TAJUK : KORBAN
KARYA PANDA
Assalamualaikum, pembuka bicara. Salam sejahtera, pemanis kata. Kali ini saya ingin kongsikan sebuah kisah seram tentang persahabatan diantara empat watak utama…
Hanan, Azfar dan Najmi rakan karibku sejak dari kecil. Senang cerita kami bertiga ni sekampung. Cuma Najmi sesekali akan tinggal bersama ibu bapanya di Kampung Sekayu. Dia dibesarkan oleh kedua datuk dan neneknya di kampung kami, Wakaf Tembusu. Rumah pun tidaklah jauh mana…
“Jangan lupa rancangan kita. Tiga minggu dah kita gagal. Kali ni kita kena rungkai semua rahsia Pak Deris.” Begitu lah bersungguhnya ketua kumpulan kami, Najmi. Dia yang namakan kumpulan kami sebagai ‘4 Ambush’. Tak tahulah apa yang ada dalam otak dia. Kami ikutkan rentaknya.
Tiga minggu yang lalu, sewaktu kami mengayuh basikal balik dari mandi sungai dan mencari siput sedut sebagai hadiah kepada mak kami yang bakal menunggu di depan pintu bersama sebatang kayu, atau sudah menyingsing lengan baju menunggu anak-anak yang keluar rumah tak ingat jalan pulang seperti kami.
Tiba-tiba,
“Apihh Jarahh Habung!!!! Kasama….Rahhhhh!!!”
Satu suara lelaki menjerit dari sebuah pondok di tepi sungai. Kami berhenti mengayuh. Masing-masing ketar lutut. Berpandangan sesama sendiri.
Najmi, Azfar, Hanan dan aku menyaksikan pondok itu bergegar. Suara seperti harimau mengaum menambahkan perasaan kecut dalam hati kami berempat.
“Kita balik. Maghrib dah ni, aku takut mak aku libas paip getah. Kayu tu dah tentu.” Aku mengajak.
Hanan dan Azfar mula cuak. Hanya Najmi masih tidak melepaskan pandangannya pada pondok buruk yang bergegar di bawah pokok ketapang.
“Jom, gerak! Mak aku dah pesan lepas ni balik lambat, dia nak botakkan kepala aku. Ishhh, tak mau aku. Azfar tak pernah tak handsome.” Azfar mengayuh basikalnya meninggalkan kami. Hanan pula terkulat-kulat memandang aku.
Aku beri isyarat suruh Hanan ikut Azfar. Biar aku tunggu Najmi. Langit semakin gelap. Aku harap Najmi tahu perasaan aku masa itu, memang kecut.
Basikalnya telah dibaringkan atas tanah. Najmi mula menghampiri pondok. Sedikit pun tak timbul rasa takut dalam dirinya. Aku menongkat basikal dan mengekori Najmi dari belakang.
Sejak tadi bau asap kemenyan keluar dari celahan papan pondok buruk itu. Najmi mula mengintai dari lubang di tepi pintu. Aku pula tercari-cari lubang mana yang sesuai untukku jadikan teropong.
Setelah melihat kelibat orang yang merangkak di dalam pondok, aku dan Najmi berpandangan seketika.
“Pak Deris?” Najmi berbisik. Aku mengangkat bahu.
Tidak pasti siapa yang aku lihat itu Pak Deris atau bukan. Dia merangkak dan mengaum seperti harimau. Bulu roma aku mula tercacak.
Aku mencuit Najmi mengajak dia balik. Bukan kayu dan getah paip yang aku bimbangkan. Aku risau dibaham harimau. Risau kalau tak dapat jumpa mak dan ayah lagi.
Najmi menunjukkan jarinya ke dalam. Aku ikut mengintai walaupun satu badan menggigil. Lelaki tadi berubah bentuk! Kaki dan tangannya telah bertukar menjadi kaki harimau.
Dia menggeliat mendepakan kaki depannya . Kepalanya berpusing-pusing bagaikan nak tercabut. Peluh dingin menitik dari dahi. Najmi menoleh dan tersenyum sambil menunjukkan ibu jari kanannya.
Sedikit demi sedikit badan dan wajahnya bertukar menjadi harimau belang. Aku tak berdaya menunggu lama. Perlahan-lahan aku menyorong basikal ku meninggalkan Najmi. Nak jadi apa aku tak hirau dah. Selepas aku mengayuh menghampiri jalan kampung, Najmi menyusul dari belakang.
“Putra!! Rugi kau tak tengok dia bertukar.” Jerit Najmi.
“Bertukar jadi harimau? Aku tak nak mimpi bukan-bukan, Mie. Nak balik hadap kayu dengan getah mak aku je. Masak aku kali ni!” Aku mengayuh selaju yang mampu, Najmi ikut rentak aku. Siapa pula naik motor di belakang kami, aku dah mula risau kalau ayah yang mengejar dengan rotan.
“Hei, budak! Laju sangat tu jangan bertembung dengan orang balik surau, motor kereta laju-laju tu. Tak tahu bahaya la kamu berdua ni.”
Kami perlahankan kayuhan dan menoleh ke belakang. Lelaki itu mendekati kami dengan motor klasik Honda C70. Wajah aku dan Najmi sama-sama pucat. Kami berhenti mengayuh. Pak Deris tersenyum melihat kami tercegat tak bergerak.
“Dari mana ni? Dah malam baru nak balik? Macam orang balik mencuri,hehehe. Dah, balik cepat. Pak Deris temankan sampai rumah.” kami cuma menurut walau pun dalam hati berdebar bagaikan nak pecah jantung.
Waktu sampai di rumah Najmi, Pak Deris beri alasan basikal kami rosak. Nenek Najmi ulang-ulang ucapkan terima kasih kepada Pak Deris dan menggosok kepala Najmi cucu kesayangannya.
Aku pula, selamat dari dilibas paip getah di tangan mak. Alasan yang sama Pak Deris berikan. Mak menyambut plastik berisi siput sedut. Cuma mengomel sebab tak beritahu ke mana aku pergi.
Keesokan harinya aku tidak keluar ke mana-mana.
Azfar, Hanan dan Najmi datang menjenguk aku. Kami mula bercerita tentang Pak Deris yang tiba-tiba muncul dari belakang. Apa yang kami lihat di dalam pondok juga kami ceritakan pada Hanan dan Azfar. Mereka tekun mendengar dengan matanya tak berkedip.
“Aku nak cerita juga, weh. Masa aku balik dengan Azfar, Pak Deris tegur kami. Dia suruh balik cepat sebab nak azan dah, dia kata jangan sampai Pak Belang terkam sorang-sorang. Seram, wehhh!! Aku dengan Azfar tak toleh belakang dah, laju je kami kayuh.” Azfar mengangguk mengiyakan apa yang Hanan ceritakan. Kami menelan air liur serentak.
Itu lah pengalaman yang tak pernah kami lupakan. Itu juga yang membuatkan Najmi ingin menyiasat perkara penuh mistik ini bersama kami. Siapa Pak Deris yang sebenar? Aku tak berminat. Sebab aku penakut.
Cuma rasa pelik macam mana Pak Deris boleh muncul dalam keadaan yang sempurna, sedangkan kami nampak dia baru saja bertukar menjadi harimau jadian. Hanan dan Azfar pula lebih awal bertembung dengan Pak Deris ketika aku dan Najmi mengintai di luar pondok. Jadi, siapa lelaki yang menyerupai Pak Deris di dalam pondok?
Pagi itu kami berempat berjalan seiringan menuju ke sekolah. Dari jauh aku lihat Pak Deris bersama seorang pelajar. Pak Deris tersenyum melihat kami semakin menghampirinya. Azfar dan Hanan memandang aku, kami tersenyum kelat.
Hanya Najmi yang tersenyum seindah pagi yang hening. Aku risau kalau Pak Deris memanggil aku dan Najmi yang mengintai dia di pondok.
“Haa, mari sini. Pak Deris nak minta tolong kamu berempat, boleh?” bahu Azfar ditepuk Pak Deris. Apa lagi yang orang tua ni mahu?
“Ini Amir. Anak Pak Deris. Mulai hari ini dia akan belajar di sekolah ni. Berkawan lah dengan Amir, tolong jagakan anak Pak Deris ye?” Kami hanya mengangguk dan bersalaman dengan Amir. Risau juga jika tak dituruti nanti gigi Pak Deris bertukar menjadi taring.
“Ikut lah kami, Amir. Bilik pejabat dekat dengan kelas kami. Pak Deris jangan risau. Kami tak makan orang, kami bukan harimau..hehe,” Azfar cuba melawak.
Tapi lawaknya membuatkan aku ingin berlalu cepat dari situ. Najmi mencuit belakang Azfar. Kami berdua yang melihat apa yang berlaku di dalam pondok, sebab itu aku faham apa yang Najmi risaukan dengan ayat Azfar.
Amir dimasukkan dalam kelas kami. Orangnya pendiam dan pemalu. Dia memang tak bercampur dengan pelajar lain pada mulanya. Menyendiri buat hal sendiri.
Disebabkan Azfar orangnya terlajak peramah, Najmi pula mahu lebih mengetahui rahsia Pak Deris..maka, Amir semakin rapat dengan kumpulan kami. Aku pula yang berasa rimas kerana ingin mengelak dari terlibat dalam hal Pak Deris.
Malam itu aku tidak dapat tidur lena. Badanku terasa panas seperti berada di dalam bara api. Aku tidur paling hampir dengan tingkap. Abang dan adik telah lama lena diulit mimpi.
Aku terdengar daun kering dan ranting kayu dipijak sesuatu. Pada awalnya perlahan, kemudian semakin kuat dan berulang-alik. Debar dah jantung aku.
Langkah itu terhenti di depan tingkap. Aku buka mata memandang sekeliling yang gelap. Hanya cahaya dari cermin kaca membantu penglihatan ku. Aku memasang telinga cuba mencari lagi bunyi tadi. Senyap sepi. Perasaan ingin tahu mengatasi rasa takut, aku duduk bersila.
Bunyi ngauman harimau tepat di sebelah telinga kiriku. Aku menoleh ke tingkap yang tidak berlangsir. Walau pun gelap, aku masih dapat melihat pokok-pokok di tepi rumah.
Ada satu wajah sedang merapatkan dirinya pada cermin tingkap. Nampak jelas wajah yang sedang senyum menyeringai menampakkan gigi taringnya…..PAK DERIS??? Aku terkejut sampai terpeluk tubuh adikku sedang sedang tidur lena. Bila aku menoleh semula, wajah Pak Deris sudah hilang.
Perkara itu aku rahsiakan dari kawan-kawan terutamanya Najmi. Risau dia berminat nak cungkil rahsia Pak Deris pula.
Suatu hari sewaktu kami rehat di kantin, Amir datang dengan senyum yang lebar.
“Malam sabtu ni aku nak ajak korang tidur kebun ayah aku. Jom. Kita berkhemah tepi sungai,” Amir menepuk bahu Najmi di sebelahnya. Kami bepandangan. Seronok juga kalau dapat berkhemah.
“Aku setuju 100%! Kalau sebut Pak Deris memang atuk dengan nenek aku bagi lampu hijau. Sebab hari tu ayah kau hantar aku dengan Putra balik. Nenek aku cakap ayah kau baik,” kuat betul membodek Najmi ni. Niat dia ada dalam genggaman aku. Memang dia nak jumpa harimau jadian yang kami nampak tempoh hari.
Dipendekkan cerita, setelah masing-masing mendapat izin dari mak ayah, datuk dan nenek Najmi juga benarkan Najmi meyerai kami…selepas balik dari sekolah kami telah bersiap untuk berkumpul di rumah Amir.
“Ramai-ramai ni nak ke mana?” Pak Deris muncul dari tingkap yang terbuka luas.
“Berkhemah di tepi sungai. Amir yang ajak,” Azfar terlebih dulu menjawab.
“Beraninya kamu semua ni. Kenapa tak berkhemah di luar masjid? Dapat juga pahala,” Pak Deris tersenyum melihat aku yang sedikit gelisah. Aku cuba tenangkan hati, memang aku kalah dengan pandangan mata Pak Deris. Aku menarik nafas sedalam-dalamnya. Hilang sedikit rasa gugup.
“Masjid dah selalu pergi, Pak Deris. Berkhemah tepi sungai belum pernah lagi, balik nanti kami cari pahala ye?”
Sejak bila pula Hanan loyar buruk ni? Baguslah, Pak Deris mengalihkan pandangannya pada Hanan pula.
Setelah Amir siap, kami pun bergerak. Amir dan Najmi menaiki motorsikal klasik milik Pak Deris. Aku, Hanan dan Azfar tetap setia dengan basikal kami. Selepas solat asar di masjid barulah kami menuju ke kebun Pak Deris.
Najmi dan Amir sudah menunggu di tepi pondok. Motor disandarkan di tepi pondok. Bulu roma tiba-tiba meremang. Entah kenapa aku terasa seperti ada yang mengintai dalam pondok. Tidak pasti apa tapi perasaan seram itu tiba-tiba muncul.
Kami hanya bersantai memasang khemah dan bersembang. Tunggu malam baru nak turun ke sungai. Waktu petang tidak sesuai untuk mandi, risau dilanda kepala air. Ayah sudah pesan, pandang ke langit. Jika nampak mendung lebih baik matikan niat untuk mandi di sungai.
“Amir, kebun ayah kau ni tak ada harimau le? Kalau ada, sempat ke kita lari?” Najmi mula buat lawak yang tidak lucu bagi aku. Terbayang semula wajah ngeri bertaring tajam di cermin tingkap. Berdiri lagi bulu romaku.
“Apa nak takut? Aku kan ada,” Amir jawab sambil matanya memandang aku dengan pandangan yang pelik. Aku memerhatikan Hanan dan Azfar menyusun kayu api. Dalam hati aku tertanya, apa yang Amir mampu buat jika harimau itu datang?
“Apa yang kau fikir tu , Putra? Gelisah lain macam aku tengok. Kau tertinggal bantal peluk kau ke?” Amir menyedari aku sebenarnya tidak tenang petang itu.
“Aku rasa ada yang tak kena. Naik bulu roma aku dari mula-mula datang. Tak tahu lah nak cakap. Aku rasa tak selesa,” itu saja yang mampu aku luahkan. Susah juga kalau aku kena ceritakan tentang ayahnya bertukar menjadi harimau jadian, kemudian pengalaman ngeri wajah mirip Pak Deris datang pada malam itu. Aku cuba mendiamkan diri bila mereka berempat mentertawakan aku.
Selepas waktu isya’, kami berlima bercadang mandi sungai sebelum tidur. Hanan dan Azfar telah masuk ke gigi air. Aku dan Najmi menghidupkan unggun api jauh sedikit dari khemah.
Unggun api yang Hanan buat berdua dengan Azfar tadi aku jerang air. Boleh bancuh kopi kalau malam-malam nak melepak sembang berlima.
Sewaktu aku mengalihkan tikar getah ke depan khemah, aku ternampak kelibat manusia berdiri di belakang pondok. Hanya sebahagian kepala dan bahunya yang kelihatan. Aku pandang buat kali kedua, memang sah ada seseorang sedang mengintai kami. Perasaan takut tu datang lagi, aku terbayangkan Pak Deris.
Aku beralih tempat supaya tidak bertentangan dengannya. Walau pun dia berdiri di tempat gelap, aku dapat mengagak itu adalah Pak Deris. Cuma…matanya berwarna biru. Apa yang aku nak buat serba tak menjadi. Tangan aku terketar-ketar.
Terasa diri diperhatikan. Tapi, aku takut untuk menoleh. Seperti dapat mendengar bunyi nafasnya. Najmi menyiapkan kerja menghidupkan unggun api, aku cuma berdiri memerhatikan dia. Di dalam hati mahu saja ku jerit mengajak kawan-kawan balik sekarang juga.
“Mana Amir?” Najmi bertanya. Aku baru sedar Amir tiada bersama kami.
Waktu itulah kami terdengar ngauman harimau yang datang dari arah pokok ketapang. Hanan dan Azfar berlari naik ke tebing sungai. Aku dan Najmi berpandangan. Najmi pula tersenyum. Aku hairan kenapa dia boleh senyum waktu aku terketar macam ni?
“Ada peluang tengok harimau jadian depan mata,” Najmi tersenyum menunjukkan baris giginya yang putih. Terasa ingin hempas baldi ke muka dia.
“Tolong!!! Tolong!!!” Suara Amir menjerit meminta tolong. Aku mencapai parang di atas tanah. Perasaan takut tu aku campak belakang. Aku berlari mencari dari mana datangnya suara Amir.
Najmi ikut aku memasuki belukar di belakang pondok. Diikuti oleh Hanan dan Azfar yang sudah bersedia kayu di tangan. Suara Amir menjerit meminta tolong lagi. Berselang-seli dengan ngauman harimau.
“Itu Amir!!” Azfar menjerit. Kelihatan Amir sedang duduk di atas tanah dengan kesan luka di lengannya.
Tapi, kenapa harimau itu menjilat luka Amir? Aku, Hanan dan Azfar termati langkah di situ. Kami rasakan ada sesuatu yang tidak kena. Harimau itu nampak jinak dengan Amir. Najmi pula mula tersenyum lebar. Hajat dia kini kesampaian. Harimau depan mata nampak jinak dan tidak membahayakan. Tapi luka di lengan Amir itu buat kami bertiga keliru. Lebih-lebih lagi bila Amir tersenyum dengan muka jahat.
“Ini yang aku tunggu, Amir. Aku nak sangat tengok dari dekat. Cantiknya harimau kau bela,” Najmi melangkah menghampiri Amir. Kami tak sempat melarang.
Serta-merta harimau itu menerkam tubuh Najmi sehingga terlentang. Badan Najmi ditindih oleh empat kaki haiwan tersebut. Ngaumannya bertambah kuat. Kami ingin lari tapi bukan ketika kawan dalam kesusahan. Najmi mengaduh kesakitan. Kepalanya terhantuk di atas tunggul kayu.
“Amir, apa kau buat ni? Najmi kawan kita. Kau ni dah kena rasuk hantu ke?” Azfar beranikan diri. Amir gelak mendengar soalan Azfar.
“Aku perlukan korban. Siapa sukarela nak jadi korban kali ni? Aku bagi peluang. Cuma aku rasa Najmi ni sesuai jadi korban untuk belaan ayah aku. Sebab dia berminat sangat nak tahu apa rupa harimau jadian ni,hahahahah” bergema suara Amir di malam yang sunyi ini.
“Kau ni hamba syaitan rupanya, Amir!” Hanan tidak dapat menahan sabar lagi, dia menghayunkan kayu ke arah Amir. Belum sempat kayu mengena sasaran, Hanan pula diterkam harimau. Aku dan Azfar mula cemas dan cuba fikir apa yamg patut kami lakukan.
Najmi bangun dengan sedikit kepayahan. Dia meraba luka di kepalanya. Azfar mendekati Najmi dan membantu dia untuk bangun. Kami tak sanggup melihat Hanan meronta-ronta untuk melepaskan diri.
“Kau ni jahat! Kami akan report polis. Kau tak dapat lepas lah, Amir” Azfar tidak dapat menahan kemarahan.
“Aku tak takut pun. Luka di tangan aku ni cukup membuktikan aku juga mangsa serangan harimau liar. Kau ada bukti rakaman cctv? Rakaman video, ada?” Amir tergelak besar.
Aku tak sanggup tengok Hanan yang masih meronta di bawah perut harimau bermata biru. Muka Hanan dijilat. Apa perlu aku buat sekarang? Parang. Ya, parang di tanganku. Mungkin berhasil atau sebaliknya.
Aku bisik sesuatu pada Azfar dan Najmi. Selepas aku alihkan perhatian harimau itu nanti, aku minta mereka tinggalkan tempat ini secepat mungkin. Bawa Hanan bersama, siapa yang bawa motorsikal Pak Deris cepat minta bantuan orang kampung. Kebetulan kunci motor aku yang cabut. Kemas ku simpan dalam poket. Najmi dan Azfar mengangguk tanda faham. Kunci ku hulurkan pada Najmi.
Kedudukan Hanan dan harimau hanya semeter dari tempat kami berdiri. Aku angkat parang di tangan, tak fikir apa lagi. Aku hayunkan parang ke tengkuk harimau. Parang tidak melukakan seinci pun kulitnya. Dia mengaum kuat dan memalingkan muka ke arahku.
Aku berlari jauh sedikit dari tempat kawan-kawanku. Supaya dia datang menyerang aku nanti mereka dapat bawa Hanan lari bersama. Harimau itu bangun dan berjalan perlahan menuju ke arahku. Segala peluh sudah merecik di seluruh badan.
Aku mulakan dengan Bismillah di dalam hati, hanya berserah apa sahaja yang bakal Allah tentukan. Dengan ekor mata aku melihat Azfar dan Najmi sedang memapah Hanan. Kakinya cedera rupanya. Mereka mula meninggalkan tempat ini. Amir yang duduk dari tadi, aku lihat dia mula mencapai batu dan bangun. Matanya tertumpu pada kawan-kawanku.
“Najmi, cepat!!! Naik motor bertiga. Jangan tunggu lagi!!” aku menjerit supaya mereka tidak menoleh belakang lagi. Parang di tangan aku lepaskan ke arah Amir.
Sekelip mata sahaja harimau itu menerkam tubuhku. Aku cuma sempat mengucap kalimah Allah dan melihat mulut harimau terbuka luas di depan mata. Aku rebah tak sedarkan diri lagi.
Sebelum pandangan mataku gelap, aku melihat waktu kecil dulu bersama Azfar, Hanan dan Najmi. Kami lah anak-anak yang membesar dengan libasan getah paip. Tapi kami bahagia bersahabat berempat. Kesan libasan itu kami tunjukkan dengan rasa bangganya, bekas siapa paling panjang dikira juara. Mereka lah sahabat yang tiada galang gantinya.
Tak tahu berapa lama masa berlalu, aku membuka mata. Terdengar bunyi siren ambulans dan kereta polis. Aku bangun dan terduduk bila melihat beberapa orang staf dari hospital sedang mengangkat tubuh Amir. Kesan luka yang panjang di leher Amir membuatkan aku hampir muntah. D***h penuh membasahi tubuh Amir. Matanya terbuka luas.
“Tak ada harapan dah nak hidup anak kamu ni, Deris. Mata terbeliak macam tu. Seorang lagi tu…,” aku kenal sangat suara Pak Imam kampung kami. Amir m**i? Aku terlihat Azfar, Najmi dan Hanan sedang memberi keterangan pada seorang pegawai polis. Alhamdulillah kawan-kawanku selamat. Terasa ingin memeluk mereka. Aku melambai ke arah mereka yang tidak jauh dari tempatku. Mereka hanya memandang ke arah aku san Amir tanpa sebarang respons.
Selepas mayat Amir diangkat…aku katakan mayat kerana melihat muka Amir ditutup dengan kain. Pak Deris meraung memanggil nama anaknya. Kedua tangan Pak Deris sudah bergari. Syukurlah, semoga ada pembalasan untuk Pak Deris.
Kemudian aku melihat dua orang yang mengangkat mayat Amir tadi datang ke arahku membawa stretcher. Aku berdiri dan tersenyum kerana mahu tunjukkan pada mereka yang aku kuat. masih mampu berdiri.
“Putra!!” Suara mak dan ayah menjerit serentak. Aku menoleh melihat mak menangis sampai bengkak mata berlari ke arah kami. Mak tak pandang pun muka aku. Aku tahu mak marah kerana kedegilan aku.
“Macam mana dengan anak saya, encik? Anak kami masih hidup?” Mak memegang lengan baju salah seorang pakcik ambulans. Pakcik itu hanya mendiamkan diri. Mak, anakmu di sini. Hanya terpisah dengan stretcher di depan mata. Kenapa mak dingin dengan Putra?
Aku terkejut melihat tubuh yang dibasahai d***h dan penuh dengan luka sedang diangkat ke atas stretcher. Mukaku hancur? Itu tubuh aku? Kenapa aku kaku tak bermaya begitu? Kenapa mak dan semua yang berada di tempat ini tak nampak kewujudan aku??
“Redha lah. Sabar banyak-banyak. Ini memang dugaan untuk kita,” ayah menggosok belakang mak.
“Mah dah masakkan gulai ayam kesukaan Putra, bang. Tunggu abang balik minta tolong hantarkan lauk dengan nasi Putra. Dia tak sempat jamah lauk saya, bang…anak kita dah tak ada,” mak meraung di pangkuan ayah. Aku sudah….m**i?
Najmi, Hanan dan Azfar menangis di sisi mayatku yang sudah dibalut plastik hitam. Jasad aku dan Amir dibawa naik ke trak polis. Namaku disebut berulang-ulang. Sabarlah, sahabatku. Jika sampai di sini sahaja pertemuan kita..relakan lah aku pergi dengan tenang. Hentikanlah tangisanmu, sahabatku.
Mak, abah….bersabarlah dengan ujian. Maafkan anakmu yang tak mampu membalas jasa mak dan ayah. Tak mampu menemani hari tuamu. Izinkan Putra pergi.
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ * الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
Dan sungguh akan Kami uji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah kabar gembira kepada orang-orang yang bersabar (155), Yaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: “Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un (Sesungguhnya kami milik Allah, dan kepadanya kami akan kembali)” (156). – (Q.S Al-Baqarah: 155-156)
-Tamat-
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit