LAPAN TAHUN LOCKDOWN

LAPAN TAHUN LOCKDOWN

Oleh: DeeFen
https://www.facebook.com/deefen.df

================================

Mac 2028.

Berkeriuk kerusi malas setiap kali aku goyangkan ke depan dan belakang. Entah berapa puluh kali kerusi ini telah aku baiki. Penuh paku-paku kecil dan gulungan dawai besi memegang rotan tebal yang menjadi struktur utamanya. Rasanya sudah berbelas kali p******g aku terjerumus jatuh akibat struktur rotan ini tercabut daripada tempat asalnya. Setiap kali itu juga aku akan baiki semula. Biarpun sudah terlalu uzur dengan warna kuning rotan sudah sangat pucat, namun langsung tak terlintas untuk membuangnya.

Pandangan ku halakan ke langit membiru. Lama ku tenung. Sekadar memerhatikan awan putih berarak perlahan menuju ke barat. Tiada apa yang bermain di fikiran aku kala ini. Kosong. Sekosong jalan raya 15 tingkat di bawah.

“Kejap lagi aku siram kau. Bila nak berbunga ni? Asal keluar putik je gugur, keluar putik je gugur. Kau nak baja ke?” Aku menegur pokok bunga di tepi balkoni. Pokok itu sajalah hidupan yang ada di rumah ini buat teman aku berborak. Pokok ini aku ambil di kampung 8 tahun dahulu. Sudah berkali-kali aku semai semula sehingga entah generasi ke berapa sekarang.

Keluhan panjang dilepaskan sebelum aku bangun menuju ke kamar mandi. Kali terakhir aku mandi adalah semalam, tepat pada waktu begini iaitu jam 6 petang. Bukan aku tak mahu mandi lebih kerap, aku mahu sebab badan berlengas akibat peluh. Tapi catuan air yang bermula sejak 3 tahun lepas membuatkan aku terpaksa menghadkan penggunaan.

Bekalan air hanya akan ada di apartment aku ini pada jam 6 petang hingga 6:45 petang sahaja. 45 minit! Waktu inilah semua benda hendak dilakukan. Mandi, tadah air simpanan, basuh baju dan apa-apa berkaitan penggunaan air. Itupun selepas 10 minit pertama yang keluar hanya air karat.

Begitulah rutin di blok apartment aku. Setiap apartment dan kawasan perumahan ada jadual bekalan air mereka masing-masing. Pandai-pandailah mereka mengatur hidup masing-masing.

Sambil menikmati air shower yang menderu membasahi badan, fikiran ku melayang jauh. Jauh ke masa lalu…

***

Januari 2020.

Dunia mulai kecoh setelah munculnya sejenis virus baru yang tak pernah ditemui sebelum ini. Ianya bermula di sebuah bandar di Wuhan, China sekitar penghujung 2019. Seterusnya satu persatu negara di dunia dijangkiti. Cara penyebarannya cukup mudah iaitu dengan hanya titisan cecair badan pesakit yang mengandungi virus ini seterusnya masuk ke dalam badan manusia sihat yang lain. Ini membuatkan virus ini cepat merebak dari satu perumah ke perumah yang lain.

Ketika ini aku baru setahun bekerja di kotaraya ini setelah tamat belajar di universiti. Hal virus? Tidaklah aku ambil kisah.

“Alaa mesti macam virus-virus yang sebelum ni pernah melanda negara. Nipah, SARS, selsema burung H1N1, H5N1, tah apa lagi nama pelik-pelik. Semuanya kecoh lebih. Tak nampak apa-apa effect kat negara pun.”

Itulah telahan aku pada masa itu. Aku jalani hidup seperti biasa. Main game online, lepak dengan housemate atau officemate aku, jalan-jalan di shopping complex. Apa ada hal pasal virus-virus ni.

Februari 2020.

World Health Organisation (WHO) memberi nama virus ini sebagai COVID-19 iaitu singkatan kepada Corona Virus Disease 19. Nombor 19 merupakan tahun 2019 di mana virus ini mula-mula sekali dikesan.

Mac 2020.

WHO meletakkan wabak COVID-19 dalam kategori pandemik iaitu membawa maksud virus ini telah merebak merentas banyak negara di dunia. Sebanyak 200,000 kes telah dicatatkan di 180 buah negara. Dengan kata lain sebanyak 92% negara di dunia sudah dijangkiti wabak ini.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari bermula di Malaysia. Setiap penduduk perlu berada di rumah kecuali keluar untuk membeli makanan, barangan asas atau mendapatkan rawatan. Sektor perkhidmatan penting masih beroperasi untuk tidak merencatkan perjalanan pentadbiran negara. Dikala ini, bandar-bandar besar di Malaysia mencatatkan kes jangkitan yang tinggi dengan didahului oleh Kuala Lumpur dan negeri Selangor.

Namun rakyat Malaysia masih kurang kesedaran. Ramai seakan tidak mengendahkan larangan ini. Masih balik kampung, masih melepak beramai-ramai, masih makan di warung.

Aku? Aku pun mengambil kesempatan cuti 14 hari ini untuk pulang ke kampung. Di kotaraya ini aku tinggal bertiga dengan dua orang lagi housemate. Azhar dan Zali. Mereka berdua juga pulang ke kampung. Takkan aku nak duduk seorang diri kat rumah sewa. Bosan beb. Kemudiannya PKP terus dilanjutkan lagi selama 14 hari untuk setiap siri PKP sehingga PKP ketiga.

Bila dah tahap kena separa lockdown ini, minda aku dah sedikit terbuka tentang bahaya virus ini. Lagipun setiap jam bila aku scroll Facebook, ada saja post tentang statistik jangkitan yang meningkat saban hari.

April 2020

Susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak diambil serius oleh rakyat, jumlah kes jangkitan telah meningkat sehingga 3,500. Semuanya dalam masa beberapa minggu sahaja. Jumlah kematian juga mencecah 150 orang.

Ketika ini rakyat sudah semakin panik. Di media sosial sudah jenuh membaca post yang menuding jari menyalahkan satu sama lain. Kata-kata kecaman, kejian dan sumpah seranah memenuhi ruangan komen.

Aku yang terlibat sebagai salah seorang yang ingkar arahan hanya mampu membaca setiap komen tersebut. Nak komen, aku pun sama bingai balik kampung hari tu.

Mei 2020.

Jangkitan telah mencecah 19,000 kes. Peningkatan yang sangat ketara dalam masa hanya berjarak sebulan sahaja. Pihak pemerintah telah mengisytiharkan darurat selama sebulan. Full one month lockdown. Perintah berkurung total. Tiada sesiapa yang dibenarkan berada di luar rumah kecuali untuk mendapatkan bekalan asas dan perubatan. Polis dan tentera sentiasa meronda serta menahan kenderaan yang berada di atas jalan raya untuk disoal siasat ke mana arah tuju. Semua sempadan jalan keluar masuk ke setiap negeri telah dikawal oleh pihak berkuasa.

Ketika ini aku sudah berada di kotaraya. Aku kembali ke sini selepas tamat PKP pada bulan April. Ikutkan hati memang malas nak balik sebab tengok stastik jangkitan terus-terusan meningkat. Namun bos dah panggil untuk kerja, maka aku turutkan sahaja.

Sebelum full lockdown dilaksanakan, Azhar sempat pulang ke kampung halaman. Katanya dia mengambil cuti dua minggu. Dan itulah kali terakhir aku dan Zali berjumpa dengannya.

Selepas 10 hari Azhar di kampung, dia menghantar pesanan Whatsapp bahawa dia dah dijangkiti virus ini. Seluruh keluarganya di kampung turut dijangkiti. Hanya doa yang aku dan Zali mampu kirimkan.

Pihak Kementerian Kesihatan meminta aku dan Zali terus ke hospital untuk menjalani saringan. Tiada lagi ambulans datang mengambil kerana jumlah pesakit yang terlalu ramai membuatkan pihak hospital hanya menyediakan khidmat itu untuk yang tidak berkenderaan atau tinggal terlalu jauh dari hospital.

Aku bersyukur kerana aku dan Zali disahkan negatif jangkitan.

Dua minggu kemudian, girlfriend Azhar call bagitahu bahawa Azhar dah meninggal dunia.

Sepanjang hari aku dan Zali duduk termenung. Bila ada kematian di kalangan orang terdekat dengan kita, baru kita dapat rasa akan betul-betul seriusnya virus ini.

Setiap hari aku akan menelefon ibu dan adik di kampung. Setiap kali itu juga aku akan menitipkan pesanan agar mereka menjaga kesihatan dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga.

Jun 2020.

Full lockdown telah dibatalkan. PKP kembali dilaksanakan.

September 2020.

Lockdown yang dijalankan tiga bulan lepas sangat menampakkan hasil. Statistik yang dijangkiti mencatatkan penurunan drastik. Kes yang sembuh juga semakin banyak.

Menjelang akhir September, tiada lagi kes baru yang dilaporkan. Semuanya kes yang dirawat. Dikala ini, semua pihak bergembira bahawa Malaysia sudah hampir berjaya melawan virus COVID-19.

Manakala di negara-negara lain yang teruk dilanda wabak ini juga sudah tiada lagi kes baharu yang dicatatkan. Hanya negara-negara mundur yang masih menunjukkan peningkatan namun sangat minima.

Aku dan Zali juga pulang ke kampung setelah lima bulan terperangkap di kotaraya. Tiada yang lebih menggembirakan dapat bertemu ahli keluarga. Kalah perasaan balik raya.

Aku juga membawa pulang kerusi rotan turun temurun keluarga untuk aku berehat di balkoni apartment tempat aku tinggal.

Oktober 2020.

Dunia sudah berjaya membendung penularan wabak COVID-19. Sudah tiada kes baharu dicatatkan di semua negara.

Hashtag STAYSTRONG juga tidak lagi trending.

Disember 2020.

Seluruh rakyat Malaysia sudah menjalani kehidupan yang kembali normal. Tiada lagi sekatan pergerakan, tiada lagi perasaan takut untuk berkumpul, penjualan face mask dan hand sanitizer sudah tidak selaris seperti sebelumnya. COVID-19 juga sudah tidak lagi menjadi tajuk utama berita.

Rakyat kembali berpolitik dan ber-tiktok di media sosial. Vaksin COVID-19 mula diedarkan ke seluruh dunia. Inilah vaksin paling pantas dihasilkan untuk virus sebahaya ini.

Januari 2021.

Tiba-tiba dunia dikejutkan dengan jangkitan baru virus di Pulau Jawa, Indonesia. Pathogen ini seakan COVID-19 tetapi struktur biologinya sedikit berbeza. Tetap tergolong dalam keluarga virus Corona.

Dalam masa seminggu sudah berpuluh ribu manusia sudah dijangkiti. Tiba-tiba sakit dan dalam masa 5 hari perumah akan meninggal dunia.

Seminggu setelah dikesan di Indonesia, virus ini bertebaran ke seluruh dunia. Pantas. Dunia kembali panik. Serangan virus kali ini lebih pantas merebak. Seluruh ahli sains kelam-kabut mengenal pasti punca dan kaedah rawatan.

Menjelang penghujung Januari 2021, sudah hampir 600,000 kematian di seluruh dunia. Pandemik kali ini lebih dahsyat. Sangat-sangat dahsyat. Malaysia sendiri sudah ada 9,000 kematian.

Full lockdown kembali dilaksanakan. Aku terkandas di kotaraya sekali lagi. Kali ini entah bila akan berakhir. Situasi lebih parah. Mungkin dua bulan, tiga bulan, empat bulan, aku sendiri tak pasti…

Februari 2021.

“Zali, nak makan apa kita tengahari ni?” tanya aku polos kepada Zali.

“Entah. Aku buat telur sambal je la. Kau masak nasi,” kata Zali tanpa matanya beralih daripada skrin telefon bimbitnya.

Selalunya hal memasak lauk diserahkan kepada Zali. Dia lebih pandai masak berbanding aku. Aku paling terer pun masak sup dengan nasi goreng je. Semua aku main campak. Asal perut kenyang sudah. “Okay. Aku masak nasi untuk stok makan malam sekali la. Kau masak telur lebih sikit.”

“Hmm ye.” Pendek saja jawab Zali.

“Zali… hmmm… family kau macam mana? Aku teragak-agak untuk bertanya tentang family Zali. Dua hari lepas adik lelakinya disahkan menghidap COVID-20. Ya nama virus baru ini sudah diberi oleh WHO.

Wajah Zali bertukar muram. Pandangannya kosong. Sekejapan, air mata sudah mula bertakung.

Aku menarik kerusi di meja makan lalu duduk menghadapnya. Jujur aku sendiri tak pandai nak memujuk atau menyusun kata. Sekadar cuma cuba menyelami gelodak rasa yang melanda minda Zali.

“Semua family aku dah kena. Mak, ayah dan abang aku pun turut disahkan positif. Baru pagi tadi diorang mesej.” Kali ini laju air mata Zali mengalir tanpa dapat ditahan. Esakannya makin lama makin kuat. “Aku dah tak tahu nak buat apa lagi sekarang. Aku takut…”

Khabar berita itu menyentak emosi aku. Makin kelu lidah aku. Aku pejamkan mata dan menarik nafas panjang-panjang.

“Aku nak balik kampung tengok family aku.”

Kata-kata Zali membuatkan aku terkejut. “Semua main road dah ada road block. Macam mana kau nak balik?” Aku cuba menegah dalam ayat yang tidak mengguriskan perasaannya. Kalau dia balik pun bukan boleh jumpa family dia. Semua kena kuarantin. Pelawat langsung tak dibenar melawat. Lagipun kalau dia ditahan di tengah jalan, boleh kena denda dan penjara. Pihak berkuasa dah tak berlembut lagi. Tanpa surat kuasa atau tujuan kecemasan yang jelas, mereka akan terus tangkap.

“Aku dah search kat internet tadi. Ada orang kongsi jalan dalam untuk menuju ke selatan.” Perlahan Zali berkata. Mungkin dia tak berapa berminat nak berkongsi dengan aku yang seakan melarangnya pulang tadi.

“Kau nak bawa kereta ke?”

“Kereta tak boleh. Senang kantoi. Lagipun jalan dalam tu melalui kebun kelapa sawit dan laluan balak…”

“Bahaya gak tu Zali. Kau serius ke nak balik kampung ni?”

“Ya. Aku serius. Tengah malam ni aku gerak. Aku dah tak nak fikir panjang lagi. Lagi aku fikir, lagi lambat aku dapat balik kampung.”

Aku hanya mendiamkan diri. Kalau dalam situasi seperti Zali sekarang, aku pun mungkin akan membuatkan tindakan gila macam tu.

“Kau tolong aku boleh?” Zali bertanya dengan mata kuyunya memandang tepat ke arah aku. Pandangan yang penuh pengharapan.

“Tolong apa?”

“Aku nak pinjam moto kau. Moto aku macam tak sesuai masuk jalan kebun.”

“Boleh ja.” Aku tak kisah Zali nak meminjam motosikal kapcai aku. Lagipun motosikal dia jenis superbike 650cc. Memang tak sesuai untuk jalan lasak. “Petrol spare kat mana nak beli?”

“Itu yang aku tengah fikir ni. Kalau tak dapat petrol spare, memang rancangan aku ni akan gagal.”

Semasa full lockdown, setiap stesen minyak ada pihak tentera yang mengawal. Orang sebarangan tak boleh membeli bahan api dengan mudah.

“Aku ada kawan universiti kat bandar ni. Bapak dia tauke stesen minyak. Sekejap aku try tanya dia.” Aku memberi cadangan.

Malam itu, tepat jam 1.00 pagi Zali bertolak pulang ke kampung. Dengan lampu motosikal semua dipadamkan, dia melalui lorong-lorong belakang kedai dan jalan gelap untuk keluar dari kotaraya ini.

Perasaan aku bercampur baur ketika menghantarnya pergi. Erat pelukan kami. Aku sendiri tak tahu apakah aku akan dapat berjumpa Zali lagi nanti.

Sekitar tengahari, aku mendapat pesanan Whatsapp bahawa Zali dah sampai ke kampung. Jalan yang dia lalui memang dapat mengelak semua roadblock.

Empat hari kemudian, dia menyatakan bahawa adiknya sudah meninggal dunia. Apabila genap tujuh hari dia di kampung, dia menyatakan bahawa semua ahli keluarganya pula dah meninggal dunia. Aku cuba menelefon namun tidak berjawab. Aku sangat risau akan keadaan Zali. Hilang Kesemua 4 orang ahli keluarga dalam masa seminggu sangat memeritkan.

Zali hanya menghantar pesanan suara mengatakan bahawa dia nak pergi ke rumah neneknya pula. Aku tak pasti kat mana rumah neneknya. Aku sekadar menyuruh dia berhati-hati dan menjaga diri.

***

Mac 2021.

Saintis mengatakan bahawa virus COVID-20 merupakan mutasi daripada COVID-19. Pathogen ini bermutasi di dalam badan burung. Pandemik kali ini berpunca daripada burung yang bermigrasi dari kawasan yang sedang menghadapi musim sejuk ke kawasan panas. Seterusnya burung rentas benua ini menjangkiti burung-burung lokal pula.

Disebabkan itu, sangat sukar untuk mengekang virus ini daripada terus tersebar luas. Mana mungkin untuk menangkap semua burung di udara. Tiada lockdown yang boleh dikenakan terhadap burung.

Minggu ketiga bulan Mac, Zali menelefon aku menyatakan dia sedang dalam perjalanan ke hospital. Katanya dia dah ada simpton dijangkiti COVID-20. Itulah kali terakhir aku bercakap dengannya dan itulah kali terakhir aku dapat menghubunginya. Selepas itu, senyap. Telefon bimbit ditutup. Langsung tiada khabar berita lagi.

Mei 2021.

Aku dah berserabut hanya terperuk di dalam rumah. Dah macam penjara. Sejak Zali tiada, kadangkala aku akan berborak dengan jiran sebelah aku di balkoni. Tapi, minggu lepas mereka sekeluarga dibawa pergi ke hospital. Dan sejak itu, dah tiada lagi kelibat mereka. Begitulah lazimnya, siapa yang dibawa pergi ke hospital akibat COVID-20, pasti tidak akan pulang lagi. Kadar kematian adalah 99%. Gila!

Statistik yang dikeluarkan WHO bahawa telah terdapat 7 juta kematian di seluruh dunia. Angka ini terus multiply saban hari. Dunia seakan buntu membendung pandemik ini.

Ogos 2021.

Full lockdown dah masuk bulan ketujuh. Ekonomi dunia terus-terusan jatuh. Kerajaan terpaksa menyalurkan bantuan asas kepada semua rakyat. Di apartment aku, dua minggu sekali kontraktor kerajaan akan datang menghantar bahan bekalan untuk memasak bagi setiap isi rumah yang berpenghuni. Mereka akan bergerak ke setiap pintu rumah untuk meletakkan barang dapur. Aku tinggal berseorangan, maka kuantiti barangan dapur yang aku dapat pun cuma untuk seorang.

Beras, tepung gandum, biskut kering, garam, gula, kicap, sos cili, telur ayam, ikan masin, ikan bilis, ayam, ikan dan makanan dalam tin. Itulah antara barangan yang diedarkan.

Kedai runcit dan pasaraya besar masih dibuka, namun disebabkan majoriti rakyat dah kehilangan kerja, jadi kerajaan terpaksa memberi subsidi ini. Aku juga sudah 4 bulan menganggur. Syarikat aku terpaksa memberhentikan sebahagian besar pekerja dan yang tinggal pun hanya mereka yang berjawatan tinggi. Itupun tiada apa business yang dapat dijalankan. Sekadar menunggu lockdown berakhir untuk kembali menyambung operasi.

Oktober 2021.

Setiap hari aku membuat panggilan video dengan mak dan adik di kampung. Aku terlalu rindu. Tiap kali panggilan ditamatkan, aku akan sebak. Menangis menggugu berseorangan di katil.

Mak mengatakan bilangan penduduk kampung sudah tinggal hampir separuh. Ramai yang dah meninggal dunia. Aku tak nafikan orang kampung aku memang sedikit kurang kesedaran akan lockdown ini. Mereka masih keluar berkebun, memancing atau menjala ikan.Tapi apa nak buat, itu sahajalah cara mereka mendapatkan bekalan makanan. Bantuan makanan daripada kerajaan pula sangat jarang-jarang sampai.

Statistik kematian di seluruh dunia adalah 80 juta orang. Di Malaysia, 2.5 juta kematian.

Januari 2022.

Dunia sekali lagi digemparkan dengan berita daripada para saintis bahawa virus COVID-20 ini telah bermutasi sekali lagi. Kali ini ia mampu hidup di udara selama satu jam tanpa attach kepada mana-mana permukaan. Ianya telah mendapat ciri baru iaitu sporadic. Berjangkit melalui bawaan udara atau angin.

Selain itu, ia juga sudah mula mampu hidup dalam badan perumah haiwan yang lain. Tidak terhad kepada spesis burung sahaja. Terdapat rekod bahawa kucing, anjing, biawak, cicak, ular, tikus dan segala jenis haiwan telah dijangkiti oleh virus ini dan mampu menjadi penyebar.

Seorang ahli saintis terkemuka berkata di siaran berita dengan linangan air mata, “Children of earth, lock yourself down. We are now facing the most deadliest biological organism in the history of our planet. Expect the worse. Keep praying and stay strong. Good luck mankind…”

Mac 2022.

Setiap kali membuat panggilan video, mak selalu berkata bahawa aku sudah semakin kurus. Ya, memang aku sudah tiada selera makan. Rumah ini bagaikan penjara. Tinggal berseorangan. Jiran sebelah di kiri dan kanan pun sudah meninggal dunia semuanya. Entah berapa lama aku tidak bercakap secara berdepan dengan manusia. Memang betul-betul social distancing.

Bekalan makanan daripada kerajaan juga sudah tiada lagi daging mentah sejak COVID-20 mula mampu menjangkiti haiwan. Bekalan protein digantikan dengan sumber daripada tumbuh-tumbuhan. Sesekali sahaja akan dapat merasa protein daripada ikan laut.

Statistik kematian di seluruh dunia adalah 900 juta orang. Di Malaysia, 6 juta kematian.

April 2022.

Statistik kematian di seluruh dunia adalah 2.2 bilion orang. Di Malaysia pula, 10 juta kematian. Sudah hampir satu pertiga penduduk dunia telah lenyap. Begitu juga Malaysia.

Kebanyakan negara kecil dan sederhana di dunia sudah lumpuh sepenuhnya. Tiada lagi kerajaan yang memerintah. Penduduk sudah mula membuat undang-undang sendiri. Rompakan, pembunuhan dan pergaduhan berlaku saban hari demi mendapatkan bekalan makanan dan bahan api untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Aku yang berada di tingkap 15 sesekali akan terhidu bau busuk. Mungkin bau bangkai haiwan. Atau mungkin juga bau mayat yang tidak sempat diangkut oleh pihak berkuasa. Aku selalu berdoa agar virus itu tidak dapat terbang tinggi ke tingkat 15 ini.

Mei 2022.

“Mak… Abang rindu sangat-sangat nak jumpa mak dengan adik.”

“Sabarlah ye nak. Satu hari nanti kita akan dapat jumpa bila semua virus ni dah reda. Walau apa pun yang terjadi, sentiasa jaga diri, ingat Tuhan, jangan putus harapan.”

Aku mengusap wajah mak. Walaupun hanya di skrin telefon bimbit, aku membayangkan sedang merasai kelembutan pipi mak. Merasai kedutan di matanya. Aku kucup dahi mak. Mak juga mengucup pipi dan dahi aku. Air mata yang mengalir deras melayarkan betapa kerinduan ini tak tertanggung lagi…

Jun 2022.

Adik membuat panggilan bahawa mak sesak nafas dan pengsan di ruang tamu. Badan mak juga panas. Itu merupakan simptom utama jangkitan COVID-20. Mak dah dibawa ke hospital oleh adik dengan motosikal. Disaat dunia yang sedang genting ini, semua manusia akan mementingkan diri. Tiada yang mahu membantu. Risau dijangkiti.

Mak masih tak sedar di wad ICU. Aku sentiasa berhubung dengan adik setiap jam. Adik menceritakan bahawa hospital sudah terlalu padat dan dalam keadaan yang sangat huru-hara. Wad sementara didirikan sehingga penuh di kawasan parkir kenderaan. Kekurangan staf kesihatan sangat-sangat kelihatan.

Dua hari kemudian adik mengatakan bahawa dia juga mulai demam dan batuk-batuk. Sudahlah adik ada penyakit asma sejak lahir. Tuhan sahaja yang tahu perasaan aku ketika ini.

Aku seperti juga Zali (arwah?), mengambil tindakan nekad untuk pulang ke kampung. Namun melalui carian aku di internet, memang langsung tiada jalan tikus untuk ke arah utara. Semuanya dikawal ketat oleh polis, tentera dan anggota Rela.

Menggunakan alasan untuk pulang melihat keluarga yang sedang sakit, aku mencuba nasib untuk melalui roadblock. Lapan roadblock di laluan yang berbeza aku mencuba, namun semuanya hampa. Semua tidak izinkan untuk aku lepas. Hampa. Sangat hampa. Aku hanya menangis sepanjang perjalanan pulang semula ke rumah.

Hari kelima aku mendapat panggilan daripada hospital menyatakan bahawa mak sudah meninggal dunia. Selang enam jam kemudian, adik pula pergi buat selama-lamanya.

Aku rasakan dunia aku kelam. Gelap gelita. Aku tiada siapa lagi di dunia ini. Dua hari aku terbaring menangis tanpa henti, langsung tidak menghiraukan makan dan minum. Apa gunanya aku terus hidup. Sudahlah hidup bagaikan penjara, ditambah perasaan kehilangan yang amat memeritkan sebegini.

Saat itu ingin sahaja aku terjun dari balkoni. Biar bersepai tubuh sebagaimana hancurnya perasaan aku…

Julai 2022.

Perlahan-lahan aku mengutip kembali cebisan-cebisan semangat aku yang gugur. Berbekalkan nasihat terakhir daripada mak, aku tidak akan membiarkan terus-terusan hanyut dalam lembah kegelapan. Aku perlu terus bangkit untuk meneruskan kehidupan.

Januari 2023.

Sejumlah 6 bilion umat manusia telah meninggal dunia. Malaysia? 29 juta. Akulah salah seorang daripada baki 6 juta rakyat Malaysia yang masih bernyawa. Populasi dunia hanya tinggal 20%.

Kerajaan berparlimen sudah runtuh. Sekarang kerajaan Malaysia diperintah oleh gabungan Kesultanan Melayu serta dibantu oleh Polis dan Askar Diraja. Namun dengan anggota yang terhad, banyak jenayah yang terjadi tidak dapat dibendung terutamanya rompakan. Situasi ini sama seperti di negara lain. Hampir di seluruh dunia, negara sudah tidak mempunyai kerajaan yang memerintah.

Virus? Entah, aku dah tidak berminat lagi untuk mengambil tahu tentang virus ini. Yang aku dengar tempoh hari, virus ini sudah bermutasi buat kali keberapa puluh pun aku tak pasti. Tiada gunanya membuat vaksin ataupun ubat-ubatan baru kerana dua tiga bulan sekali, virus ini akan bermutasi. Saintis menggelarnya sebagai supervirus. Aku tak hiraukanlah apa jadah supervirus ini, yang aku fikirkan sekarang adalah macam mana aku nak lalui hari-hari mendatang. Nak terus survive.

Mac 2025.

Berat badan aku sudah tinggal 45 kilogram. Entah betul atau tidak penimbang yang dibeli di Mr DIY 5 tahun lepas. Tapi kalau dilihat di cermin, memang sudah tinggal rangka tubuh aku. Pipi cengkung, tulang rusuk sudah jelas kelihatan.

Bekalan makanan masih disalurkan oleh kerajaan. Namun sangat-sangat terhad sehinggakan aku terpaksa mencatu sekali makan sahaja sehari. Stok bekalan makanan dunia sangat meruncing sekarang.

Bekalan air juga dicatu. Air hanya dibekalkan pada sela waktu sekali sehari sahaja.

Jangkitan virus sudah sangat perlahan sekarang lantaran bilangan manusia yang masih hidup sudah sedikit. Jangkitan silang pun susah nak terjadi kerana kebanyakan individu hidup terasing, jauh antara satu sama lain. Haiwan juga semakin pupus akibat jangkitan virus ini.

Disember 2027.

Menurut satu-satunya saluran televisyen yang masih wujud iaitu RTM, tiada lagi jangkitan baru dicatatkan buat dua minggu berturut-turut di Malaysia. Menurut WHO, supervirus itu bermutasi sehingga ianya tidak mendatangkan lagi bahaya kepada hidupan bernyawa di dunia ini.

Pelik tapi benar. Kitaran supervirus ini sebagai pembunuh sudah lengkap. Kini mungkin ianya pun mahu pencen sesudah 8 tahun ia bekerja keras untuk melenyapkan 85% penduduk dunia.

Mac 2028.

Aku di balkoni sambil duduk di kerusi malas. Kerusi malas rotan kegemaran mak yang aku bawa pulang ke apartment ini 8 tahun lalu. Waktu itu aku telah menghadiahkan kerusi malas baharu keluaran IKEA kepada mak. Bersorak mak mendapat hadiah tersebut. Kini segalanya hanya tinggal memori. Titis air suam mengalir di pipi setiap kali terkenangkan mak dan adik.

Bangunan di sekeliling semuanya semakin usang lantaran kurang berpenghuni. Jalan raya berdebu dan sampah berterbangan. Rumput dan pokok menjalar semakin bercambah di tengahan jalan raya. Tatkala malam hari, boleh dikira dengan jari hanya beberapa buah rumah sahaja yang bernyala lampu.

Tok! Tok! Tok!

Pintu rumah aku diketuk. Melalui celahan tingkap yang sudah dipalang dengan kayu, kelihatan 4 orang berpakaian kot berwarna hitam di luar. Dalam hati aku sudah tahu itu merupakan pegawai kerajaan kerana terdapat tag dikepit pada poket kot.

“Ada apa tuan?” Aku bersuara di sebalik tingkap. Aku berasa sedikit pelik kerana bekalan makanan baru dihantar 4 hari lalu.

“Buat pengetahuan Encik Khairil Ariffin bin Jamali, kami merupakan wakil kerajaan ingin menjemput anda untuk ke Putrajaya esok hari. Anda antara individu professional yang terpilih dalam rancangan kerajaan untuk membangunkan semula negara kita…”

Mungkin ini sinar baru untuk Malaysia…

-TAMAT-

Oleh: DeeFen
https://www.facebook.com/deefen.df
MAT-

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

DeeFen DF

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 5]

25 thoughts on “LAPAN TAHUN LOCKDOWN”

  1. Aku selalu ikut perkembangan penulisan brader di Fb dan FS. Kalini Indeed very detail dan realistik walaupun fiksyen seolah olah macam perkongsian kisah benar. Keep going, and stay safe everyone.

    Reply
  2. Apa yang BERLAKU hari ini dan di masa hadapan..Hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. BENAR..Dunia kita hari ini, adalah di pintu AKHIR ZAMAN. Saya sarankan kepada semua orang Islam JANGAN terlalu LEKA dan TERPESONA dengan TIPU HELAH Al-Masihi Dajjal…Kembalilah kita kepada Hadis dan Quran sebagai PETUNJUK yang BENAR…

    Reply
  3. Setiap hari aku trbyg2kn cerita ni setelah mmbacanya dari buln 1(sentiasa bc kisah fs setiap hari)… Aku mcm dpt merasakan seperti ia nya satu ramalan…diceritakan dlm buln january..sekrang dah buln mei..hmpir sama 75% kisah ini… Ya Allah lindungi lah kami rakyat di bumi mu ini YaAllah… Ampun kan lah dosa2 kami semoga kami sempat dan dpt mmperbaiki amalan kami di akhirat kelak…😣

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.