Milah Berkelakuan Aneh

Assalamualaikum kepada pembaca dan terima kasih admin jika cerita ini disiarkan. Penulis menggunakan gelaran “Aku” untuk memudahkan lagi penceritaan supaya lebih santai. Dah lama aku tak menulis di Fiksyen Shasha sejak malu kantoi mengarang dengan kakak-kakak aku di sini. Hahaha. Tapi disebabkan aku tak boleh lelapkan mata malam ni walaupun esok pagi aku ada temu janji doktor di PPUM, aku akan ceritakan satu kisah yang agak seram terjadi kepada adik sepupu ku beberapa tahun yang lepas. Kisah ni aku ingat-ingat lupa ya. Aku ceritakan setakat yang aku tahu sahaja.

Setelah lebih kurang 2 bulan kejadian, baru kami sekeluarga tahu tentang kisah ini. Adik sepupu ku ketika itu masih bersekolah. Aku pula di universiti ketika itu. Aku difahamkan kejadian itu berlaku bermula dari rumah arwah opah ku di kampung. Ya, aku pernah cerita tentang kisah-kisah aneh di rumah arwah opah, tentang Pak Kiyai di pokok pisang belakang rumah, dan bekas pembantu rumah indonesia yang dipercayai rohnya sudah tiada. Pembaca boleh rujuk kisah lama “Hanya Jasad Yang Tinggal”.

Kali ini kisah ku berikan tajuk “Milah Berkelakuan Aneh”.
Milah (nama samaran), dan keluarganya terdiri daripada Ibu, ayah dan Lily (kakaknya) pulang ke kampung untuk beberapa hari. Arwah opah kami telah tiada ketika itu, di kampung cuma ada makcik & paksu kami yang masih belum berkahwin. Selepas beberapa hari mereka terus ke Genting Highland untuk beriadah pada cuti sekolah.

Di hotel genting highland, Milah & Lily tidur sebilik dengan ibubapa mereka. Difahamkan, sejak mereka berada di sana, perangai Milah aneh sekali. Dia menjadi seorang yang sangat pendiam, sedangkan dia seorang yang sangat ceria. Pada mulanya mereka tidak mengesyaki apa-apa, mungkin dia kepenatan. Yang mengejutkan mereka adalah apabila ibu Milah mengarahkan Milah mandi, Milah tanpa segan silu terus membuka baju dah bogel di hadapan ayahnya. Ayahnya pantas menutup muka, ibunya pula terus menutup badan Milah dengan tuala sambil memarahinya. Ibunya terus mengarah Milah untuk mandi tapi Milah seakan tidak tahu mandi sendiri, ibunya terpaksa memandikan dia. Ibu bapa Milah mula resah dan gelisah dengan kelakuan Milah.

Setelah beberapa hari mereka sekeluarga pulang ke rumah di Kuala Lumpur. Perangai Milah menjadi-jadi. Dia tidak seperti dirinya. Masih lagi pendiam. Gelajgat dan kata-katanya aneh menyebabkan dia tidak ke sekolah. Ada suatu ketika, Lily bertanya kenapa makanan hamster peliharaan mereka ini sentiasa hilang dengan cepat di dalam sangkar. Jawab Milah dengan muka yang serius “benda itu yang makan”, “benda tu suka main dengan hamster ni”. Lily rasa seram dngan jawapan yang Milah berikan kemudian berlalu pergi.

Milah kebiasaannya sangat takut untuk menonton TV berseorangan di ruang tv, tapi ketika itu dia berani menonton sehingga lewat malam. Ketika ayahnya tiada di rumah, bekerja di luar kawasan, ibunya akan memastikan Milah dan Lily tidur bersamanya di bilik utama. Ada suatu masa, Milah nyatakan benda itu suka duduk atau tidur di bahagian katil ibunya.
Semakin hari semakin aneh, maka aku difahamkan Milah dibawa berubat dengan Ustaz. Setelah diubati, ustaz memaklumkan ada benda yang menyerupai budak kecil dari rumah arwah opahku yang menumpang dan mengikut Milah. Malah, setelah diubati, Milah tidak ingat apa-apa tentang pemergian mereka ke Genting Highland. Seolah perkara itu tidak berlaku. Untung la “budak itu” dan rugilah Milah. Hahaha.

Tentang budak kecil ini juga aku ada dengar selepas itu dari makcik ku yang tinggal di kampung. Ketika dia bertolak memandu keluar KL ke rumah Milah, ada jiran pernah bertanyakan padanya “siapa budak kecil yang naik kereta dengan kamu? Anak saudara kamu kah? Aku nampak kamu keluar naik kereta dengan budak perempuan”. Seram tapi benar. Rumah arwah opah sehingga kini aku seram untuk pulang tapi sesekali tetap akan pulang melawat paksu ku yang seringkali tinggal keseorangan di sana tanpa rasa takut. Makcik ku yang tinggal di situ juga jarang pulang, seringkali menumpang di rumah makcik ku yang lain berhampiran. Aku syak, makcik ku juga agak takut untuk tinggal berlama-lama di situ. Yang pasti, kejadian aneh sering berlaku selepas pembantu indonesia menjaga arwah opahku.

Mengenai kisah Milah, aku rasa ada lagi kejadian aneh ketika itu tapi aku sudah lupa. Kalau aku tanya, Milah pun tak ingat apa-apa. Cuma sehingga sekarang, aku tidak pasti samada budak kecil itu mengikut Milah dari kampung, atau dia sudah mengikut sejak makcik ku dari kampung melawat di rumahnya. Alhamdulillah, Milah sehingga kini baik-baik sahaja. Maaf ceritanya mungkin tidak seseram mana dan ringkas, tapi pada aku kisah yang berlaku ni aku pasti akan sesekali teringat.
Sekian,
#TheCatLady

TheCatLady

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 5]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.