Mari Dengar Ceritaku…

Assalamu’alaikum. Terima kasih Fiksyen Shasha kerana sudi siarkan cerita ni. Mungkin cerita ni tak berapa seram dan agak pendek, tapi harapnya pembaca masih dapat menghayatinya. Oh ya, nama-nama di bawah ni bukanlah nama sebenar.

Kisah ini terjadi lebih lima tahun yang lalu, ketika aku masih lagi bersekolah di sebuah sekolah berasrama di Selangor. Masa tu aku baru tingkatan tiga. Asrama aku (aspuri) tak besar pun. Cuma ada dua blok dan empat tingkat. Dorm aku terletak di blok kedua, tingkat paling atas dan paling hujung.

Ada satu malam hari Sabtu, disebabkan tiada prep malam (kelas persediaan malam), aku dan dua kawan yang juga sama tingkatan dengan aku sibuk berlepak di depan katil ketua dorm (KD) kami. KD tu tingkatan lima. Kami bersembang macam-macam sebab KD ni memang kaki sembang, sehinggalah tiba-tiba KD ni berkongsi satu kisah yang dia dan kawan-kawan dia baru alami.

Katanya, petang semalam (Jumaat) dia dan beberapa orang kawan tingkatan lima yang juga AJK perhiasan untuk Hari Kemuncak Asrama tengah sibuk membuat persiapan di dewan. Memang di sekolah kami, apa-apa saja aktiviti atau majlis, semuanya akan diuruskan oleh pelajar tingkatan lima. Bila jam sudah pukul 6.30 petang, ramai yang sudah pulang ke asrama untuk makan malam sebab dewan makan sudah buka. Tinggallah KD dan beberapa orang kawan dia (mungkin tiga atau empat orang) yang masih sibuk menghias.

Ani sedang sibuk mencangkung di tengah-tengah pentas untuk menampal di atas lantai. Yang lain pula sibuk menampal pada dinding dewan. Tiba-tiba, Siti memanggil kawan-kawan dia yang lain termasuklah Ani yang di atas pentas untuk cepat-cepat berkumpul di tengah dewan. Semua pelik kenapa kelam-kabut semacam, tiba-tiba ja suruh hentikan kerja.

“Korang..aku suruh ni korang buat tau. Sekarang ni aku nak kita semua pegang tangan. Jangan sesekali lepaskan. Bila aku cakap lari, kita semua terus lari keluar dari dewan. Lari laju-laju dan jangan sesekali pandang belakang. Ok?” Arah Siti.

Kawan-kawan yang lain semua terpinga-pinga termasuklah KD, tapi tak ada seorang pun yang berani buka mulut bertanya kenapa. Semuanya pegang erat tangan kawan masing-masing dan bila Siti kata “Lari!”, semuanya lari tak ingat dunia keluar dari pintu dewan tu. Lari dan lari dan lari sampailah ke pintu pagar blok aspuri. KD orang yang terakhir sekali masuk ke kawasan asrama. Sampai saja di dewan makan, semuanya tercungap-cungap. Seorang pun tak tahu apa yang terjadi tapi seorang pun tak berani nak tanya Siti. Pasti ada sebab kenapa Siti arah mereka buat macam tu. Lagipun, Siti jenis yang boleh ‘nampak’ walaupun bukan setiap masa.

Esoknya, baru Siti buka cerita. Katanya, masa di dalam dewan semalam, dia yang sedang berada di tengah dewan terpandanglah ke arah Ani yang tengah seorang diri menampal di atas pentas. Tapi dia ternampak Ani bukannya berseorangan. Ada seorang perempuan yang sangat cantik berpakaian serba putih sedang berdiri berdekatan dengan Ani. Tangannya sibuk menguis-nguis rambutnya yang panjang mengurai tu. Kuis kekiri kekanan sebijik macam dalam iklan shampu tu. Sambil tu sikit-sikit dia bergerak ke arah Ani. Makin lama makin dekat. Wajahnya pula ditundukkan, seakan mengintai-intai Ani yang sedang bercangkung. Siti tergamam. Mustahil dia manusia. Confirm. Satu, kakinya seakan-akan terapung dan dua, ini sekolah agama, tak mungkin ada pelajar perempuan yang keluar ke dewan tanpa pakai tudung pula. Cepat-cepat Siti memanggil semua orang untuk berkumpul sebelum jemari runcing perempuan itu sempat menyentuh bahu Ani.

Siti ternampak perempuan tadi seakan marah kerana perbuatannya diganggu. Matanya tajam memandang Siti. Siti hanya mampu menelan air liur. Jantungnya berdegup kencang saat ditenung sebegitu. Ketika itu, tiba-tiba wajah perempuan yang jelita tadi terus bertukar menjadi tersangat hodoh dan bernanah. D***h pekat dan hitam dari nanah itu menitik-nitik ke atas bajunya yang berwarna putih. Perempuan hodoh itu mendengus kuat namun hanya dapat didengari oleh Siti.

KD baru tahu, rupanya Siti menyuruh mereka lari tu sebab perempuan hodoh tu sedang mengejar mereka. Patutlah suruh lari sekuat hati. Tetapi sampai saja di pintu pagar blok aspuri, benda tu tak boleh masuk kerana pada masa tu, aspuri sedang bergema dengan CD bacaan ayat al-Quran yang dipasang di musolla aspuri. Dan rupa-rupanya benda tu sikit lagi nak menarik KD yang paling terakhir sekali melepasi pagar.

Mendengar cerita KD, aku dan dua kawan terlopong. Tak sangka seramnya pengalaman KD. Saat mulut baru saja ingin menyuruh KD bercerita lagi, KD tiba-tiba bangun dan menyuruh ahli-ahli dorm segera menguruskan diri di tandas dan pulang segera untuk membaca al-Mulk. Aku dan kawan-kawan pelik KD tiba-tiba suruh kami kumpul baca al-Mulk, padahal baru pukul 11 malam. Loceng asrama selalunya 11.15 malam baru akan berbunyi sebagai tanda peringatan setiap dorm untuk membaca al-Mulk sebelum tidur. Light off pula pukul 11.30 malam.

Selepas habis al-Mulk, KD berpesan kepada semua untuk tidak keluar dari dorm supaya pendinding tidak pecah, kecuali jika ada perkara yang mustahak. Aku teringin untuk bertanya KD kenapa dia tiba-tiba saja berhenti bercerita, tapi melihatkan wajah dia yang semacam saja, terus m**i niat aku. Esok sajalah.

Keesokan harinya, KD buka cerita. Semasa dia tengah sibuk bercerita kisah hantu malam tadi, matanya terpandang ke arah pintu yang betul-betul berhampiran kami (katil KD bersebelahan dengan pintu). Tiba-tiba dia ternampak ada sesuatu keluar dari balik pintu yang tidak tertutup rapat. Seperti rambut manusia. Perlahan-lahan wajahnya turut kelihatan, mengintai kami di balik pintu. Sebab itu lah wajah KD tiba-tiba berubah dan menyuruh kami segera membaca al-Mulk. Aku yang mendengar menjadi seram. Tak sangka ada benda lain yang intai dan mahu join kami semalam.

Beberapa hari kemudian, Hari Kemuncak Asrama pun berlangsung di dewan pada malam hari. Semasa pengetua sedang memberikan ucapan, tiba-tiba semua lampu terpadam. Semua pelajar kecoh. Ada juga yang tersenyum, tak sabar menunggu gimik yang senior tingkatan lima buat.

Mataku melihat ke arah pengetua yang berseorangan di atas pentas. Tiba-tiba terdengar suara perempuan menjerit kuat di luar dewan dan sejurus selepas itu, pintu utama dewan diketuk dengan begitu kuat seakan mahu roboh. Semua orang terkejut dan terpinga, termasuklah aku. Masa tu aku tiba-tiba rasa seram. Dewan menjadi kecoh apabila di koridor luar tepi dewan (pintu-pintu bahagian tepi dewan tak ditutup), begitu banyak ‘makhluk’ yang serba putih berkeliaran dan ingin masuk ke dalam dewan. Pelajar-pelajar yang duduk dekat dengan pintu-pintu tu semua gelabah. Aku yang duduk di tengah-tengah ni pun dah rasa cuak tengok ‘makhluk-makhluk’ tu, apatah lagi yang duduk di tepi tu. Mahunya ‘makhluk’ tu masuk dan ditariknya keluar dari dewan mahu naya badan. Sudahlah di luar tu pun gelap tak berlampu. Kecut juga perut.

Pintu yang diketuk tadi tiba-tiba senyap. Aku menarik nafas lega. Walaupun kutahu semuanya adalah gimik semata, tapi kalau dah gimik hantu, siapa tak meremang bulu roma. Aku kembali memandang ke arah pentas. Namun belum sempat rasa seramku reda, tiba-tiba mataku terlihat satu lembaga berwarna putih yang sedang melompat-lompat di belakang pengetua. Pocong!! Aku segera memberitahu kawanku dan ternyata dia pun nampak. Dalam gelap, aku cuba melihat reaksi pengetua, tetapi beliau masih tidak menyedari ada sesuatu di belakangnya. Aku hanya memerhatikan pengetua.

Apabila ‘makhluk-makhluk’ tepi dewan tadi sudah menghilangkan diri, pengetua baru perasan seperti ada sesuatu di belakangnya. Aku melihat pengetua menoleh dan terkejut melihat pocong itu. Selepas itu, beliau hanya relaks berdiri di sebelah pocong. Hahaha…mungkin beliau tak takut sebab tahu itu semuanya gimik. Siap buat aksi lawak lagi dengan pocong tu. Apabila lampu kembali dipasangkan, pengetua meneruskan kata-katanya dan pocong tadi beredar ke belakang pentas.

Selepas tamat majlis, ketua warden menyuruh kami segera pulang ke asrama dan berpesan agar kami tidak membuat bising. Balik tu, dalam hati aku masih ada lagi rasa seram. Takut juga ada yang mengikut balik ke dorm nanti. Na’uzubillah. Tapi berani sungguh senior-senior ni buat prank hantu malam-malam. Dahlah sudah banyak cerita mistik yang berlaku di asrama. Lepas saja keluar dari dewan, aku baca ayat Kursi perlahan-lahan. Tak nak ada yang mengekoriku pulang.

Tak lama selepas Hari Asrama tersebut, seperti biasa, aku dan kawan-kawan dorm sibuk bersembang dengan KD. Maklumlah, KD suka bercerita. Kami yang adik-adik junior ni sukalah mendengar.

KD buka satu cerita rahsia yang pelajar tingkatan lima cuba sorokkan selama ni. Masa Hari Asrama tu memang begitulah gimiknya. Lampu terpadam, ketuk pintu, makhluk berkeliaran dan pocong atas pentas. Semua gimik berjalan dengan lancar, cuma satu saja yang ‘terlebih lancar’. Aku pelik kenapa KD sebut ‘cuma’ padahal terlebih lancar tu bukankah bagus. Rupanya baru kami faham maksud KD. Memang ‘terlebih lancar’ sebab ini memang benar-benar, bukan cobaan (bak kata dialog dalam Pendekar Bujang Lapok).

Semasa lampu dipadamkan, senior lelaki yang menyamar jadi pocong pun bersiap-sedialah nak keluar ke tengah pentas. Tapi belum sempat dia bergerak, tiba-tiba sudah ada yang terpacak betul-betul di belakang pengetua. Semua yang berada di belakang pentas terkejut. Kalau kawan mereka yang jadi pocong masih ada dengan mereka, habis tu siapa yang sudah berdiri di belakang pengetua tu? Semua sudah gelabah. Tak sangka yang mereka sendiri telah terkena prank hidup-hidup!

Aku? Memang terkejut tahap gaban. Aku tengok dengan mata kepalaku sendiri pocong tu. Dari awal dia muncul sampailah habis. Tapi pocong tu pocong betul?!!! Aku ternganga. Begitu juga dengan kawan-kawan lain. Biar betul?!! KD kata, tak lama sebelum ‘makhluk-makhluk’ tepi dewan tu pergi, benda tu pun hilang. Disebabkan mahu stick to the plan, masa itulah senior yang jadi pocong tu keluar dan berdiri di belakang pengetua. Kiranya waktu tu sehinggalah lampu dipasang, pocong itu adalah senior lelaki tu.

Aku tak habis-habis lagi terkejut. Memang masa makhluk-makhluk tu masih ada, aku tak tumpukan sangat pada pentas. Mungkin sebab itulah, aku tak nampak senior jadi pocong tu baru nak keluar ke pentas. Pelajar-pelajar tingkatan lima memang tak nak cerita pasal benda ni. Takut nanti kecoh asrama kalau orang tahu. Tapi KD berani buka cerita, aku pun on sajalah dengar. KD cakap senior lelaki tu mula-mula tak nak buat. Yalah, siapa yang tak takut. Menggeletar lutut juga dia masa tu. Tapi kalau dia tak buat, tak tercapailah tujuan gimik mereka malam tu. Jadi, dia pun terpaksalah gagahkan diri juga. Nasib baiklah selepas tu sudah tak ada apa-apa kejadian pelik lagi.

Berbalik kepada asrama pula, masa aku tingkatan satu dulu, aku pun duduk di dorm yang sama semasa aku tingkatan tiga. Masa ni tak ada lagi loker besi, semuanya loker kayu. Di sebelah ampaian belakang pula, ada rak kayu yang katanya dulu rak kasut. Tapi sekarang sudah jadi tempat letak barang yang kecil-kecil seperti bedak, jam tangan, sikat semua tu. Kawan aku Rania, katil dia betul-betul bersebelahan dengan rak tu dan sebelah rak tu pula ampaian.

Orang pernah cakap yang dorm aku duduk tu agak keras sikit. Aku pun tak tahu sangat kebenarannya sebab aku tak pernah jumpa apa-apa selama aku di situ. Tapi Rania cakap, pernah satu malam semua orang tidur termasuklah dia. Rania ni kebiasaannya dia akan terjaga setiap satu atau dua jam. Jadi malam tu, dia terjagalah dalam pukul 2 atau 3 pagi macam tu. Dia pun tutuplah mata balik untuk tidur. Baru saja nak lelap, tiba-tiba dia terdengar ada bunyi di sebelah katilnya. Bunyi macam orang tengah bersiap. Rania peliklah siapa pula yang tengah bersiap. Maklumlah, rak sebelah katil dia tu sebahagian besar barang di atasnya adalah barang-barang solek, tapi bukanlah make up macam gincu, eye shadow semua tu, asrama mana boleh bawa. Tapi baru Rania sedar, takkanlah ada orang nak bersiap make up bagai masa pukul dua tiga pagi. Dalam gelap pula tu!!

Rania berdebar, bulu romanya tiba-tiba meremang. Tapi dia beranikan diri dan tekad untuk buka mata dan tengok apakah benda tu yang sebenarnya. Matanya dibuka perlahan-lahan dan…Allahu Akbar…!!! Ada satu lembaga serba putih dan berambut panjang tengah berdiri betul-betul di depan rak itu, tapi membelakangkan katil Rania. Jadi, Rania tak nampak wajah lembaga tu. Dia lihat lembaga tu tengah mencapai sesuatu di atas rak dan menepek-nepek ke muka macam tengah pakai bedak. Tepek ke kiri, tepek ke kanan dan berhenti. Rania menggigil apabila lembaga tu seakan perasan yang ada orang sedang melihatnya dan perlahan-lahan memalingkan wajahnya ke belakang. Rania yang ketakutan cepat-cepat menutup mata dan selubung selimut satu badan. Takutnya hanya Allah yang tahu. Dia hanya mampu baca perlahan-lahan ayat Al-Quran yang dia ingat sampailah terlelap. Nasib baik benda tu tak kacau dia lepas tu. Esoknya dia tanya siapa yang ada bangun makeup tengah malam dekat rak tu. Tak ada seorang pun jawab ya. Maksudnya lembaga tu…

Tapi masa tingkatan satu dulu, aku tak tahulah kenapa aku ni berani sangat. Walaupun banyak cerita di asrama yang aku dengar, aku yang dorm di tingkat empat masih boleh setiap hari bangun seorang diri pukul 4 pagi macam tu (paling awal 3.30 mungkin) dan turun ke tingkat satu untuk mandi di situ. Aku memang suka mandi di bawah daripada mandi di tingkat aku sendiri kerana lebih dekat dengan ampaian. Payah nak heret baju basah dan tuala turun tangga. Bayangkan pukul 4 pagi aku dah mandi sorang-sorang dalam tandas tu sedangkan orang-orang lain seorang pun tak ada yang bangun lagi.

Lepas mandi tu, boleh pula aku pergi sidai tuala dekat ampaian belakang blok aku. Dahlah gelap gelita. Lepastu, aku terus pergi lepak di musolla sampailah subuh sebab malas nak naik dorm balik. Sekarang bila aku ingat balik, memang gila juga kerja aku masa tu. Bangang pun ada. Nasib baik tak bertembung dengan mana-mana makhluk. Alhamdulillah, Allah masih jaga. Tapi bila masuk tingkatan dua, aku dah bangun lewat..haha.. Tingkatan lima lagi lewat bangun. Kadang-kadang mandi lepas subuh sebab tak sempat nak mandi sebelum azan. Satu saja yang aku paling pelik, masa tingkatan satu tidur pukul 12, bangun punyalah awal tapi dalam kelas langsung tak mengantuk. Masa tingkatan lima tidur pukul 12, bangun sikit lagi nak azan subuh pun, tapi dalam kelas punyalah mengantuk tahap gaban. Haha.

Aku ingat nak cerita lagi kisah masa aku tingkatan dua tapi rasa macam dah panjang bebenar ni. Tak apalah, dah alang-alang aku cerita terus. Sebelum tu, sepanjang aku duduk asrama ni, setiap tahun pasti ada sesuatu yang berlaku di aspuri. Maksudnya, hanya di aspuri saja yang berlaku, aspura tak.

Masa aku tingkatan satu, kes kecurian sampai beribu-ribu duit hilang dan ternyata pencurinya hanya seorang saja (pelajar aspuri juga). Punyalah penat setiap malam selepas prep malam, ustaz suruh satu aspuri buat solat hajat dan baca Yasiin. Setiap kali jumpa ayat yang ada ‘mubiin’, ulang baca Yasiin dari awal balik. Bayangkan berapa banyak kami kena ulang. Memang tidur lewat setiap malam. Siap kena bersumpah dengan Al-Quran lagi. Yang ini aku takut sebab manalah tahu aku ada terambil duit syiling sesiapa ke. Masa tingkatan dua pula ada kes pukau dan pecah masuk aspuri. Ni kejap lagi aku cerita. Tingkatan tiga pula kes histeria. Sekolah aku jarang ada kes ni. Rasanya histeria kali tu memang dahsyat sampai setiap kali masuk waktu maghrib saja, kami dah takut, aspuri pun dah tak selamat. Tapi tak payahlah aku cerita peristiwa tu. Tingkatan empat dan lima pula tak ada peristiwa yang special sangat.

Okay. Masa tingkatan dua, aspuri digemparkan dengan kes ada lelaki pecah masuk dalam dorm di tingkat satu. Ada senior ni katil dia betul-betul di sebelah pintu dorm dan masa tu, dorm dia tak kunci pintu. Dia masa tu tidur pakai kain dan tiba-tiba dia rasa macam ada orang selak kain dia. Bila dia buka mata, tengok-tengok ada lelaki depan dia. Terus dia menjerit dan lelaki tu cepat-cepat larikan diri. Sejak kes tu, warden dah tak bagi tidur pakai kain dan pintu dorm wajib kunci. Kalau kunci rosak, tindih guna almari atau katil kosong.

Tapi kes tu tak berhenti setakat itu saja. Makin lama kes pecah masuk tu makin teruk dan menyeramkan. Satu, lelaki tu masih bebas dan dua, dia guna pukau. Warden pesan setiap malam selepas Al-Mulk jangan ada sesiapa keluar dari dorm. Pastikan selipar dan kasut di luar disusun secara terbalik dan selang-seli (pastinya tak boleh disusun sekali dengan pasangannya). Tingkap dan langsir mesti ditutup. Pintu dorm dikunci dan ditindih dengan katil atau loker kosong. Tidur atas katil pula mesti selang-seli juga. Kalau katil satu tidur menghadap pintu, katil dua pula mesti tidur membelakangi pintu. Begitulah setiap hari sehinggalah aspuri menjadi aman.

Bayangkan setiap malam, kami memang takut sangat. Ada dorm yang dengar tingkapnya diketuk-ketuk dari luar. Ada juga dorm yang letak loceng di tombol pintu dan tengah-tengah malam loceng tu berbunyi macam ada orang tengah pulas tombol dari luar. Satu masa ni, ramai pelajar aspuri yang pulang ke rumah kerana warden beri pelepasan untuk balik setiap minggu disebabkan kes tu, termasuklah aku. Tapi ada juga pelajar yang tak balik sebab rumah jauh. Jadi, mereka yang tinggal ni berkumpul di satu dorm.

Kawan aku yang tak balik cerita, mereka tidur dalam dorm di tingkat empat. Malam tu, mereka bawa turun tilam dan tidur di atas lantai beramai-ramai. Tengah tidur, tiba-tiba dia terjaga apabila terdengar macam ada orang tengah ketuk tingkap. Banyak kali. Dia buat tak endah walaupun takut. Namun, berhenti saja ketukan di tingkap, dia terdengar ada bunyi orang berjalan. Bayangkan pakai selipar getah yang basah, bila berjalan pasti ada bunyi. Prek prek prek bunyinya. Macam tu lah bunyi yang dia dengar. Makin lama makin jelas dan bunyi tu seakan-akan ada seseorang sedang berjalan mengelilingi tempat mereka tidur. Prek prek prek… Pagi esoknya, ternyata bukan dia seorang saja yang dengar bunyi tu, kawan-kawan lain pun dengar juga tapi tak ada seorang pun yang berani buka mata.

Okay lah. Setakat ni sahaja cerita aku. Intro atas tu aku tulis cerita mungkin pendek, tapi panjang juga ceritanya. Jenuh nak habiskan baca. Walaupun aku tak pernah alami secara depan-depan kisah sebegini, aku tak pernah sesekali pun minta untuk bertemu. Alhamdulillah, diriku masih terjaga daripada penampakan mahupun gangguan makhluk-makhluk sebegini. Oklah. Itu saja yang aku nak kongsikan kali ni. Kalau ada masa, aku cerita lagi. Assalamu’alaikum.

hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Miss Yuanfen

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 4 Average: 5]

10 thoughts on “Mari Dengar Ceritaku…”

  1. aku pon pnh alami psl laki msk.yg musykil time aku dgn membe berjaga xde plak org msk.time ktorg xjaga mcm mls nk amk port aikk ade plak msk.pelik we..tp penglmn dudok ostel mmg xbole lupa.

    Reply
  2. kejadah lak senior bt prank hantu gitu tp pdn muka terkena dgn bnde tu jgk..y lawak pengetua jela,bley bergurau snda lak dia..hehe..more story please..

    Reply
  3. sememangya pengalaman dduk hostel ni lg scary dr outsider , cerita awk bknaan curi smua tu dh normal , dan plg ketara , yes histeria , benda ni turut gemparkan zmn sekolah sy dlu , dri zmn form 1 sampai abis mmg tk pernah lupakan , walaupun skolah sy tk besar mne kecik cm tu pon dh dikira nk tempuhnya makan masa , semoga allah lndungi kita smua . itulah gunanya al-mulk sbg pndinding dn amln kita 🙂 ad lg story ccpt cerita ,

    Reply
  4. Wah!!! Kecik2 dh pandai bace surah panjang Al Mulk ye?! 30 ayat tu… Kenape tk bace ayatul Kursi saje?! Pendek dan mudah dihafal. Tajweed pun mudah dipelajari… Bukannye Al Mulk tk bagus dibace utk menghalau jin dn syaitan tp kebiasaannya surah Al Mulk ni utk perlindungan dialam barzakh nanti… Membace surah panjang dlm keadaan panik boleh jd tunggang langgang bacaannye… Hmmm… Tp kalo dh hafal surah tu dgn tajweednye sekali, lg bagus…

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.