mimpi

Assalamualaikum para pembaca sekalian.

Aku cuma nak kongsikan sebuah kisah aku yang agak unik dan pelik.

Tahun 2021, kami dapat panggilan dari rakan atuk aku yang mengatakan bahawa arwah atuk aku sakit dan tidak boleh berjalan.Keluarga kami agak terkejut kerana dapat maklumat yang atuk aku tinggal seorang diri padahal dia ada isteri dan beberapa orang anak tiri yang sudah besar. Agak ralat kami di situ kerana arwah atuk kami sangat menyanjungi isteri barunya sehingga sanggup menghalau ibu aku yang merupakan satu-satunya anak tunggal serta zuriat dia sendiri.

Kami pulang juga atas dasar tanggungjawab serta rasa kasihan.Ketika kami sampai keadaan rumah sudah tidak terurus. Atuk aku pun diam tak bercakap, mungkin kerana malu atau sakit barangkali.Kami tak cakap banyak, terus membawa dia ke hospital. Kami pada mulanya nak bawa dia pulang ke kedah, tapi dia berdegil dan ingin tinggal di rumahnya sendiri. Kami menghormati keputusan beliau dan pulang semula ke rumah.

2 hari selepas itu,mak aku ada bergaduh dengan abah aku dan buat keputusan nak balik ke kampung ( merajuk la konon ). Waktu dia sampai di kampung, dia ada memanggil atuk aku, tiada sahutan tapi bila mak aku menghedap di tingkap, kelihatan atuk aku duduk di atas kerusi menghadap ke dinding. Mak aku memanggil orang kampung untuk memecahkan pintu, dia juga meminta abah aku untuk pulang ke kampung.

Kami ambil keputusan untuk bawak atuk aku pulang ke rumah kami untuk merawat dia. Dia sudah tidak mampu berjalan dan agak nyanyuk. Tetapi dia masih mengenali kami dan mampu bercakap.

Hubungan abah dan atuk aku agak dingin disebabkan parents aku bernikah tanpa restu. Tapi abah aku berusaha semampu boleh untuk menjaga atuk aku di hujung hujung hidupnya. Abah aku lah yang mengangkat atuk aku ke tandas disebabkan badan abah aku yang besar dan atuk yang agak gempal. Atuk menolak untuk memakai pampers dan selalu protes kerana tak mahu memakai pampers atau baju.

Satu hari tu, atuk aku sudah agak nyanyuk,jadi dia membuang air besar di lantai, abah aku marah dan membebel pada atuk aku oleh kerana membuang pampers,atuk aku menengking dan memanggil abah aku gelaran “kucing kurap”. Disebabkan itu abah menepuk meja dan memarahi atuk aku. Adik aku juga mengambil inisiatif dengan mengikat kain atuk aku dengan agak erat,jadi susah untuk atuk aku bukak. Aku tak ada la menolong sangat disebabkan aku perempuan dan tak biasa menguruskan orang tua. Tapi mungkin atuk aku tak selesa, dia londeh semua pakaian yang diikat dan berbogel sahaja. Adik aku membebel dan naik angin kerana atuk aku keras kepala dan degil.
Sejak dari itu,atuk aku berdiam diri dan tidak mahu makan.

3 hari selepas itu, atuk aku seperti sesak nafas dan kami terpaksa memanggil ambulans. Atuk aku meninggal 3 hari selepas di masukkan di hospital. Abah, adik serta abang aku lah yang menguruskan semua urusan dari memandikan jenazah sehingga mengorek liang lahad.

Arwah di kuburkan di luar kawasan tanah perkuburan disebabkan kawasan perkuburan sudah penuh, kiranya arwah dikuburkan di kawasan baharu lah. Mak aku ada membina kepuk dan meletakkan batu nisan di kubur arwah atuk.

4 hari selepas itu aku bermimpi yang kami sekeluarga mengorek kembali kubur arwah atuk aku dan mengeluarkan arwah yang berbungkus kain kapan berdarah. Agak seram di situ kerana aku mimpi tanah kubur atuk aku seperti runtuh. Aku tersedar dan sedekah al fatihah buat beliau.

Petang itu, kawan mak aku yang tinggal berhampiran kawasan kubur menelefon dan memberi tahu bahawa kubur atuk aku tenggelam disebabkan oleh hujan yang lebat turun tanpa henti.

Aku terus teringat mimpi yang aku lalui. Aku ada cerita pada mak aku, mak cakap mungkin disebabkan aku cucu yang tak pernah memarahi atuk aku, padahal sebab aku yang tak terlalu ambik tahu hal atuk aku kerana sibuk dengan sekolah.

Sehingga ke hari ini aku sering bermimpi kan arwah, di dalam mimpi tersebut arwah selalu mencium pipi aku, aku juga sering mimpi rumah arwah menjadi makin cantik dan tak kotor.Hanya aku sahaja yang sering bermimpi tentang arwah, mungkin kerana hubungan kami yang rapat dahulu ketika aku kecil.

p/s: atuk aku agak garang ketika muda, jadi dia tak suka dengan tindakan ibu aku yang berkahwin dengan orang bukan pilihannya. Tapi orang yang tidak disukainyalah yang menjaganya hingga ke akhir hayat dia. Abah aku merupakan anak yatim dari sebelum lahir, beliau berusaha menjaga atuk aku dan cuba menagih kasih seorang ayah. Harap pembaca tak salah faham dengan tindakan abah dan adik aku. Kami berusaha sebaik mungkin untuk menjaga beliau cuma kadang kadang penat juga sebab dia suka buka pampers, dan buang air di lantai, mak aku berbadan kecik jadi susah nak uruskan atuk aku.

Terima kasih semua.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

cik meow

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 57 Average: 3.9]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.