penampakan orang yang mempunyai sixth sense

Salam semuanya. Sebelum saya nak mulakan cerita, pertama sekali terima kasih buat FS kalau cerita saya ni disiarkan dalam page FS. Maaf juga ya kalau tak berapa seram, ini hanyalah pengalaman yang saya sendiri alami. Saya cerita satu persatu kisah supaya para pembaca semua faham. Ok jom kita mulakan.

Saya ceritakan dulu watak dan perwatakan serta permulaannya bagaimana. Nama saya cici, dan saya mempunyai seorang adik bernama lala. Adik saya mempunyai cita-cita dari kecil ingin menjadi seorang pramugari, dan cita-citanya pun menjadi kenyataan. Dia mengikuti interview dan telah berjaya mendapat interview tersebut. Dipendekkan cerita dia telah mengikuti kursus dan sepanjang kursus tersebut dia ada mengenali seorang kawan bernama elia. Setelah lama mereka berkawan, adik saya menceritakan segalanya mengenai elia kepada saya. Salah satunya ialah elia mempunyai sixth sense iaitu boleh nampak hantu.

Kisah 1

Untuk pertama kalinya, elia mengikuti adik saya ke rumah kami setelah mereka habis kursus kerana rumah elia jauh dari bandar. Setelah mereka berdua sampai di rumah, saya pada ketika itu berada dalam bilik. Rumah kami flat bertingkat, kami di tingkat satu. Bilik hanya ada dua sahaja. Sampai dalam rumah mama saya mengarahkan agar kami bertiga tidur di bilik kedua. Dalam rumah dulu semasa kami masih kecil pernah tinggal arwah nenek saya iaitu bapa kepada mama saya (actually arwah datuk sebab kami biasa panggil dia nenek) arwah sudah meninggal selama lebih kurang 15 tahun dan biliknya di bilik yang akan kami tidur.

Semasa masuk ke dalam bilik tersebut raut wajah elia memang agak pelik. Lalu kami bertiga duduk atas tilam sambil bercerita dan mengemas barang-barang. Tiba-tiba sahaja elia bersuara, “disini pernah ada orang tua tinggal?” saya dan adik saya berpandangan. Padahal adik saya tidak pernah menceritakan apa-apa pun kepada elia mengenai keluarga kami. Adik saya pun berkata, “eya pernah, kenapa dan macam mana kau tau?” elia diam sekejap.

Sekali lagi dia bersuara sambil tengok dekat dinding yang menghadap bilik sebelah dan dia tunjuk lalu berkata “di sinikan dia tidur?” saya ketika itu sudah berdiri lalu keluar bilik. Adik saya terus mengikuti saya. Mama saya terkejut kerana kami berlari keluar bilik dan buat bising. Elia hanya duduk di dalam bilik. Mama saya berkata “kenapa kamu semua ni, macam nampak hantu saja” dan adik saya pun berkata “elia tu buat saya terkejut, dia cakap ada nenek di bilik”, lalu mama saya pun masuk bilik dan berkata kepada elia “dimana kau nampak dan apa dia sedang buat?” elia berkata “di sini (dia tunjuk dekat dinding) dia tengah berbaring.” Mama saya berkata lagi, “dia pakai apa?” elia kata “dia pakai pampers dan tiada baju”. Kami bertiga pun terkejut. Semua yang elia kata memang benar belaka. Ni serius ya, kami tiada pun cerita apa-apa pada elia dan dia boleh tahu dan perkara ni berlaku anggaran jam 8/9 malam.

Kisah 2

Masih di rumah kami juga. Tapi tidak ingat hari keberapa elia berada di rumah kami. Sama juga berlaku pada malam hari. Kami bertiga bercerita dan ketawa-ketawa. Tiba-tiba sahaja elia diam. Sekali lagi dia nampak benda yang sama iaitu arwah nenek saya. Saya berkata “kenapa?”. Dia kata “ada lagi nenek di sini. Tapi nenek tidak berbaring, dia cuma berdiri.” Dan guess what?! Elia kata dia berdiri di belakang saya. Apa lagi terus saya sama adik saya lari. Dan sekali lagi dimarah sama mama.

Kisah 3

Masih di rumah juga cuma ini berlaku dalam mimpi elia. Bangun saja pagi tu elia menceritakan mimpinya kepada saya, adik dan mama. Kami berempat berada di ruang tamu. Elia kata “aunty, semalam nenek ada datang di mimpi saya.” Mama saya kata “apa dia cakap sama kau elia”. Elia kata ”nenek cakap ada barang dia hilang, lama sudah dia cari-cari.” Mama pun berfikir dan teringat yang barang-barang nenek semua mama sudah dermakan kepada orang-orang di surau di kawasan tempat tinggal kami. Mama saya sampaikan pesan itu kepada elia kalau nenek datang lagi dalam mimpinya. Untuk pengetahuan para pembaca arwah nenek saya ialah orang islam.

Kisah 4

Kisah kali ini berlaku di kampung mama saya. Ini pun pertama kali elia datang ke kampung kami dan kami tiada cerita apa-apa kepada dia. Kejadian ni berlaku dekat jam 7 malam macam tu lah. Kami berada di rumah lama nenek (mama kepada mama saya). Keadaan rumah nenek saya jenis di bawah rumah tu macam terbuka, tiada dinding cuma ada tiang saja. Di dapur ja ada tingkap dan dinding. Ruang makan dan berehat semua terbuka. Sekelilingnya hutan. Rumah hanya ada dua. Rumah nenek berdepan jalan raya tapi ada tanah luas sikit di depan. Di belakang, rumah aunty saya tapi jauh sikit la. Di sebelah kanan dan kiri ialah hutan. Harap kamu semua dapat bayangkan macam mana susunan rumah nenek saya ya.

Waktu tu kami semua berada di bawah rumah, iaitu saya, mama, daddy, nenek, adik, elia, dan aunty saya. Kira begitu la, saya pun lupa sudah. Saya dan adik saya duduk dekat kerusi malas yang berdekatan tangga menuju ke atas rumah, manakala nenek, mama, aunty dan daddy dekat meja di tengah-tengah ruang tersebut, elia dekat dengan tiang rumah menghadap kiri. Di kiri rumah ialah hutan dan tidak berapa jauh di sana ada tempat jemuran di sebelah jemuran tu ada pokok nangka.

Kami semua cerita-cerita macam biasa, dan tiba-tiba elia bersuara “nek oh nek, siapa tu yang berdiri dekat pokok?” sambil elia tunjuk ke arah pokok tersebut. Kami semua berpaling muka tengok ke arah yang elia tunjukkan. Nenek berkata “siapa kau nampak? Macam mana rupa dan bentuk dia?” elia kata “orangnya ada dua nek, satu orang muda pakai t-shirt dan satu lagi orang tua pakai singlet putih dan seluar pendek paras atas lutut”. Habis ja elia berkata, saya dan adik saya berlari menuju nenek dan mama saya. Kami duduk dekat mereka. Semua ketawa saja. Lalu nenek pun berkata “oh itu anak buah nenek yang muda dan yang tua tu suami nenek, apa mereka buat?” elia kata “mereka cuma berdiri saja nek sambil tengok-tengok kita di sini.” Hmm seram~

Kisah 5

Cerita ni ketika kami berada di kereta dan waktu tu sekitar jam 11/12 tengah malam. Kami pulang naik grab selepas berjalan-jalan dan menuju ke rumah kami. Keadaan masuk ke rumah kami di simpang jalan keluar, simpang yang baru masuk dia lurus sahaja, di sepanjang simpang tersebut ialah kuburan islam, jika lurus ke depan lagi ialah menuju ke kuburan cina. Sebelum simpang lurus tersebut iaitu sebelah kanan ialah simpang masuk ke rumah kami. Kedudukan kami dalam kereta, elia di sebelah kanan, adik saya di tengah-tengah dan saya di kiri.

Macam biasa elia diam dan tiba-tiba bersuara dengan spontan, semasa hendak masuk ke simpang rumah kami tu, ada satu jalan menuju ke rumah orang di atas bukit, ada lampu jalan juga, elia nampak satu orang perempuan bersama dua orang anak tengah berdiri. Dan kereta lalu lagi kawasan yang ada pokok besar akar berjuntaian, di sana dia nampak orang tua. Adik saya mula takut dan marah kepada elia jangan lagi cakap mengenai itu. Saya hanya berdiam saja sambil ketawa. Tidak lama kereta masuk simpang dan kami berkata kepada driver lurus sahaja sampai hujung. Bila kereta sampai di hujung, sebelah kanan ialah hutan dan ada bustop lama yang terbiar, di sana sekali lagi elia bersuara, dia nampak ada perempuan duduk di bustop memakai baju sekolah.

Tapi kali ni saya dan adik saya hanya berdiam. Sampai saja terus kami bayar dan naik ke rumah. Adik saya pula laju naik sebab masih marah dengan elia. Elia sempat berkata dengan saya, “sepanjang jalan tu ada semua ‘benda’ sebenarnya. Mungkin di sana tempat mereka. Saya pun tidak mahu sebenarnya nampak ini semua tapi memang dari kecil saya macam ini, apa boleh buat. Dalam kami adik beradik saya sama kakak saya saja dalam keadaan begini cuma kakak saya lain sikit, dia hanya nampak bayangan, contoh kalau ada orang di kampung yang hendak meninggal, sebelum orang kampung heboh mengenai berita itu, kakak saya memang sudah sedia tahu bahawa bayangan tersebut ialah bayangan orang yang meninggal itu.” Begitulah elia cerita kepada saya sebelum kami sampai di rumah saya.

Sejauh mana semua cerita dan penampakan yang elia nampak, antara percaya atau tidak, saya rasa betul semua. Dari kisah 1 sampai 4 yang berkaitan dengan keluarga kami, seperti saya cakap kami tidak pernah cerita apa-apa kepada elia dan dia tahu sendiri melalui penampakan sixth sense yang ada pada dirinya. Sebab apa yang orang ada sixth sense nampak ni, kita orang biasa memang tidak nampak. Elia kata masa dia masih budak-budak dia sentiasa dalam ketakutan dan tidak biasa, tapi setelah dewasa semua tu menjadi sebati dalam diri dia dan anggap semuanya hanya bayangan.

Sebelum saya akhiri cerita ini, saya minta maaf kalau para pembaca tidak faham penceritaan saya sebab ini pertama kali saya bercerita di sini. Maaf juga kalau tidak berapa seram. Tapi siapa-siapa yang pernah alami dan mempunyai kawan yang boleh nampak hantu saja yang faham macam mana seramnya.

Ok thank you.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

cici

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 29 Average: 4.6]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.