MALAM CEMERLANG

ASSALAMUALAIKUM,

Lama juga saya tidak menghantar kisah di sini. Page inilah yang memperkenalkan saya ke khalayak, dan kini saya ada page sendiri yang menghidangkan kisah mistik yang sama seperti page Fiksyen Shasha yang tersohor ini.

Saya kongsikan kisah pengalaman saya dengan seorang rakan saya yang saya tidak sangka, hebat orangnya, walaupun masih remaja waktu itu. Jika anda mengikut saya di page saya di Munawir Sang Yunus, anda akan faham siapa Fisol dan Lot.

Aku tidak ingat kerana apakah sebabnya aku boleh keluar di tengah malam. Yang aku ingat, malam itu bulan penuh mengambang di langit. Yunus jangan dicari. Kembaralah ke 4 penjuru dunia sekali pun, bayangnya pun lenyap, inikan pula jasadnya. Aku juga sudah lupa, mungkin ibu dan kakakku pergi ke rumah nenekku yang dekat dengan rumah Tok Embong itu, menziarahi ibu bapanya yang sudah mula menunjukkan tanda akan uzur.

Ketika itu, padi sedang membesar. Keadaan kampung di tepi laut 20 tahun dahulu, hawanya bersih, tiada pencemaran. Cerahnya gemilang jika bumi dilimpah cahaya bulan penuh. Kami yang masih budak, keluar beramai-ramai tanpa rasa takut. Sungguh aku lupa apakah sebabnya, kerana Fisol juga ada waktu itu. Dia datang mengayuh basikalnya dari kampungnya yang lebih kurang tiga kilometer dari kampung kami. Yang aku ingat, di sekolahku juga terang benderang kerana ada kegiatan.

Dulu, jalan yang membelah bendang hanyalah jalan tanah merah, yang jika hujan, lecahnya sangat menjengkelkan. Seingat aku, jalan meredah bendang itu baru diturap dengan kerikil putih yang melegakan ramai orang yang menggunakannya. Bendangnya ada dua lot, di kiri dan kanan jalan besar. Jika ada bendang, kembarnya ialah tali air yang mengairi tanaman padi. Ada empat tali air yang mengapit bendang yang agak luas. Aku bangga, kerana walaupun Pulau Pinang telah maju sekarang, hanya daerah kami di atas pulau yang masih ada sawah padi yang luas.

Walaupun jalan bendang itu tiada lampu jalan, cahaya bulan yang terang cukup untuk memberi kami pandangan yang cemerlang. Terang sungguh bulannya, tiada rasa takut langsung semasa kami beramai-ramai pergi ke bendang. Kunang-kunang juga sangat banyak waktu itu, asyik kami mengejar sehingga jauh ke tengah bendang. Fisol, aku dan tiga budak lain sudah sampai ke tengah bendang semasa kami mengejar kunang-kunang, tanpa kami sedari.

Sangat asyik pemandangannya. Padi berombak-ombak ditiup angin. Angin laut yang sepoi-sepoi bahasa sangat mendamaikan. Berbalam-balam banjaran bukit dari jauh dan daun kelapa melambai-lambai, menghadiahkan bunyi gemersik dengan cengkerik yang mengilai. Kelawar yang banyak menangkap serangga juga, berterbangan di atas kepala. Nyalaan lampu dari rumah-rumah penduduk melengkapkan suasana indah yang sukar dikecapi sekarang.

Semasa kami sedang asyik mengejar kunang-kunang, kami terdengar seperti bunyi orang meredah selut. Pernah dengar kerbau berkubang di dalam selut? Begitulah bunyinya. Mula-mula, kami semua tidak ambuil pusing tentang bunyi orang meredah selut itu. Sekali-sekala, aku melihat sekeliling, manalah tahu ada orang yang berada di dalam bendang, mungkin sedang merumpai kerana bulan yang sangat terang itu. Apa yang aku lihat hanya pohon-pohon padi berombak-ombak disaput bayu.

Fisol juga seperti tidak kisah dengan bunyi-bunyian itu. Banyak juga kunang-kunang yang ditangkap, dikurung dalam bekas Nescafe besar. Warna hijau kekuningan kalimantang yang terbit dari badan mereka, sekejap menyala, sekejap padam itu mempersona kami berlima. Kami juga bersembang semasa menangkap kunang-kunang malam itu. Rasa takut secebis pun tiada di hati masing-masing. Pondok-pondok teduhan yang selalunya dibina di tengah sawah, dan mesti ada pokok yang menaunginya juga nampak indah di dalam cahaya bulan.

Tiba di satu barisan pokok kelapa yang ditanam dekat dengan sebuah pokok teduhan, kami berhenti di situ. Pesawah di situ membina sarang burung hantu sebagai usaha untuk membasmi tikus yang akan merosakkan padi. Memang banyak pancangnya dengan sarang yang dibuat seperti rumah dengan lubang comel. Di situ, ada sebuah pondok teduhan dengan sebatang pokok ubi kayu yang telah tua, dan terdengar aliran air yang sengaja diempang di situ. Kalau siang, di situ kami akan mencari ikan. Kangkung juga besar-besar di situ, dengan bunga ungu cair yang berselerak di pagi hari.’

Semakin mendekati pondok teduhan itu, semakin kuat bunyi selut diranduk. Fisol yang berjalan di depan aku, tiba-tiba berhenti. Budak tiga orang itu berjalan selamba melepasi pondok teduhan itu dan duduk di pelantar. Sekejap sahaja, dan bila mereka berpaling memandang aku dan Fisol yang masih di atas batas, berterabur mereka cabut lari. Ada yang menjerit “hantuuuuuu!!”. Mujur juga mereka lelaki, laju pecutan mereka sehinggalah ke jalan besar. Aku hanya dapat memandang mereka dari kejauhan. Rasa takut mula menjalar di hatiku.

Secara tidak sedar, aku menggenggam erat hujung baju Fisol. Matilah kami berdua. Aku umur 15, Fisol baru 13, di tengah sawah di malam bulan cemerlang. Fisol pegun berdiri, sangka aku, dia juga akan berlari. Fisol menggenggam pergelangan tanganku dan dengan lembut menarik aku berjalan, melepasi pondok teduhan. Balang berisi kunang-kunang yang ditangkap masih ditangannya. Yang terdengar hanyalah bunyi selipar kami berlaga dengan tumit dan bunyi randukan selut yang seolah sedang mengikut langkah kami.

Kami selamat sampai di batas jalan, yang dibina lebih tinggi dari bendang. Setelah sampai, sekali lagi aku sangka Fisol akan buka langkah seribu. Tapi, dengan tenang, Fisol meletakkan balang berisi kunang-kunang yang masih dengan kelakuan mereka yang mengeluarkan cahaya. Tegak Fisol berdiri, nafasnya turun naik dan merenung benda yang aku tidak nampak. Keadaan itu membuatkan aku bertambah takut.

Aku berkira-kira, jika aku lari, sudah tentu Fisol akan jauh kutinggalkan. Tentu tidak terlawan Fisol dengan larianku, juara pecut sekolah. Jadi, aku bertekad untuk berdiri di belakang Fisol, tanpa aku ketahui yang Fisol juga hebat seperti sahabatku, Yunus. Waku itu, aku belum mengenali Lot yang agak sombong denganku jika aku ke rumah mereka. Peristiwa di lombong pasir bersama Yunus sudah beberapa bulan berlalu (Kisah Perkenalan Pertama).

Aku berdiri di belakang Fisol yang nafasnya sudah turun naik. Dia masih lagi tegak berdiri dan memandang ke dalam bendang, dengan renungan yang tajam. Aku dengar, Fisol membaca Ayatul Qursi dan Selawat Nariyah, serta Bismillah Lima (yang Yunus dan Lot turut bacakan sewaktu bergdepan dengan makhluk halus yang sengaja mencari geruh). Ayat-ayat itu Fisol sulam dengan ayat-ayat Quran yang lain, sambil berdiri tegak dan nafsnya yang turun naik.

Tanpa amaran, Fisol melaung “Tak malu ka kacau budak-budak? Kami kacau hang tang mana!”. Mendengar itu sahaja, kembang kepalaku seolah d***h semua naik berkumpul di kepala. “Tok sah bagi alasan. Kelip-kelip ni bukan kami nak makan, bukan hang punya jugak!” bentak Fisol mara sedikit ke depan. Serentak itu, bunyi seperti orang sedang memijak selut setempat kedengaran dengan sangat jelas, tapi aku hanya dapat memandang lenggokan pohon-pohon padi yang dilanda bayu.

Di tempat kami berdiri itu, ada lubang air yang ditutup dengan konkrit, gunanya untuk mengalirkan dan mengeluarkan air. Ada lubang yang menyambungkan bendang di belakang dan yang di depan dengan kami. Jelas sekali, di muka lubang itu, aku mendengar bunyi seperti orang sedang bermain dengan air, seperti yang selalu kami buat jika kami singgah di situ. Makin lama, makin galak bunyi seperti air sedang diempang dengan tangan.

“Aku tak takut! Hang nak buat apa pun aku tak takut. Hang nak mai berdiri di depan aku pun aku tak takut!” kata Fisol, yang kini matanya tertancap pada bahagian di mana pokok padi tidak hidup di dalam petak bendang di depan kami. Subhanallah, air yang pegun di situ berkocak-kocak sendiri, seperti ada ikan yang banyak sedang bermain di situ. Fisol masih terus membaca potongan ayat Quran, matanya tidak lepas dari memandang ke arah air yang galak berkocak itu.

Dan dengan kuasa Allah yang Maha Pandai, sedikit demi sedikit, di dalam cahaya bulan yang terang benderang itu, makhluk yang mengganggu kami mula menunjukkan diri. Berkepala botak dengan badan berkilat yang panjang seperti belut, makhluk itu mengangkat badannya seperti ular tedung hendak menyerang. Tangannya kecil tetapi sangat panjang dengan kukunya seperti kuku ayam, berwarna kitam. Yang paling menakutkan aku ialah, jika manusia, mata kita melintang, makhluk itu matanya menegak. Sekerat sahaja badannya licin seperti belut. Ke bawah, makhluk itu berbulu hitam.

Warnya di dalam cahaya bulan itu seperti warna biru lebam dengan tompok-tompok seperti luka. Bau yang sangat memualkan tekak juga mula tersebar di bendang yang luas itu. Bau seperti bangkai ikan, berombak-ombak baunya, memualkan tekak. Makhluk itu aku tidak nampak kakinya, seolah separuh dari badannya masih di dalam selut. Terbuai-dia makhluk itu menyeringai. Giginya seperti gigi ikan tamban, tajam-tajam dan rapat-rapat. Telinga makhluk itu panjang, cuping atasnya tajam dan nampak jelas lubang hidungnya seperti lubang hidung ikan.

Adegan merenung pun bermula. Fisol dan makhluk itu bertentang mata. Aku yang sudah seperti kucing disiram air di belakang Fisol seperti sudah dilupakan. Selawat Nariyah serta ayat dari surah Al Baqarah, terutama yang empat terakhir dilaung Fisol dengan lantang. Makhluk itu nampaknya gementar bila empat surah terakhir Al Baqarah dibacakan. Juga, tanpa amaran, makhluk itu seperti tenggelam ditelan bumi. Aku tahu, ia belum berakhir kerana dia masih mengejek Fisol dengan hilaian ketawanya. Bunyi ketawa itu jelas berada di bawah kaki kami, di dalam lubang air itu. Fisol dengan beberapa ayat Quran menghentak kakinya ke jalan. Secepat kilat, bunyi ketawa itu datang dari arah pondok teduhan. Pokok ubi kayu tua itu digegar tangan halimunan.

“Awat lari! Aku tak berganjak pun!” kata Fisol yang masih merenung pondok teduhan. Dibacakan lagi beberapa surah termasuk potongan surah termasuk potongan dari surah Az Dzariyat. Pokok ubi kayu tua masih bergoncang dan bunyi seperti papan pelantar ditepuk kedengaran dengan jelas. Kemudian, Fisol menunduk dan mengambil seliparnya dan membalingnya ke arah pondok teduhan itu. Serta merta, goncangan pokok dan bunyi papan ditepuk terhenti. Hanya terdengar bayu yang merempuh cuping telinga sahaja. Cahaya bulan yang gemilang, sedikit sebanyak menghilangkan debar di hatiku.

“Ku, hang balik sendiri buleh? Sampai di jalan besaq, hang buka tudung balang ni, lepaihkan semua kelip-kelip ke bendang belah sana” kata Fisol yang memandangku tanpa kelip. “Aku tak sangka, hang berani noh” katanya menguntum senyum. “Sat lagi aku pi rumah hang, pi ambik beskal (basikal) aku. Lari selaju yang buleh, jangan terebah. Aku dah hempap dia dengan kasut (selipar) aku. Cepat, lari la ni!” kata Fisol menepuk belakang aku.

Tidak cakap banyak, dengan hati yang kecut, aku menanggalkan selipar dan menggenggam kuat seliparku. Balang aku peluk kemas-kemas, dan dengan lafaz Bsimillah, aku mula memecut ke arah jalan yang terang dengan lampu jalan. Agak sakit tapak kakiku kerana kerikil yang aku landa dengan kaki ayamku, tapi ia melajukan larianku. Lebih kurang dalam tiga minit aku memecut, sampailah aku ke di jalan besar. Waktu itu, kenderaan yang lalu tersangatlah jarang. Kebanyakan penduduk kampung hanya memiliki motorsikal. Malam-malam begitu, tidak ramai yang keluar. Kami sahaja yang mencari nahas.

Baru sahaja aku membuka penutup balang, aku nampak api yang sangat marak di pondok teduhan itu. Api itu diiringi dengan letupan yang kuat. Bergegar rasanya kaki. Api tadi seolah-olah membakar sesuatu yang meliuk-liuk di tengah bendang. Bukaan balang terhenti, mataku asyik melihat sesuatu yang sedang meliuk-liuk di dalam api yang marak, menjulang tinggi. Terkesima aku melihatnya. Di dalam kepala, mesti mengamuk tuan punya padi, habis pokok padinya terbakar. Lama juga aku menyaksikan api itu membakar dan menjulang sehingga aku teringat tentang kunang-kunang di dalam balang yang kemas di tanganku.

Aku membuka balang dan melepaskan kunang-kunang ke udara. Aku pastikan tiada yang tertinggal. Bila balang itu kosong, aku pandang semula ke arah bendang. Keadaannya seperti mula-mula tadi. Indah, damai, menenangkan. Tiada api yang marak menjulang tinggi. Pondok teduhan dan pokok ubi kayu tua tadi yang marak dijilat api, masih tersergam di situ. Keadaan kembali kepada asalnya. Dalam cahaya bulan yang cemerlang itu, aku nampak Fisol sedang berjalan tenang ke arahku.

Fisol menghampiriku dengan senyumannya. Kaki kanannya kosong berkaki ayam. Tiada ucapan, tiada pertanyaan, kami berjalan pulang ke arah rumahku, diam seribu bahasa. Bila sampai di rumah, keadaan sekolah masih terang benderang dan terdengar sedikit suara melalui pembesar suara. Bila nafas kami sudah tidak rancak aku berkata “Hang nak aiyaq aih (ais)?”. Fisol mengangguk laju. Aku mengajak Fisol masuk ke dapur dan mengambil sirap yang telah aku bancuh tadi, dan menuang ke dalam gelas. Fisol minum dengan agak lahap. “Lapaq aiyaq (dahaga)” katanya menghulur gelas untuk aku tuang sirapnya lagi.

“Tadi tu menatang apa, Fisol?” tanyaku memecah suasana. Fisol hanya merenung gelas berbunga dengan sirap yang masih separuh di dalamnya. “Alah, jerangkung sesat. Tak dak apa aih. Dia tak kuat mana pun” kata Fisol acuh tak acuh. Ternganga aku mendengarnya. Kalau tidak kuat, apakah maknanya api dan letupan itu? “Dia ada lagi ka kat bendang tu?” cungkilku lagi. “Kalau ada pun, dia dah tak dak daya nak kacau. Ada ka patut, dia kata kita ambik anak-anak dia?” kata Fisol memandangku.

“Kelipi-kelip tu tak dak hubungan pun dengan dia. Saja ja cari alasan nak mengusik” katanya. “Kalaulah hang tak dak, kalau kami saja dia tangkap, dia buat apa dengan kami? tanyaku masih tidak mahu mengalah. “Makan” kata Fisol ringkas. Terhenti nafas aku mendengar kata-kata Fisol. “Eh dah lambat, aku nak bali. Sat lagi mengamuk mak pak aku. Terima kasih noh. Lega dah, tadi lapaq aiyaq sungguh” katanya keluar dari pintu rumahku. Aku mengiringinya ke basikal yang ditongkat di pokok kelapa dara yang ditanam ayahku. Setelah Fisol memberi salam, aku tunggu dan melihatnya sudah sampai ke jalan besar, kemudian hilang dari pandanganku.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Pak Engku

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 65 Average: 5]

2 thoughts on “MALAM CEMERLANG”

  1. Sebuah nukilan yang sangat cemerlang dan ada unsur-unsur mendidik dari segi penghayatan terhadap ayat suci Al Quran…saya sangat terhibur membacanya kerana ada manfaat ilmu yang tersirat..terima kasih Pak Engku. Mohon terus berkarya lagi dan lagi…

    Reply
  2. Hasil karya yang tidak pernah mengecewakan. Menyorot kembali kenangan masa lalu yang tidak mungkin berulang kembali. Terima kasih pak Pak Engku, mengundang kami ke kenangan indah, zaman remaja yang cukup mengujakan serta kehidupan lalu nan sederhana. Meski serba kekurangan tapi penuh bahagia. Semoga terus semangat berkarya.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.