berlaku. Tok langsung tidak boleh tidur selepas itu dan mendukung aku sehingga subuh.
Semasa sarapan pagi, tok menceritakannya kepada atok. Dengan selambanya atok aku berkata,
“Tu pontianak pokok kekabu belakang rumah la tu. Dia suka la tu dengan budak-budak.”
Tok beranggapan bahawa makhluk tersebutlah yang bersembang dengan aku pada malam sebelumnya di mana aku cooing bersendirian itu.
Selepas daripada kejadian itu, tok memasang kaset ayat al-quran dan zikir di radio dan letak di dalam bilik mak aku. Alhamdulillah tiada apa lagi yang terjadi sepanjang mak aku berpantang ketika itu.
Sampailah baru-baru ini, tok nampak kelibat makhluk itu semula. Pada satu malam, tok tidur bersendirian manakala atok tidur di bilik lain. Tiba-tiba, tok terdengar bunyi seretan di lantai. Tok terjaga daripada tidur sebab ingatkan atok masuk ke bilik tok. Mata tok melilau tengok sekeliling bilik tetapi tiada sesiapa pun.
Selepas itu, tok terdengar bunyi seretan semula. Di hujung bucu katil, tok nampak kelibat makhluk yang sama sedang duduk bercangkung memandang ke arah tok. Rambutnya masih kusut masai, wajahnya pucat lesi dan matanya merah terbeliak. Walaubagaimanapun, dia tidak menyeringai menunjukkan gigi taring seperti sebelum ini. Dia hanya merenung tok.
Tok menarik selimutnya sehingga ke paras dagu, pejam mata dan membaca beberapa k***t ayat suci al-quran. Setelah beberapa minit, tok membuka mata semula dan makhluk tersebut sudah tiada di bucu katil. Tok sambung tidur sehingga subuh. Esok pagi, tok menceritakannya kepada atok. Atok dengan masih selambanya berkata,
“Rumah dia pokok kekabu tu dah kena tebang semalam. Dia tumpang bilik awak sekejap la tu.”
Rupanya salah seorang anak saudara atok sudah menebang pokok kekabu di belakang rumah pada hari sebelumnya kerana mahu membuat jalan. Walaupun makhluk itu hanya menunjukkan diri dan tidak melakukan apa-apa, tok berharap dia tidak lagi melawat ke rumah. Apabila tok bertanyakan samada aku ingat akan peristiwa itu dalam buaian itu, aku langsung tak ingat apa-apa. Maklumlah, umur aku baru 2-3 bulan sahaja ketika itu.
Sekian sahaja kisah daripada tok dan terima kasih kerana sudi baca cerita ini. Semoga kita bersua lagi di lain hari dengan kisah-kisah seram yang dialami oleh ahli keluarga aku yang lain. Assalamualaikum.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
Follow Whatsapp FS KLIK SINI