LEMAS

Apabila tiba sahaja cuti semester, semestinya aku, Borhan dan Hadi mempunyai perancangan untuk menjelajah ke tempat-tempat menarik di negeri ini. Kami bertiga merupakan antara pelajar yang sedang menjalani kursus sains sukan di sebuah universiti yang terkemuka di Kelantan.

Terdapat banyak kawasan air terjun di sekitar negeri jirannya, iaitu negeri Terengganu. Kawasan air terjun ini digelar sebagai lata. 2 lata yang terletak di sempadan Kelantan dan Terengganu iaitu di Besut dan Jerteh adalah Lata Belatan dan Lata Tembakah. Lata ini merupakan tempat yang popular atas 2 sebab, iaitu kecantikannya dan juga kes-kes kematian yang melibatkan ramai orang berlaku setiap tahun di situ.

Hadi merupakan orang Terengganu, dan dia yang paling banyak tahu selok-belok serta perjalanan ke lata Tembakah, yang menjadi lokasi pilihan kami bertiga pada cuti berkenaan.
Borhan yang merupakan orang Perak adalah kenalan baik aku semenjak di matrikulasi lagi. Dia ingin ikut bersama aku dan Hadi, serta 2 orang lagi pelajar kursus yang sama. Borhan agak terkenal dengan kehandalannya bermain pelbagai jenis sukan. Senang cerita, dia yang paling athletic di antara kami.

Setelah kereta dah pun disewa, segala-galanya mengikut perancangan yang kami pelankan sehinggalah aku mendapati bahawa Borhan dan Hadi, kedua-duanya membawa teman wanita mereka untuk ikut bersama. Aku tidak gemar ke tempat-tempat sebegini dengan kaum wanita, terutama sekali yang bukan mahram.

Pada aku, aktiviti mandi-manda di lata ini jadi tidak sesuai apabila ada jantina berlawanan kami yang turut serta mengikutinya. Aku cuba membangkang keputusan mereka pada awalnya, namun aku pula diejek kerana aku masih tiada teman wanita, dan mereka menuduh aku cemburu kepada mereka pula.

Mahu tak mahu, aku terpaksa akur dengan keputusan mereka. Kami bergerak ke sana dengan dua buah kereta kancil yang kami sewa dengan bayaran sebanyak RM70 untuk sebuah kereta sehari. Hadi memandu kereta pertama bersama aku, teman wanitanya dan seorang lagi perempuan. Secara jumlahnya, terdapat 5 orang lelaki dan 5 orang perempuan ke sana.

Perjalanan mengambil masa kira-kira sejam setengah melalui jalan persekutuan yang menghubungkan daerah Kuala Terengganu dengan Kubang Kerian tidak terasa jauhnya kerana di sepanjang perjalanan, kami bergelak tawa. Gurauan-gurauan liar bersama lawak-lawak hambar memenuhi masa perjalanan.

Berdekah-dekah Hadi ketawa sepanjang perjalanan. Mungkin dia terlebih seronok kerana teman wanitanya, Sheila berada bersama. Aku juga agak seronok, tetapi aku merupakan seseorang yang mempunyai prinsip dan pegangan. Aku takut untuk berseronok berlebih-lebihan, kerana aku takut apabila kita terlalu gembira, akan ada perkara malang berlaku.

Banyak kali dah sebenarnya perkara ini berlaku dalam pengalaman hidup aku. Apa-apa situasi dan aktiviti sememangnya tidak patut untuk berasa terlalu seronok sehingga lupa dunia. Itulah pengalaman yang mendidik aku untuk sentiasa ingat akan apa-apa kejadian yang tidak disangka-sangka boleh berlaku dalam sekelip mata, bak kata orang, malang tak berbau.

Satu lagi perkara iaitu mengenai pergaulan dan percampuran lelaki dan perempuan yang bukan mahram ini pun aku rasa amat berdosa. Aku tahu dan faham, tuhan amat murka sekali apabila dosa yang terang-terangan telah pun dilakukan oleh kawan-kawan rapat tetapi tidak aku bantah dengan sepenuh hati. Maklumlah, sewaktu itu kami semua masih muda, dan tidak ingin menghancurkan aktiviti yang dirancang atau mengguris hati kawan-kawan.

Setibanya di kawasan air terjun empat tingkat itu, aku menyalakan api pada kiub hexamine dan meletakkan arang di atasnya untuk masak barbeku. Dengan duit poket kami semua sendiri, ayam, sosej dan sate telah pun kami tempah. Tujuannya adalah untuk mandi terlebih dahulu, dan kemudiannya makan.

Memang begitulah selalunya, selepas mandi dan berenang, pasti akan rasa kelaparan. Sewaktu kami tiba, jam sudah pun menunjukkan pukul 2.00 petang. Kawasan tersebut agak riuh rendah dengan gelak tawa serta gurauan yang tak henti-henti. Memang kami semua bergelak sakan, seolah-olah tidak dapat dikawal perasaan ketika itu.

Aku turut membuka baju dan memakai seluar trek untuk mandi dan berenang. Air di situ amat jernih dan keadaan langit yang cerah ketika itu menampakkan lagi keindahan alam ciptaan tuhan ini. Terdapat banyak ikan-ikan kecil yang seringkali berebut-rebut apabila roti atau cebisan makanan dilemparkan ke dalam lata tersebut.

Setelah itu, kami semua makan makanan yang baru sahaja kami masak. Namun, masa bergerak pantas. Kami tak sedar jam sudah pun menunjukkan pukul 5.30 petang. Ini bermakna kami harus singgah ke masjid berdekatan untuk menunaikan solat asar sebelum pulang ke universiti kami.

Aku segera mengarahkan Hadi dan Borhan untuk mengemas serta menukar pakaian. Aku masih ingat lagi ketika itu, cuaca yang tadinya cerah kini kian mendung, dan tanpa kami sempat habis berkemas, hujan renyai-renyai mulai turun.
Aku tidak kalut kerana kawasan tersebut terlindung dengan pohon kayu yang rendang. Lagipun, hujan tidaklah lebat mana. Hanya rintik-rintik halus sahaja kelihatan.

Aku menyegerakan untuk packing dan menukar pakaian. Aku lihat, Borhan sudah pun siap memakai baju kemeja-T berserta seluar jeans berwarna biru gelap. Dia memerhatikan sahaja aku sambil dia menyarung stoking dan kasut sukannya. Rambutnya disisir kemas.

Aku tahu dan faham sangat keadaan Borhan yang sentiasa menjaga ketrampilannya. Teman wanitanya sewaktu itu berbual-bual kosong dengannya. Beg-beg berisi pakaian telah kami kumpulkan, dan bersedia untuk pulang. Masing-masing membawa satu beg, berserta peralatan memasak yang diletakkan semula di dalam plastik berwarna hijau.

Sedang kami semua berjalan menuju ke arah kereta, secara tiba-tiba, aku lihat Borhan yang berada di depan aku meletakkan beg di atas tanah seraya berlari semula ke air terjun.

“Weh, kau nak ke mana lagi, jom balik!”, aku menjerit memanggilnya.

Setibanya di sana gigi air terjun tersebut, dia berdiri dan memandang ke arah lata berkenaan. Aku berjalan merapati dia sambil bertanya mengapa dia ke sana semula. Dalam fikiran aku sewaktu itu, aku sangkakan dia ada tertinggal apa-apa barang di tempat kami masak tadi.

Tetapi, dengan tiba-tiba, di melompat ke dalam air semula. Lompatan dia itu adalah di kawasan air yang deras. Aku segera berlari mendapatkan dia sambil menjerit, memanggil kawan-kawan aku yang lain.

Tiba-tiba sahaja dia mulai tenggelam timbul sambil melambai-lambaikan tangannya meminta pertolongan. Aku dan Hadi cuba membantu. Aku menyuruh Sheila mencari kayu atau apa-apa sahaja yang boleh dijadikan tempat untuk dia berpaut kerana saat itu aku nampak dia mulai kelemasan dan kehabisan tenaga. Sheila memberikan aku sebatang kayu, iaitu dahan pokok yang jatuh di tempat kami masak tadi. Aku segera menghulurkan dahan pokok tersebut yang sepanjang lebih kurang 2 meter itu.

Aku sedikit hairan apabila kayu tersebut dihulurkan betul-betul di hadapan mukanya, dia seperti sengaja tidak mahu mencapainya. Dia biarkan sahaja walhal kayu panjang yang aku pegang itu hanyalah beberapa sentimeter sahaja dari kepalanya.

Tanpa berfikir panjang, aku menghulurkan tangan aku sambil kaki aku dipegang oleh Hadi. Sebenarnya, aku sempat mencapai tangan kirinya. Aku cuba menggenggam lengannya seerat yang mungkin. Tetapi, tanpa ada sebab yang munasabah, tiba-tiba dia membuka cengkaman tangan aku menggunakan tangan kanannya, ibarat nak melepaskan diri daripada genggaman aku.

Saat itu, aku mulai melaungkan azan dan mengarahkan kesemua yang berada di situ untuk membaca ayat kursi. Namun, ianya sudah terlambat. Beberapa saat kemudian, Borhan menjerit “Allahuakbar!!” sewaktu dia semakin jauh daripada kami semua. Dia mulai tenggelam dan tak timbul-timbul.

Aku tergamam. Kami semua berteriak untuk meminta tolong. Orang ramai mulai berpusu-pusu ke kawasan itu, semuanya bertanya akan hal yang berlaku. Aku tunjukkan tempat di mana kali terakhir Borhan kelihatan.

Kawasan itu padat dengan batu sungai dan aliran air tersangat deras menyebabkan tiada siapa yang berani untuk terjun di situ tanpa peralatan yang sesuai. Aku segera mendail nombor kecemasan 999 dan melaporkan kejadian tersebut. Tak sampai 15 minit kemudian, anggota bomba dan penyelamat mula memenuhi kawasan tersebut.

Beberapa orang memakai baju selam, dan membawa tangki di belakang mereka terus menyelam ke bawah tanpa membuang masa. Aliran air terlalu deras dan rescue diver ini menghulurkan tali untuk dipegang oleh anggota-anggota bomba yang lain.

Otak aku terlalu banyak berfikir. Tiba-tiba sahaja, aku terdengar laungan azan, menandakan masuknya waktu maghrib. Keadaan menjadi sedikit suram dan gelap dan aku tidak dapat fikirkan betapa lajunya masa berjalan ketika itu. Hadi menepuk belakangku.

“Hei, takpe, takpe, aku rasa Borhan kuat, dia kan pandai main sukan semua”, kata Hadi dengan niat nak menyedapkan hatiku dan hatinya sendiri.

Aku mengangguk sahaja. Bukan aku nak berdoa yang bukan-bukan, namun dah 2 jam lebih Borhan tenggelam dan masih lagi tidak dijumpai walaupun pasukan penyelamat masih meneruskan usaha mencari terus-menerus. Aku rasa harapan untuk menemui Borhan yang masih hidup kian tipis, saat masa berlalu pantas.

Sheila dan beberapa rakan perempuan menangis, mereka merasakan tiada harapan lagi untuk menemui Borhan dalam keadaan dia masih bernafas dan bernyawa. Salah seorang anggota bomba menghampiri aku dan rakan-rakanku.
“Ni, baik korang pergi solat dulu kat surau tu, solat hajat sekali untuk mudahkan kerja-kerja menyelamatkan kawan awak ni”, katanya.

Aku mengangguk. Masakan tidak, dalam kesibukan usaha mencari daripada petang tadi sehingga maghrib, kami semua tak sempat solat Asar. Betapa berdosanya aku rasa diri aku dan rakan-rakan aku ketika itu.

Aku mengimamkan solat maghrib, seraya berdoa. Berdoa agar ada keajaiban berlaku. Doa agar Borhan masih hidup, dan mungkin terdampar di belah bawah air terjun. Walau ada 1 peratus kebarangkalian dia untuk hidup, aku meletakkan harapan dan tidak sama sekali putus asa.
Namun harapan tinggal harapan. Usaha search and rescue bertukar menjadi search and recovery. Tepat jam 8.15 malam, mayat Borhan ditemui di bawah sebongkah batu sungai yang amat besar. Kakinya terpaut pada akar-akar pokok yang menjalar di sekitar kawasan tersebut.

Aku tergamam saat melihat wajahnya yang biru dan membengkak saat mayatnya diangkat oleh pasukan bomba dan membuat pengenalan. Aku menyuruh Hadi dan rakanku yang lain untuk pulang dahulu. Biarlah aku seorang sahaja tinggal, lagipun pihak bomba cuma mengizinkan seorang sahaja yang mengiringi jenazah.

Seluruh universiti jadi gempar apabila berita mulai tersebar di kampus. Masing-masing bersedih, dan ada yang masih tergamam saat mendapat berita tersebut. Tidak disangka-sangka, perkelahan di Hutan Lipur Lata Tembakah yang bermula dengan keseronokan berakhir dengan kedukaan.

Peristiwa ini, walaupun sudah berlaku lebih 10 tahun yang lalu, mengubah diriku. Aku masih lagi bingung, persoalan aku mengenai mengapa Borhan tiba-tiba sahaja terjun di dalam air serta mengapa dia tidak mahu diselamatkan masih menghantui fikiranku setiap malam.

Selepas kejadian tersebut berlaku, aku sendiri masih hairan mengapa terlalu banyak kes kematian pelajar universiti, kolej mahupun politeknik menjadi mangsa lemas di tempat yang sama. Terbaru, 3 orang pelajar Universiti Malaysia Kelantan ditemui lemas apabila mereka berkelah di situ, di tempat yang sama yang meragut nyawa Borhan.

Aku sedar juga supaya tidak terlampau berseronok serta mengelakkan diri daripada membawa kaum bukan mahram di kawasan tersebut. Apabila bercampur lelaki dan perempuan dalam sesuatu aktiviti dengan bebas tanpa memikirkan soal agama, solat dan lain-lain, akan hadir sesuatu musibah yang menunjukkan tanda betapa murkanya tuhan terhadap hamba-hambanya ini.
Memang tak dinafikan, setelah kejadian tersebut berlaku, aku terlalu terkesan sehingga memerlukan rawatan daripada psikiatri. Aku perlukan ubat-ubatan agar aku dapat tidur di waktu malam. Di kala sedang menerima rawatan inilah aku berjumpa dengan penulis, yang merupakan doktor pelatih sewaktu aku mendapatkan rawatan.

Aku bercerita kepada penulis, dengan harapan para pembaca dapat menjadikan iktibar pengalaman sebegini. Jangan terlalu seronok, jangan bercampur lelaki dan wanita yang bukan mahram dan jangan lupa solat dan doa sebaik sahaja waktu sembahyang masuk.

Wallahualam.
#horrorex #genex #lemas #ihorrorex #genart #kompilasi

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 4 Average: 5]
ILZANNO SHARKY

1 thought on “LEMAS”

  1. Pesanan yg terbaik bro. Banyak tanda2 di sekeliling kita tapi kita yg tak mampu faham dan berfikir. Beruntunglah sapa yg faham dan ambil iktibar.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.