Mencari Melati

MENCARI MELATI

Mat membiarkan saja longgokan sampah dan almari di sudut tepi gerai itu. Asap berkepul-kepul keluar dari mulut sekumpulan veteran pencen selepas jogging pagi itu juga tidak diendahkan.

Poster  ‘dilarang membuang sampah’ dan ‘jangan merokok disini’ jelas dan semua orang boleh nampak. Bagi Mat, jika sang pelaku pun tidak mengendahkannya , inikan dia manusia kerdil yang tiada apa –apa.

Nescafe panas yang dipesannya tadi sudah semakin sejuk tidak disentuh. Warung yang tadinya ramai  kini sudah semakin kurang kerana sudah masuk tengahari. Mat masih memikirkan pengalamannya malam tadi dan malam –malam sebelumnya. Malam yang menghantui diri Mat. Banyak persoalan yang bermain di minda.

Kisah bermula pada suatu malam, dalam keadaan hipnogogik iaitu antara sedar dan tidak, mamai dan tidak. Selepas isyak bilamana semua ahli keluarga balik ke kempung. Kebetulan pula Mat baru saja selesai bergotong royong membersihkan rumah terbakar di Kuala Pilah. Sebagai ahli sukarelawan kebajikan, itulah kerjanya ketika lapang.

Tiba di rumah segala penat lelah mula terasa.Selepas mandi dan makan, letak saja kepala di bantal mata sudah berat untuk beradu. Matanya berkunang-kunang dan sedikit pening. Orang kata vertigo. Ketika itulah Mat terasa seperti ditarik (vakum) dengan agak laju. Seluruh tubuh badan Mat terasa sejuk yang amat sangat.. Oleh kerana takut Mat hanya memejamkan matanya.

Ketika itu telinganya menangkap bercampur baur suara orang bercakap, berbisik malah terdengar suara orang mengaji. Apabila Mat membuka mata terkejut olehnya apabila tiba – tiba berada dalam sebuah bilik yang terang benderang. Bilik itu kosong dan hanya ada sebuah sahaja pintu.

Tombol pintu dihadapannya dipulas perlahan. Tidak sabar untuk melihat apa yang ada diluar pintu. Pandangannya kabur ketika itu. Apabila pintu dibuka, terbentang luas dihadapan Mat hutan tebal yang gelap gelita.

Dari kejauhan nampak cahaya berbalam-balam  seakan ada satu perkampungan . Angin kuat bercampur sejuk menyucuk sampai ke tulang. Sambil memeluk tubuh Mat cuba berjalan perlahan meninggalkan bilik tempat keluarnya tadi.

Langkah kaki dipercepatkan. Hutan tebal yang gelap ini ingin segera ditinggalkan. Fikirannya bercampur-campur. Perasaaan takut dan rasa ingin tahu menguasai dirinya. Ketika lariannya sudah mula laju tiba-tiba tangannya disentap kuat dan dihalang oleh seorang lelaki bertubuh sasa dan tinggi.

Dia meronta –ronta ingin melepaskan tangan. Hasratnya untuk meneruskan perjalanan dibatalkan lalu cuba berpatah balik. Ini semua gara-gara lelaki tadi yang tidak kelihatan langsung mukanya. Pendek kata lelaki tidak berwajah itu cuba menghalang Mat meneruskan hasratnya.

Dia cuba membuka pintu bilik semula dan tiba-tiba seperti ditarik ke belakang membawa Mat ke tempat tidurnya semula.

“Apa dah jadi dengan aku … mimpi ke aku tadi?” Lama Mat terduduk di tepi bucu katil mengingatkan semula apa yang dia alami tadi.

Fikirannya keliru. Bercampur-campur. Lututnya lembik seperti jeli. Lama juga keadaan itu berlaku. “Ah… Dah lambat aku masuk kerja. Merah lagilah nampaknya.”

Hari itu selepas balik dari kerja, usai mandi, solat dan makan. Mat menonton tv .Waktu itu jam sudah menunjukkan pukul 9 malam. Drama Melayu dengan dialog melankolik membuatkan mata Mat semakin lama semakin berat. Akhirnya Mat tertidur di sofa. Dalam keadaan mamai tu kakinya terasa berat dan sejuk membawa sampai ke atas. Akhirnya mat ditarik semula ke bilik semalam. Cahaya yang menyilaukan itu membuatkan mat cepat-cepat ingin mencari jalan keluar segera.

Dalam hutan tebal yang gelap. Cahaya berbalam di hujung sana menarik minat mat untuk melihat apa yang ada. Mat tahu ada penjaga berbadan sasa di hadapan sana. Mahu –tak mahu mat cuba menukar rancangan dengan menukar haluan ke bahagian kiri dan memecut laju.

Mat berhasrat untuk merungkai persoalan yang bermain di benaknya. Anehnya hutan ini jalannya rata dan tiada sebarang tunggul pokok atau akar kayu. Hanya ada rumput dan pokok-pokok yang besar. Cahaya terang dihujung sana memimpin Mat menyusuri hutan tersebut.

Akhirnya larian Mat sudah sampai ke pinggir hutan. Beberapa langkah mahu sampai ke destinasi tiba-tiba tangan kanan mat disentap lalu jatuh bergolek. Mat gagal sekali lagi menembusi pengawal tersebut. Geram sungguh.

………………

Tibalah Hari yang ketiga, mat sudah bersedia dan mahu segera merungkai misteri perjalanan mistiknya itu. Untuk itu, Mat cuba tidur dan melelapkan matanya. Menunggu saat-saat di tarik masuk ke dalam alam  mistik itu. Lama mat cuba melelapkan mata namun gagal. Akhir nya Mat terjaga apabila mendengar bunyi deringan loceng jam berbunyi. Malam itu tiada apa yang terjadi.

“ Kenapa malam tadi tak dapat masuk ye?…’’Mat cuba bertanya pada dirinya sendiri.Tiba – tiba datang ilham mengatakan tidurnya mesti jangn dibuat – dibuat. Mesti secara alami.

Malam itu Mat mengambil novel cinta isterinya. Dibacanya satu persatu novel Budak Setan Karya Ahadiat Akasyah ini. Dipaksanya membaca dari satu tajuk ke tajuk yang lain. Telahannya memang benar, tiba-tiba Mat berada dalam hutan itu semula. Tidak mengambil masa yang lama, Mat memecut laju sehingga sampai kepenghujung hutan dan pinggir kampung.

“Mana pergi si badak tu.? Senang pulak aku masuk” Dengan perasaan teruja Mat memulakan langkah.

Mat perhati perkampungan ini penuh  dengan rumah melayu lama seakan akan rumah traditional negeri Melaka. Ada serambi atas bertangga batu. Tidak ada seorang pun yang lalu lalang ketika itu. Ada lampu jalan menerangi seluruh kampung itu. Namun lampunya tidak sama seperti kebiasaan kita. Depannya berukir dengan corak batik. Dan cahaya lampunya bercampur kuning dan putih.

Jalan kampung ini berturap. Namun yang hairannya tidak ada satu pun kenderaan yang ada ketika itu. Jangan kan kereta orang pun langsung tiada.

Mat melangkah perlahan menyusuri perkampungan yang sunyi dan sepi. Cuma yang mat perasaan, ada mata mata yang sedang memerhati mat dari segala arah. Setiap rumah yang dilalui nya nampak akan ekor matanya renungan mata yang tajam.

Sampai di sebuah rumah pada penghujung kampung, kelihatan pintu rumahnya terbuka luas. Seorang budak kecil sedang duduk di tangga rumah. Mat memberanikan diri menghampiri lalu menyapa.

“Assalamualaikum, dik boleh abang tanya. Abang sekarang dimana?”

Adik tadi tidak menjawab soalan. Sebaliknya meninggalkan Mat sendirian dalam kebingungan. Tak lama lepas itu, Mat mendengar bunyi tapak kaki menghampirinya. Dari jauh Mat nampak seorang wanita berbaju kebarung lama dengan kalungan rantai emas klasik dileher perlahan datang dan menyapa.

“Maaf kan adik saya tadi ya, dia pemalu. Ini kampung seri lama, saya tahu abang orang luar. Mari jemput ke dalam.”

Mat tidak menolak pelawaan itu. Rumah kampung ini macam pernah dilihat. Nampak seperti Rumah Antik Penghulu Natar Merlimau Melaka. Memang ada kelas antiknya tersendiri.

Mat nampak adik tadi duduk melenggung memerhatikan dia sahaja. Terkejut dengan bau wangi yang datang tiba-tiba, baru Mat perasan wanita tadi sudah bersimpuh disebelahnya. Segelas kopi panas berasap dihulurnya lembut. Mat mula teruja dengan kecantikan semulajadi wanita itu.

“Nama awak siapa?” Mat bertanya sambil menghirup kopi panas sedap tadi. Rasanya lain. Ada pahit dan manis dihujung lidah. Sedap bila panas.

“Oh saya Melati, dan adik saya tu Adiputra. Mak dan ayah pergi ke kebun.”

Sebelum saya meneruskan persoalan. Melati menambah kata.

“Maaf ye bang, abang tak boleh lama, mak dan ayah tidak suka tetamu dari luar. Tambah lagi seperti abang ini seorang lelaki. Memang jarang ada yang dapat tembus ke dunia kami. Saya kira inilah pertemuan kita buat kali yang terakhir. Anggaplah ini kunjungan istimewa buat abang ke tempat kami. ”

Mat masih terpinga-pinga. Kepalanya mula pening. Tak mampu rasanya duduk berlama-lama.

” Begini ya abang, lepas ni abang pulanglah ke tempat abang, lalulah di jalan depan ni tegak terus tanpa memandang kanan dan kiri. Nantinya abang akan jumpa tempat asal.”

Melati memandang dengan senyuman yang sangat manis. Hati Mat tiba-tiba bergelora. Rasa ingin tinggal barang sehari dua. Namun apakan daya. Khuatir akan diapa apakan oleh ibu bapa Melati. Diturutkan sajalah.

” Jadi, andai abang ingin datang semula bagaimana.? ”

Melati menjawab manis.” Saya tak pasti yang kita akan ketemu lagi. Ini adalah perkampungan alam ghaib. Kami tak sama seperti abang manusia di dunia. Air dan minyak tidak akan bercampur. Kira ini rezeki abanglah dan saya.”

Redha dengan jawapan Melati. Mat meneruskan langkah seperti yang diarah. Memang betul, semakin lama berjalan langkah makin perlahan dan berat. Dan akhirnya tiba – tiba terjaga dari tidur.

Diatas katil rumahnya, dan masih sama. Iya, mat sudah balik ke dunia asal.

Sepurnama selepas itu dicubanya beberapa kali namun usahanya nyata gagal. Dan cerita ini dikisahkan kepada saya dan teman teman lain buat pengisi masa. Ada yang percaya dan pastinya ada yang menuduh mereka cerita.

Yang pasti saya kenal Mat, kawan sepermainan, seorang lelaki yang ceritanya banyak jujur dari berdusta.

Sekian…

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 4]
Mohd Fudlullah Ahmad

1 thought on “Mencari Melati”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.