Menjadi Pendamping

Assalammualaikum FS dan selamat sejahtera. Terima kasih kerana sudi membaca kisah pertama saya iaitu ‘Jelmaan Kak Fairuz.’ Saya menghargai jasa FS dan komen positif dari pembaca.

Baik, saya sambung dari kisah pertama satu persatu. Apa yang terjadi pada kak Fairuz?

Pertengahan tahun 2015- Selalunya jika esok cuti, kami budak-budak uzur akan duduk di asrama. Di tingkat 1, bilik itu dipanggil bilik rehat. Kebetulan saya tidak boleh solat. Jadinya, kami duduk di bilik rehat. Setelah selesai zikir semua, saya dan kawan saya bernama K duduk di luar.

Kawasan asrama kami berhadapan dengan gelanggang bola jaring dan ditutupi dengan zink yang tinggi. Di situ juga ada disediakan tempat duduk meja bulat dan pondok yang berbumbungkan zink. Jika tidak ditutupi dengan zink, pelajar lelaki akan nampak kami kerana asrama kami berhadapan dengan surau. Saya dan K bergelak ketawa di meja bulat, sedangkan masatu di surau jelas bacaan yassin dibaca. Khamis malam jumaat. (Masa tu jahil.. Fikir seronok je) tiba-tiba saya dengar ada bunyi sesuatu jatuh di court. Macam bunyi batu. Saya abaikan masa itu. Sebab budak lelaki selalu baling batu dari belakang surau ke asrama kami. Selalunya budak lelaki yang nakal-nakal.

Lama-kelamaan, makin menjadi pula balingan batu. Salah satu batu terkena pondok yang berbumbugkan zink. Saya dan K saling berpandangan. Takkan kuat balingan budak lelaki sampaikan ke pondok zink batu tu? gelanggang tu boleh dikira besar juga. Masa tu, budak-budak yang dalam bilik rehat keluar sebabkan bunyi batu yang terkena zink tu. Kitaorang cari la dari mana datangnya batu itu dibaling.

Tiba-tiba salah seorang berkata, dia nampak sesuatu yang bercahaya seperti lampu suluh dari hutan kelapa sawit itu. Asrama kami kan bersebelahan dengan kelapa sawit. Kami pun tengok arah balingan batu itu dari kelapa sawit, bukan dari belakang surau. Kami apa lagi, mula gelabah. Kami lari ke surau.

Sampainya kat situ, kami mengadu dengan akak-akak form 5. Form 5 pun takut nak pergi melihatnya. Kebetulan Kak Fairuz berada di hadapan kami ketika kami rancak bercerita. Dia membelakangkan kami. Kak Fairuz sedang baca quran. Saya suruh jangan sampai kak Fairuz dengar, tiba-tiba macam tahu je namanya disebut, terus dia menoleh ke belakang dan tersenyum yang menyeramkan. Macam senyum orang buat jahat. Macam itu lah. Dia tanya apa yang berlaku. Kitaorang sembunyikan. Lepas tu boleh pula dia cakap macam ni..

‘Tak pe, nanti aku tahu jugak.’

Masa tu, semua dah seriau. Semua dah tahu pasal tekaan kak Fairuz masa main benda tak elok. Kak Fairuz juga tahu siapa yang bawak barang-barang terlarang, siapa yang mencuri, siapa yang nak dating. Yang peliknya, ada sorang budak tu tak cerita pada sesiapa pun yang dia bawa barang terlarang dan di mana dia sembunyikan barang tu. Tiba-tiba je Ikin jumpa budak tu mengenai barang yang dia bawa. Kalau nak tahu, Ikin ni exco disiplin. Masa tu semua ingat Ikin ni ada pancaindera. Tapi Ikin bongkarkan yang bukan dia yang tahu mengenai semua tu. Ikin cakap yang Fairuz cakap dengan dia. Fairuz kan rapat dengan dia. Yela, sepupu katakan. Fairuz jenis cepat kesihan dengan budak-budak. Sebab tu dia suruh Ikin tegur budak yang bawa barang terlarang, bukan dia. Sebab hati dia lembut.

Fairuz juga yang bagitau Ikin siapa yang nak dating sekian,Sekian. Ikin apa lagi, terus pergi tempat tu. Tengok-tengok betul mengenai siapa yang dating dan tempatnya. Termasuklah kes mencuri. Dengan bantuan kak Fairuz, semua kes curi dapat diselesaikan. Siapa, di mana dia sembunyikan duit itu. Semua la. Semua anggap kak Fairuz istimewa sebab macam ada ilmu boleh tahu semuanya. Tapi lama kelamaan, ianya menjadi seram kerana kak Fairuz boleh tahu semuanya.

Ok, balik cerita tadi. Kitaorang duduk di luar surau sampai lah habis solat isyak. Lepas solat isyak, ada perjumpaan mengenai hal tadi. Tapi form 5 tak beritahu tentang apa yang berlaku. Diorang cuma suruh kitaorang masuk bilik asrama dan kunci pintu setelah pasti budak-budak asrama cukup. Asrama tingkat 1 kena tidur bilik lain. Jadinya kena menumpang bilik lain lah. Masa tu masing-masing dah takut. Kebetulan pula warden utama tiada sebab keluar beli barang untuk nasyid perempuan. Jadinya, warden sementara yang mengantinya. Warden sementara ini pun masih baru dan dia juga takut mengenai orang membaling batu dari arah kelapa sawit. Kami yang tahu mengenai hal itu sama-sama periksa dan alangkah terkejutnya kami kerana dawai hijau yang memagari sempadan asrama kami dengan kelapa sawit seperti d******g dan lubang tersebut muat untuk seseorang menyelinap masuk atau keluar asrama kami.

Yang kami pelik, sejak bila dawai hijau tu d******g? Semalam kami tengok, tiada apa-apa kesan pun. Daripada situ, kami yakin yang balingan batu itu ialah manusia dan dia lah yang bertanggungjawab memotong dawai tersebut. Mesti ada niat yang tak baik yang dia mahu lakukan. Masa tu, kak Fairuz hanya melihat saja gelagat kami. Dia seperti tidak kesah dan takut seperti budak asrama yang lain. Warden baru itu kami gelar Kak M. Kami memberitahu Kak M mengenai keadaan kak Fairuz yang seperti tiada perasaan. Kak M kata…

“Orang macam Fairuz la bahaya. Sebab dia tak tunjuk perasaan dia yang sebenarnya. Kita tak tahu isi hatinya. Kalau orang lain, kita tahu semua tengah takut. Tapi kalau Fairuz, memang susah nak tebak hatinya. Dia suka memendam dari meluahkan pada orang. Hanya orang tertentu saja yang dapat dengar luahannya. Itupun jika dia mahu cerita. Fairuz luaran saja nampak kuat, tapi dalamannya lemah. Kamu semua kena sama-sama bantu Fairuz. Jangan biarkan dia melawan semua ni seorang diri.” sejurus itu, Kak M terus pergi ke arah kak Fairuz dan mengusap kepalanya.

”Fa ada benda nak cerita pada Kak M?” soal Kak M.

Kak Fairuz menggeleng kepala dan ingin berlalu.

”Tak ada apa yang perlu Fa risaukan, ok?” kata Kak M.

Fairuz berpaling dengan muka tanpa perasaan dan terus berlalu tanpa membalas kata-kata Kak M.

Esoknya, kak Fairuz bercerita dengan Kak nana mengenai mimpinya. Mimpi seorang lelaki berjubah putih, mahu membawanya keluar dari dunia yang jahat. Nasib Kak Fairuz tak sambut huluran tangannya ketika benda itu menghulur. Dalam mimpi itu juga, ada ibu ayah kak Fairuz dan pak cik itu yang membantu kak Fairuz keluar dari mimpi itu. Pak cik itu berpesan, jangan percaya apa yang benda itu katakan. Benda itu kata namanya Adam. Adam baru saja masuk islam kerana Fairuz. Adam mahu kahwin dengan kak Fairuz. Kerana itu saja, Adam masuk islam. Dia cakap, Adam akan balas dendam pada sesiapa yang buat masalah dengan Fairuz. Adam nak cari manusia yang baling batu. Dia nak b***h orang itu. Sebab manusia itu dah buat kak Fairuz risau. Kak Fairuz sebenarnya risaukan budak-budak asrama yang takut akan kejadian semalam. Tapi kak Fairuz merayu jangan b***h orang itu. Daripada situ, saya tahu yang baling batu itu adalah manusia, bukan hantu. Adam akan buat seseorang itu sampai m**i. Seperti Fairuz hajatkan. Apa saja yang kak Fairuz hajatkan seperti mahu pukul orang itu, cederakan orang ini, maka apa yang dia nak akan tertunai.

Kebetulan, ada satu geng ni cari pasal dengan Fairuz. Fitnah Fairuz macam-macam. Sampaikan Fairuz stress. Kak Fairuz takut yang Adam nak apa-apakan batchnya. Walaupun dia sakit hati dengan batchnya, tak sanggup dia nak tengok mereka sakit disebabkan dia. Dan malam itu kebetulan tangan geng yang cari masalah itu cedera. Mereka semua dapat luka yang serupa. Mereka pelik. Kak Nana dapat rasa yang benda tu dah bagi amaran. Kak Nana pada mukanya tidak percaya dengan semua ini, tapi bila geng itu mula dapat luka yang serupa, barulah dia mengakui kebenaran cerita Kak Fairuz. Malam tu jugak, benda yang sama berulang seperti malam sebelumnya. Batu dibaling dari arah kelapa sawit. Kebetulan kak Fairuz uzur.

Sedang zikir semua, tiba-tiba dengar bunyi balingan batu. Kami dalam tu dah mengigil. Masa tu pula baru lepas azan maghrib. Raut wajah kak Fairuz pula dah berubah. Matanya tajam meneliti seorang demi seorang. Seorang akak form 5 nama kak Zu menegur..

‘Fa, rileks. Zikir sama-sama dengan akak.’ pujuk kak Zu.

Sebelah tangan Kak Fairuz dah mengigil. Sebelah lagi memegang dadanya. Mukanya berkerut kesakitan. Kak Zu dah memegang kepalanya, membaca ayatul kursi bersama-sama kami. Langsir tiba-tiba berterbangan seolah-olah angin malam itu kuat. Tiba-tiba kak Fairuz cakap dalam bahasa Arab. Saya tak paham maksudnya apa..

Kak Zu yang berinteraksi dengan dia. Kepala kak Fairuz tunduk saja. Mulutnya masih lagi terkumat-kamit bercakap bahasa arab. Kitaorang masa tu teruja campur takut sebab kak Fairuz cakap bahasa arab fasih betul. Macam duduk arab bertahun lama. Balingan batu pun masih belum berhenti. Masa tu kami dah tak tahu yang balingan itu manusia atau benda lain.

Tiba-tiba kak Fairuz mendongak kepalanya. Masya-Allah.. Terkejut kami semua kerana matanya ketika itu semuanya putih. Tiada biji mata hitam. Kalau tadi rasa teruja, perasaan itu terus bertukar menjadi seram. Real kami tengok orang nampak mata putih. Tiba-tiba kak Fairuz berlari keluar. Kami semua ikut sama. Rupanya dia pergi ke arah kelapa sawit itu. Kami ingatkan dia mahu lari, jadi kami ikut tapi kak Zu melarang kami ikut. Kami pelik tapi kami ikut saja. Kitaorang duduk di luar sementara menunggu kedatangan kak Fairuz. Kak Zu pun sudah panggil warden.

Tidak lama lepas itu, kak Fairuz bawa seorang lelaki. Lebih kurang usia 30-an. Muka dan badannya luka-luka. Seperti dipukul. Kami masih bingung dan tak tahu siapa lelaki itu. Kak Zu masih lagi berinteraksi dengan kak Fairuz. Nada kak Fairuz seperti marah. Ustazah dan Kak M pujuk kak Fairuz.

Depan mata kami lagi, kak Fairuz belasah lelaki itu seperti lelaki. Kami terkejut. Dengan baju kurung, kak Fairuz belasah lelaki. Dan dengan sebelah tangan kak Fairuz mencekik lelaki itu dan mengangkatnya tanpa kakinya jejak ke tanah. Kak Zu pujuk Kak Fairuz. Terus kak Fairuz lepaskan. Kak Fairuz cakap sesuatu sebelum dia pengsan. Kami yang masih bingung tak tahu nak buat apa. Kak Zu mengarah kami bawa kak Fairuz ke surau.

Sampai di surau, masing-masing terkejut tengok kak Fairuz dengan tangan berdarah-d***h. Kami membersihkan luka di tangan kak Fairuz. Semua di surau tanya apa yang berlaku. Masalahnya, kami pun tak faham dan tak tahu apa yang berlaku. Tidak lama lepas itu, kereta polis sampai di asrama kami. Kami yang berada di surau pelik. Setelah itu, barulah ustazah dan Kak M datang ke surau menceritakan semua apa yang jadi.

Masa kak Fairuz dengar ada bunyi batu, dia geram dengan orang itu. Tak habis-habis nak ganggu orang. Mulalah dadanya sakit disebabkan benda itu nak masuk dalam badannya.

Kak Zu cerita mengenai bahasa arab yang Kak Fairuz cakap.

”Kau ingat aku sakit dengan bacaan kau semua ni?” masa tu kak Zu pegang kepala kak Fairuz baca ayatul kursi.

”Kau jangan sombong.” kak Zu beri amaran.

Benda itu mengajuk apa yang kak Zu baca tapi dengan bacaan terbalik. Kalau kita baca dari A-Z, benda tu boleh baca dari Z-A dengan laju. Begitulah benda mahu sesatkan manusia.

”Aku nak keluar”.

”Kau nak pergi mana?” soal kak Zu.

”Kau tak dengar? Bunyi tu.” bunyi balingan batu.

”Jadi? Kau nak buat apa?”

”Aku nak kerjakan orang itu.”

”Kau nak buat apa?”

”B***h dia.”

”Jangan.. Kau tak kesian dengan Fairuz? Kau guna badan dia untuk kau lakukan kesalahan. Dan dia yang akan menanggung kesalahan disebabkan kau.”

”Arghh!!!. Aku tak peduli.”

”Baik, kau bawa orang itu ke sini. Biar kami yang uruskan. Kau tak nak kan Fairuz cedera disebabkan kau?” susah juga nak pujuk benda tu, tapi akhirnya benda itu pun ikut.

Begitulah perbualan kak Zu dan benda tu. Menurut kak Zu, benda tu sayang sangat dengan Fairuz. Tak tahu dari mana kak Zu tahu benda tu sayang kat kak Fairuz. Mungkin adalah yang kak Zu bualkan dengan benda tu.

Tidak lama selepas itu, kak Fairuz sedar. Tapi matanya masih putih. Benda tu masih belum keluar dari badan dia. Tiba tiba dia bangun menghadap kami yang dalam barisan. Muka dia memang menyeramkan. Dia cakap bahasa arab lagi. Apa entah yang dia bebel.

Kak Zu cakap sesuatu dengan dia, terus dia tolak kak Zu. Kak Zu yang terjemahkan apa yang dia cakap. Ustazah dan Kak M dah balik asrama masa tu.

”Kau jangan berani cari masalah dengan Fairuz.” kak Zu terjemah.

”Kau tak payah nak tolong aku. Aku tahu.” benda itu bercakap melayu pula.

Kak Zu biarkan saja.

”Aku Adam, pendamping Fairuz. Jika ada sesiapa yang cari masalah dengan Fairuz, kau semua akan m**i aku buat.” kak Fairuz menunjuk semua yang berada dalam surau.

Kitaorang saling berpandangan satu sama lain. Nak telan air liur pun fikir dua tiga kali. Takut dia cekik kami macam dia cekik lelaki tadi. Mata putihnya, kami tidak tahu dia pandang siapa. Tapi yang pasti, memang kami lagi suka kak Fairuz sebenar dari kak Fairuz minah arab.

Baru terdetik dalam hati saya tadi, nak suruh kak Fairuz ajar bahasa arab, tapi dilupakan hasrat itu kerana takut bukan kak Fairuz yang sebenar yang mengajar tapi benda itu pula. Kalau saya salah sebut perkataan arab, mahu dicekiknya saya sampai m**i. Tak ke naya?

”Kau jangan ingat aku tak tahu apa yang kau semua buat? Aku yang beritahu Fairuz tentang aktiviti kau semua. Jadi berhati-hati. Ingat, kau m**i aku buat kalau kau semua buat masalah dengan aku. Cari masalah dengan Fairuz bermakna cari masalah dengan aku.” itulah pesanan dia pada kami.

Sejak itu, kami tak berani buat apa-apa kes atau masalah. Masa tu kecoh juga yang kak Fairuz tangkap penjahat itu. Rupanya penjahat itu mahu buat sesuatu tidak elok pada kami. Kak Fairuz blur, tak faham apa yang berlaku sampaikan semua gelar dia penyelamat.

*Saya minta maaf, masih belum cerita seperti yang saya janjikan pada kisah pertama.

Saya akan ceritakan step by step. Insya-Allah, saya akan update cerita mengenai kak Fairuz lagi. Kalau saya cerita terus lompat, nanti pembaca tak fahaM. Apa-apa pun, terima kasih kerana masih setia menunggu sambungannya.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Yaya

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 4.5]

4 thoughts on “Menjadi Pendamping”

  1. waah, saya suka membaca cerita awak ni, pelbagaii kisah kat fs ni tapi baru start bulan june haritu, tapi nukilan awak ni sangat bagus untuk dibaca, semua nya teratur dan senang untuk dihayati, kisah pertama dan kedua sangat baik. saya tunggu lagi cerita awak yang akan datang ye. 🙂

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.