Assalamualaikum. Terima kasih kepada admin yang menyiarkan cerita saya tempoh hari.
Terima kasih juga kepada para pembaca yang sudi membaca coretan pengalaman saya yang tak seberapa itu. Saya cuma nak ingatkan yang saya hanya sekadar berkongsi. Terpulang kepada pembaca untuk percaya atau tidak. Hak masing-masing.
Untuk kali ini, saya nak kongsikan pengalaman kedua saya. Selamat membaca 🙂
Kejadian ini berlaku ketika saya berada di sekolah menengah. Sebelum saya menghadapi peperiksaan SPM.
Sejak dari pertemuan dengan kak Amina, kasyaf saya kini telah terbuka. Kasyaf di sini bukan bermaksud deria penglihatan sahaja. Malah deria sentuh dan deria pendengaran saya turut terbuka.
Sudah merata tempat saya pergi. Dan beberapa orang perawat juga saya telah jumpa untuk rawatan menutup kembali kasyaf. Tetapi jawapan daripada mereka sama.
“Kasyaf adik tak boleh ditutup. Mungkin ni kelebihan yang Allah kurniakan kepada adik.”
Kami sekeluarga redha. Allah lebih mengetahui.
Setiap hari, tak kira siang atau malam, saya pasti akan didatangi oleh makhluk-makhluk ghaib ini. Ada yang berwajah buruk. Ada yang berwajah cantik.
Beberapa kali juga saya bertukar sekolah kerana tidak tahan dengan gangguan yang datang.
“Cik Nor tak boleh lari dari masalah. Cik Nor kena belajar hadapinya. Cik Nor kena kuat,” opah berpesan semasa kami sekeluarga pulang ke kampung di satu daerah di Perak.
Kebetulan pula datuk saya seorang guru silat. Dia ingin mengajar saya silat. Ibu dan ayah setuju. Maka setiap minggu saya akan dihantar ke kampung untuk belajar silat. Tujuannya adalah datuk mahu saya lebih bersedia dan lebih kuat.
Saya dilatih bersama-sama dengan pelajar-pelajar perempuan yang berasal daripada kampung itu. Saya belajar silat Cenderawasih.
Lebih kurang setahun lebih, saya berjaya menamatkan latihan silat saya. Selepas itu saya diberi pilihan samada ingin belajar ilmu rawatan atau tidak.
“Ilmu rawatan ni berguna sebenarnya. Untuk masyarakat, keluarga ataupun diri sendiri.”
Datuk menjelaskan sambil memandang tepat ke arah saya.
Setelah mendapat keizinan dari ibu dan ayah, saya bersetuju untuk belajar ilmu rawatan. Saya lihat ramai juga pelajar-pelajar silat belajar ilmu ini.
Selain ilmu rawatan, ada yang belajar ilmu jurus. Ilmu jurus ini saya difahamkan hanya menggunakan zikir dan mempunyai kitab-kitab panduan. Manakala ilmu rawatan menggunakan petikan ayat-ayat dari Al-Quran. Kita cuma perlu menghafal nya sahaja.
Saya menamatkan latihan itu dalam masa setahun. Ada yang mampu menamatkan dalam masa 7-8 bulan. Dan ada yang 2 tahun lebih. Semuanya bergantung atas diri masing-masing.
Dengan izin Allah, saya dapat membantu orang-orang di sekeliling saya. Membantu saudara-mara, jiran-jiran, malah ada juga orang-orang yang saya tak kenal datang meminta bantuan.
Beberapa kali juga saya menegaskan. Saya hanya mencuba yang terbaik. Mencari ikhtiar. Jangan 100% percaya rawatan ini akan berjaya. Yang menyembuhkan itu hanyalah Allah sahaja. Saya juga berpesan, sebelum pergi mana-mana perubatan Islam, pergilah dulu ke hospital.
- Tahun di mana saya akan menghadapi peperiksaan SPM. Saya meminta izin ibu ayah untuk tinggal di asrama. Supaya lebih senang saya mengulangkaji bersama kawan-kawan yang lain. Setelah 2 hari berbincang, mereka membenarkan.
Minggu ini adalah minggu ketiga saya tinggal di asrama. Malam itu seperti biasa kami mengulangkaji di atas katil. Ketika kami tekun mentelaah, kami dikejutkan dengan suara perempuan menjerit nyaring di luar. Kami segera ke berlari ke arah suara itu.
Kelihatan seorang pelajar perempuan bernama Ila sedang meronta-ronta sambil dipegang oleh beberapa orang pelajar yang lain.
Ila merenung kami satu persatu dengan renungan yang tajam. Beberapa orang pelajar berbisik di antara mereka.
“Ila kena rasuk.”
Saya sedikit curiga. Kerana pada badan Ila tiada langsung aura negatif atau makhluk ghaib yang menumpang. Saya memandang sekeliling, mencari kalau ada makhluk ghaib yang membuat kacau daripada jauh. Juga tidak ada. Perasaan curiga saya semakin menebal.
Saya dekatkan diri dengan Ila. Mata Ila saya perhatikan. Ternyata kedua mata Ila nampak normal. Tiada tanda-tanda seperti dirasuk.
“Panggil warden. Panggil warden,” saran salah seorang daripada kami.
“Tak perlu. Semua okay saja,” saya membantah. Ila menjeling seakan marah kepada saya.
Beberapa orang segera lari ke bilik warden. Ila semakin kurang meronta. Nampak tenang sedikit. Dia pulih sepenuhnya apabila warden bersama-sama dua orang guru tiba. Saya kembali ke dalam bilik. Menyambung kembali ulangkaji.
Sejak dari peristiwa itu, Ila sudah tidak bertegur sapa dengan saya. Apabila terserempak, dia akan memandang ke arah lain.
Sepanjang saya tinggal di asrama ini, banyak juga cerita yang menyeramkan masuk ke telinga saya. Hampir kesemuanya dikatakan kisah benar. Sejauh mana kebenarannya, hanya Dia yang tahu.
Salah seorang kawan baik saya, Aisyah, bercerita kepada kami semua tentang kisah seorang perempuan yang meninggal selepas diperkosa di kawasan tangki air lama. Katanya cerita ini dari pelajar senior-senior dahulu. Diturunkan kepada kami, dan kami akan perturunkan kepada junior-junior.
Pernah juga sekali dua semasa saya melalui kawasan berhampiran tangki air itu, saya terdengar suara perempuan sedang menangis.
Di sini, bermacam-macam jenis penghuni yang saya nampak. Maksud saya, makhluk ghaib. Rata-ratanya telah lama tinggal di sini. Mereka tidak menganggu.
Malam itu ketika kami sedang berehat katil masing-masing, sekali lagi Aisyah membuka cerita seram.
“Kamu semua nak tahu tak? Tandas kat blok kita ni kan, ada benda.”
Mata Aisyah memerhati kami seorang demi seorang.
“Benda apa?”
Aina mencelah. Bantalnya dipeluk kemas.
“Ada hantu pelajar perempuan kena b***h.”
Kami semua terdiam. Aina semakin erat memeluk bantalnya.
“Dulu, ada sorang pelajar ni. Namanya Intan. Dia ada hubungan sulit dengan salah sorang guru sekolah ni. Mereka terlanjur sampai Intan mengandung.”
Aisyah berhenti seketika untuk mengambil nafas.
“Intan ajak cikgu tu kahwin, tapi cikgu tu taknak. Cikgu tu suruh Intan gugurkan kandungan, Intan menolak. Intan ugut kalau cikgu tu tak kahwin dengan dia, dia akan sebarkan rahsia tu kat semua orang. Sebab tak tahan sangat dengan Intan, cikgu tu b***h dia. Dalam tandas kat blok kita ni.”
Kami masih mendiamkan diri. Saya tak nafikan, di tandas ada sesuatu. Cuma saya abaikan. Tak layan.
Perut yang memulas secara tiba-tiba mengejutkan saya daripada tidur. Saya melihat jam tangan di tepi katil. Pukul 3:30 pagi. Saya mengejutkan Aina yang tidur di katil sebelah. Namun hampa. Aina tidak memberikan sebarang reaksi.
Oleh kerana keadaan perut yang semakin mendesak, saya pergi ke tandas seorang diri.
Jarak antara tandas dan asrama tidaklah jauh. Hanya di hujung blok sahaja. Jika hendak pergi ke tandas, kami akan melalui sebuah bilik stor lama yang pintunya sudah rosak.
Ketika saya melintasi bilik stor itu, saya mulai meremang. Ekor mata saya menangkap satu kelibat putih, seakan pocong di dalamnya. Namun saya tidak mengendahkannya. Saya berjalan pantas menuju ke tandas.
Di dalam tandas saya terserempak dengan Ila dan kawannya, Fatin.
“Terjaga ke?”
Fatin menegur saya.
“Ya, terjaga.”
Saya menjawab pendek dan terus masuk ke tandas paling depan. Bukan biadap tetapi keadaan perut saya yang tidak mengizinkan.
Ketika di dalam tandas, saya terbau satu aroma seperti benda hangus. Saya abaikan.
Setelah selesai, saya ke singki untuk mencuci tangan. Ketika itu saya didatangi oleh satu makhluk yang digelar sebagai pocong. Kainnya putih lusuh manakala mukanya hitam seperti hangus terbakar.
Saya seakan terpaku apabila dia melayang perlahan menghampiri. Secara tiba-tiba dia meluru pantas dan kemudian saya tidak sedarkan diri.
Ketika saya membuka mata, saya mendapati saya berada di rumah. Dikelilingi oleh beberapa orang lelaki. Ibu sedang teresak-esak di atas sofa.
Saya cuba bangun. Tetapi datuk menghalang. Dia menyuruh saya untuk berehat dahulu. Dihulurnya segelas air suam yang telah dibacakan petikan ayat al-Quran untuk saya minum. Bagi memulihkan kembali semangat saya.
Badan saya terasa sakit. Begitu juga pergelangan tangan. Urat sendi seperti tegang. Tekak pula perit. Menelan air liur pun susah.
Datuk memberitahu yang semalam saya telah dirasuk oleh pocong. Saya menjerit bagai nak gila berlari serata sekolah sehingga pihak sekolah terpaksa menghubungi ayah.
Saya terpaksa dipegang oleh enam orang lelaki dewasa. Apabila tiba di rumah, ayah menghubungi datuk untuk merawat saya.
Ketika dalam proses rawatan, makhluk di dalam badan saya melawan kuat. Makhluk itu sangat degil dan berkeras tidak mahu tinggalkan badan saya.
Dengan izin Allah, saya berjaya dipulihkan. Datuk terpaksa menyembelih makhluk yang menganggu saya itu.
Ketika saya berehat di tuang tamu berseorangan, datuk menghampiri saya.
“Sebenarnya, bukan atuk sorang je yang rawat Cik Nor. Ada yang tolong.”
Datuk berwajah serius.
“Siapa?”
Saya kehairanan.
“Dia ni, Cik Nor kenal. Dia pun kenal Cik Nor. Cik Nor pernah jumpa dia dulu.”
Datuk masih berteka-teki.
“Dia kata, nama dia Amina.”
Saya terkejut apabila datuk menyebut nama itu. Ya. Saya pernah jumpa kak Amina. Saya kenal kak Amina. Sudah lama saya tidak bertemu dengan dia.
“Lagi satu. Dia ada bagitau atuk.”
Datuk menambah. Wajahnya semakin serius.
“Apa atuk?”
Saya seakan tidak sabar.
“Dia cakap dia nak jaga Cik Nor.”
“Jaga saya? Jaga dari apa?”
“Dari benda-benda yang elok, macam semalam. Dan dari sesuatu yang tak diingini yang datang secara halus.”
Datuk menjelaskan sambil memandang tepat ke arah saya.
“Tapi, bukankah hanya Allah yang menjaga kita?”
Saya bertanya lagi.
“Ya Cik Nor. Atuk dah cakap kat dia. Tapi dia tetap berkeras. Jadi, atuk letakkan syarat.”
Datuk menjelaskan syarat-syarat yang telah dia berikan kepada Kak Amina. Saya hanya mengangguk.
“Lagi satu, atuk nak pesan. Kita wajib percaya wujudnya jin. Tapi tak wajib percaya kepada jin. Cik Nor faham kan?”
Saya mengangguk lagi.
“Cik Nor tak boleh berharap kepada selain Allah. Apa-apapun, niat. Kerana Allah. Jangan yakin dengan dia. Tetapi yakinlah dengan pertolongan dari Dia.”
Datuk menamatkan percakapannya.
“Baiklah. Saya ikut apa yang atuk cakap.”
Datuk menghela nafas apabila mendengar jawapan saya. Selepas itu kami terdengar suara lembut di luar rumah.
“Assalamualaikum Cik Nor.”
Saya menoleh ke arah pintu rumah. Kelihatan raut wajah yang saya sangat kenal. Raut wajah yang sudah lama saya tidak berjumpa. Dia memberikan saya senyuman manis sebelum hilang perlahan-lahan.
“Waalaikumussalam, kak Amina.”
–TAMAT–
Cepat cepat sambung cik nor, next kasi panja g sikit.. Xpuas baca
Best.. sambung k.
Hmm. Nampak sgt cite bohong. Dpt faedah ke kalau menipu??
dapat seronok
Dapat baca tambah ilmu
kan dia bgtau. “Saya cuma nak ingatkan yang saya hanya sekadar berkongsi. Terpulang kepada pembaca untuk percaya atau tidak. Hak masing-masing.”
tak perlu condemn..
Tak apa. Biarkan dia. Tu pandangan dia.
nama site kan fiksyenshasha.com.
best cik nor
bestnya
…
cerita sebelum tu tajuk apa….
Tajuknya Kakak Cantik
Kita perlu percaya kat bumi allah ni bukan ad kita ja… kita kna percaya yg kita berkongsi dgn jin yg kita xnmpak… jin pon mcm mnusia..ad islam ad kafir…yg mna rsa tipu …xpercaya jgn bca…cik nor bertuah… dpilih smua ni… sya dri kcik tringin nk tgk alam bunian… sekadar nk melawat… xdak niat lebih dri tu… tpi bkn reZeki sya ntok tgk alam lain….kongsi la lgi crta strusnya… sya ska… nnti smpaikan salam sya kepada kak amina a.k.a akk cantik…
Kita perlu percaya kat bumi allah ni bukan ad kita ja… kita berkongsi dgn jin yg kita xnmpak… jin pon mcm mnusia..ad islam ad kafir…yg mna rsa tipu …xpercaya jgn bca…cik nor bertuah… dpilih smua ni… sya dri kcik tringin nk tgk alam bunian… sekadar nk melawat… xdak niat lebih dri tu… tpi bkn reZeki sya ntok tgk alam lain….kongsi la lgi crta strusnya… sya ska… nnti smpaikan salam sya kepada kak amina a.k.a akk cantik…