Pendamping Misteri

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat para pembaca Fiksyen Syasya. Terima kasih admin kerana sudi post cerita saya. Pertama sekali aku perkenalkan diri aku sebagai Cik Diy, berumur 23 tahun. Aku adalah anak bongsu dari tiga beradik, kesemuanya perempuan, berasal dari keluarga sederhana dan menetap di Perak.

Aku sedar aku mempunyai kelainan merasai kehadiran ‘benda’ tu sejak sekolah rendah. Kebiasaanya ‘Rumahku Syurgaku’, tapi tidak bagi aku. Rumah adalah tempat paling menakutkan bagi aku. Rumah aku ada tiga bilik, bilik depan (master room) bilik mak ayah, bilik tengah bilik kami beradik, bilik belakang bilik stor. Bila kakak-kakakku tamat SPM, diaorang belajar berdikari dengan bekerja di Kedah dan sorang sambung belajar di KL. Tinggallah aku sorang hanya bertemankan parents saje.

Lepas kakak-kakak takde, aku taknak tidur berseorangan sebab dari dulu, masa kakak-kakakku masih ada sekalipun, aku merasakan ade yang memerhatikan aku di tingkap. Dan setiap malam juga banyak anjing akan menyalak betul-betul di belakang rumah. Jadi, aku minta tumpang tidur di bilik mak ayah. Kalau kakak-kakakku balik, baru aku akan tidur dibilik sendiri. Mak selalu marah, katanya aku anak manja dan bila aku cerita kenapa, mak bertambah marah. Katanya itu alasan semata nak menempak kat mak. Masa tu aku sekolah rendah, lagi lah mak fikir aku ni mengada-ngada anak bongsu.

Bila aku masuk alam sekolah menegah, aku didaftarkan ke sekolah berasrama. Dari situ, aku belajar untuk tabah menghadapi ‘benda’ tu. Aku pernah nampak beberapa lembaga putih berterbangan betul-betul dihadapanku pada jam 1pagi lebih. Aku juga pernah dinasihatkan seorang kawan yang mempunyai sixth sense supaya tak naik ke dorm sebab ade benda sedang menanti dihadapan dorm. Setelah tamat tingkatan 5, aku fikir cerita ni akan berakhir bila aku keluar dari sekolah tu. Tapi aku silap. Kisah sebenar bermula lepas habis SPM.

Namaku antara yang ‘bertuah’ dapat tawaran ke PLKN. Terpaksa diturutkan, aku redha. Pada hari pertama aku jejak kaki ke PLKN di Perak itu, aku nampak budak kecil sekitar umur 2 tahun berlari-lari berdekatan hutan dan tiba-tiba hilang, lenyap dari pandangan, betul-betul depan dewan berkumpul. Masa itu aku cuba berfikir positif, mungkin anak jurulatih.

Sesiapa yang pernah masuk ke PLKN, pasti tahu duty roaster setiap malam wira/wirawati buat rondaan, kami panggil tugas tersebut sebagai Jaga Malam. Duty bermula dari jam 12 malam sehingga 6 pagi. Pada satu subuh Ahad, aku dikejutkan dengan jeritan suara garau betul-betul di telinga, menyuruhku bangun, membuatkan aku terus terbangun serta merta. Pandang kiri kanan, aku orang pertama yang bangun, tepat jam 6 pagi.

Kebiasaanya pelatih yang duty jam 6 pagi tu akan kejutkan semua pelatih dan buka lampu dorm. Tapi ketika aku bangun, dorm masih lagi gelap gelita. Aku bangun dari katil, bergerak ke bilik air seorang diri. Dalam hati rasa geram kerana aku fikir pelatih yang duty yang jerit di telingaku tadi. Ketika hendak masuk ke bilik air, aku nampak pelatih yang duty tadi berada di dorm sebelah. Aku sapa mereka, bertanya adakah mereka sudah sampai ke dorm ku tadi. Jawapan mereka mengejutkan aku, mereka belum jejak langsung ke dormku. Jadi siapa suara garau yang menjerit tadi?

Ketika tazkirah Maghrib, ada 3 orang ustaz duduk dibahagian paling belakang saf lelaki, gayanya seperti berbincang sesuatu. Tiba-tiba mereka toleh kebelakang, mengadap aku yang berada di bahagian hadapan saf wanita. Ketiga-tiga merenung kearah aku dan perbincangan mereka seperti semakin serius. Aku cuba curi dengar perbualan, antara yang aku degar, salah seorang uztaz berkata, “budak ni ada sesuatu” sambil merenung kearahku. 2 orang ustaz yang lain seperti mengiyakan, tanda setuju. Aku mula tak sedap hati.

Aku berjumpa ustaz tersebut untuk bertanya hal itu, dan ustaz tu menyuruh aku berjumpa dengannya pada hari tamat latihan. Setelah tiba hari tersebut, aku mencari ustaz, dan sangat mengejutkan bila ustaz kata, ada 2 ‘pendamping’ di kiri dan kanan aku. Lelaki, bertubuh besar, sepertinya beragama islam. Aku tanya lagi, bagaimana rupanya, kata ustaz, hodoh, berpakaian seperti jubah hijau. Naik bulu romaku. Balik dari PLKN, aku ceritakan pada mak. Ketika itu juga aku dapat tawaran melanjutkan pelajaran ke peringkat asasi, plan untuk pergi berubat tertangguh.

Aku cuba cari masa untuk pulang ke rumah untuk berubat. Dapat masa yang sesuai, aku pulang ke rumah. Pada masa itu juga mak menceritakan bahawa badannya dipenuhi kesan cakar di belakang badan, panjang dan menyakitkan. Binatang berkulit hitam selalu masuk rumah dan tiba-tiba lenyap. Mak tahu ‘benda’ itu datang tapi bukan dalam rupa asal, menjelma dalam keadaan binatang. Dan setiap kali binatang itu muncul, setiap kali itulah badan mak bercakaran dari bahu hingga separuh badan. Air mata aku laju membasahi pipi, kasihan pada mak yang kena menanggung pula.

Mak bawa aku berjumpa orang yang tahu mengubat, pastinya menggunakan ayat Al-Quran, untuk sembuhkan. Ketika berubat, orang itu berkata bahawa kedua-dua pendamping tersebut sedang berada disamping aku. Kakak-kakakku yang berada disebelahku ketika itu, terus berlari menyorok belakang mak. Dia meminta izin dariku, untuk berkomunikasi dengan makhluk yang mendampingku selama ini. soalan biasa yang ditanya, kenapa mereka menumpang pada aku?

Dari mana mereka datang? Kenapa aku yang dipilih? Jawapan makhluk tersebut ringkas, ‘mereka’ taknak kepada kakak kerana kakak terlalu penakut dan mereka anggap terlalu lemah. Aku terdiam. Orang itu bertanya padaku samaada aku ingin melihat mereka on the spot atau ingin berkomunikasi. Aku ingin, tapi ketika itu aku dalam minggu peperiksaan asasi. Aku minta tangguh. Aku disarakankan untuk buat solat Hajat jika aku benar-benar ingin berjumpa ‘mereka’.

Orang itu juga beritahu, bilik tengah iaitu bilik tempat aku dan kakak-kakakku tidur adalah tempat dimana ‘mereka’ tinggal. Mak terkejut besar tapi aku lega kerana mak mula percaya pada cerita aku sejak sekolah rendah mengenai bilik itu. Aku pulang semula ke kampus, fikir sedalamnya, dan bertekad untuk buat solat Hajat di kolej. Aku berdoa supaya aku dikuatkan hati, ditenangkan hati dan akal fikiranku jika aku berjumpa ‘mereka’. Aku tidur, dan sungguh aku berjumpa ‘mereka’ dalam mimpi tersebut. 2 lelaki berbadan sangat besar, tetapi mereka seperti menyorok disebalik semak. ‘Mereka’ menolak satu sama lain supaya keluar berjumpa aku, tapi kedua-duanya enggan. Mungkin ada hikmah mengapa aku tidak berjumpa ‘mereka’.

Aku ada seorang sepupu perempuan yang dikurniakan sixth sense. Pernah sekali dia datang ke rumah aku, sebelum masuk lorong rumah lagi, dia sudah rasa tidak sedap hati. Ada ‘benda’ menghalangnya supaya dia tidak sampai ke rumah. Dia abaikan gangguan tersebut, terus menuju ke rumahku. Dia beritahu kami tuan rumah, rumah kami ada something wrong. Kami langsung tak terkejut sebab sudah sekian lama kami tahu rumah itu ada sesuatu.

Lama kelamaan, badanku mula sakit-sakit. Lenguh teramat sangat seperti mengangkat tong gas setiap hari. Aku ke pusat kesihatan universiti, aku menjalani heat theraphy sebanyak tiga kali. Setelah selesai kesemua terapi, sakitku masih tidak berkurang walau sedikit. Doktor memberi sekotak ubat sakit urat, mengandungi beratus biji pil. Langsung tiada sebarang perubahan, doktor jadi buntu. Aku kemudian pulang ke kampung di Johor, dan berubat dengan seorang ustaz yang pernah mengajar mak ketika sekolah rendah. Ustaz itu picit hujung jariku, tidak sakit.

Picit pula hujung jari mak, kata mak sakit sikit. Ustaz menjelaskan, kedua-dua kami ada benda menumpang cuma ‘mereka’ tidak ikut kerana tahu rumah yang dituju adalah rumah ustaz. Ustaz kata, sebelum kami masuk kerumah, dia sudah merasakan sesuatu pada kami. Aku cerita padanya, aku kerap mendengar bunyi bising di dapur seperti memasak dan ada yang bermain guli di tangga. Katanya, yang bermain guli itu adalah ‘rakan’ yang sebaya dan membesar bersama aku selama ini. Setelah selesai berubat, kami pulang dan sehingga sekarang sakit masih ada, tetapi tidak seteruk dahulu. Semoga Allah memudahkan urusan.

7 thoughts on “Pendamping Misteri”

  1. ini adalah kisah benar mengenai diriku.
    tiada sebarang kejadian yang dibuat-buat atau ditokok tambah melainkan yang sebenarnya kejadian.
    terima kasih pada yang sudi membaca,
    niat di hati cuma ingin berkongsi tanpa dituduh dan dianggap halusinasi.

    Reply
    • mungkin mak xpercaya dulu sebab mak tak nmpak bukti atau x mngalaminya sndiri…harap cik diyy terus diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi situasi ini…

      Reply

Leave a Comment