Tidak berapa lama selepas kejadian bellman yang “diusik” penjaga pokok itu, seorang pekerja restoran bernama Loga berbangsa india pula diganggu. Loga masuk kerja awal pada satu hari untuk menyediakan apa yang perlu sebagai persediaan restoran sebelum dibuka.
Kawasan luar restoran telah ditempatkan beberapa kerusi dan meja untuk dijadikan ruang untuk guest yang merokok. Kebiasaannya pekerja restoran akan meletakkan bantal di kerusi kerusi luar apabila mereka membuka operasi restoran. Bila restoran menutup operasi pada sebelah petang, bantal bantal itu akan disimpan didalam restoran bagi mengelakkan ia basah terkena air hujan.
Pagi itu, ketika Loga ingin meletakkan bantal di luar, dia ternampak seseorang berbaju putih di kawasan itu. Dia beranggapan bahawa itu adalah pekerja public area yang sedang menyapu sampah disitu. Kebetulan rakan rakan public area dibawah seliaanku memang menggunakan uniform berwarna putih.
Apabila dia membuka pintu kaca, tiba tiba yang disangkanya pekerja public area berbaju putih itu terbang naik kelangit sambil mengilai panjang dan terbang melayang menuju ke pokok besar yang letaknya berhadapan sahaja dengan kawasan luar restoran itu. Loga terkejut dan terus berlari masuk ke dalam restoran. Setelah penyelia restoran dan rakan rakannya yang lain masuk kerja, Loga terus meminta untuk balik awal. Keesokan harinya, dia demam dan tidak dapat datang bekerja selama dua hari.
Seperti biasa, aku perlu meronda dan memeriksa keadaan di setiap kawasan awam termasuklah restoran beberapa kali dalam satu hari. Kebiasaannya selepas waktu sarapan kerana aku dan rakan rakan public area perlu melakukan pembersihan sebelum masuk waktu makan tengahari.
Satu hari , selepas waktu sarapan pagi, ketika aku dan rakan rakanku sedang membersihkan kawasan restoran, Fadil, seorang pekerja dapur restoran menegurku.
“Am, budak kau kena rasuk ke?”
“Eh, budak saya okay bang. Ni ada dengan saya ni.” jawabku sambil menunjuk kepada tiga orang rakanku yang bertugas pada pagi itu. Ada Aishah, Hamdan dan Ikram. Mereka kelihatan normal dan sedang tekun melakukan kerja masing masing seperti biasa.
” Dalam group whatsapp hotel dah kecoh ni budak perempuan housekeeping kena rasuk.” balas Fadil sambil menunjukkan handphone miliknya. Aku segera membuka aplikasi whatsapp, dan benar kata Fadil. Seorang pekerja room attendant (pembersih bilik) bernama Dina, meracau racau dan telah dibawa ke pejabat housekeeping.
Aku segera mengarahkan ketiga tiga orang rakanku untuk meneruskan kerja mereka dan memberi arahan untuk kerja seterusnya kerana aku mahu ke pejabat untuk melihat keadaan Nida.
“Kau nak biji lada Am?” tanya Fadil sambil menghulurkan tisu yang dilipat, dalamnya sudah diisi dengan lada hitam. Fadil berpesan supaya aku memberikan kepada Kak Ina Security, katanya Kak Ina yang mahukan biji lada hitam tersebut. Aku mengambil dan menyimpannya di dalam poket seluarku.
Sebelum aku bergerak meninggalkan restoran menuju ke pejabat, aku teringatkan pesan Pak Tam agar menggunakan ranting yang berduri sekiranya berhadapan dengan situasi orang kerasukan. Petua orang lama, katanya makhluk makhluk halus takut dengan tumbuhan berduri tajam dan akan meninggalkan sebentar tubuh yang dirasuki mereka. Aku sendiri ada menyimpan lidi tajam penyungkil gigi di dalam wallet sebagai petua mengelakkan sihir. Kerana teringatkan pesan Pak Tam itu, aku segera mengambil sebatang ranting berduri dari pokok bunga di kawasan luar restoran.
Sampai sahaja di pejabat housekeeping, aku lihat Nida sedang duduk di kerusi dan kedua tangannya di pegang oleh Miss Wong, pengurus housekeeping dan Mister Teoh pengurus room division. Kak Ina dari security seperti sedang mengubati Nida, aku lihat dia membaca sesuatu sambil tapak tangannya memegang dahi Nida.
Tanpa disuruh, aku menghulurkan bungkusan biji lada hitam yang diberikan Fadil tadi kepada Kak Ina. Dia mengambil beberapa biji lalu diletakkan di celahan kaki Nida, namun tiada sebarang reaksi dari Nida. Nafasnya berbunyi kasar, manakala matanya tidak berkelip memandang tepat ke arah Kak Ina.
“Siapa yang hantar kau?” tanya Kak Ina keras kepada Nida yang sedang kerasukan. Secara peribadi, aku kurang setuju dengan soalan itu kerana jikalau makhluk yang merasuki tubuh Nida menyatakan satu kebohongan maka ianya akan menjadi satu fitnah. Nida tidak menjawab, dia menjegilkan matanya kepada Kak Ina. Beberapa orang rakan yang ada di pejabat berulang ulang menyuruhnya mengucap.
Aku membaca perlahan Surah Fatihah tiga kali, An Nas tiga kali, Ayat Kursi tiga kali dan ayat pembuka yang telah Pak Tam ajarkan kepadaku sambil memusatkan pandanganku ke arah Nida. Tiba tiba dia bangun dan mengalihkan pandangannya kepada aku. Tangannya terlepas dari pegangan Miss Wong dan Mister Teoh, semua orang terkejut.
“Allahuakbar!” spontan aku berteriak perlahan, terkejut dengan apa yang aku lihat, dibelakang Nida ada satu tubuh berbungkus seperti pocong dan satu sosok wanita yang tidak berkepala. Pocong itu kelihatan meronta ronta, manakala wanita yang tidak berkepala itu seakan akan menghimpit dan tangannya yang panjang dan berkuku tajam mencakar cakar pocong itu. Mendengar sahaja aku berteriak takbir, bayangan pocong dan wanita tidak berkepala itu hilang. Nida jatuh semula ke atas kerusi.
Aku menyambung membaca surah An Nas, tangan Nida terangkat dan menunjuk ke arah aku walaupun matanya tertutup dan kepalanya menunduk. Semua orang memandangku hairan.
“Lawan dia Nida, kita punya upaya. Jangan biar dia pula yang kawal kita.” kataku sambil mengeluarkan ranting berduri dari poket seluar lalu aku letakkan di hadapannya. Nida menjegilkan matanya kepadaku, dia cuba bangun tapi jatuh semula dan terus pengsan tidak sedarkan diri. Miss Wong dan Kak Ina memapahnya duduk.
“Dia ni kena buatan orang ni.” kata Kak Ina.
“Ayah dan abangnya meninggal kena buatan orang.” sampuk Mastura, rakan Nida yang turut berada di pejabat. Kami mendengar cerita Mastura, menurutnya keluarga Nida di kampung telah disihir. Ayah serta abangnya meninggal dalam keadaan yang mengerikan akibat sihir. Miss Wong meminta supaya Mastura menghubungi keluarga Nida untuk memaklumkan keadaannya.
“Sebelum ni okay sahaja, hari ni dia pergi ke tingkat 8 terus jadi macam ni.” kata Miss Wong. Aku mengesyaki ada sesuatu yang berlaku di tingkat itu hingga menyebabkan Nida kerasukan. Kerana sebelum ini, tidak ada apa apa yang berlaku ketika dia mengemas bilik di tingkat lain. Memang ada kejadian kejadian aneh berlaku di Tingkat 8 sebelum ini. Malah menurut Iera dan Hidayah yang sebelum ini bekerja di situ, mereka kerap diusik seperti namanya dipanggil orang, tapi bila ditoleh tiada sesiapa berada disana. Tapi belum ada lagi mereka dirasuk.
Setelah Nida dihantar pulang oleh Mastura dan Miss Wong, aku sengaja mengajak rakanku Ikram untuk ikut bersama denganku ke tingkat 8 setelah berkongsi cerita apa yang berlaku di pejabat housekeeping tadi.
“Kalau kat tingkat 8 aku tak nak lah!”
“Lah…kenapa pula?” tanya aku kehairanan. Biasanya Ikram tidak menolak untuk menemani aku. Dia akhirnya membuka cerita tentang kejadian diusik makhluk halus di tingkat 8. Kejadian itu berlaku ketika dia dan Sarim bertugas pada shift malam. Sarim turun kebawah untuk merokok manakala dia menghabiskan waktu rehat di pejabat housekeeping. Dalam pukul 12 setengah malam, dia menerima satu panggilan telefon menerusi telefon pejabat yang tertera dari tingkat 8.
Ikram tidak menjawab panggilan itu kerana dia beranggapan bahawa Sarim sedang bergurau dengannya. Dia menghantar pesanan mesej kepada Sarim bertanya sekiranya ada apa apa yang perlu untuk dia bantu. Sarim membalas pesanan mesejnya itu dengan menghantar gambar sedang merokok. Ikram pelik, siapa pula yang menelefon dari tingkat 8 itu.
Tiba tiba telefon pejabat berbunyi lagi, dari tingkat yang sama. Ikram menjawab panggilan itu.
“Hello, Housekeeping, Ikram disini. Ada apa bolej saya bantu?”
Sunyi, soalannya tidak berjawab. Tiba tiba dia terdengar suara perempuan merintih meminta tolong. Terkejut dengan apa yang didengarnya, Ikram bertanya lagi, “Siapa ni?”
Suara perempuan yang meminta tolong itu berubah menjadi ketawa kecil dan terus mengilai panjang. Ikram meletakkan ganggang telefon. Segera dia bangun dan keluar dari pejabat housekeeping menuju ke smoking area mendapatkan Sarim. Aku menggaru kepala mendengar cerita Ikram. Guest hotel tidak mungkin tahu nombor extension pejabat housekeeping, jadi siapa yang menelefon pada waktu malam malam begitu?
Aku membatalkan sahaja niatku untuk ke Tingkat 8. Aku beranggapan bahawa makhluk wanita yang tidak berkepala itu adalah makhluk yang menghuni di tingkat itu dan makhluk itu merasa kurang senang dengan kehadiran pocong yang mengikut Nida. Kerana itu dia menyerang pocong yang disihirkan kepada Nida itu.
Selepas dari kejadian itu, Nida dikhabarkan telah berhenti kerja dan pulang ke kampung halamannya untuk berubat. Aku hanya mampu mendoakan kesejahteraan dan keselamatannya, semoga dia dan keluarga dapat bertemu perawat yang dapat menghabiskan sihir yang membelenggu keluarga dan dirinya itu.
Tingkat 8 masih seperti biasa, Hidayah kembali bekerja dan menjaga bilik bilik di situ. Aku masih juga mengelak kesana kalau tiada apa apa kerja, bukan takut tapi tak berapa nak berani untuk menatap makhluk yang tidak berkepala tu.
Follow Whatsapp FS KLIK SINI