LESUNG BATU

Keadaan kampungku yang masih dipenuhi udara yang nyaman beserta suasananya yang permai, jauh dari hiruk piruk kebisingan suara manusia dan kenderaan menyebabkan aku amat teruja untuk pulang setiap kali aku bercuti sekolah. Semasa itu, aku berada di tingkatan 3, dan memori mengenai peristiwa yang berlaku pada tahun 1992 ini masih tersemat jauh di lubuk mindaku.

Aku suka kehidupan di sini, nampak lebih mudah dan tidak serumit kehidupan di kota bandaraya. Setiap kali dapat peluang untuk pulang ke kampung, aku pasti akan mengisi masaku sepenuhnya dengan aktiviti-aktiviti di kampungku ini. Ibu dan ayah sudah lama meninggalkan aku, satu-satunya anak tunggal yang dijaga bagai menatang minyak yang penuh oleh kedua datuk dan nenekku.

Kehidupan di sini, walaupun tampak mudah, tetapi sebenarnya tersembunyi 1001 rahsia dan misteri, terutamanya di rumah Tok Wan Berahim. Dia dikenali sebagai Tok Batin kampung ini di mana dari segi untuk berubat, untuk meminta yang tidak-tidak dan menilik nasib, dialah orang yang patut dikunjungi. Rata-rata masyarakat kampung memanggilnya Tok Berahim.

Aku teringat kali yang lepas aku pulang ke kampung, di luar rumahnya terlalu ramai orang yang inginkan nasihat atau berubat darinya sehinggakan mereka perlu beratur menunggu giliran. Pelbagai lapisan umur masyarakat di sana berkumpul menyebabkan aku tertanya-tanya juga bagaimana dia boleh jadi sebegitu terkenal di kalangan masyarakat kampung.

Mengikut datukku, semasa berpuluh tahun lepas, muncul gangguan orang minyak yang merogol anak-anak dara di kampung ini, yang mana kebanyakkan orang menuduh bahawa si pelakunya adalah Tok Berahim sendiri. Setelah terlalu ramai yang menjadi mangsa rogol dan cabul, ramai orang kampung mula berkumpul dirumahnya dengan tujuan untuk membalas dendam. Ramai antara mereka yang merupakan golongan ayah-ayah kepada si mangsa yang dirogol mula mengetuk pintu rumahnya dengan kuat.

Masing-masing bersenjatakan parang, cangkul dan kayu, yang mana mereka semua sudah tidak tahan akan perbuatan Tok Berahim tersebut yang mengamalkan ilmu-ilmu khurafat serta mengganggu ketenteraman kampung. Datuk aku menceritakan saat ramai orang mula berkumpul di hadapan rumahnya, tiba-tiba ada satu kepulan asap keluar daripada bawah pintu masuk rimahnya serta berbau kemenyan dan setanggi memenuhi ruang udara di situ.

Tak semena-mena, semua orang yang marah dan kononnya ingin memukul dan membunuhnya masing-masing jadi macam orang sasau. Mereka jadi macam hilang ingatan dan tiada satu pun ingat mengapa mereka berkumpul di situ. Memori dan kemarahan mereka ibarat terpadam dalam sekelip mata.

Saat Tok Berahim membuka pintu rumahnya, datuk aku lihat, semua orang yang berkumpul tak semena-mena bersalam dan berpelukkan dengannya. Ibarat macam dipukau oleh sesuatu yang mistik dan tidak terjangkau dek akal fikiran untuk memikirkannya. Walhal pada awalnya mereka bukan main marah lagi.

Tok Berahim ini bukan setakat tahu ilmu-ilmu sedemikian, malah dia juga boleh menghantar santau dan minyak pengasih. Yang menjadi mangsa minyak pengasih adalah jiran datuk aku sendiri, yang mana rumahnya terletak selang dua rumah daripada rumah datukku.

Gadis cantik berusia 20 tahun itu tidak pasal-pasal jatuh cinta dan tergila-gilakan Tok Berahim. Semasa itu, Tok Berahim sudahpun berumur 58 tahun, mana mungkin dengan tiba-tiba ada gadis yang jatuh cinta padanya kalau bukan disebabkan oleh ilmu yang dia gunakan. Tambahan pula, isterinya masih lagi hidup, tetapi tampak bahawa isterinya itu tidak mampu berkata atau berbuat apa-apa semasa itu.

Hujungnya, mak ayah gadis itu terpaksa berpindah jauh daripada kampung ini. Ada ura-ura mengatakan gadis itu akhirnya m**i akibat m******h diri dengan cara menggantung diri di dalam biliknya sendiri setelah cintanya terhalang oleh ibu bapanya sendiri. Keadaan-keadaan yang berlaku menyebabkan tiada siapa pun mahu mencari pasal atau membuat masalah dengan Tok Berahim. Dia juga mempunyai kehandalan dalam mengubati penyakit.

Bahkan, semasa aku kecil dahulu, ada satu masa itu, aku demam panas yang sangat teruk. Setelah 3 hari tak kebah-kebah, datukku membawa aku berjumpa dengannya untuk berubat. Aku masih ingat lagi semasa itu, saat aku melangkah masuk rumahnya, terhidu bau kemenyan yang sangat kuat.

Semasa menunggu Tok Berahim menyiapkan dirinya untuk mengubati aku, aku dan datukku menunggunya sambil duduk bersila di ruang tamu. Sewaktu aku sedang duduk, pintu sebuah bilik Tok Berahim ini terbuka sedikit, dan apabila dia keluar daripada bilik tersebut, sekilas mata aku memandang nampak akan keadaan di dalam biliknya itu.

Aku terlihat ada satu patung besar yang duduk bersila, di mana terdapat beberapa lilin bewarna merah yang menyala. Patung itu kelihatan ibarat macam satu patung yang selalu kita lihat di negara Thailand. Di balik patung tersebut pula, ada macam satu bukit yang tinggi terdiri daripada lilin-lilin yang telah mencair dan bewarna kemerah-merahan. Keadaan itu memberitahu aku bahawa betapa banyaknya pemujaan dan lilin yang digunakan sebelum ini.

Setelah Tok Berahim membakar kemenyan di dalam satu mangkuk kecil, dia memulakan pemujaan dan asap yang mula terbentuk diusapnya ubun-ubunku. Setelah diasapkan, aku rasa macam ada sesuatu yang terjadi dalam tubuhku. Sukar aku nak menceritakan rasanya, tetapi memang aku dapat rasakan ada perubahan pada tubuhku, yang mana selepas aku tidur semalaman, aku dapat bangkit dengan rasa yang segar dan tidak lagi demam. Sejak daripada itu aku berasa agak yakin dengan kebolehan Tok Berahim untuk mengubati penyakit.

Tetapi, pada percutian aku pada kali ini di kampung, suasananya sedikit berbeza kerana aku baru sahaja dapat tahu bahawa Tok Berahim ini sudahpun bergelar arwah 4 hari lepas. Kematiannya tidak diperasan oleh sesiapa pada asalnya, tetapi saat ada penduduk kampung yang ingin berjumpa dengannya untuk berubat, mereka perasan dia sudahpun terkujur kaku di ruang tamunya.

Tok Berahim ini tinggal seorang diri, dan isterinya sudahpun meninggal 5 tahun lepas, jadi, oleh kerana dia tidak dikurniakan zuriat, proses pengebumiannya ditaja sepenuhnya oleh Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKK).Tiada apa-apa yang mistik mengenai cara kematiannya, dan tiada apa yang berlaku sewaktu pengebumiannya, yang pada awalnya agak rumit memandangkan orang tidak tahu agamanya.

Sesetengah orang mengatakan dia seorang Islam, tetapi, apabila mereka masuk ke dalam rumahnya, ada patung sebegitu besar menyebabkan JKK terpaksa meminta pendapat dan bantuan jabatan agama islam bagi melicinkan proses pengebumiannya. Mereka bersetuju untuk mengebumikannya di tanah perkuburan Islam memandangkan orang-orang kampung tahu bahawa dia sering berkunjung ke surau untuk solat fardhu lima waktu bersama orang kampung yang lain.

Aku meletakkan beg di dalam bilikku setelah aku bersalaman dan memeluk kedua-dua atok dan nenekku. Masak lemak cili api ikan masin dan nanas menjadi antara salah satu masakan kegemaranku. Nenek memang sudah tahu itulah masakannya yang aku suka, dan setiap kali aku pulang, aku akan dijemput dengan masakan tersebut.

Nenekku bekerja di warung yang terletak berhampiran rumah arwah Tok Berahim, di sisi jalan. Nenekku menjual masakan bagi sarapan dan makan tengahari. Mengikut kata-kata orang kampung, mereka amat suka dengan masakannya, yang tidak tertanding keenakkannya. Cerita sahaja tentang Nek Yah, iaitu nama panggilan nenekku, orang kampung semua sudah tahu sangat mengenai masakan-masakannya yang sedap.

Disebabkan itu, sewaktu hayatnya, Tok Berahim akan makan di warung nenekku hampir setiap hari. Pagi dan tengahari, sudah tentu Tok Berahim sudah tercongok di warung tersebut menunggu ketibaan lauk-pauk dan aneka juadah yang dimasak oleh nenekku di rumah. Masakkan kampung Melayu sebegini, mana ada orang boleh tolak.

Nenekku tidur seawal jam 8.45 malam setelah dia selesai solat jemaah bersama atukku di rumah. Rumah kayu ini mempunyai 2 bilik yang mana pada awalnya ada 3 bilik, tetapi memandangkan nenekku sudah mulai memasak dan menjual makanan, yang pada awalnya tiada sambutan tetapi kini mendapat sambutan ramai, bahagian dapur dibesarkan bagi menampung 5 – 6 periuk pelbagai masakan untuk dijual.

Menu pagi seperti nasi lemak dan ayam goreng mulai dijual seawal jam 6.45 pagi lagi, yang mana nenekku serta seorang pembantunya akan mulai masak jam 5 pagi lagi. Aku mengaku aku agak malas nak menolong, kerana aku jenis berjaga malam, tetapi dalam jam 2-3 pagi, aku sudah terlena, dan memang aku tidak akan bangun untuk menolong nenekku memasak.

Tetapi, kalau masakan tengahari, yang mana aku sudahpun bangkit jam 9 pagi, aku akan menolong nenekku untuk memasak seperti biasa seperti memotong bawang, menyiang ikan dan memotong ayam. Aku sebenarnya suka tidur lewat pada waktu malam. Biasanya, jam 1 pagi, aku masih lagi duduk di meja belajarku, yang kadangkala aku manfaatkan masa cuti ini untuk belajar dan membaca novel. Malam yang sejuk dan sunyi sepi memudahkan ilmu untuk masuk ke dalam otakku ini.

Sedang aku khusyuk menumpukan perhatian sepenuhnya membaca buku sains, tiba-tiba aku terdengar bunyi ketukan lesung batu. Bunyinya aku rasakan datang daripada jauh, yang mana antara dengar dan tak dengar sahaja sebenarnya.

“Tung tung tung!”.

Bunyi ketukan lesung batu itu ibarat menjadi semakin kuat dan semakin hampir. Aku segera keluar daripada bilik, kerana aku ingat itu bunyi lesung ketukkan nenekku. Maklumlah dia selalu sudah masak pada awal waktu. Tetapi jangkaan aku meleset, dapur rumah kayu itu gelap gelita, dan atok dan nenekku sedang lena dibuai mimpi di dalam bilik sebelah bilikku.

Aku masuk semula ke bilik, menyambung semula untuk belajar dan membaca buku.

“Tung tung tung!”.

Kali ini bunyinya amat kuat ibarat di balik tingkap bilikku ini. Aku terkejut, dan mula untuk mencari suis untuk menghidupkan mentol yang terletak di luar rumahku. Aku teraba-raba suis lampu tersebut yang terletak di balik almari.

“Tung tung tung!”.

Bunyi ibarat ketukkan lesung itu semakin kuat. Aku terperanjat dan terus aku bacakan ayat kursi dengan kuat. Selepas itu, aku terdengar bunyi ketukkan lesung itu semakin menjauhi pula tiba-tiba. Aku memetik suis lampu seraya membuka tingkap, tetapi tidak kelihatan apa-apa di luar. Lampu mentol bewarna oren itu menerangi bahagia tepi rumahku ini.

Aku agak cuak juga, tetapi aku kuatkan semangat, yang mana aku akhirnya membatalkan hasratku untuk belajar dan aku ingin tidur sahaja. Nasib baik aku ni diberi satu kelebihan untuk mudah tertidur. Walaupun hati ini masih berasa takut, tapi aku lena juga akhirnya.

“Hanif, bangun Hanif, dah Subuh, Mari kita solat jemaah sama-sama”, kejut nenekku lembut.

Aku tanpa banyak soal terus bangkit dan mengambil wudhu. Aku solat berimamkan datukku, dan nenekku solat dibelakangku. Aku berasa sungguh gembira dan tenteram kerana ketika di kampung ini, aku sentiasa akan dapat solat berjemaah bersama kedua-dua datukku. Habis setiap solat, pasti datukku akan berdoa untuk kedua arwah ibu dan bapaku.

Hari itu tidak banyak berbeza daripada hari-hari sebelumnya. Petang itu aku bersama sahabatku, Helmi keluar memancing. Pancing buluh yang diikat dengan tali tangsi berumpankan cacing itu agak mudah mendapat pelbagai jenis ikan air tawar seperti ikan sepat dan ikan puyu. Jika aku berjaya menangkap ikan besar, nanti bolehlah nenekku memproses ikan tersebut menjadi ikan kering. Jika kecil, aku lepaskan sahaja kembali ke sungai.

Nenekku tersenyum melihat aku yang pulang membawa hampir 20 ekor ikan sepat siam yang saiznya boleh tahan juga. Datukku sedang berehat di beranda sambil menghisap rokok daunnya. Dalam hatiku, bahagia sungguh kehidupan mereka berdua ini yang tiada memikirkan masalah-masalah kehidupan kerana pada tahap sebegini, mereka sudah ada semuanya.

Rumah, kereta, basikal, semuanya sudah lengkap. Aku selalu memanjat kesyukuran Kepada Allah yang mana kematian kedua ibu bapaku menjadi hikmah dan rahmat buatku, yang dijaga dengan begitu baik oleh atok dan nenekku.

Malam itu, seperti biasa ketika jam menunjukkan pukul 12 malam. Aku membuka buku untuk belajar, kerana peperiksaan semakin hampir di mana sebaik sahaja cuti sekolah ini habis, terdapat peperiksaan setengah tahun. Tetapi aku sedikit letih dan penat kerana aku keluar memancing hari ini. Aku meletakkan kepalaku di atas meja, kerana aku berasa amat mengantuk.

“Hanif, minta Nek Yah hantarkan sebungkus nasi lemak di rumah aku”, tiba-tiba aku disapa daripada suara dibelakangku.

Aku menoleh dan aku jadi terkejut apabila yang berdiri di belakangku adalah satu tubuh yang dibalut kain kafan. Mukanya serupa macam muka Tok Berahim. Dia memandang tepat pada mukaku, aku jadi terpaku dan kaku.

“Kau dengar tak! Hantarkan nasi lemak ke rumahku! Aku lapar!”

Tiba-tiba sahaja dia bersuara dengan begitu kuat menyebabkan aku tersentak dan tersedar. Aku baru perasan dan sambil mengurut dadaku, lega, itu hanyalah mainan tidur. Aku berdiri untuk menutup lampu kerana lampu masih terpasang kerana aku terlelap tadi, yang mana aku membuat keputusan untuk tidur terlebih dahulu, kemudian baru bangun semula untuk membaca buku.

“Tung! Tung! Tung!”,

Bunyi ketukan lesung batu yang sangat kuat memeranjatkan aku. Tiba-tiba aku berasa ada sedikit keberanian untuk mengintai menerusi tingkap bilikku. Aku memetik suis lampu, tetapi mentol di luar rumah itu tidak menyala. Berkali-kali aku pentik, tetapi tidak menyala langsung.

Aku mencapai lampu picit untuk menyuluh, dan mencari bunyi apakah sebenarnya yang aku dengar. Tetapi tiada apa-apa. Bunyi cengkerik dan katak memenuhi ruang kerana cuaca sepanjang hari ini mendung dan nak hujan daripada petang tadi lagi.

Aku membuka pintu untuk keluar. Aku pentik suis lampu, memastikan suisnya ‘on’. Aku keluar memegang lampu picit. Menyuluh di balik belukar dan semak di tepi rumahku. Entah macamana aku terperasan sinaran mentol bewarna oren itu, iaitu lampu yang terletak di luar rumahku itu sebenarnya menyala, tetapi bagai ada sesuatu yang menutupnya.

Aku halakan lampu picit ke arah mentolku, tak semena-mena aku terlihat sekujur tubuh seperti hantu pocong sedang bertenggek di situ. Dia mulai melompat daripada atas ke bawah, betul-betul dihadapanku. Apabila dia jejak sahaja di tanah, bunyinya seperti bunyi ketukan lesung batu.

Aku terdiam dan kaget. Aku jadi terlalu takut, mukaku menjadi pucat apabila dia betul-betul berdiri dihadapanku. Mukanya sememangnya rupa Tok Berahim. Dia memandang aku. Terlihat mukanya yang pucat dan kebiruan, beserta capukkan tanah yang terdapat pada mukanya dan kain kafannya. Mukanya lebam-lebam. Matanya merah dan terjegil ke arahku. Lidahnya terjelir. Hidungnya tersumbat dengan kapas.

Aku terdiam dan tak mampu nak membaca surah atau berbuat apa-apa. Tiba-tiba datukku membuka tingkap seraya melaungkan azan. ‘Dia’ terdengar bunyi azan dan terus melompat, menjauhi aku ke arah hutan dan semak samun. Setiap kali dia melompat, dan mendarat, bunyi ketukkan lesung kedengaran.

Aku segera masuk kembali ke dalam rumah, memeluk datukku. Aku amat bersyukur kerana dia sempat menolong aku. Jika dia tiada, sudah tentu akan terjadi sesuatu yang bukan-bukan terhadapku. Atukku memesan supaya aku membaca ayat kursi beserta 3 Kul sebelum tidur. Dia berkata kepada aku bahawa dia sendiri pun memang mendengar bunyi-bunyi ibarat ketukkan lesung tersebut.

Setelah aku baca ayat kursi dan 3 Kul, aku membaca doa sebelum tidur. Suasana kampung pada malam itu agak sunyi sepi. Tetapi daripada jauh, bunyi ketukkan lesung yang sayup-sayup kedengaran. Aku tidak boleh lena kerana setiap kali aku meletakkan kepalaku atas bantal dan memejamkan mata, sudah tentu telinga aku masih lagi dapat menangkap bunyi-bunyian tersebut. Bukan itu sahaja, bayangan muka Tok Berahim bermain-main di dalam mindaku.

Esoknya, dari awal pagi selepas Subuh lagi aku dikejutkan oleh nenekku. Dia menyuruh aku mengikut datukku untuk turun dan memasang ‘pagar’ dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran beserta azan. Datukku berpesan kepadaku

“Hanif, lepas ni, sebelum tidur jangan lupa baca apa yang atuk suruh ya”

“Baik atuk”, aku menjawab sambil menganggukkan kepalaku.

“Lepas ni, mungkin akan dengar lagi bunyi-bunyi tu, tapi Hanif kena yakin, macamana kuat pun bunyi tu, dia tidak akan dapat masuk ke dalam rumah kita ni. Jangan beranikan diri sangat untuk berjalan keluar daripada kawasan yang kita pagarkan tadi ya”

Itulah pesanan datukku yang membuatkan hatiku berasa sedikit berani, kerana aku kira datukku juga mempunyai banyak ilmu-ilmu mengenai cara menangkis serangan atau gangguan makhluk halus ini. Setelah 4 sudut di dalam rumah, dan 4 penjuru hujung tanah milik datukku dibacakan ayat-ayat suci dan azan, aku kembali masuk ke rumah menolong nenekku untuk memasak.

Sejak daripada kejadian itu, aku dapat rasakan aku tidak lagi diganggu oleh ‘benda’ itu, tetapi pada waktu awal pagi lebih kurang jam 3 – 5 pagi, pasti aku akan mendengar bunyi ketukkan-ketukkan lesung tersebut. Sampai pada satu masa, aku tidak lagi hairan dan takut mendengar bunyi-bunyi sebegitu, kerana aku begitu yakin mengenai proses pemagaran yang dibuat aku bersama datukku menyebabkan ‘dia’ tidak boleh menghampiri kami

Kini, 15 tahun kemudian, aku tidak lagi duduk bersama mereka berdua, sebaliknya aku terpaksa duduk di bandaraya memandangkan aku mendapat pekerjaan di firma syarikat guaman. Lagipun, 8 tahun lepas, aku kehilangan mereka berdua. Atukku terkena serangan angin ahmar, dan nenekku pula, 2 minggu selepas pemergian datukku, dia meninggal dunia akibat sakit jantung.

Aku kadangkala teringin untuk balik semula ke situ, malangnya, tapak rumah mereka kini sudahpun bertukar dengan ladang kelapa sawit milik seorang usahawan dari kampung itu juga, iaitu Helmi. Melihatkan pokok-pokok kelapa sawit yang menggantikan rumah datukku sedikit sebanyak menyebabkan aku berasa sedih.

Namun, apa yang membingungkan ialah tapak rumah Arwah Tok Berahim, yang mana bahagian ruang tamunya, jambannya dan dapurnya sudah musnah, namun bilik yang menempatkan patung dan tempat pemujaan Tok Berahim masih berdiri di balik pokok sawit yang beratus-ratus batang di situ. Helmi ada bercerita kepadaku bahawa usaha untuk memusnahkan tempat itu gagal kerana mana-mana pekerja yang terbabit dalam pekerjaan itu semuanya jadi demam panas dan sakit teruk.

Hal yang demikian menyebabkan Helmi hanya membiarkan sahaja tapak bilik pemujaanya itu. Tempat itu terlalu ‘keras’ baginya, dan mahu tak mahu, dia membiarkan sahaja bilik tersebut yang telah dinaiki rumput dan tumbuhan liar, ibarat menunggu masa nak roboh. Wallahualam.

TAMAT

Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Ilzanno Sharky

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 3 Average: 5]

12 thoughts on “LESUNG BATU”

  1. Best! Seram… mak aku pun slalu tumbuk cili lewat2 mlm. Sllunya aku seronok dgr bunyi lesung mak aku malam2 sbb tandanya esok aku akak makan nasi goreng cili kering atau nasi lemak sambal tumbuk. Tapi sekarang bunyi lesung mlm2 th buat aku berdebar plak…

    Reply
  2. Best story ni… dan boleh feel hidupan kampungnya. Kalau ada lagi story la. Al Fatihah buat keluarga2 mu yang dah pergi.

    Reply
  3. X boleh brain lah korang yg terlebih berani ni.. tidak makna lah klu aku nk buka tingkap buka pintu nk tengok apa yg berlaku kt luar umah waktu mlm² buta.. baik lah aku tutup lampu, lps tu tumpang tido kt bilik org lain.. serammmmmm… 😂😂

    Reply
  4. Nak tegur sikit…ikan sepat tak makan pancing bro..ikan puyu jer yg mkn pancing..org selalu tangkap ikan sepat dgn jala…bubu…jaring…takpon dituba…nasib takder yg kaki pancing dok baca…kalo idak mmg geleng kepala deme ni…aper pon citer mmg best..tp fakta kn betul…

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.