Oleh Oleh Ngondor

Hai. Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Terima kasih diucapkan buat pihak admin FS jika menyiarkan ceritaku ini. Cerita ini diinspirasikan berdasarkan kisah benar yang dialami sepupuku di kampung kira kira 20 tahun yang lalu. Sepupuku pada masa itu penggangur kehormat setelah menghabiskan pengajiannya di Menara gading di luar negara dan sedang mengunggu tawaran kerja di bu kota.

Sementara mengunggu tawaran kerja itu, dia telah mengambil keputusan untuk mengait kelapa sawit (ngodor dalam Bahasa jawa) dan menguruskan secara sukarela (atau paksarela) kebun kelapa sawit kepunyaan orang tuanya di kampung. Taklah besar sangat tetapi cukup untuk membantu sedikit menyara kehidupan mereka bertiga di kampung.

Ceritanya berbunyi begini…

Di sebuah kampung terletak di Banting, K.Langat, Selangor.

Pukul 7.15 malam, Khamis, malam Jumaat.

Aku lagi bang wingo wingo
Jin Setan Kang tak utusi
Dadyo sebarang
Wojo lelayu sebet

Sluku sluku batok
Bathok’e ela elo
Si romo menyang solo
Oleh oleh’e paying muntho
Mak jenthit lo lo lobah
Wong m**i ora obah
Yen obah medheni bocah

Nga tha ba ga ma
Nya ya ja dha pa
La wa sa ta da
Ka ro co no ho

Jelas kedua dua telingaku menangkap suara nyanyian mentera diiringi muzik gamelan sayup sayup.

Kemudian, tiba tiba hilang. Senyap. Hidungku pula menangkap bau sesuatu. Bau kemenyan dan kapur barus sekali sekala singgah di hidung. Ada perasaan tidak enak kurasa. Namun aku cuba tidak mempedulikannya.

Bunyi nyamuk menggetarkan sayapnya pula bingit di telinga. Dua tiga ekor nakal mahu singgah di leher dan di lengan yang masih menggeletar dan basah berkeringat. Aku menyedut asap dalam dalam rokok balut tembakau jawa diisi cengkih dicampur nipis serpihan halus daunan hijau kering padat istimewa. Kusedut asap lama lama sampai ke paru paru. Perlahan lahan kuhembus asapnya. Kutahan tahan. Berkepul kepul di hadapan mukaku. Kepala kurasa berat sedikit tetapi sangat menenangkan.

Tetapi tenang itu tidak lama. Datang kembali perasaan pelik yang membuatkan jantungku degup laju. Aku terbau lagi bau samar samar kemenyan dan kapur barus itu. Terus aku jatuhkan puntung dan memijaknya kejap tapi kuat. Lalu kelemparkan puntung di bawah pokok kelapa sawit.

Aku sudah penat ngondor. Sejam mengerjakan sawit ini membuatkan aku lembik. Capik. Aku mahu pulang segera ke rumah dan ingin segera mandi membersihkan tubuh. Bau hangit dan tengik keringat di ketiak menyucuk tajam hidungku. Tetapi ada sesuatu di sekeliling sekarang ini yang sangat meresahkan dan tidak menyenangkan.

Kudongakkan kepala. Jauh di kaki langit remang keorenan. Aku cuba untuk tidak mempedulikan perasaan aneh yang kurasakan dari tadi. Bulu roma meremang sejak sejam lalu. Bulu tengkok juga begitu. Kukira semua bulu badan sedang tegak berdiri. Kadangkala rasa seram sejuk menyelubungi. Kadangkala juga berselang seli angin lembut rasa dihembus di telinga dan pipi. Perasaanku kuat mengatakan ada seseorang sedang memerhatikanku dan bau kapur barus kali ini menusuk tajam hidungku.

Kemudian kedengaran lagi mantera dialek Bahasa ibundaku jelas di telinga. Mendayu dayu. Sayup sayup. Disertakan bunyi gamelan. Lagi sekali. Seperti di konsert pertunjukkan. Celah mana boleh manusia menabuh gamelan di tengah tengah ladang kelapa sawit begini. Kemudian aku lihat tidak jauh di pokok sawit sana ada dua ekor ayam hutan berjalan jalan. Cantik bulunya. Seperti dalam lukisan yang selalu kulihat di Central Market, Kuala Lumpur. Ayam hutan? Di tengah tengah ladang kelapa sawit? Aneh bukan? Bulu romaku masih tegak berdiri.

Lantas teringat perbualan dengan abah semalam semasa menikmati hidangan soto istimewa di warung Wak Dol. Kuah sotonya pekat. Daging ayam cariknya juga banyak. Kicap cilinya pedas berdesing. Satu sudu kecil sudah memadai untuk peluh merembes di kepala. Untuk menghilangkan rasa pedas yang menyiksakan tetapi nikmat, kerepek ubi pelbagai perisa hasil jualan jiran juga disediakan sebagai cicip cicip.

Kembali pada perbualan dengan abah, dia pun ada melihat kelibat ayam hutan di dalam ladang ini katanya. Ujarnya ayam hutan selalunya peliharaan makhluk di alam berbeza. Jika kita di kampung membela ayam kampung, mereka di sana juga ada membela ayam, tambahnya lagi.

Aku hanya mengangguk angguk perlahan sambil leka menghirup kuah soto yang pedas itu namun di sudut hati cuba untuk tidak mempercayainya.

Seusai melayani lamunan, aku mencari semula kelibat ayam hutan tadi. Badanku memusing perlahan. Cuba memanjang manjangkan tengkuk mencari mereka. Puas sudah aku mengamati di sekeliling. Ternyata mereka sudah lenyap. Hairan juga ya.

Aku terus cuba mencari lagi dan tiba tiba penglihatanku tertangkap satu susuk putih berbungkus mempunyai ikatan di kepala dan di kaki, samar samar di sebalik pokok tidak jauh di hadapanku. Bergerak gerak, melentik lentik, meliuk liuk seperti sedang gelisah. Kejap di sebalik pokok, kejap menayangkan diri.

Tatkala itu aku lihat jelas makhluk bungkusan itu dibungkus kain putih yang kotor dengan kesan tanah, mukanya hitam seperti terbakar. Matanya merah menyala. Ada beberapa ulat putih sebesar jari kelingkingku di mukanya. Tidak semena mena hidungku terhidu bau amat busuk. Jauh lebih busuk dari bangkai b**i hutan yang pernah aku bau dulu.

Aku terpaku lama. Lutut menggeletar lemah memandang makhluk sangat hodoh dan ngeri di hadapan. Tiba tiba dia rebah sendiri. Gedebuk! Jatuh ke tanah. Aku kaget. Helah apakah ini. Gerak hatiku menyuruh aku menunggu lagi. Dia sudah terbaring di tanah. Membelakangiku. Diam. Lama. Suasana sunyi sepi. Hanya bunyi cengkerik menemani.Tidak semena semena dia seolah olah bergerak gerak lagi setempat seperti cacing kepanasan.

Tanpa dijemput, dia menggolek golekkan dirinya laju ke arahku. Semakin lama semakin laju.

Hiiiiii…hhhiiiihhiiiii..hiiiihiiiiiiii…hiiiiiii….
Kedengaran ngilaian bergema memenuhi ruang segenap pelusuk tidak semena mena. Sama seperti dalam filem seram Indonesia yang selalu kutonton bersama ibu di kaca TV. Bersambung sambung dan bersahut sahutan ngilaian ini. Bunyi nyanyian mantera dan muzik gamelan sudah diganti dengan bunyi yang amat tidak kugemari.

Rasa ketakutan amat membuatkan aku merasa aku tidak punya lagi kaki dan mahu terjelepuk juga ke tanah sepertinya tadi. Tapi takkan nak bergolek golek jugak macam dia.

Makhluk berbungkus kain putih itu masih bergolek laju menghampiri aku.

Allah. Allah. Allah. Sebutku lemah seperti mahu menangis.

Bala apakah ini.

Ayatul Qursi cuba aku lafazkan.

Cuba tenang setenang mungkin.

Allahula ila hailla….. Allahula ila hailla…..

Aku tersangkut bacaan. Aku cuba ulangi lagi. Dengan masih menggeletar kali ini aku menghunuskan jari telunjuk tinggi ke udara seperti berkalimah syahadah. Ya, Allah pada Engkaulah aku berlindung. Doaku dalam hati.

Allahula ila hailla huwa—

Allahula ila hailla huwal hayyul qayyummmm!!!

La ta’khuduhu sinatun wa la naumm!!!

Aku sudah mula mengingati sedikit. Alhamdulillah.

Tidak semena mena dia berhenti bergolek. Berhenti betul betul di hadapan kaki.

Tertiarap. Mukanya di tanah.

Nafasku laju. Jantung umpama baru usai berolahraga. Berebut rebut mahu mengepam d***h ke seluruh tubuh. Penat ngondor tadi masih lagi kuat bersisa dan sekarang emosiku penat pula diuji begini. Tetapi aku masih kaku seperti disumpah untuk menyaksikan lagi ujian ini.

Kemudian, tiba tiba dia memusingkan badannya menghadapku. Makin terserlahlah kejelekan rupanya. Sangat hodoh. Amat menakutkan. Rupanya kulit mukanya itu seperti hangus dan berkerutu diisi nanah kuning hijau pekat dan berulat ulat. Gelinya Tuhan saja yang tahu. Baunya busuk seolah olah menjolok jolok kerongkong. Aku hamburkan muntah di situ juga, mengenai makhluk itu. Siapa suruh baring di situ.

Aku mula menangis. Air mata jantan laju membasahi mimpi. Ampunkan hambaMu yang penuh dosa dan hina ini ya Allah. Aku taubat ya Allah. Pantas aku bermuhasabah menginsafi diri.

Dengan izin Allah, aku sudah punyai kekuatan sedikit. Pantas aku mula menghayun langkah kaki bergegas pergi ke motor yang terletak berhampiran. Hanya 5 meter sahaja dari tempat kejadian tadi. Aku fikir aku tidak perlu berada lama lagi di sini. Sudah sudahlah kau syaitan yang direjam. Aku tiada masa nak layan gurauan engkau. Kau kesunyian barangkali. Pergilah engkau bermain bersama teman teman sejenis kaum engkau itu. Getus hatiku semasa mula duduk di atas motor.

Motor sudah pun dihidupkan. Jangkaanku drama seram ini sudah berakhir namun telahan itu jauh meleset apabila mataku gatal menjeling di cermin sisi motor, berderau darahku bila menyaksikan dengan jelas di cermin makhluk itu sudah berdiri semula lalu perlahan lahan terapung beberapa kaki dari tanah dan melompat melompat setempat. Lalu dia mula terbang laju di udara menuju ke arahku.

Sekali lagi kedengaran ngilaian ngeri bergema. Kali ini lebih kuat berserta tangisan.

Persis lagak seorang pelumba, aku memecut laju selaju lajunya meninggalkan ladang dalam suasana gelap gelita yang hanya ditemani lampu motorku yang malap. Aku melihat cermin sisi, kelibat makhluk itu sudah pun tiada. Aku mengucap kalimah syukur tidak henti henti. Janganlah dia muncul lagi aku berdoa. Kira kira 3-4 minit sahaja aku berada di simpang jalan kampung. Perasaan sangat lega di hati pabila melihat beberapa kereta lalu lalang di hadapan. Aku tidaklah berkeseorangan setelah separuh m**i aku diusik. Lalu, dengan penuh perasaan lega dan tenang, aku menunggang pulang ke rumah.

Motor aku parkir di bawah rumah setibanya aku di sana. Oh, ya rumah kampungku rumah kayu tinggi 2 tingkat. Ruang tamu dan bilik bilik tingkat atas berstrukturkan kayu dan dapur serta tandas di tingkat bawah berkonsepkan rumah moden. Aku bergegas naik tangga ke rumah lalu membuka selak pintu kayu dikunci dan kemudiannya melihat ibu baring membelakangiku menonton televisyen di ruang tamu. Pelik.
Aku rasa sedikit pelik pabila Ibu menonton televisyen di waktu maghrib begini, padahal dialah juara mensesah penyangkut baju di kakiku jika tertangkap menonton cerita aksi Power Rangers masa maghrib maghrib begini dahulu.

Aku mengucapkan salam.

Tergantung. Tiada balas. Ibu masih kaku menonton televisyen. Masih terbaring membelakangiku. Hasrat dihati mahu menyapa ibu dimatikan pabila rasa pundi kencingku mahu meletup, mahu terpipis sangat sangat. Selesai urusan di tandas, aku menggapai telefon pintarku lalu aku mencucuk cable charger yang terletak di dapur. Aku terus segera menghidupkannya dan memeriksa text aplikasi Whatsapp.

Ting!

Ada pesanan text Whatsapp dari Ibu berbunyi;
“Assalamualaikum. Ibu dan abah tiada di rumah. Mengubat anaknya Paman Kandar di Sungai Manggis. Pulang lewat. Ojo kelalen mangan (jangan lupa makan),” 18:45

Aku hampir terlepas pegangan telefon di tapak tangan. Tanganku serta merta menggeletar. Terasa mahu terkencing lagi. Aku berjalan lemah pergi ke tingkap nako menjenguk garaj kereta di luar. Kosong. Memang benar tiada siapa di rumah sekarang. Jika begitu, soalan cepu emasnya berbunyi begini; siapa gerangan menonton televisyen tadi.

Lantas aku tercium bau busuk itu semula.

DUNGG… DUNGGGG…. DUNGGG…..

Serta merta aku terdengar bunyi seperti orang melompat lompat di lantai rumah kayu atas. Semakin lama bunyi itu semakin kuat mengampiri hujung tangga yang menghubungi dapur ini. Ngilaian ngeri itu kedengaran semula. Di kerlingan mataku kulihat susuk berbungkus itu melompat lompat di pintu tangga menuju dapur.

Hiiii…Hiii….Hiiiiiiiiiii..

Hiiiiii…hhhiiiihhiiiii..hiiiihiiiiiiii…hiiiiiii….

Kedengaran lagi ngilaian itu.

Kemudian terdengar suara tangisan sayu. Mendayu dayu.

Pandanganku ke lantai dapur kulihat berpinar pinar. Kepala kurasa amat ringan. Melayang layang. Aku terjelepuk pengsan.

SEKIAN.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Roy

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 36 Average: 3.6]

2 thoughts on “Oleh Oleh Ngondor”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.