Looping

Salam admin dan kepada semua pembaca FS. Nama aku Tiyan dan aku ingin berkongsi pengalaman seram aku kepada semua. Pengalaman ni berkaitan dengan ‘looping’ dan sampai sekarang aku susah nak percaya apa yang pernah aku lalui. Kalau diingatkan balik, aku sendiri pun masih trauma dan takut.

Kisah ni bermula pada tahun 2015 ketika aku masih berusia 16 tahun. Kebetulan masa tu cuti hujung tahun. Jadi, aku mengambil kesempatan itu untuk bekerja ‘part time’ di sebuah kedai telefon di sebuah kompleks membeli-belah yang usianya sedikit tua. Maaf, aku tak dapat nak share lokasi tempat tersebut kerana daerah yang aku tinggal hanyalah sebuah tempat yang kecil.

Dijadikan kisah, aku dah dua minggu bekerja di kedai telefon tersebut dan semuanya berjalan seperti biasa. Untuk pengetahuan, syarikat yang aku bekerja ada dua buah kedai di dalam bangunan tersebut. Jadi, memang aku sedikit sibuk untuk menghantar stok ke tingkat 3 dan ke Ground floor setiap hari. Dan perlu menggunakan lif bila ada pelanggan yang nak membeli telefon dari kedai tingkat atas atau bawah.

Suatu hari tu, kebetulan kami sedang memeriksa stok kabel telefon yang baru sampai dan aku lah yang bertugas untuk mengagihkan stok-stok itu untuk kedai di tingkat 3 dan tingkat bawah. Teman sekerja aku yang seorang ni pula tengah sibuk nak urus stok telefon. Jadi, terpaksalah aku seorang yang membawa barang-barang tersebut naik ke tingkat 3.

Jam telah menunjukkan ke pukul 6 petang dan banyak pekerja-pekerja di dalam bangunan itu pulang ke rumah (Biasanya, bangunan ini akan mula sunyi pada pukul 5 petang). Aku pun pergi ke arah lif yang memang sedikit tersembunyi di dalam bangunan itu. Itu pun perlu menunggu beberapa minit untuk lif sampai di tingkat bawah memandangkan ramai yang ingin menggunakan lif untuk turun ke bawah.

Selesai menghantar stok ke tingkat 3, aku pun berbalik ke arah lif semula dan aku melihat ramai sungguh pekerja-pekerja dari tingkat 3 itu ingin menggunakan lif untuk turun ke tingkat bawah. Terlalu ramai sehingga perlu sedikit berhimpit di ruangan menunggu lif. Aku sedikit hairan dengan keadaan itu kerana terlalu ramai pula orang yang menunggu lif sedangkan biasanya tidaklah terlalu ramai macam ni.

Terlalu lama menunggu lif, akhirnya aku mengambil keputusan untuk mengambil tangga yang hanya berhadapan dengan ruangan lif. Kalau nak menunggu lagi, pasti lama sangat. Sudah beberapa pintu lif yang terbuka dan semuanya sudah dipenuhi dengan pekerja-pekerja bangunan itu. Entah sampai bila pula boleh sampai giliran aku.

Sebelum masuk ke pintu tangga, sempat juga aku memandang ke arah semua orang yang berada di situ. Kesemua mata memandang ke arahku tanpa reaksi namun sedikit menyeramkan. Hanya beberapa orang sahaja yang tidak mempedulikan aku. Terasa seram juga hati aku dengan pandangan mata mereka tetapi aku malas pula nak bertanya.

Masuk sahaja aku di dalam ruangan tangga, situasi sekeliling tiba-tiba menjadi sangat suram dan menyeramkan. Ada beberapa lampu tangga yang sudah ditutup dan membuatkan keadaan di ruangan tangga sedikit malap.

Biasanya, tangga ni memang agak sunyi kerana takda sesiapa pun yang berani nak pakai tangga bangunan ni kalau waktu petang macam ni. Mungkin sebab keadaan dia yang suram dan cat dinding yang sudah lusuh membuatkan mereka takut ingin menggunakan tangga.

Risau bos aku marah sebab terlalu lama, cepat-cepat aku turun anak tangga agar cepat aku boleh sampai ke kedai tingkat bawah. Nanti tak pasal-pasal bos aku meletup pula.

Turun… turun… turun…

Aku mula rasa hairan. Aku rasa dah lebih 3 tingkat aku turun, tapi tak sampai-sampai. Jantungku mula berdegup sedikit kencang. Takut ditambah dengan letih sebab turun tangga yang tak pandai nak sampai-sampai ke destinasi. Ditambah pula dengan suasana tangga yang suram membuatkan aku sedikit kecut perut.

Aku mula membuka langkah untuk turun lagi ke tingkat bawah. Berharap agar aku dapat menjumpai pintu keluar dari sini. Tak kesahlah tingkat mana pun, janji aku dapat keluar dari sini dan mengambil lif untuk turun ke tingkat bawah.

Turun… turun… turun…

Hatiku mula tak keruan. Mata aku dah tertangkap pada nombor tingkat yang tertulis di dinding. Tapi, yang membuatkan hati aku rasa seram adalah bila melihat nombor tingkat yang tertulis adalah nombor 4. Macam mana boleh dari tadi aku turun dari tingkat 3 dan sekarang sampai ke tingkat 4 pula? Takkah pelik tu?

Dapat aku rasa jantungku berdegup dengan kencang. Baru aku perasan setiap tingkat yang aku turun tidak mempunyai pintu keluar sedangkan aku kenal sangat dengan bangunan ni. Mustahil takda pintu. Mana perginya pintu-pintu setiap tingkat di tangga ni?

Aku mula menggigil satu badan. Nak lari, lari ke mana? Mana ada jalan keluar! Aku mula turun lagi tapi dengan kadar yang lebih cepat. Namun, sama! Nombor kat dinding masih bernombor 4! Kenapa ni? Kena prank kah apa aku ni?

Aku rasa nak menangis dah waktu tu. Telefon pun tertinggal kat kedai tingkat bawah. Macam mana nak telefon minta tolong? Aku tengah bermimpi agaknya. Tapi, ini memang betul-betul terjadi.

Entah kenapa tiba-tiba aku terdengar ada suara perempuan sedang berbisik-bisik di ruangan tangga tu. Tak jelas, tapi aku tahu tu memang suara seorang perempuan. Hati aku mula sedikit tenang. Akhirnya, aku tak berseorangan di sini.

Aku mula turun lagi ke tingkat bawah untuk mencari perempuan itu. Tapi takda. Aku turun lagi untuk mencari, namun sama takda. Aku mula rasa pelik. Nombor di setiap tingkat juga masih sama. Tingkat 4.

Hati aku mula tak keruan. Aku dah tak tahu nak buat apa. Yang aku tahu cuma nak menangis. Aku nak jerit minta tolong tapi aku takut nak keluarkan suara sebab aku tahu ada yang tak kena dengan situasi aku.

Entah secara tiba-tiba aku terfikir nak naik balik ke tingkat atas. Kot-kot boleh balik ke tingkat 3 tadi dan keluar dari pintu masuk tadi. Cepat-cepat aku berlari naik ke atas.

Tiba-tiba belum lagi aku sampai ke tangga kedua, aku melihat ada seorang perempuan berpakaian baju kebaya berwarna kuning berdiri di tangga sambil menundukkan kepala. Masih ada suara-suara bisikan yang kedengaran dari perempuan tu tapi lebih laju dari tadi.

Aku terpaku kat situ. Aku dah dapat agak pasti perempuan itu bukan manusia seperti dia. Sebab tu aku tak tegur perempuan tu.

Tiba-tiba bisikannya terhenti beberapa detik sebelum ada suara nyanyian muzik asli yang aku pun tak tahu muzik asli apa. Mendayu-dayu memenuhi ruangan tangga sebelum perlahan-lahan perempuan baju kebaya kuning itu mula menari tarian tradisional di situ diikuti oleh ilai tawa.

Aku yang menggigil ketakutan terus berlari turun ke bawah dengan jantungku yang terasa nak tercabut dari tangkai. Aku dah tak peduli berapa banyak dah anak tangga aku turun. Yang penting aku lari.

Entah macam mana pula aku tersalah langkah sampai aku terjatuh dari tangga yang agak panjang. Badan aku rasa lemah dan sakit sebelum aku tak sedarkan diri. Lagu muzik asli dan tawa dari perempuan itu tadi pun semakin menghilang dari pendengaran aku.

Bangun-bangunnya aku esok pagi tu aku kat hospital dengan kaki kanan dan jari tangan aku berbalut. Badan pun tak dapat nak gerak.

Masa aku bangun tu, mak aku ada kat sebelah jaga. Bila aku ditanya, aku pun cerita semua kat mak aku tapi aku tak tahu apa yang berlaku lepas dah aku jatuh dari tangga tu.

Muka mak aku macam pelik ja tengok aku tapi takda pula dia nak cakap apa-apa. Malam tu kawan sekerja aku datang dengan bos aku sekali. Macam-macam diorang tanya khabar aku.

Tapi yang aku pelik, diorang kata diorang jumpa aku terbaring kat luar pintu tangga basement lepas dah dua jam aku tak balik-balik ke kedai. Ada juga yang nampak aku ke basement sambil ketawa seorang diri sebelum hilang di basement tu.

Aku yang dengar pun terkejut. Sedangkan yang aku ingat kali terakhir aku tak sedarkan diri masa aku jatuh tangga. Sejak bila aku berjalan sambil ketawa pun tak tahu.

Kawan-kawan sekerja dan bos aku pun pelik. Dalam keadaan kaki aku yang cedera ni pun macam mana aku boleh berjalan lagi ke basement. Sampai sekarang aku tak tahu apa yang berlaku dan hanya mendengar para saksi yang nampak aku masa tu.

Yang lagi pelik, masa aku nak masuk ke ruangan tangga tu, ada beberapa orang yang nampak aku tengah menunggu lif untuk turun ke bawah. Masa tu hanya beberapa orang sahaja tunggu kat situ. Tapi, diorang pelik sebab aku tiba-tiba pilih untuk guna tangga. Aku terkejut juga waktu tu. Sedangkan dengan mata kepala aku sendiri nampak ramai orang yang sedang menunggu di ruangan lif tu.

Beberapa minggu tu aku lebih banyak mendiamkan diri. Aku berhenti dari kerja sebab keadaan aku yang sakit. Nasib saja bos aku faham dan tambahkan sedikit gaji aku. Hehehe…

Bila disiasat-siasat kat orang, ada yang bagitahu kat tangga bangunan tu pernah ada kes orang d*****h. Diorang kata kat sana ada seorang perempuan berbangsa Indonesia yang berasal dari Bali bekerja kat tempat urut di tingkat 4. Perempuan tu memang suka menari dan menyanyi ikut budaya dia dan hari-hari pakai baju kebaya berwarna kuning mengikut peraturan tempat urut tu.

Diorang kata, ada salah satu pelanggan perempuan tu suka kat perempuan tu sampai sanggup r*g*l dia kat tangga sebelum d*****h kat situ juga hanya gara-gara perempuan tu jual mahal. Mayat dia diseret sampai ke tangga basement sebelum ditinggal kat situ. Jadi, roh dia masih bergentayangan kat situ.

Sebab tu orang tak berani nak guna tangga selepas dah pukul 6 petang sebab waktu tu adalah waktu perempuan tu d*****h kat situ. Ada juga yang pernah kena kacau tapi cuma setakat terdengar ada perempuan menyanyi musik asli bali kat situ. Tak pernah pula orang terkena teruk macam aku kena ni.

Hampir tiga bulan juga aku guna tongkat ke sekolah. Nasib baiklah aku ni jenis cepat move on dengan pengalaman seram tu. Tapi, memang lama juga aku tak nak masuk bangunan tu. Trauma sampai takut nak masuk walaupun bukan nak guna tangga pun. Hahaha!

Sekian, itu sahaja pengalaman seram aku. Ada satu lagi pengalaman seram yang aku pernah alami. Tapi, takdalah seseram yang ini. Tunggu aku rasa rajin nak type, baru aku cerita. Terima kasih dan bye semuanya!

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Tiyan

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 40 Average: 4.9]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.