Masuk Hutan Semenyih

“Parang dah asah ke belum?” Tanyaku kepada Aus, adikku. Aus sibuk menyiapkan kelengkapan sebelum kami masuk ke hutan petang tu. Memang tak dibuat orang masuk ke hutan petang-petang melainkan untuk pergi memburu.

Aku dan Aus hanya ingin melepaskan ketagihan terhadap hutan. Berjalan ala-ala komando tentera meredah belukar semak memang adventure dan melambangkan kelelakian yang tegar dan tujuan sapinga kami petang tu hanya untuk mencari akar rotan.

Setelah siap parang, tali, sebekas kopi Kapal Api dan sebotol air mineral, Aus pun masuk ke kereta. Aku pun masuk di tempat ‘co-driver’, menyalakan rokok dan kereta pun terus meluncur.

PEKAN SEMENYIH

Jam menunjukkan jam 3 petang. Aus membelokkan kereta masuk ke simpang kiri, menuju ke Empangan Semenyih. Angin bertiup masuk ke dalam ruang kereta membuatku nyaman berselang seli aroma Surya Gudang Garam.

Sebaik sahaja tiba di kawasan Empangan Semenyih, Aus memperlahankan keretanya. Mata kami melingas mencari jalan atau denai yang biasa kami terjah masuk.

“Tu, tu.. berenti depan situ”, kataku. Kereta pun diberhentikan dan di parkir seeloknya. Beg kelengkapan kami keluarkan dan parang dikeluarkan dari sisipan. Salam ku ungkapkan dam doa ringkas kubaca untuk keselamatan dan pendinding.

Aku dan Aus lantas memulakan pendakian dengan mencantas semak lalang dan ranting dahan yang sudah berselirat di tebing denai berbukit curam itu. Kami perlu naik jauh ke atas seperti biasa.

DAKI

Aus mendahului di hadapan dan aku di belakang memerhati sekeliling yang curam ke bawah. Daun-daun kering yang melitupi bumi kami pijak perlahan-lahan dengan but getah. Risiko ular melingkar dan bersembunyi tinggi di tempat-tempat sebegini. Habis laluan yang dipenuhi daun kering, kami tiba di kawasan yang berbatu. Hati-hati kami mendaki celahan berbatu itu sehinggalah sampai di kawasan yang sedikit lapang dan mendatar. Kami berhenti sejenak mengambil nafas. Sudah setengah jam kami mendaki. Tiba-tiba segala bunyi unggas dan kicau burung menjadi senyap. Satu bunyi pun tiada. Aku mula fokus dan memerhati. Pasang doa apa-apa yang patut. Ku tanyakan kepada Aus secara isyarat kalau-kalau dia perasan suasana itu. Ya, Aus mengangguk.

Kami mula melangkah kembali. Ada alur air yang mengalir separas buku lali. Sedang aku dan Aus meredah alur air tersebut, Aus berhenti.

“Tapak binatang”, kata Aus sambil mengunjurkan parangnya ke tanah. Aku pun berhenti. Melihat.

“..Besar jugak..”, getusku perlahan.

Aku dan Aus terpaku dan perlahan mencangkung mendekati tinggalan tapak kaki yang terbenam tu. Aku amati dengan cermat.

Aku lihat tapak itu lebih besar dari tapak tanganku. Aku seboleh-bolehnya tidak mahu fikir yang bukan-bukan tapi apakan daya, di tempat-tempat begini mesti bersedia dalam keadaan apa pun.

“Baru lagi ni tapak ni…Bukan rusa ni. B**i pun bukan. Tengok kat hujung jari-jari tapak yang terbenam tu…tu.. tu.. (Ada kesan runcing kuku terbenam).” Beritahuku kepada Aus sambil meremang bulu roma.

“Tulah..” sahut Aus.

Aku menyusur dan perhatikan lagi jejak tapak tersebut sambil mengira di dalam hati. “Satu.. dua… tiga.. . Satu.. dua.. ehh.. satu lagi tapak pasangannya mana?” Aku berdebar. Sebatang rokok lagi aku nyalakan dan aku teguk sedikit air mineral yang kubawa. Berfikir sejenak debaran yang berlaku. Peluh yang membasah menjadi dingin. Ketika ini di fikiran bermain-main cerita yang didengari dari pemancing dan pemburu di sekitar Semenyih tentang bunyi ngauman yang pernah mereka dengari dari hutan berdekatan.

“Jom Aus, kita naik lagi..biarlah tapak ni. Biasalah, tempat dia”.

Aus menunjukkan tanda faham. Parang kami genggam erat-erat. Sedia walau apa pun yang terjadi. Perjalanan diteruskan ke bukit yang berlereng dipenuhi dengan pokok bertam dan pokok kabung.

Selepas meranduk belukar kabung dan bertam, kami sampai di kawasan tingi yang agak mendatar. Tidak berapa curam namun masih membukit ke atas. Mataku melingas dan Aus memberitahuku, “Long, tu pokok rotan”. Aku dan Aus tersengih mendekati pokok rotan tersebut.

Menjalar-jalar batang rotan tersebut. “Besar betul”, sapaku. “Tak pernah lagi jumpa besar mcm ni, mcm mana.. nak ambil tak?”

Aus diam. Direnungnya pokok rotan tersebut sambil mencangkung dan sedikit termengah. Dikeluarkannya rokok daun dan tembakau. Dibakarnya dan disedut perlahan. Asap berkepul beserta aroma rokok daun yang harum. Suara kera hutan, riang-riang dan unggas kembali menyahut berselang-seli menghiasi ruang hutan yang berbukit. Setelah direnungnya, Aus bersuara kepadaku, “Kita baliklah Long. Jom lah”.

Aku diam sejenak, dan membalas “Ok jom. Lagipun besar sangat ni, tak sesuai. Cuaca pun makin gelap (walaupun jam baru menunjukkan pukul 5 petang).”

Aku tahu, mesti ada sebab Aus ajak aku balik. Biasanya dalam hutan, aku akan ikut arahan siapa yang ‘lead’. Wajib. Kalau aku yang ‘lead’ baru mereka wajib ikut arahan aku. Ini penting supaya kumpulan tidak berpecah dan boleh menarik perhatian unsur-unsur lain untuk masuk campur.

TURUN

Aku dan Aus turun. Bila sampai pada bekas tapak yang kami lalui tadi, aku berasa sedikit gerun. Terasa bimbang pula kalau-kalau dihendap dan diekori.

Akhirnya kami sampai ke bawah. Barang-barang dipunggah masuk ke dalam kereta. Perjalanan diteruskan lagi tetapi bukan menghala jalan balik. Aku mencadangkan kepada Aus untuk terus ke depan menghala ke jalan Hulu Langat – Kuala Kelawang. Aus menurut.

Kereta pun meluncur melayani selekoh-selekoh dan akhirnya kami tiba di kawasan orang asli Kuala Kelawang. Kami memutuskan untuk berhenti singgah di kedai minum Orang Asli yang terletak di seberang jalan.

BERANTAI

“Minum apa dik?”

“Kopi O Ais satu pakcik”

“Kamu pula?”

“Teh Ais”

“Ok”

Aku dan Aus memerhati kedai tersebut. Ternampak sebatang pokok akar Tongkat Ali sebesar betis dan panjangnya kira-kira sedepa sedang dikeringkan di atas para kayu. Hujungnya meruncing dan berkelok berwarna putih kekuningan.

“Berapa harga Tongkat Ali ni pakcik? Kira macam mana?” Tanyaku.

“Sebatang tu Pakcik jual RM300. Ada la dalam tiga kilo beratnya”, balas pakcik kedai yang sedang membancuh air minuman kami.

Kemudian datang seorang lelaki dewasa berumur sekitar 40an, turut memesan minuman. Dalam pada itu dia menyapa kami. Peramah orangnya.

“Kamu dari mana?”

“Kami dari Kajang, bang”

“Oh Kajang..ni nak ke mana?”

“Kami nak menjenguk-jenguk hutan sekitar Kuala Kelawang. Masuk cari akar rotan”

“Oh ye ke..hati-hati kalau masuk hutan tu”

“Oh..kenapa bang, lain macam bunyinya tu”

“Ya..hati-hatilah. Berdekatan dengan hutan Kuala Kelawang ni dahulu ada sebuah kampung. Di dalamnya ada kebun buah-buahan dan ada seorang orang tua yang tinggal seorang diri di dalam rumah berdekatan dengan hutan tu…”. Abang Asli tu memulakan cerita. Kemudian dia meneruskan ceritanya lagi :

“Orang tua ini dahulunya pernah membela seekor harimau. Dirantainya harimau tu. Gunanya untuk menjaga dirinya, keluarganya dan kebun-kebunnya. Satu ketika beliau meninggal dan harimau tersebut tinggal tidak bertuan.”

“Oh ye ke?? Ni harimau betul ke atau harimau jadian bang?”, Celahku.

“Harimau betul. Bukan jadi-jadian. Tetapi ada puakanya sebab harimau tersebut dipakaikan dengan mantera-mantera supaya jinak dan taat pada tuannya.

Pernah sekali selepas meninggalnya pakcik tersebut, ada seorang ahli keluarga sanak saudaranya pernah diserang dan cedera oleh harimau tersebut. Ahli keluarganya sempat menetak harimau tersebut namun tidak lut. Hanya kena pada rantainya sahaja. Rantai tu putus kena tetak. Lalu ahli keluarga pakcik tersebut tidak mahu lagi tinggal di kawasan kampung tersebut. Mereka pindah ke kampung lain kerana bimbang diserang kali kedua.”

“Oo..begitu..ngeri juga”, sahutku penuh minat. Aus juga mendengar dengan penuh minat. Abang Asli tersebut menyambung lagi :

“Jadi setelah lama kawasan rumah dan kampung tersebut ditinggalkan oleh ahli keluarga dan sanak saudara pakcik tu, keadaan makin terbiar dan pokok buah-buahan banyak tiada siapa yang ambil petik. Jadi bila tidak ada yang ambik petik, saya datang la ambil. Hehe. Sayang buah-buahan tu busuk begitu saja kalau tak dipetik. Rambutan, manggis, duku, langsat, cakap apa saja. Durian?, tak payah cakaplah..”, kata abang Asli tersebut. Aku dan Aus ketawa kecil, geli hati barangkali. Abang tu menyambung :

“Tapi itulah, nak ke kebun buah-buahan tinggal tu, ada risikonya. Risikonya ialah diterkam dek harimau puaka tu. Ada juga yang pernah terserempak, kemudian tak datang-datang lagi ke situ. Takut. Tapi saya tak. Saya datang dengan kawan dan seorang orang tua ni. Bomoh juga. Dia tahu untuk berhadapan dengan binatang buas.

Sekali tu, kami pergi mengutip buah, dengan tak semena-mena harimau berantai tu muncul. Diserangnya kami. Nasib Pak bomoh ada. Dibalasnya tetak. Kena sebelah kaki harimau tu, putus. Lalu lari harimau tu.

Selepas pada itu barulah kami berasa aman sedikit untuk mengutip buah. Pernah juga lihat kelibat harimau itu tapi dia tidak berani mengganggu lagi. Sekadar mundar-mandir segenap penjuru hutan sekitar kawasan Semenyih-Langat-Kuala Kelawang ini, mencari tuan barangkali. Usianya ratusan tahun..namun tetap seperti harimau biasa kerana ada puakanya dan mantera yang dipakaikan kepadanya menyebabkan dia dapat hidup lama.

Kami panggil dia ‘Si Tempang’ atau ‘Pak Belang Tempang’.

Jadi kamu berhati-hatilah jika masuk hutan kawasan sini.” Panjang lebar abang Asli ni mengakhiri cerita dengan nasihat.

Selepas bersalam-salaman dan membayar minuman, kami pun minta diri beransur untuk balik ke rumah. Niat untuk menjengah masuk ke hutan Kuala Kelawang, ditunda. Di dalam kereta Aku dan Aus melayangkan fikiran tentang cerita abang Asli tadi.

“Long..” Aus bersuara.

“Ha..napa”

“Tau tak tadi kenapa Aus rasa nak gerak balik masa kita jumpa rotan tu”

“Ha..kenapa”

“Sebenarnya masa tu gerak hati asyik bersuara tak putus-putus ‘rimau,rimau,’.. bukan masa jumpa rotan tu aje.. dari mula kita naik kat bawah lagi”

Aku meremang. “Oh ye ke”..

“Ya..sampai kat kawasan rotan tu makin kuat lak bisik kat suara hati ni. Tu yang ajak balik tu”

Aku termenung. Kemudian aku teringat satu benda. “Aus, perasan tak cerita brader tadi?”

“Ha ape dia?”

“Pak Belang Tempang”

Aus senyap.

“Ingat tak tapak tadi? Along kira tapak tu tak cukup satu. Ada tiga je. Puas along fikir.”

Aus pandang aku sambil sengih seram kelat.

“Jangan-jangan….”

Kami pun meluncur balik kerumah dengan misteri hutan Semenyih yang ‘rare’…

  • Moral :
  1. Nak masuk hutan, bawa kelengkapan secukupya.
  2. Kenali penduduk setempat berdekatan dengan hutan tersebut.
  3. Mohon perlindungan Allah. Doa itu senjata orang-orang mu’min.

Sekian..hingga berjumpa lagi.

Nukilan Pengalaman dari :
Art Calligrafia Mohamad
#artcalligrafia.official
27 Ogos 2019

hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Art Calligrafia Mohamad

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 4 Average: 5]

5 thoughts on “Masuk Hutan Semenyih”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.