MAKMUM DARI ROHINGYA

MAKMUM DARI ROHINGYA

Durasi bacaan – ~8 minit/ 1,800+ perkataan

Nama aku Aziz, aku merupakan salah seorang jururawat di sebuah hospital yang terletak di utara tanah air. Aku masih teringat lagi kejadian yang berlaku di sekitar tahun 2015 ketika aku sedang bekerja di wad pembedahan lelaki di sebuah hospital yang terletak di utara tanah air. Keadaan hospital sedikit sibuk kerana sewaktu itu dan khususnya di bahagian bilik mayat kerana pihak polis baru sahaja menemui satu kawasan perkuburan besar yang di dalamnya terdapat banyak mayat warga Rohingya (dalam satu lubang kubur yang sama).

Keadaan mayat yang dihantar ke situ untuk tujuan bedah siasat berada dalam beberapa peringkat pereputan. Ada yang sudah mereput dan terdapat banyak berenga di dalam bahagian mulut mayat tersebut dan ada juga yang hanya tinggal rangka sahaja. Disebabkan itu juga, bilik mayat menjadi sendat dan penuh kerana mereka terpaksa menerima mayat pesakit yang maut di hospital tersebut juga.

Apabila kapasiti bilik mayat tersebut telah pun penuh, maka, pihak hospital tiada pilihan lain kecuali terpaksa meletakkan mayat tersebut di luar bilik mayat. Mayat-mayat tersebut diletakkan di dalam beg plastik bewarna hitam dan disusun dengan elok. Beberapa rangka besi dan berlangsir diletakkan sebagai dinding untuk mengelakkan orang ramai terpandang sesuatu yang amat menyeramkan. Kalau korang nak tahu, itulah sebabnya mengapa kedudukan bilik mayat ini terletak sedikit jauh dan adakalanya tersembunyi. Bukan sebab nak bagi kawasan tu lagi seram, tetapi lebih kepada nak mengelakkan orang biasa terlihatkan mayat-mayat tersebut walaupun berada di dalam beg mayat. Takut-takut ada yang terkena badi mayat pula.

Aku masih teringat semasa itu, di mana salah seorang doktor yang bekerja di jabatan forensik sebagai pakar autopsi sememangnya kelihatan tak cukup tangan dalam membedah siasat dan mengenalpasti punca kematian kebanyakan mayat yang dijumpai di situ.

Mereka bekerja mengejar masa untuk mendapatkan punca kematian secepat mungkin kerana mayat-mayat yang terpaksa diletakkan di luar daripada ruangan beku. Pembekuan mayat ini konsepnya sama dengan pembekuan daging. Suhu yang rendah ini akan merencatkan pertumbuhan mikro-organisma yang merupakan salah satu faktor utama yang memainkan peranan penting dalam proses pereputan mayat.

Namun, disebabkan ruangan beku itu sudah pun penuh, maka, mayat yang terpaksa diletakkan di luar itu perlu diproses secepat mungkin. Semakin reput sesuatu mayat itu, semakin sukarlah untuk pakar bedah siasat untuk mendapatkan punca kematian. Maksud aku, proses bedah siasat itu akan mengambil masa yang lama apabila keadaan mayat berada di dalam peringkat pereputan yang advance dan ketika itu, masa merupakan satu faktor yang amat berharga buat pakar tersebut.

Juga, aku masih teringat lagi sewaktu itu, sesiapa yang berjalan melintasi hadapan bilik mayat termasuk penulis ni sendiri akan terbau sesuatu yang amat teruk dan meloyakan. Manusia ini, disebabkan diet seseorang itu omnivor, apabila m**i, baunya memang amat busuk. Jauh lebih busuk daripada bau bangkai ikan paus yang tersadai di atas pantai di negara luar. Tuhan jadikan jasad kita ni berbau busuk kerana apabila kita m**i, senanglah orang nak mencari mayat kita walaupun tersembunyi di mana sekalipun. Aku rasa, korang semua mesti pernah dengar pasal kes orang yang m**i di dalam rumah berseorangan kan? Macam mana polis boleh jumpa mayat dia? Mudah, apabila jirannya terbau busuk, maka mereka akan menelefon pihak yang bertanggungjawab. Nampak tak betapa hebatnya kuasa Allah ni? Benda yang busuk pun ada sebab yang baik disebaliknya. Kalau tak bersyukur lagi tak tahulah nak kata apa…

Baik, sambung cerita, pada satu malam tu, aku bekerja syif on-night (ON) di mana aku bekerja mulai jam 9.00 malam dan pulang ke rumah pada jam 7.00 pagi. Aku perasan pula medical officer (MO) yang bekerja di wad aku pada malam itu, iaitu Dr Satesh. Dia memang terkenal dengan kejonahan dia dan ditambah pula dengan House Officer on-call malam tu yang merupakan penulis cerita ni :-P. Bak kata staf hospital, memang double J la.

Ala, sebelum korang nak tanya apa maksud jonah tu, senang cerita, dia macam ni. Sesiapa staf yang jonah ni, kalau masa dia bekerja, pasti ada kematian pesakit, pesakit yang tak stabil tiba-tiba dan lain-lain. Ya, ya, aku tahu percaya perkara berkenaan memang tidak patut dan boleh sampai ke tahap syirik kalau korang percaya benda tu dengan serius. Nak melawak sikit-sikit mungkin boleh kot.

Memang keadaan wad amat sibuk malam itu. Pada lebih kurang jam 1.45 pagi, seorang pesakit yang berada di katil 15 meninggal dunia walaupun kami semua bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa pesakit tersebut. CPR berlangsung lebih daripada 30 minit waktu itu. Setelah kesemua urusan kematian diselesaikan di wad dan borang semua sudah pun lengkap diisi dan ditandatangan, aku menolak jenazah ke jabatan forensik bersama seorang PPK (Attendant) bernama Shukri. Sebaik sahaja urusan penghantaran jenazah dan dokumentasi selesai, tanpa aku sedari, jam sudah pun menunjukkan pukul 3.00 pagi.

Sewaktu itu, kawasan di jabatan forensik telah pun berkurangan banyak jumlah mayat yang diletakkan di luar berbanding dengan beberapa hari yang lepas. Untuk jasad pesakit yang merupakan warganegara dan meninggal di hospital, jasad ini merupakan keutamaan dan ruangan untuk meletakkan mayat ini memang sentiasa ada. Bukan double standard, tetapi sudah tentu kita prioritize orang kita sendiri berbanding dengan orang asing bukan? Aku harap korang faham perkara ni sebab takut juga tiba-tiba muncul Md Rayhan Kabir 2.0 pula disebabkan penulisan ini.

Sedang aku berjalan bersama Shukri untuk menghantar kotak mayat (coffin) ke wad, baru aku perasan yang aku masih belum menunaikan solat Isya’ lagi. Astaghfirullah hal azim, aku beristighfar di dalam hati. Aku terlalu sibuk menguruskan pesakit sejak aku menerima passover jam 9.00 malam tadi sehingga aku hampir terlupa menunaikan solat.

Aku berkata kepada Shukri, dan dia hanya tersengih sahaja kerana dia macam nak memerli aku pula mencari alasan malas untuk nak menolak kotak mayat kembali ke wad. Tapi dia tak boleh nak kata apa-apa kerana alasan aku nak menunaikan solat, takut dia rasa berdosa pula nanti sebab membuatkan aku solat lewat lagi 5 minit. Lagipun, sebelum aku kembali ke wad, baik aku solat siap-siap. Aku tahu, tiba di wad nanti, sudah tentu kerja tak akan berhabis.

Sebelum dia sempat berkata apa-apa, segera aku berkata dengan Shukri apabila melihat mukanya yang dah nak mulai berkata sesuatu untuk menyakat aku.

“Yelah, ang tunggu la aku solat sat. 5 minit ja (sahaja)” aku berkata kerana aku tahu, aku boleh selesai solat dalam masa 5 minit sahaja, dan boleh kembali ke wad bersama Shukri serta kotak mayat daripada wad tadi.

“Banyak la ang. Dah dah, gi solat tu, aku tunggu”, katanya sambil matanya melihat skrin telefon pintarnya.

Jadi, aku segera ke surau yang terletak kira-kira 10 meter sahaja daripada bilik mayat tersebut. Aku terus mengambil wuduk setelah aku membuka kasut dan stokin aku. Suasana di dalam surau tersebut amat sunyi. Atmosferanya juga sejuk yang amat kerana pendingin hawa jenis centralized memang sejuk terutama sekali pada waktu malam sehingga ke pagi. Aku menghamparkan sejadah, dan terus mengangkat takbir.

“Allaaaahuakbar…”, aku mengangkat takbir dan mulai membaca doa Iftitah. Aku baru sahaja aku nak memulakan bacaan surah Al-Fatihah, tiba-tiba aku terdengar

“Allahuakbar”, kedengaran takbir seorang lelaki berdasarkan suaranya mengangkat takbir dari sisi kananku.

Kepala aku yang sedikit tertunduk menampakkan aku 2 orang makmum yang baru sahaja memasuki saf. Aku pun terus membaca surah dengan sedikit kuat memandangkan kini, aku mengimamkan solat Isya’ ini untuk makmum yang baru masuk saf di belakangku.

“Siratallazina an`amta `alayhim ghayril-maghdhu bi `alayhim waladh-dhallin…Aaamiin”

Aku hampir terkejut apabila lafaz Amin tersebut disahut dengan kuat, seolah-olah ada ramai makmum dibelakangku. Aku tidak fikir yang bukan-bukan kerana pada tanggapan aku, mungkin saudara-mara mahupun waris pesakit yang duduk jauh datang ke hospital menziarahi keluarga dan sahabat mereka di wad. Sesuatu yang tidak pelik di hospital ini aku kira walaupun ketika jam 3.00 pagi.

Aku meneruskan solat seperti biasa. Semasa aku rukuk, memang aku nampak kelibat kaki di belakangku. Ya, aku tahu, aku dah tak khusyuk dah masa tu. Tambahan pula, di balik saf pertama, aku terlihat pula sebaris lagi makmum memakai telekung. Itu aku tidak kisah, namun, perkara yang membuatkan aku hilang fokus untuk solat adalah bau busuk yang tiba-tiba menerjah masuk ke hidungku, ibarat bau mayat bercampur dengan cecair peluntur (Clorox).

Pandangan mata aku semakin meliar, melilau ke sana sini. Tiba-tiba pandangan mataku dapat menangkap dengan jelas kaki salah seorang jemaah yang berdiri betul-betul di belakangku ketika aku sujud pada rakaat kedua. Memang bukan kaki manusia yang normal. Hitam dan terdapat kulit mengelupas serta berulat menyebabkan aku menutup mata rapat-rapat. Entah ke mana tajwid dan bacaan dalam solat aku selepas itu, hanya tuhan yang tahu kerana aku mulai rasa takut.

Aku berjaya mengawal perasaan setelah aku menguatkan semangat dan membaca kalimah-kalimah suci semasa solat. Aku memberi salam dan mengangkat tangan untuk berdoa. Ya, aku mengaku, aku masih lagi tidak membuka mata kerana terlalu takut. Aku berdoa pun dengan perlahan, takut sangat terdengar jawapan “Amin!” entah dari siapa-siapa. Nasib baik tiada yang menyahut doa aku.

Selesai aku membaca doa, aku duduk terdiam. Lebih kepada terpaku sebenarnya, dan terlalu takut untuk menoleh ke belakang. Tiba-tiba bahu kanan aku dicuit. Aku melompat sambil mengeluarkan bunga silat bercampur Kung-Fu yang aku belajar daripada cerita-cerita lakonan Jackie Chan.

“Ang awat macam beruk ni?, jom la balik wad. 10 minit aku tunggu ang, tau dak!?”, kata Shukri yang tersengih macam kerang busuk melihat aksi aku.

Aku mendiamkan diri sahaja, dan langsung tidak melayan lawak bodoh dia yang mengutuk aku atas persembahan gaya silat bercampur Kung-Fu yang aku lakukan tadi. Bukan sebab tidak lawak, tetapi otak aku masih lagi tidak dapat menerima dan memproses apakah yang baru sahaja berlaku tadi.

Aku tak berani membuka cerita kepada sesiapa pada malam itu. Yalah, bukan apa, sebab esoknya aku masih lagi bekerja malam kedua. Cuma agak bersyukur bukan Dr Satesh yang bekerja keesokan harinya. Shukri mula menyebarkan cerita tentang lawak jenakanya setelah kejadian tersebut berlaku. Hanya setelah aku menceritakan dia hal sebenar, barulah dia mendiamkan dirinya sahaja sambil memarahi aku kerana esok lusa, jika ada pesakit maut di wad, dialah yang perlu menghantar jenazah tersebut ke bilik mayat.

Sebenarnya, memang banyak kejadian yang berlaku seumpama itu walaupun sebelum daripada peristiwa yang menjadi kenangan ngeri untuk aku ini sejak kes mayat-mayat dari Rohingya ini sampai . Memang apabila jam 12 malam ke atas, sesiapa yang solat di sana pasti akan didatangi makmum entah dari mana ini. Ada juga gangguan berbentuk bayangan, keteguran dan menyahut doa dengan ‘Amin’ yang kuat.

Memang ada yang mengesyaki mungkin roh arwah yang m**i d*****h dengan kejam ini rata-ratanya merupakan warga Rohingya yang beragama Islam dan kini menjadi makmum di sana. Akan tetapi, jika mengikut Islam, apabila seseorang itu m**i, akan terputus segala amalan dan perhubungannya dengan dunia ini. Ada juga yang mengatakan bahawa makmum itu merupakan Jin Islam. Susah untuk aku mentafsirkannya secara logik akal fikiran manusia yang sememangnya diketahui terbatas.

Apa yang penting, kini aku sudah berubah. Setiap kali aku kerja syif on-night, aku solat terlebih dahulu waktu di Surau berhampiran hospital sebelum ke tempat kerja. Juga, apabila solat, mata aku tidak lagi meliar ke sana sini. Mungkin ini pengajaran yang paling penting aku dapat selepas daripada kejadian itu.

Wallahualam

#ihorrorex #ihorrorart #genart #makmum

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

ILZANNO SHARKY

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 5 Average: 4.8]

6 thoughts on “MAKMUM DARI ROHINGYA”

  1. Alhamdulillah lah bila pusing belakang zombie2 tu udah xde 🤭… seram… cter2 kat hospital x pernah mengecewakan 👍

    Reply
  2. dulu aku pon digelar double triple jonah 😂 time aku oncall mesti kes berderet dari start oncall jam 5 petang sampai 7 pagi. tak tau lah kenapa.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.