Merujuk kepada BHG 1, kisah-kisah seterusnya bersambung kembali….
(I) Nama: Ketua Pegawai Waran Abg Mail (sudah bersara)
Peristiwa: Pakcik dusun durian
Saya didatangi oleh seorang pakcik tua berpakaian sehelai kaos dan bercelana pendek. Dia merayu agar pagar itu dibuka untuk diberi laluan kerana dia ingin melihat dusun duriannya yang berada di dalam kem.
Saya sebagai pengawal gantri utama telah diberikan tugas berat dan arahan ketat dari pihak atasan Saya (dididik untuk menanam rasa penuh hormat terhadap mereka yang lebih tua) dengan sopannya telah menghadang dari memasuki kawasan larangan. Pakcik dengan wajah hambar berlalu pergi dan di ketika itu juga sebuah batalion telah pulang ke pos kawalan dari latihan luar padang. Dari jauh kupandang, ada sedikit kelainan dengan cara pakcik itu berjalan tapi aku tidak memikir panjang tentang hal tersebut.
Rekrut: “Siapa tu, Bang?”
Saya: “Entahlah, dia kata nak tengok ladang durian dia kat dalam sini.”
Rekrut (bergurau): “Durian?! Kalau memang ada dahlah kita yang ngappp dulu, ye tak? Kah kah kah!”
Saya ikut ketawa tetapi dalam hati tertanya-tanya, “Pakcik ni biar betul. Zaman dah moden macam gini pun masih dusun lagi ke?”
Tidak lama kemudian, saya menerima panggilan dari dalam kem.
Rekrut: “Bang!!! Pakcik tadi tu sekarang ada kat obstacle course area kita (kawasan padang halangan).”
Saya : “Huh? Macam mana dia boleh masuk, abang dari tadi jaga kat sini. Tak ada satu orang luar pun yang lepas dari abang.”
Rekrut: “Tak tau ni. Bukan saya seorang je, yang lain pun nampak juga.”
Saya: “Dia masih kat situ lagi ke? Saya datang sekarang.”
Rekrut: “Tu takpe bang. Ada lagi satu problem.”
Saya: “Apa dia?”
Rekrut: “Kaki dia takde, bang!!”
Saya: Terdiam….
(II) Sumbangan: Pegawai Waran Abg Fahmi (sudah bersara)
Peristiwa: Betul ke itu Jeneral?
Intro: Sederetan pohon-pohon redang lagi cantik dipandang mengelilingi perimeter pagar di luar bangunan kem ini. Menurut cerita lama daripada penduduk-penduduk kampung tempatan, pokok-pokok kecil ini pernah digunakan sebagai ruang untuk menggantungkan penggalan kepala manusia suatu ketika dahulu.
Pemenggalan kepala adalah suatu proses biasa dan juga dijadikan sebagai satu tradisi bagi tentera-tentera Jepun. Dengan menggantungkan kepala-kepala di situ, ia akan bertindak sebagai tanda amaran yang diberikan kepada penduduk setempat supaya jangan menderhaka terhadap mereka. Bangunan kem di dalam kawasan pula digunakan sebagai kuarters untuk memenjarakan orang-orang tawanan yang menunggu masa untuk d*******l.
Fakta tambahan, pokok-pokok di sepanjang jalan adalah spot yang paling sesuai untuk melaksanakan khidmat tersebut.
Ahmad ditugaskan sebagai penjaga pondok kawalan untuk mengawal pagar gantri utama. Pondok ini pula terletak bertentangan dengan pohon-pohon itu. Ini bukanlah malam pertama tetapi sudah acapkali juga dia dikenakan jagaan malam, namun dia tidak mengalami sebarang kejadian aneh kecuali pada suatu malam itu.
Malam itu tiada bezanya, sepertimana malam-malam lain yang biasa dilaluinya– sunyi dan hangat. Dia mendengar radio supaya dapat mengelakkan dirinya dari tertidur; tidak ingin dikecam oleh ketuanya sebagai “curi tulang”. Kira-kira dalam jam 3 pagi, Jeneral Ong (ketua Ahmad) datang menuju ke pondok kawalan. Nasib baiklah Ahmad tidak tertidur semasa Jeneral-nya sampai, kalau tidak akan terjerumuslah dia dalam masalah besar nanti.
Dia bangun lalu keluar berdiri di depan pintu pondok dan menabik, “Selamat pagi, Tuan”. Jeneral pun membalas balik dan sejurus itu berlaku jeda yang janggal seakan masa membeku. Jeneral Ong berdiam dan di dalam keadaan bertabik hanya menatap lama kepada Ahmad. Ahmad pula mula merasa tidak selesa dan ingin menanyakan ketua-nya itu jika semua berjalan lancar atau ada sesuatu yang yang tidak kena. Sebelum sempat membuka mulut, kepala Jeneral itu melentok ke satu arah dan jatuh berguling ke bawah. Ahmad tergamam melihat kepala ketuanya di atas tanah sementara tubuhnya yang lain masih teguh berdiri dimana dia berdiri.
Ahmad menjadi terlalu takut lalu lari masuk ke dalam kem. Dia jatuh sakit selama seminggu akibat trauma dari peristiwa itu. Dia cuba memberitahu rakan-rakannya yang lain tetapi mereka enggan mempercayai keseluruhan ceritanya kerana Jeneral Ong selalu dillihat berada di dalam stesen bekerja seperti biasa sehari-harian.
Penemuan pada malam itu bagaimanapun, tidak menghalang semangat Ahmad untuk meneruskan tugasnya sebagai pengawal. Apabila terpaksa bekerja malam, dia menjadi lebih peka dengan segala perubahan keadaan di sekelilingnya. Ahmad tidak menduga malam pertemuan itu berulang lagi setelah beberapa bulan kemudian. Dia panik bila tetiba dia ternampak Jeneral Ong keluar dari kereta dan berjalan menghampiri pondok kawalan jagaanya. Kali ini Ahmad telah bersiap-sedia untuk menempuhi keadaan sebegitu, mengambil peristiwa lalu sebagai panduan.
Setibanya di pondok jagaan Ahmad, Jeneral Ong menyapa-nya dahulu. Ahmad menjadi takut untuk menjawab kerana bimbang akan melihat kepala Jeneral berguling lagi sekiranya dia berbuat demikian. Jadi dia pun membisu dan tenung ke arah ketuanya itu. Jeneral pun senyap juga menunggu reaksi Ahmad seterusnya.
Ahmad: (berbisik dalam hati) Oh! Oh! Dia dah diam. Dah mesti lari sekarang.
Jeneral Ong bersuara: (Penterjemahan dari Bahasa Inggeris) Kamu ok ke tak? Kenapa muka kamu pucat?
Ahmad: (masih berbisik dalam hati) Alahai!! Dia bersuara pula.
Perasaan Ahmad sekarang sedang bercelaru. Dia menjadi bingung samada di hadapannya ini adalah ketuanya sebenar-benar atau makhluk jin berjirimkan manusia.
Ahmad memberanikan diri dan mencucuk-cucuk badan Jeneral itu dengan pentungan-nya. Pepejalan badan seorang manusia dapat dirasakan namun dia tidak yakin lalu dia menunjal kepala Jeneral pula. Kepala Jeneral, kali ini, tidak terjatuh dan masih utuh di tempatnya. Sudah sah yang berada di depannya sekarang adalah seorang manusia dan sememangnya ketuanya sendiri.
Jeneral menjadi berang dan memarahi Ahmad kerana tidak menunjukkan kehormatan langsung. “What do you think you are trying to do, huh?! Firstly, you did not respect your own senior. And then you try to hurt by poking me and pushing my head too?!”
Ahmad didenda kerana berlaku kurang sopan terhadap ketuanya sendiri. Dia ditukarkan ke seksyen yang lain dan tidak lagi ditugaskan untuk menjadi pengawal gantri utama.
(III) Nama: Privet Kelas Pertama Ah Boon
Peristiwa: Hantu Jepang
Pada suatu dinihari, aku dikejutkan dengan bunyi derapan kasut but tentera berkawad di hadapan barisan katil-katil tidur. Aku membuka sedikit mataku untuk mengintip dan ternyata satu makhluk berpakaian tentera Jepun berwarna coklat kekuningan. Ia berjalan ke satu hujung bilik dan kemudian berpatah balik menuju ke hujung yang lain, badan digerakkan serentak dengan kaki seperti berlatih untuk perbarisan. Satu tangannya memegang selaras senapang Garand (pada pendapatku senapang jenis ini digunakan hanya semasa Perang Dunia II) dan sebelah lagi tangan memangku kepala tanpa raut wajah.
Keesokan hari, aku bertanyakan kepada rakan-rakan sebilik dan semua mengakui telah mendengar bunyi yang sama tetapi berpura-pura meneruskan tidur kerana mereka menyedari, walau apa sekalipun, tiada perbarisan yang akan dijadualkan pada waktu subuh.
Peristiwa yang lain pula:
Pegawai perubatan kami, Mahesh, pernah kerasukan dengan hantu jepun. Ceritanya bermula pada siang hari kejadian itu, Mahesh telah bersetuju untuk makan malam bersama aku dan 2 orang rakan lain. Waktu makan tiba dan kami tidak bertemukannya di kantin seperti dijanjikan. Kami meneruskan juga bersantapan kerana berasa terlalu lapar. Mahesh masih jua tidak muncul sehingga kami selesai makan.
Selesai makan dan ada masa kelapangan, kami bertiga bersahaja untuk pergi berjumpa Mahesh memikirkan dia masih di pejabatnya dengan bebanan kertas kerja yang datang pada saat-saat akhir. Sebaliknya, kami menemui Mahesh merayau-rayau tanpa arah tujuan di padang operasi khas. Kami cuba meneriak tapi dia mengabaikan saja dan terus berjalan seperti orang hilang akal. Kami dapat menyusuli dan apabila dia dipusingkan mengadap kami, dia didapati sedang berbicara sendiri dalam bahasa asing yang kuduga adalah bahasa Jepun. Suaranya berubah menjadi garau, tatapan matanya kosong tapi tajam, lurus pandang ke sesuatu dan warna kemerah-merahan. Salah seorang rakanku lari mendapatkan Mejar yang arif tentang hal-hal begini. Pengusiran mengambil masa 30 minit lamanya dan Mahesh pun pulih seperti sediakala dan diberi cuti rehat selama seminggu.
Setelah beberapa minggu, pada satu hari, kami sempat berbual-bual dengan Mahesh di waktu rehat.
Dia pun menceritakan apa yang terjadi selepas dia berjumpa kami pada hari kejadian itu.
Aku di sini ialah Mahesh:
Aku tuju ke pejabatku di tingkat dua selepas berjumpa kamu semua pada hari itu. Ketika melepasi sebuah lorong kecil, yang memisahkan bangunan kantin utama dengan bilik senjata, aku terserempak dengan seseorang bercangkung menghadap tembok. Dari jauh, kulihat kepalanya tertunduk. Sangkaanku mungkin salah seorang rekrut sedang curi-curi menghisap rokok.
Aku pun pergi mendekati dengan niat untuk menyergahnya. Ketika menghampiri, aku mula terperasan seragam tentera yang dipakainya sangat luar biasa. Berwarna coklat kekuningan dan dibahunya pula ada ikatan bar warna merah seiras askar Jepun dalam zaman 1940-an.
Dia pun, seperti sedar keberadaan aku di situ, bangun meluruskan diri. Barulah aku nampak dengan jelas orang itu tidak mempunyai kepala!!! Itulah saat terakhir dan aku tidak dapat mengingati perkara yang terjadi selepas itu sehingga aku tersedar dan melihat kamu bertiga dan Mejar dihadapanku.
(IV) Sumbangan: Leftenan Kolonel Damon (sudah bersara)
Kemungkinan era ‘80an (kesahihan tidak dapat dipastikan)
Peristiwa: Mana Albert?
Pada era itu, Pulau Hantu belum lagi berkembang maju sangat seperti masakini.
Alkisah, satu malam, sepasukan pelopor elite terdiri dari seorang pemandu trak militari (Rahim) dan seorang perwira (Albert) sedang dalam perjalanan pulang ke dasar kem. Selain rakan sekomplok, secara peribadi mereka juga merupakan sepasang kawan akrab sejak dari kecil lagi.
Trak yang dipandu telah menyusur sebuah lorong kecil yang hanya muat untuk laluan satu kenderaan sahaja. Laluan di situ sangat gelap, tiada lampu penerang dan dikelilingi oleh hutan tebal. Tidak tahu punca kenapa, trak itu tiba-tiba menanjak kuat lalu terhenti dengan sendiri-nya. Lampu, sepatutnya berfungsi dari bateri lama yang belum ditukar ganti, juga terpadam dan tidak dapat bernyala.
Memandangkan mereka berada tidak jauh dari lokasi kem, Albert mengambil keputusan untuk pergi meminta bantuan. Rahim disuruh untuk berduduk diam dan tidak meninggalkan trak walau apa sekalipun terjadi dan sebagai keselamatan dirinya. Rahim pun bersetuju. Albert keluar dari kenderaan dan berpandukan cahaya dari bulan penuh, Rahim melihat rakannya berjalan dan terus hilang dalam kepekatan malam.
Anggaran lima minit kemudian. Rahim terdengar hentaman di atas bumbung kenderaan-nya dan berbunyi pula menepat di mana beliau sedang duduk. Semakin lama bunyi dentaman itu semakin kuat tetapi mengingati arahan yang diberi oleh Albert tadi, dia tidak keluar juga untuk menyiasat.
Setengah jam berlalu, bunyi dentaman itu berterusan dan setiap kali ia semakin kuat sehinggakan membuat si Rahim berasa jengkel. Tidak lama selepas itu, sebuah jip dengan 2 orang pegawai mendatang dari arah bertentangan. Mereka terperasan trak yang tersidai di tepi jalan dan berhenti di hadapan-nya. Mereka ternampak sesuatu dan amat terkejut sekali. Dengan suluhan lampu jip mereka memberi isyarat kepada Rahim supaya keluar. Bila Rahim di luar trak, salah satu pegawai pun menjerit dengan nada yang cemas, (penterjemahan dari Bahara Inggeris) “Lari ke jip kami, sekarang. Jangan pandang belakang ok!”
Rahim masih tidak tahu apa yang berlaku dan menuruti sahaja perintah yang diberi. Namun rasa ingin tahu membuak-buak dan apabila dia sudah berhampiran dengan jip dalam jarak sejengkal, dia menoleh untuk melihat apa yang berlaku. Dia terpekik lalu rebah pengsan. Seorang pegawai dari jip tadi terpaksa mengheretnya masuk ke dalam kenderaan dan mereka terus berpusing balik menuju ke kem.
Fenomena: Seorang perempuan berjubah putih dan wajah yang begitu hodoh sekali sedang melantun-lantun kepala Albert di atas trak tersebut.
(V) Sumbangan: Kolonel Justin (sudah bersara)
Dalam tahun 1970-an
Peristiwa: Tragedi misteri
Ada dua versi yang diperdengarkan dan berlaku pada batalion perintis. Pada dasarnya insiden ini melibatkan seorang rekrut hilang setengah jalan semasa menjalani satu misi navigasi di dalam hutan tebal.
Kawasan hutan ini pula sedikit ganjil dan untuk membuat dua-hala panggilan radio atau ‘walkie talkie’ adalah mustahil kerana gelombang isyarat yang terlalu lemah pada masa itu. Mereka menjumpai rekrut itu pada keesokan harinya tetapi bukan dalam satu potongan tetapi anggota badan semuanya telah terpisah dan bergelimpangan di merata tempat.
Dalam kisah lain pula, seorang rekrut telah meminta izin untuk lebihan masa berehat kerana terlalu letih sementara teman-teman yang lainnya meneruskan misi latihan.
Setelah beberapa minit kemudian, mereka menyedari rekrut yang istirehat tadi masih tidak datang menyusuli. Apabila mereka berpatah balik ke tempat tadi, si rekrut sudah tidak kelihatan lagi di situ. Bermula dengan rejimen yang terbabit, merebak ke batalion-batalion sehingga menjangkau ke seluruh penduduk pulau terlibat dalam pencarian namun usaha yang digiatkan menjadi sia-sia kerana rekrut yang hilang tetap tidak ditemui.
Tiga hari kemudian, mayatnya dijumpai dalam keadaan tertelungkup, dibawah sebatang pokok berdekatan dengan tempat terakhir dia kelihatan. Tiada kesan luka ditemui pada badannya.
Tidak diketahui punca yang menyebabkan kematiannya yang mengejut, dan paling musykil dalam minda masing-masing ialah mengapa dia tidak dapat ditemukan sebelumnya sedangkan dia berada berdekatan sekali dengan tempat peristirehatan terakhir.
(VI) Sumbangan: Leftenan Kedua Subramaniam
Peristiwa: Cermin berpuaka
Blok 23 boleh digolongkan ke kluster bangunan-bangunan kem yang sudah agak tua. Cat-cat di dinding sudahpun pudar dan mengelupas, tembok berlubang di sana-sini dan ruangan itu dipenuhi dengan tumbuhan dedaunan kecil menonjol keluar darinya, beberapa jendela pula telah lama rosak tetapi tidak pernah dibaiki. Cuba anda bayangkan, tampilannya mirip seperti bangunan tua yang dipamerkan dalam kebanyakkan filem-filem seram.
Satu kejadian telah menimpa seorang askar membabitkan sebuah cermin yang terletak di salah satu kamar mandi dan dikatakan berpuaka.
Hari Jumaat adalah hari yang ditunggu-tunggu oleh para anggota tentera kerana mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. Ada yang pulang awal memandangkan hari percutian panjang sudah mendekat, kecuali mereka yang terpaksa bertugas mengawal persekitaran. Tinggallah 3 kawan sebilik yang berjadual untuk pulang pada keesokan harinya – Michael, Charlie dan Ringgo. Mereka masuk tidur awal kerana tiada jadual tugasan dan perkara-perkara lain yang harus dilakukan pada malam itu.
Di tengah-tengah malam, Michael terbangun untuk menunaikan ‘panggilan alam’. Dia pergi ke tandas, tetapi ada sesuatu yang beliau ternampak di dalam kamar mandi maka dia bergegas kembali dan mengejutkan rakan-rakannya.
“Hey hey…Charlie, Ringgo!!! Ban….gun, cepat!!!”
Kedua-duanya tersentak dari tidur dengan tindakan Michael yang mendadak. “Apa ni Mike? Ribut ah kau,” sahut Ringgo, masih tidak berganjak dari tempat tidurnya.
“Ada…ada…benda… kat…kat…cermin tu…tu…aku…aku nampak” Michael gagap, kata-katanya keluar dengan tersekat-sekat.
Charlie menjawab tenang, “Biarkan ajelah. Kau tidur je, kunci pintu tu ok.” Charlie dan Ringgo kembali tidur.
Satu jam kemudian, Charlie terjaga kerana dia terdengar jeritan kuat. Dia bangun dan nampak Ringgo berdiri terpacak kaku di sebelah katilnya, kakinya bagai berakar dan ternamam di situ melihatkan sesuatu. Charlie mengikut arah pandangan Ringgo. Dia pun terpacul dengan apa yang berada di depan matanya.
Michael tergantung di tali yang di-ikat dari atas bingkai pintu bilik. Mata terbeliak dengan iris hitamnya memandang ke atas seolah-olah sesuatu telah menyergahnya dengan lidahnya terjulur keluar.
Selepas kejadian itu, unit yang dipakai oleh 3 rakan itu telah dikunci dan tidak digunakan oleh pasukan-pasukan yang lain. Bila dijengah ke dalam, dilihat bermacam-macam tempelan tangkal dan kertas azimat berwarna kuning berselerakan di dinding-dinding.
Charlie & Ringgo telah dihantarkan ke pusat pemulihan mental kerana mengalami gangguan emosi yang melampau berpunca dari peristiwa itu.
Ada juga penampakan-penampakan yang lain berkaitan dengan blok ini. Tetapi kisah Michael ini masih menjadi misteri dan belum dapat huraiannya sehingga kini. Rumors ada mengatakan Michael ditarik oleh suatu kuasa jahat atau mungkin seorang kenalan kem berasa iri hati dan telah mencerutkan leher dengan tali, kemudian menggantungkannya di pintu supaya kelihatan dia m******h diri.
Maaf kerana entri kali ini terpaksa dibahagikan kepada dua bahagian.
Harap tidak jenuh membacanya.
Sekian, terima kasih.
Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
- hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
Kesian Ahmad..hihi
pengunaan bahasa agk rumit. dan cerita (iv) mana Albert da biasa dgr di versi lain. mungkin penulis pun sama dgr dan kumpul cerita.
Thn 80an land rover ada ekon ke?