Mimpi Atau Realiti ? – Menjadi Tanda Tanya

Assalamualaikum kepada semua pembaca Fiksyen Syasya. Namaku Amsyar dan hari ini aku akan menceritakan kisah seram yang pernah aku lalui di sekolah berasrama penuh yang tidak dapat aku lupakan.

Ceritanya bermula begini, ketika aku sedang tidur dengan nyenyak diatas katil ku, aku merasakan perut ku sakit seperti hendak membuang air besar. Lalu aku terbangun daripada tidur ku dan aku mencapai jam tanganku yang menunjukkan jam tepat 3 pagi. Selepas itu aku menuju ke katil kawan ku yang bernama Atul. Aku dengan segeranya mengejutkan Atul yang tengah tidur lena dibuai mimpi. Namun tiada sebarang respon daripada Atul. Terus aku mengambil keputusan untuk pergi ke tandas seorang diri.

Setelah itu, aku mengatur langkah keluar dari bilik terus menuju ke tandas bagi melepaskan hajatku.
Usai sahaja aku menjejakkan kaki kiriku tiba-tiba aku merasakan ada angin yang dingin melimpasi aku. Tetapi aku hanya menganggap perkara itu seperti perkara biasa kerana korang tahukan bagaimana cuaca pada malam hari. Tanpa menghiraukan perkara tersebut,aku terus masuk ke dalam tandas bagi melepaskan hajatku iaitu membuang air besar.

Ketika aku membuang air besar, aku merasakan seperti ada sesuatu yang sedang memerhatikan aku tetapi aku tetap meneruskan dan tidak menghiraukan langsung tentang itu. Tiba-tiba, ada satu suara memanggil namaku dari bahagian atas tandas dalam nada suara mengilai “Amsyar…Amsyar…Amsyar…”. Lalu aku pun menoleh ke arah tersebut. Aku terkejut kerana aku melihat lembaga hitam sedang bertenggek di atas aku. Tanpa berfikir panjang, aku terus memasangkan seluarku dan terlupa untuk mencebok dan mengambil langkah seribu iaitu memecut keluar dari tandas.

Apabila sampai di hadapan pintu bilik ku, aku segera memulas tombol pintuku dalam keadaan tercungap-cungap dan melangkah masuk ke dalam bilik alangkah terkejutnya aku apabila melihat kelibat diriku sendiri yang sedang lena tidur di atas katilku. Terus aku menutup mataku dan membaca surah-surah lazim Al-Quran dan membuka mataku kembali lalu melihat lembaga tersebut telah pun tiada. Aku terus terjun ke katilku lalu menutup muka ku dengan selimut dalam keadaan menggigil dan memaksa diriku untuk cuba tidur.

Keesokkan harinya aku merasakan badan ku terasa lenguh dan rasa seperi tidak bermaya untuk bangun. Tetapi aku menguatkan semangatku untuk bangun dan terus ke tandas untuk mencuci punggungku yang belum sempat aku cebok pada malam tadi. Setelah memeriksa aku terkejut apabila melihat punggungku bersih dan tiada satu pun kesan kotoran. Aku keliru dan mula menceritakan perkara itu kepada Atul. Atul terkejut mendengar cerita daripada aku kerana setahu Atul pada malam tersebut Aku dan Atul sedang membuat ulangkaji bersama-sama bagi persediaan ujian yang akan datang.

Macam biasalah kalau kita pelajar sekolah asrama mesti pada jam itu kita mengulangkaji kerana menurut kata orang pada masa tersebut ilmu mudah untuk diterima. Aku merasa hairan dan terkejut mendengar apa yang dikatakan oleh Atul sebab aku merasakan perkara yang berlaku kepada diriku malam tersebut seperti benar-benar berlaku. Adakah perkara itu hanya berlaku dalam mimpiku? Adakah ia benar-benar berlaku?

Semua itu masih tertanya-tanya lagi di dalam fikiran ku yang masih tiada jawapannya. Setelah kejadian itu, aku mula kena demam panas dan sukar untuk aku bangun dari katil. Apabila guru melihat keadaan aku, beliau membenarkan aku untuk pulang ke pangkuan keluargaku. Sampai disini sahaja cerita aku, kalau ada lagi akan ku ceritakan lebih lagi kepada semua pembaca Fiksyen Syasya. Terima kasih kerana sudi menerima dan membaca cerita aku.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 3]
Amsyar

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.