Minyak Pemanis Wajah

Hello, nama aku Mawar. Ini merupakan kali kedua aku mengkongsikan kisah yang terjadi dalam hidupku dalam Fiksyen Shasha. Pertama sekali, maafkan lah sekiranya cerita yang aku coretkan tidak dapat memuaskan hati para pembaca.

Kisah ini terjadi pada tahun lepas, 2022. Pada pagi itu, aku baru saja pulang dari tempat kerja sekitar 5 pagi. Sebaik sampai saja rumah, aku terus melabuhkan p******g ku diatas katil dan melihat kearah Ibu ku yang sedang ralit memandang skrin telefonnya.

Selepas beberapa minit, aku pun bergegas ke bilik air untuk membersihkan diri. Tiba-tiba aku terdengar ibu menjerit kecil, lantas itu aku berlari terus ke dalam bilik yang kami berdua kongsi. Rupa-rupanya ibu telah mendapat berita bahawa kakaknya, yang mesra dipanggil Aunty Malis sedang nazak. Apabila mendapat perkhabaran yang menyedihkan itu ibu memaklumkan kepada seluruh ahli keluarga kami yang terdekat.

‘Pada pagi itu juga kami terus bergerak dari Melaka ke rumah Aunty Malis di Kota Masai, Johor. Aku dan ibu dipelawa menaiki kereta bersama-sama Pak Long dan Mak Long memandangkan masih ada ruang kosong di seat belakang.

Kami memulakan perjalanan sekitar pukul 8 pagi dan akhirnya tiba pada pukul 1 tengahari. Perjalanan mengambil masa yang agak lama sewaktu ingin mencari rumah Aunty Malis yang terletak diperkampungan lama. Maklumlah, ini merupakan kali pertama kami menjejakkan kaki dirumahnya selepas dia berpindah dari Melaka untuk mengikuti arwah suaminya yang sememang berasal dari Kota Masai. Kami hanya berjumpa sewaktu hari perayaan apabila Aunty Malis pulang ke rumah pusaka atuk kami di Jasin, Melaka.

Sewaktu sampai diperkarangan rumah Aunty Malis, Mak Long tiba-tiba bersuara, “Eh Zah, aku tiba-tiba rasa seram sejuk lah, agaknya kenapa ya?”. “Mungkin sebab cuaca mendung agaknya, takda apa lah”. Balas ibu ku sambil memberi salam pada tuan rumah. Sebenarnya, tidak dinafikan aku juga turut merasakan perkara yang sama seperti Mak Long namun aku hanya berdiam diri.

Sebaik sahaja masuk ke dalam rumah, kami melihat Aunty Malis sedang terlantar diatas katil beroda ditengah ruang tamu bagi membolehkan saudara mara melawat dan membacakan Yassin untuknya. Aku, Ibu, Mak Long dan Pak Long juga memulakan bacaan Yassin.

Setelah selesai kami dijemput untuk makan makanan tengahari yang dimasak oleh Kak Su iaitu anak sulung bagi Aunty Malis. Aunty Malis mempunyai 4 orang anak yang bernama Suria, Rahmat, Sufira dan Syafiq (bukan nama sebenar). Saja aku nak beritahu, Syafiq yang merupakan anak bongsu Aunty Malis ni, kacak benar mukanya hehehe. Syafiq ni agak pendiam berbanding adik-beradiknya yang lain, dari tadi aku melihat dia di dalam bilik Aunty Malis sambil termenung memegang gambar Aunty Malis dan minyak wangi Aunty Malis, biarlah, mungkin tengah bersedih fikirkan Aunty Malis.

Sewaktu kami makan, aku terdengar suara Kak Su yang sedang bercakap ditelefon, lebih tepat lagi tengah ‘Face Time’ dengan seseorang yang tidak kami kenali. “Jangan terima Su benda tu, takpayah lah amik benda-benda syirik ni” terdengar suara perempuan tersebut. “Hati Su sedih Chah, tengok mak dalam keadaan macamtu, pilu hati ni”. Balas Kak Su dengan suara yang sayu. “Mawar, lama tak jumpa!” Aku ingatkan siapa lah tadi rupanya sepupu ku Maria. “Lama betul tak jumpa kau ya War, aku kat atas tadi baru selesai solat zohor”.

Lama juga aku bersembang dengan Maria kerana sudah sekian lamanya tidak bersua muka. “Kau tak perasan something ke? Aunty Malis tu dah beberapa hari nazak tapi tak lepas lepas lagi. Tadi aku dengar Pak Long bincang dengan Kak Su diorang nak panggil darussyifa, aku pun tak pasti sebab apa, kita tengok je dulu. Lagi satu, kau tak rasa seram sejuk ke War? Aku ni sejak sampai malam tadi dari KL, bulu tengkuk aku ni asyik meremang je”. “Aku pun rasa jugak weh, tapi aku abaikan je taknak fikir yang bukan-bukan”. Jawab aku.

Jam dah menunjukkan pukul 2.35 minit petang pada waktu itu. Alhamdulillah pihak darussyifa telah sampai dari Pasir Gudang yang memakan masa 40 minit. Terdapat 3 ke 4 orang seingat aku pada ketika itu. Ahli darussyifa itu mengenalkan diri nya dengan nama Abang Ayub.

Tanpa melengahkan masa Abang Ayub terus mendekati Aunty Malis sambil mulut terkumat-kamit. Aunty Malis pada waktu itu hanya mampu memandang, tidak boleh bergerak mahupun bercakap. “Maaf jika saya bertanya, mak awak sebelum ini ada membela ke? Atau mempunyai ilmu-ilmu yang diturunkan oleh nenek moyang?”. Tanya beliau kepada anak-anak Aunty Malis. “Setahu saya keluarga kami tidak mempunyai saka keturunan atau belaan encik, kenapa ya?”. Jawab Sufira.

Kemudian, Abang Ayub pun menjelaskan bahawa pada badan Aunty Malis ada benda yang menempek, dan ianya tidak mahu keluar jika tiada Tuan Baru untuknya. Tiba- tiba anak kedua Aunty Malis, Abang Rahmat mencelah, “Tapi Bang, saya pernah ternampak mak saya ada simpan satu botol minyak kaca yang kecil untuk dia bawak kemana saja dia pergi, dan dia guna untuk sapu di kedua-dua belah kening dia”. “Boleh saya tengok minyak tu?”. Kata Abang Ayub. “Saya dah puas cari merata, tapi botol tu dah takda”. Balas Abang Rahmat. Seluruh seisi rumah sudah diam kerana masing-masing dah boleh agak, apa yang terjadi pada Aunty Malis.

Setelah itu, Abang Ayub meminta izin sekali lagi namun kali ni dengan menyentuh Aunty Malis dengan membaca ayat suci Al-Quran. Secara tiba-tiba Aunty Malis membeliakkan matanya keatas siling dan mengerang kesakitan. “Makcik cuba ikut cakap saya boleh? Saya Armalis melepaskan apa yang pernah saya pegang selama ini, saya melepaskan segala ilmu yang saya ambil ketika dahulu. Makcik ikut ayat ni ya. Ucap Abang Ayub. Namun, Aunty Malis sedikit pun tidak mencuba mengikut ayat yang diberikan. Malah memejamkan mata.

Akhirnya, selepas sejam berlalu Aunty Malis mengucapkan ayat tersebut dan tertidur keletihan. Kak Su menjemput Abang Ayub dan rakannya untuk menjamu minuman petang. Sepanjang waktu itu, Abang Ayub menjelaskan apa yang berlaku sebenar-benarnya. Ketika waktu Abang Ayub menyentuh lengan Aunty Malis, tubuhnya begitu panas dan melecur. Dibahagian belakang badan pula, kulit dan isinya sudah habis terkoyak dan hancur ibarat sudah dimakan oleh benda itu. Rupanya benda itu adalah jin pemanis wajah yang diambil sendiri oleh Aunty Malis dari seorang bomoh jawa.

Botol minyak itu pula adalah tempat tinggal benda itu, namun setelah botol itu hilang dari genggaman Aunty Malis, benda itu memilih untuk tinggal ditubuh Aunty Malis. Itulah yang menyebabkan tubuhnya sudah rosak dan hancur dimakan dari dalam. Aunty Malis mengamalkan ilmu itu atas alasan ingin menjaga diri nya dari dikacau orang dan ingin mempunyai wajah yang berseri untuk menarik pelanggan di restorannya.

Sewaktu itu ramai yang ingin mengenakan dan mempunyai niat jahat terhadap Aunty Malis yang merupakan janda atau ibu tunggal pada waktu itu. Itulah sebabnya kata Abang Ayub. Aku terkedu waktu itu, besar pengorbanan Aunty Malis sehingga sanggup mengambil benda sebegitu demi melindungi diri dan anak-anak. Bayangkan lah, menjaga anak-anak sendiri dalam masa yang sama ingin menguruskan bisnes demi kelangsungan hidup. Dan ramai pula yang punyai sifat dengki.

Betul lah kata pujangga, manusia sendiri yang menjatuhkan manusia. Apapun, bagi aku niat tak menghalalkan cara. Lagi lagi melibatkan perkara yang syirik dan menyekutukan Yang Maha Esa. Abang Ayub juga memberi nasihat kepada kami semua walaubagaimana pun susah keadaan kita, jangan lupa minta pertolongan dari Yang Maha Berkuasa, bukan disebaliknya.

Apabila semua sudah selesai, Ahli Darussyifa juga sudah balik, pada petang itu kami semua bergerak pulang ke rumah masing-masing. Sewaktu ingin pulang, ketika aku ingin menaiki kereta, aku ternampak lembaga hitam yang besar berdiri ditingkap bilik rumah kampung itu. Muka tidak kelihatan namun hanya berdiri tegak. Aku merasa takut dan terkejut teramat sangat sampai terpengsan di tepi pintu kereta. Sedar-sedar je aku dah sampai perhentian Rnr Seremban. Bila difikirkan semula, lama juga aku pengsan dan tertidur. Tapi, apa benda agaknya lembaga hitam itu ya?

Dua hari selepas kepulangan kami, Aunty Malis menghembuskan nafas yang terakhir. Pada haritu aku terfikir, kemana lah hilang nya botol minyak kaca kepunyaan Aunty Malis tu? Macam mana boleh hilang kalau benda tu benar-benar penting. Aku rewind balik, sewaktu aku ternampak Syafiq memegang gambar dan botol minyak wangi kecil yang berpenutup merah.

Aku mula terfikirkan sesuatu. Dengan pantas, aku mengambil telefon dan menghubungi Abang Rahmat. “Assalamualaikum, abang mat, war nak tanya sikit, masa hari Ahli Darussyifa datang, abang kata abang pernah nampak botol kaca arwah Aunty Malis kan? Boleh War tahu macam mana rupa botol tu tak?”. “Seingat abang botol saiz dia kecik, penutup warna merah, kenapa War tiba-tiba tanya ni?”.

Aku terkedu diam seribu bahasa waktu itu. Sah, Syafiq yang ambil minyak botol kaca tu. Lembaga hitam yang aku nampak pun duduk ditingkap bilik arwah Aunty Malis yang Syafiq sedang duduk. Tapi kenapa? Adakah Tuan Baru kepada benda itu adalah Syafiq? Sehingga ke hari ini itu masih menjadi persoalan dalam fikiranku. Tamat. Maaf jika bosan atau terlalu panjang, yang baik datang dari Maha Yang Berkuasa, yang buruk datang dari saya sendiri. Semoga bersua lagi.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Mawar

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 25 Average: 4.6]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.