Ku sangkakan adik, tapi bukan rupanya

Assalamualaikum, sedikit intro. Nama saya Suria, berumur 30an. Kisah yang saya nak share berlaku lama dahulu, sekitar saya berumur lebih kurang 8 tahun ke 10 tahun. Ketika tu, saya bersekolah rendah.

Kami akan selalu pulang ke kampung bila cuti sekolah yang panjang atau perayaan hari raya. Kampung sebelah abah adalah di Kelantan. Nenek, yang kami panggil ‘tokmek’ hanya tinggal berdua bersama datuk yang kami panggil ‘ayah’. Rumah tokmek adalah rumah kampung, separuh batu dan separuh kayu. Rumah tokmek dikelilingi pohon getah, pohon buah-buahan. Rumahnya hanya sebuah dan jauh dari rumah jiran yang lain. Jika malam, rasa agak seram jika nak bermain di luar. Jadi bila waktu malam, kami memang tidak keluar.

Satu pengalaman yang saya masih ingat dan menjadi teka teki pada saya hingga hari ni. Pada satu malam tu, kami adik beradik dan umi abah kami tidur beramai-ramai di ruang tamu. Rumah tokmek ni hanya ada sebuah bilik sahaja, itu pun bilik untuk tokmek dan ayah. Jadi jika anak cucu pulang bermalam, semua akan tidur beramai-ramai di ruang tamu sahaja.

Pada malam tu, saya berasa ingin buang air kecil. Jadi, saya kejutkan umi untuk temankan saya. Umi bangun dan temankan saya, bawa saya ke bilik air. Di rumah tokmek, bilik air di luar, bukan di dalam rumah. Cuma, kita tak perlu hingga turun ke tanah. Hanya, buka pintu dapur untuk ke bilik air. Bilik air luar rumah tokmek tidak berbumbung dan beralas simen. Jadi, kita boleh lihat secara terbuka. Jika mandi, akan mandi secara terbuka. Ada telaga, menggunakan enjin air untuk pam air paip. Ketika saya berjalan untuk ke tandas cangkung, saya nampak seperti ‘adik lelaki’ saya, bertelanjang bulat tanpa baju sedang berdiri memegang gayung. Umur adik lelaki saya ketika itu dalam lingkungan 4-6 tahun. Saya meminta gayung dari ‘adik’ tersebut. Namun, dia hanya diam tidak bersuara.

Saya ketika itu tidak terfikir yang bukan-bukan kerana wajahnya seperti adik barangkali. Tiada raut wajah yang menyeramkan pun. Setelah berkali-kali meminta. Saya akhirnya bersuara mengadu kepada umi. “Umi, tengok tu Rudy, tak nak bagi angah gayung. Orang mintak dah banyak kali”. Umi saya pun tersentak, serta merta beliau rasa seram sejuk. Iye lah, bila adik ada di situ? Siapa yang bawa? Tak logik. Pintu berkunci dari dalam sewaktu umi buka pintu. Lagi pun adik masih kecil tak logik untuk keluar ke tandas sendiri di tengah malam begitu. Jam lebih kurang 2pagi atau 3pagi.

Umi terus marah saya dan suruh cepat-cepat buang air kecil. Saya pun akhirnya buang air kecil di lantai sahaja. Selesai, kami masuk dalam rumah dan umi kunci sahaja pintu dapur tu. Sampai di ruang tamu, nampak adik tidur nyenyak berbaju. Pada siang hari esok, umi marah saya kerana merapu di tengah malam begitu. Umi kata umi dah ketakutan dan sebab tu, umi cepat-cepat nak masuk rumah.

Sampai hari ni saya tertanya-tanya apakah itu? Adakah toyol macam tu rupanya? Selalu saya dengar toyol badannya hijau, telinganya tajam. Tapi malam tu saya nampak tubuhnya kecil macam budak-budak sekitar umur 4-6 tahun. Berkulit coklat gelap, kelihatan juga sedikit berminyak tubuhnya. Telanjang bulat. Tapi dia hanya diam menatap saya. Tak dapat saya bayangkan kalaulah dia senyum seram atau menunjukkan ajah bermata d***h. Pasti saya pengsan di situ atau berlari lintang pukang. Itulah salah satu pengalaman seram saya yang tiada jawapan hingga hari ni. Jika disiarkan, inshaaAllah saya akan berkongsi pengalaman yang lain pula. Jaga diri kalian, jangan terlalu taksub dan takut dengan makhluk yang dicipta oleh Allah juga.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Suria

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 38 Average: 3.9]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.