LEMBAGA HITAM TANPA KEPALA & RASUK.
KALI ni aku nak bercerita kisah seram mak aku sewaktu dia masih bekerja di kilang C43$EM.
Masa ni aku memang tak wujud lagi. Masih belum berkenalan dengan bapak lagi.
Mak memang dah lama bekerja kilang ini yang letaknya dalam kawasan berdekatan kampung tempat mak aku tinggal..
Aku cerita apa yang aku masih ingat. Kisah ni dah lama pun.
Rasanya kisah pernah tular juga di tahun tersebut sehingga masuk akhbar. Tapak asal kilang mak aku bekerja ni merupakan padang tempat askar Jepun pancung kepala. Mak aku tahu pun dari sembang-sembang dengan kawan sekerjanya lah. Mak aku merupakan batch pertama bekerja selepas pembinaannya siap. Pun ada berlakunya kematian pekerja kontrak.
Awalannya, semua okay tidak ada apa-apa sebarang keributan pun yang berlaku sehinggalah pada satu pagi tu. Mak aku masa tu shift sampai pagi.
Ada beberapa pekerja kilang menjerit-pekik dalam tandas. Mereka berkata ada lembaga hitam tak ada kepala di dinding dan juga cermin.
Pada mulanya supervisor kesemuanya tak percaya, maklumlah orang cina dan juga Jepun. Ya, masa ni ada supervisor dan QA serta QC berbangsa Jepun.
Mereka tuduh pekerja yang menjerit-pekik laksana orang kesurupan itu sengaja. Menipu. Malas nak bekerja!
Sedangkan di mata mak aku dan kawan-kawan dia, mereka yakin itu kena sampuk. Perkara ini berlanjutan dalam seminggu juga.
Kini kerasukan itu bukan saja berlaku pada mereka yang masuk ke tandas malah berlanjutan pula ke line serta department.
Seperti virus pula! Merebak!
Line demi line pasti akan mengalami kerasukan sehinggakan supervisor perempuan dan lelaki Cina serta technician lelaki cuba mengawal pun tak mampu. Mereka pula diserang. Jeritan mereka sangat meremangkan. Boleh bayangkan tak ?
Kesemuanya menjerit. Mereka kata “Aku nampak! Aku nampak! Aku nak lari!” Begitulah gamaknya kata-kata yang mereka lontarkan.
Mak aku pun jadi takut bila line dia pula huru-hara. Kerusi semua bercempera. Kawan-kawan dia yang mana tidak kena cuba memegang yang kena sampuk itu. Ada yang kena penerajang. Gigit. Menjerit tepi telinga. Mak aku salah-satu cuba pegang. Mak aku juga gementar. Seram-sejuk dah. Mak aku cuba ingat baca surah tiga qul saja. Itulah yang dia ulang-ulang baca. Makin mereka pegang kawan-kawan yang kena sampuk tu, makin ngeri bunyi hilaian mereka.
Nak tak nak, ada satu supervisor melayu ni kata nak panggil pawang. Dia sudah tidak tahan nak melihat keadaan macam ini. Hampir nak ke subuh barulah keadaan meredakan itupun terpaksa panggil ambulance untuk angkut pekerja yang pengsan dan kesemuanya gadis.
Mahu atau pun tidak, supervisor berbangsa cina dan juga Jepun terpaksalah bersetuju bilamana supervisor-supervisor melayu bersuara. Akhirnya pawang pun dicari. Mak aku kata, pawang tu dari Taiping tak silap. Kemudian aku pun tanyalah apa yang pawang tu buat bila sampai kilang emak tu. Mak aku cakap, pawang tu bagitahu pada supervisor melayu yang bangunan tu di dirikan dengan cara letak rumah merah. Jadi penunggu pokok tua yang ada dekat belakang kilang tu marah. Sekarang aku pun tak pasti sama ada pokok tu dah kena tebang atau pun belum.
Kemudian pawang tu cakap tapak tu pun ‘keras’ jugak. Mungkin lembaga tanpa kepala warna hitam yang para pekerja kena sampuk itu nampak adalah hantu Jepun. Pawang tu buat perjanjian dengan menyemah d***h kambing hitam dalam dan luar kawasan yang dikatakan ‘panas’ tu.
Nampak agak khurafat jugakkan?
Tapi mak aku kata memang jadi. Langsung tak ada gangguan dah. Sehinggalah sekarang. Cuma pawang tu titipkan pesan jaga lidah dan kebersihan khasnya buat perempuan lah.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
Follow Whatsapp FS KLIK SINI