LEMBAGA BERWAJAH BERUK

“Anak dah sihat sekarang? Alhamdulillah.”

Seorang pakcik menegurku ketika aku selesai menunaikan solat asar di sebuah masjid di sebuah kampung, tidak jauh dari pekan Lenggong. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke kampung aku agak jauh menyebabkan aku akan berhenti singgah di mana mana masjid untuk menunaikan solat. Aku memandu seorang diri, isteriku telah pulang sehari lebih awal bersama adik perempuanku Dahlia dan suaminya, Fairuz.

” Alhamdulillah sihat, kita ni pernah berjumpa kah pakcik?” tanya aku, aku syak dia salah orang kerana aku tidak pernah mengenali atau berjumpa dengannya.

” Anak ni pegawai YB Haji Azman kan?” tanya pakcik itu.
Barulah aku sedar bahawa pakcik itu tersilap, dia menyangka bahawa aku ini adikku, Hairi. Memang kalau di kampung, ada orang yang akan tersalah sangka mengenai kami walaupun pada aku kami dua beradik tidaklah seiras sangat. Hairi lebih nampak matang dan berkulit sedikit gelap daripada aku.

Aku menerangkan kepada pakcik itu tentang Hairi. Dia tersenyum lalu memperkenalkan dirinya. Namanya Pak Hamid dan bertugas sebagai siak di masjid kampung itu. Aku bertanya kepada Pak Hamid mengapa dia bertanya tentang kesihatan Hairi sewaktu dia menyapa aku pada awal tadi.

Belum sempat dia menjawab persoalan aku, dia dipanggil oleh beberapa orang jemaah masjid. Aku memberitahu bahawa aku akan menunggu dia di tempat duduk di luar masjid itu. Pak Hamid menuju ke arah jemaah yang memanggilnya, mungkin ada perkara yang perlu diselesaikannya sebagai siak di masjid itu.

Tidak lama selepas itu Pak Hamid datang dan duduk dihadapanku.

” Sebenarnya, minggu lepas, adik awak ada mengikut YB Haji Azman tu kesini. Ada program tazkirah agama selepas solat maghrib di masjid ini.” Pak Hamid mula bercerita.

” Semasa tazkirah, pakcik duduk kat depan bersebelahan dengan penceramah. Pandangan pakcik menghadap para jemaah dan pintu masjid ni jadi nampaklah kawasan luar sehingga pintu pagar masjid ni.” terang Pak Hamid, ketika ini jemaah mula beransur pulang. Tinggallah kami berdua sahaja di perkarangan masjid.

” Masa tu pakcik ternampak satu lembaga duduk mencangkung di luar pagar masjid, besar dan berbulu lebat. Macam rupa beruk pun ada.”

Aku tergamam, termenung seketika. Aku teringatkan lembaga berkepala b**i yang muncul dalam bayangan aku ketika Pawang Kahar merawat Hairi tidak lama dahulu.

“Ish, takkanlah Hairi kena sihir lagi?” aku tertanya didalam hati. Kerana selepas dari kejadian Hairi disihir dan dirawat oleh Pawang Kahar, Hairi sihat sahaja. Tiada dengar pula cerita tentang dia diganggu lagi.

” Pakcik perhatikan lembaga berwajah beruk tu, diam tidak bergerak langsung. Mata lembaga tu bulat dan berwarna putih, memandang tepat kearah masjid. Lembaga tu terjegat saja kat situ, masa jemaah bangun untuk bersalam salaman, dia masih diam di luar pagar tu sampailah…”

” Sampailah?” tanyaku tidak sabar.

” Sampailah adik awak bangun, baru lah lembaga macam beruk tu berdiri. Pakcik terkejut juga tiba tiba makhluk itu berdiri. Bila pakcik tengok ke arah jemaah yang hadir, pakcik terlihat adik awak yang baru nak bangun berdiri.”
Menurut Pak Hamid, dia terus bersalaman dengan Hairi. Dia dapat menceritakan bahawa ada sesuatu yang tidak kena pada Hairi dan kelibat lembaga berwajah beruk itu. Namun, Hairi kelihatan tidak terkejut dengan apa yang Pak Hamid sampaikan padaya. Lalu dia meminta Hairi mencari perawat bagi melihat apakah benar perkara yang baru dilihatnya itu.

” Kenapa Pakcik tak rawat terus adik saya tu?” tanya aku, sambil menerangkan padanya bahawa Hairi pernah dirawat Pawang Kahar akibat sihir sebelum ini.

” Pakcik cuma boleh nampak sahaja, nak merawat pakcik tak pandai.” jawab Pak Hamid.

Pak Hamid kemudiannya memberitahu ketika Hairi dan YB Haji Azman pulang pada malam itu, lembaga berwajah beruk itu bertenggek diatas kenderaan mereka. Itu menguatkan lagi apa yang difikirkannya hubungkait tentang lembaga dengan adik lelaki bongsu aku itu.

“Nanti dah sampai rumah kamu di kampung, perhatikan adik kamu tu. Kalau dia mengadu lenguh di bahagian bahunya maknanya benda tu masih mengekorinya. Tapi mustahil dia tak sedar, korang adik beradik pun ada belajar juga kan?” kata Pak Hamid ketika aku meminta izin untuk meneruskan perjalananku pulang ke kampung. Aku hanya tersenyum mendengar kata kata Pak Hamid. Setelah berjabat salam dengannya, aku pun mulakan perjalanan.

Aku tiba di kampung, Hairi belum pulang dari kerja lagi. Aku bertanya pada Abah sekiranya ada atau tidak Hairi mengadu sakit sakit badan, Abah jawab tiada. Aku hanya senyum ketika abah tanya kenapa aku bertanya tentang Hairi. Menjelang maghrib, barulah Hairi pulang dan kami semua solat berjemaah bersama sekeluarga.

Selesai solat, aku, Hairi dan adik iparku Fairuz melepak di ruang tamu luar. Sementara ahli keluarga yang perempuan menyiapkan makan malam kami. Abah pula telah pergi ke masjid kerana ada kuliah harian selepas maghrib. Aku terus menceritakan apa yang Pak Hamid beritahu kepada aku. Seperti apa yang diberitahu Pak Hamid, Hairi tidak menunjukkan reaksi terkejut apabila mendengar ada lembaga berwajah beruk mengekorinya. Dia sekadar tersenyum manakala Fairuz tercengang mendengar cerita itu.

“ Adik dah pergi check? “ tanyaku sambil mencucuh sebatang rokok.

“ Belum, sibuk sikit akhir akhir ni. Tapi benda tu memang ada. Tuuu…” jawab Hairi sambil jarinya telunjuknya menghala kearah pagar rumah. Alangkah terkejutnya aku dan Fairuz, kami melihat ada satu makhluk berupa lembaga, sedang berdiri tegak di hadapan pagar rumah. Namun wajah lembaga itu samar samar kerana kegelapan malam. Lain benar makhluk kali ni, tak menyorok langsung sehinggakan Fairuz dapat melihatnya.

“Dia tak boleh masuk rumah, dulu kan pernah pagar rumah ni. Lagipun Abah orang alim, rumah ni panas untuk dia. Tapi bila adik pergi kerja atau keluar, memang rasa berat kat bahu ni. Adik dah cuba buat sendiri, baca apa yang patut, tapi macam biasalah, dia hilang kejap lepastu datang balik.” terang Hairi dengan tenang. Fairuz aku lihat sudah tak senang duduk.

“Abang Am, adik…saya masuk dulu ya?” kata Fairuz, tersengih.

“Tenang bang, baca surah Al Fatihah banyak banyak. Dia ni bukan sihir ni. Cuma yelah mai dengan pakej muka yang macam tu. Entah mai mana pun tak tau.” kata Hairi sambil menepuk belakang Fairuz bagi menenangkannya. Fairuz akur, aku lihat mulutnya terkumat kamit membaca sesuatu. Mungkin surah Al Fatihah seperti yang Hairi beritahu tadi.

Aku mengambil keputusan untuk menghubungi Pak Tam, bapa saudara kami yang juga turut tinggal di kampung untuk datang dan menghalau lembaga itu. Pak Tam ada kelebihan sedikit kalau bab bab mistik ni. Pantang dengar kalau ada orang yang boleh merawat perkara mistik dan ghaib pasti dia akan cari dan berguru dengannya. Dan sudah tentu, ada petua petua yang diajarkannya pula kepada kami.

Aku dan Hairi pun tidaklah berani sangat, kalau ada benda benda yang menganggu dengan rupa yang ngeri dan menakutkan, kami sedikit sebanyak merasa juga seramnya. Seperti makhluk yang mengekori Hairi ini, mujurlah tidak pada tahap yang menyeramkan.

Pak Tam sampai dengan motorsikal Honda C70 kesayangannya tidak lama selepas itu. Selepas mematikan enjin, dia memberikan salam dan duduk bersama kami.

“Ni mai mana beruk besaq kat pagar tu?” tanya Pak Tam kepada kami. Lalu aku menerangkan kepada Pak Tam, tentang lembaga berwajah beruk yang mengikut Hairi itu dan tentang Pak Hamid, siak kampung di Lenggong yang aku jumpa pada siang hari itu

Adik perempuanku Dahlia keluar dan menghidangkan kami kopi panas, aku berpesan supaya yang perempuan duduk di dalam rumah dan jangan keluar. Dahlia seperti dapat mengerti apa yang berlaku hanya menganggukan kepala lalu masuk kedalam rumah. Sempat dia bergurau kepada suaminya Fairuz.

“Kalau takut, masuk dalam Bang.” gurau Dahlia terus masuk ke dalam rumah.

“Eh tak apa, Pak Tam ada ni.” jawab Fairuz lebih tenang, mendapat sedikit keberanian dengan kehadiran Pak Tam.

Pak Tam tidak menunggu lama, setelah habis kopi diminum dia terus bangun dan menuju ke arah lembaga itu. Dia memanggil Hairi mendekatinya, Hairi bangun dan berjalan menuju kearah pintu pagar. Aku dan Fairuz hanya memerhatikan dari tempat kami duduk sahaja.

“Benda apa tu Abang Am?” tanya Fairuz.

“Entahlah…ada lah jenis jenis makhluk halus yang kita tak tahu namanya.” jawab aku ringkas, dan sejujurnya aku bukanlah tahu semua nama nama hantu ni. Tapi yang ini pastinya jenis jin atau syaitan yang dibela manusia melalui amalan ilmu ilmu hitam.

Kami terus memerhatikan Pak Tam yang ketika itu meminta Hairi duduk bersila di sampingnya. Lembaga berwajah beruk itu turut ikut bersila semasa Hairi bersila. Bibir Pak Tam terkumat kamit membaca sesuatu, dari pemerhatian aku dapatlah aku meneka yang ketika itu dia sedang membaca surah An Nas berulang ulang kali.

Selepas itu Pak Tam berdiri di hadapan lembaga itu, dia meletakkan tangannya di atas kepala lembaga dan lembaga itu menjerit kuat. Terus aku mengajak Fairuz mendekati mereka.

“Am, tolong ambilkan daun sireh kat tepi tu 3 4 helai.” kata Pak Tam, tangannya masih di kepala lembaga yang sedang meronta ronta. Lembaga berwajah beruk itu cuba melawan Pak Tam tapi tak dapat menyentuh pun tubuh Pak Tam seolah olah ada perisai yang menghalangnya. Dengan satu tumbukan disertai dengan teriakan takbir yang kuat dari Pak Tam membuatkan lembaga itu jatuh berguling. Aku menyerahkan daun sireh pada Pak Tam, lalu diramas ramasnya daun itu sebelum meletakkannya pada bahu Hairi. Dia kemudiannya membuat satu garisan pada tanah di hadapan kami dengan kakinya.

“Balik kepada tuan kau!” kata Pak Tam kepada lembaga berwajah beruk itu.

“Pi habaq kat tuan hang, kalau nak lepaskan hang, bukan pada keluarga atau keturunan aku!” sambungnya lagi.

Lembaga itu menundukkan kepala seperti berterima kasih dan terus berlari menuju ke kawasan hutan di belakang rumah. Pak Tam bertanya kepada Hairi keadaan bahunya.

“Dah tak lenguh lagi Pak Tam.” beritahu Hairi sambil menggerakkan kedua tangannya. Daun sireh yang Pak Tam letakkan di bahunya jatuh ke lantai dan dikutip Fairuz.

“Buang sajalah daun tu, tapi kalau nak tengok rupa apa kat daun tu pergilah tengok di bawah lampu.” kata Pak Tam, Fairuz terus membawa masuk daun sireh itu ke dalam rumah.

Menurut Pak Tam, makhluk itu ada tuan yang membelanya tapi pemiliknya sudah tak mahukan dia lagi jadi diarahkannya makhluk itu mengekori Hairi selagi mana Hairi masih bernafas. Kami tidak bertanya siapa pemilik kepada lembaga berwajah beruk itu kerana kami yakin Pak Tam juga tidak akan memberitahu kami.

Abah pulang dari masjid dan kami pun makan malam bersama. Kami tidak menceritakan kepada Abah tentang apa yang berlaku sewaktu Abah ke masjid tadi. Sebelum Pak Tam pulang, dimintanya daun sireh tadi daripada Fairuz. Dia mahu membuangnya dalam perjalanan pulang ke rumahnya. Pak Tam berseloroh, takut kami tak tidur malam jika asyik menatap daun itu.

Kami bertanya kepada Fairuz apa yang dia nampak pada daun sireh itu, dan jawab Fairuz,

“Muka beruk.”

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

A.R Qaseh

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 46 Average: 4.9]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.