Penanggal Hostel

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Nama aku Syakur atau orang lebih kenal aku sebagai Syak. Dulu, masa zaman aku study, aku tinggal di sebuah hostel yang disediakan oleh pihak Kolej. Hostel itu agak terkenal dan hampir semua senior tahu cerita tentang hostel tu. Kedudukan yang berada diatas bukit dan berhutan, agak menyeramkan untuk orang yang pertama kali melihatnya. Mana tidaknya, cahaya ditempiaskan oleh lampu jalan sahaja dan agak malap oleh kerana terlindungkan dek pokok-pokok disekelilingnya. Bagi aku, tidak ada yang perlu dipersoalkan memandangkan aku bukan datang dari kalangan orang yang senang dan berduit. Hostel tersebut berbentuk seperti pangsapuri dan memliliki banyak rumah serta memiliki 3-4 tingkat. Maaf, aku pun dah tak berapa ingat berapa tingkat.

Hari pertama aku ditempatkan di hostel tersebut, rumah aku adalah dibawah sekali dan rumah dibawah sekali tersebut, betul-betul dikelilingi hutan semata-mata. Tapi, buat masa itu, semua tampak normal dan tidak ada apa yang menghairankan atau menyeramkan. Dipendekkan cerita, aku berkenalan dengan senior disitu dan kebanyakan mereka sangat ramah. Aku duduk dengan dua senior dalam satu bilik dan mereka sangat baik. Masing-masing berada dalam jurusan pembelajaran yang sama dan telah tinggal di hostel tersebut hampir 3 tahun.

Beberapa minggu selepas itu, pada suatu pagi ketika aku ingin menyiapkan diri untuk ke Kolej bagi sesi orientasi, seperti biasa, mestilah kena mandi dulu kan. Kalau tak mandi, busuk, orang lari. Hahah. Jadi, semasa aku tengah berus gigi, aku menghadap cermin kecil dekat depan tergantung atas paku yang disediakan. Jadi aku ingatlah kedudukan cermin tersebut. Paip air ada di sebelah kanan aku bersebelahan dengan pintu masuk tandas. Lalu, aku pun tunduk untuk ambil paip air tersebut untuk basuh mulut dan mencuci berus gigi sekalilah selepas berus gigi.

Selepas aku bangun semula, cermin tadi dah tak ada ditempat tadi tapi, dah bertukar kedudukan di atas paip air pula. “Aik?” Aku hairan sebab setahu aku, aku tak alihkan pun cermin tu malahan tangan aku sedang memegang berus gigi bersama paip air tadi. Jadi, macam mana aku nak alihkan cermin tersebut? Memang ada paku di atas paip air, tapi untuk apa aku alihkan cermin itu? Fikiran aku bercorakkan soalan yang tiada jawapan.

Tapi, oleh kerana berbekalkan “pengalaman” sebelum ini di rumah aku sendiri, aku anggap perkara ini biasa jela sambil “kebalkan” diri sebab tak nak tunjuk takut sangat. Aku risau juga kalau aku menggelabah waktu itu, benda tu tahu aku tengah takut dan silap-silap dia muncul depan aku pula nanti. Dalam keadaan yang hairan dan berdebar, aku cepat-cepat mandi, bersiap dan terus cabut. Sampai di Kolej, aku tak cerita pada sesiapa. Nak cerita pun, bukannya aku kenal sangat budak-budak yang lain. Selain itu, boleh ke mereka percaya cerita aku ni?

Hari demi hari berlalu dan sekali lagi pada waktu pagi juga ketika aku ingin bersiap ke Kolej, “benda” tu “mengusik” aku lagi. Kali ini, ketika aku sedang memakai kemeja yang akan menampakkan aku tampan dihadapan para wanita nanti, hahaha, jadi aku menghadap ke cermin yang tergantung di almari bersebelahan dengan tandas. Biasalah, bilik pun tak berapa besar keluasannya, jadi pandai-pandailah sesuaikan diri.

Jadi waktu aku tengah khusyuk bersiap, cermin tersebut tiba-tiba bergerak kiri ke kanan seolah-olah ada angin yang bertiup menggerakkan cermin tersebut. Aku pelik juga sebab waktu tu tak ada angin langsung apatah lagi, kipas pun aku tak pasang. Bila fikiran kau dah negatif, apa lagi, kelam kabut aku bersiap dan berjalan laju keluar dari rumah tersebut untuk menuju ke Kolej. Kejadian ini tak berkesudahan malah berterusan. Yang bertambah pelik, perkara ini terjadi jika hanya aku tinggal berseorang didalam rumah tersebut.

Termasuklah kejadian terakhir yang membuatkan aku memilih untuk keluar dari hostel tersebut adalah waktu aku sedang pergi ke dapur untuk membasuh pinggan selepas makan. Waktu itu jam anggaran jam 8 malam dan senior aku tidak ada dirumah kerana pergi bermain pingpong selepas habis kelas. Aku lupa nak beritahu, dirumah tersebut, sebenarnya ada juga senior dan junior yang lain. Tapi, selalunya hanya aku dan senior aku sahaja yang berada dirumah. Mungkin kerana mereka ada yang ulang alik dari rumah tanpa kebenaran ke atau bekerja sambil belajar ke aku pun kurang pasti sebab aku tidak berapa rapat dengan mereka selain senior aku sahaja.

Berbalik kepada kejadian malam tersebut waktu aku tengah basuh pinggan, tiba-tiba bunyi seperti ada orang ketuk pintu tandas dapur. Tapi, bunyi tersebut bukan datang dari luar sebaliknya dari dalam tandas. “Aik, siapa pulak dalam tandas? Dari tadi aku makan apa semua, tak ada bunyi apa-apa pun? Tak nampak pula sesiapa yang balik atau masuk dalam tandas.” Aku bermonolog sendiri. Mula-mula aku buat tak tahu je, tiba-tiba ada bunyi ketukkan sekali lagi dari tandas tersebut. Jantung aku mula berdegup kencang. Tapi, aku “cool” kan diri aku supaya aku tak nampak macam terlalu takut. Macam aku cakap, kalau kau lagi takut, lagilah “benda” itu suka.

Lalu, aku berani kan diri untuk pergi dan terus buka pintu tandas tersebut. “Mindset” aku waktu tu, lantak la apa pun nak jadi. Sebab yang aku faham, selalunya kalau kita pergi ke tempat yang “benda” tu buat bunyi atau bising, “benda” tu tak ada pun sebenarnya. Maksud aku, “dia” tak adalah munculkan diri pun. “Dia” sekadar nak kacau kau je. Jadi, aku terus buka pintu tu dalam keadaan takut didalam hati, namun gaya bersahaja diluar diri. Huhuhu. Pintu dibuka, Subhanallah!!! “Dia” bertenggek dekat penjuru lantai tandas mattt!!! Yang aku nampak bentuknya hanya berkepala dan berambut panjang dilantai tandas seperti penanggal! Aku sempat melihat mukanya. Ya Allah, mukanya merah dipenuhi dengan d***h bersama gigi taring yang tak teratur dalam keadaan tersenyum. Senang kata, mukanya sangat hodoh dan seram. Kau bayangkan sekali “dia” sedang tersenyum sambil melihat kau tepat ke mata. ibarat kau dipukau dan fikiran kau hilang seketika. Inilah kali pertama aku nampak “benda” “real” bersama muka yang sangat jelas!! Selepas aku buka pintu tandas tersebut dan melihat “benda” tu, “Ya Allah!!” aku menjerit sekuat hati dan tersungkur jatuh ke belakang sebab terlalu terkejut. Aku dah tak fikir sakit jatuh atau tidak, aku gagahkan diri untuk bangun dan berlari keluar dari rumah serta merta.

Aku berlari terus pergi ke tempat pingpong senior aku main dan terus memanggil mereka. Aku memang dah tak boleh fikir nak kemana selain tempat tu saja. Sebaik sampai disana, kebetulan memang mereka masih disitu jadi aku bernasib baik kerana mereka mungkin dapat membantu aku. Mereka yang terkejut sebaik melihat aku datang, terus gapai aku dan bertanya apa yang terjadi. Aku lemah waktu itu, kaki aku lumpuh dan kaku. Jadi, aku terjelepok jatuh dan hanya mengharapkan pegangan kuat mereka berdua. Senior dan junior lain yang berada disitu juga turut membantu mereka berdua untuk papah aku. Keadaan tersebut membuatkan senior aku panik dan tak tentu arah. Lagi-lagi bila melihat aku dalam keadaan lemah tidak bermaya. Mereka pun membawa aku ke cafe berdekatan sebab dekat hostel kami memang ada cafe. Mereka baringkan aku disitu dan secara tak langsung, pandangan aku gelap secara tiba-tiba.

Saat aku buka mata, aku melihat ramai orang mengelilingi aku termasuklah pemilik hostel tersebut. Aku memang tak larat dan demam sepanjang hari. Aku juga tidak dapat ke Kolej. Badan aku terasa sangat lemah dan aku memang tak dapat ceritakan apa-apa pada sesiapa pun. Jadi cerita aku seperti misteri pada semua disitu.

Sejak dari kejadian tersebut, aku membuat keputusan untuk tidak lagi tinggal di hostel tersebut dan aku memilih untuk ulang-alik dari rumah ke Kolej. Walaupun jauh, jiwa selamat. Sekian, pengalaman aku tinggal di hostel Kolej aku. Nantikan pula cerita pengalaman aku yang seterusnya. Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Syakur

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 96 Average: 4.5]

1 thought on “Penanggal Hostel”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.