Malam Yang Panjang

Salam Sejahtera semua peminat tegar FS, terima kasih pada yang sudi membaca cerita ini. Ini pengalaman yang benar terjadi pada aku dan suami sewaktu nak menghantar barang ke Rantau Panjang, Kelantan.

Kisahnya terjadi dalam tahun 2017, Suamiku adalah seorang pemandu lori, kadang-kadang kalau dia ‘outstation’ aku akan ikut dan bawa bersama anak yg baru berumur 3 tahun tapi bila suami ditugaskan hantar barang ke Kelantan, aku tak benarkan anak ikut kerana perjalanan terlalu jauh dari Subang ke Kelantan. Kami tinggalkan bersama adik. Lebih selamat. Aku dah seronok sebab tak pernah menjejakkan kaki ke sana lg. mesti best! Lagipun pergi berdua lagi romantik. gitew…

Kami bertolak waktu petang, Jadi kalau sampai awal di Kelantan, boleh la rehat-rehat, jalan-jalan dulu ke atau buat apa yang patut. Lagipun bawa lori dengan barang-barang tak boleh nak bawa laju. Dah sampai di lebuhraya nak masuk ke Kelantan, aku terus set waze ke Rantau Panjang. Maka bermulalah perjalanan kami yang menyeramkan.

Aku tak boleh nak ingat perjalanan kami sebab banyak masuk jalan-jalan yang berliku. Sesekali nampak cempedak kering yang berjemur diletakkan tepi jalan, agak seram juga. Yang aku tahu kami melalui jalan Gua Musang dan waze mengarahkan kami untuk masuk ke satu simpang menuju ke Jeli. Kami pun akur dan menurut je arahan waze tanpa mengesyaki apa-apa. Kalau tak silap, kami memandu ikut Jalan Sungai Sam-Dabong-Jeli.

Jalan makin lama makin gelap, makin suram dan makin seram. Kenderaan makin sikit dan tiba-tiba ada sebuah kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger biru meluncur laju memotong lori kami. Suami aku bisik “nampak tak?”. Aku menggelengkan kepala sambil mengecilkan mata. Kenapalah suka tegur kalau tahu dah nampak. Oh ye, suami aku ada deria keenam, dia boleh nampak makhluk-makhluk ghaib ni. Alhamdulillah hijab aku masih tertutup. Syukur…

Oleh kerana malas nak layan, aku pun periksa waze untuk pastikan jalan kami sebab terasa perjalanan jauh sangat macam tak akan sampai. Tiba-tiba dalam waze aku nampak ada jalan berwarna coklat. Aku jadi pelik, selalunya warna biru kan? kenapa warna lain? Ok, rasa tak sedap hati dah ni. Tapi kami teruskan perjalanan macam biasa. Tak lama lepas tu, kami nampak jalan untuk turun bukit yang tinggi dan depan kami jambatan putus yang ‘famous’ tu. Korang boleh cari ‘Jambatan Sementara Kampung Pulau Setelu’.

Kami dah berpandangan sesama sendiri, nak patah balik, jalan kecil lagipun jauh. Kemudian kami nampak ‘Ford Ranger’ biru tadi dh lepas lalu jambatan tu. Suami aku kata “Boleh ni, kita cuba pelan-pelan”. Aku akur dan bertawakal. Bila lori tu dah sampai ke tengah jambatan, bunyi jambatan gegar kuat mcm nak runtuh, nak nangis dah ni, tapi suami rilek dan tetap bawa lori sampai selamat menyeberang ke sebelah. Fuhhh…lega.

kami mendaki bukit dan teruskan perjalanan macam biasa. Tapi kami lagi sekali diuji bila lori kami tiba-tiba berat dan hampir nak m**i enjin. Takkan nak bermalam kat tengah-tengah hutan tebal ni. Kalau apa-apa jadi macamana? bisik hatiku. Suami sedaya upaya mengawal gear dan lori agar tidak m**i enjin dan aku pun membaca segala surah-surah yang aku tahu. Kemudian, kami nampak lagi sekali kereta ‘Ford Ranger’ biru di depan kami cuma kali ini kereta tersebut dah rosak dan pemilik kereta cuba menahan lori kami utk meminta bantuan. Aku berasa simpati dan akhirnya suamiku berhenti untuk membantu mereka. Tapi aku pelik kerana suami aku tak turun dari lori, dia cuma tenung kereta tersebut dan beberapa minit kemudian dia bukak pintu dan turun tapi dia tidak bergerak ke kereta tersebut. Sesekali dia memandang aku dan aku pun berasa hairan, mungkin dia nak berhati-hati, manalah tahu, orang berniat tak baik kan…

Akhirnya pemilik kereta turun dan berjalan ke arah suami dan suami membisikkan sesuatu pada dia, selepas itu suami naik ke lori dan dia beritahu yang ada sepasang suami isteri dan adik ipar yang berada dalam kereta itu dan gearbox kereta gagal berfungsi. Aku bertanya kenapa dia tak pergi periksa kenderaan tersebut dengan lebih dekat, dia kata tak boleh, ada ‘benda’ duduk kat bonet belakang. Ahhh…sudahhh…Suami aku tanya “tak nampak ke?”. “Tak nampak apa-apa pun” balasku. Suamiku menyuruh mereka membaca surah kursi atau apa-apa surah untuk menghalau ‘benda’ tersebut dahulu. Selapas beberapa ketika, barulah suamiku keluar dan bertemu dengan pemilik kereta. Aku gelarkan dia Mr F.

Mr F dan suamiku berbincang dan kami membuat keputusan untuk menarik kereta mereka dari belakang, mujur suami ada simpan tali yang cukup panjang dan kuat untuk menarik kereta besar tersebut. Sepanjang perjalanan lori kami terasa sangat sangat berat dan kami bergerak agak perlahan mengalahkan kura-kura. Aku lihat keadaan sekeliling, gelap gelita. sesekali ternampak rumah-rumah kecil di tepi jalan. Suami cuba membuka tingkap untuk mengambil angin malam sambil merokok, walapun aku tahu itu bukan idea yang baik. Aku masih rasa tak sedap hati. Tiba-tiba dia segera menaikkan tingkap dan menyuruh aku pandang ke depan. Walaupun aku tak nampak, tapi berdebar la jugak. Aku baca lagi surah-surah yang sepatutnya. Bila keadaan dah kembali tenang, aku cuba bertanya. “Apa yang awak nampak?”. Suamiku beritahu ada ‘Cik Ponti’ ikut terbang tepi tingkap. Allah!!!!!! Dah la tadi aku curi-curi jugak pandang tingkap sebelah pemandu tu.

Aku dah suami dah semakin mengantuk, macam kena gam je kelopak mata ni, tapi aku tahu kalau kami terleka sikit pun, kami pasti habis. Suamiku dah boleh bukak tingkap. line clear katanya. AKu tak tahu nak gelak ke apa. Aku dah mulai mangantuk, kat depan dah nampak macam-macam benda, nampak lori, nampak orang melintas jalan dan macam-macam lagi la, macam mimpi pun ada. Suami aku yang perasan aku mengantuk mula ajak bersembang tentang zaman bercinta kami dulu. baru sweet… Tiba-tiba kami melalui jalan yang berkabus. hampir tak nampak jalan. Kami hanya mendiamkan diri sepanjang perjalanan. Kemudian, ada seketul batu bulat bergolek di depan kami, keluar daripada semak sebelah kanan terus bergolek ke semak sebelah kiri jalan. Yang ni aku nampak, laki aku tanya lagi “nampak tak?”. Aku hanya menganggukkan kepala sahaja.

Kali ni aku terus fokus untuk baca surah tak henti-henti. Kami melalui jalan-jalan yang berliku, turun naik bukit, dan melaui banyak jambatan-jambatan kecil sampailah tiba-tiba kami terasa lori dah ringan. tak lagi berat macam sebelum ni. Kami menarik nafas lega bila nampak ada orang-orang kampung yang melepak tepi jambatan dan akhirnya kami sampai di stesen minyak Jeli.

Sanak saudara Mr. F dah tunggu kami semua di sana. Sampai sahaja, Mr. F kena marah kerana tidak menggunakan jalan luar yang sudah diberitahu sebelum ni. Hal ini terjadi pun kerana Mr. F juga menggunakan waze. Mungkin takdir kami bertemu untuk membantu Mr. F dan isteri, kalau tak, mungkin kena tunggu kat tempat tu sampai pagi. Menurut saudara Mr. F, tempat tu memang agak keras terutamanya waktu malam. Dia sangat bersyukur kami dapat membantu. sebelum kejadian, rupanya Mr. F ada bertanya kepada seorang pakcik tua yang menaiki motor tentang arah jalan dan pakcik tersebut menyuruh mereka terus sahaja sebelum pakcik tersebut menghilangkan diri dalam kegelapan malam. Mr. F bertanya jika kami ternampak kelibat pakcik tersebut, seingat kami, sepanjang perjalanan, takde pulak nampak kelibat sesiapa.

Apapun, ini jadi pengalaman berharga untuk kami mengalami detik-detik seram. Kami hanya dapat tidur selama 2 jam sahaja dan terus memulakan perjalanan ke Rantau Panjang. Kami masih lagi berhubung dengan Mr.F, dia ada kedai makan western di Jerantut. Memang pengalaman yang tak dapat dilupakan dan kalau boleh tak nak jadi lagi. cukuplah…sekian.

Faezah

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 0 Average: 0]

3 thoughts on “Malam Yang Panjang”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.