Pendamping yang tidak diundang

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Terima kasih sekiranya admin approve cerita aku. Aku Wana dan merupakan silent reader di fiksyen shasha dan kalini, aku ingin menceritakan serba sedikit tentang kisah hidup aku berkaitan perkara paranormal. Aku tinggal di sebuah rumah teres dua tingkat, ada tiga bilik di atas seperti kebiasaannya, bilik utama terletak disebelah tangga dan menghadap bilik ketiga (ini berkait dengan cerita yang akan aku kongsi sebentar lagi)…

Zaman Tadika
Pengalaman pelik aku bermula ketika aku berumur 5/6 tahun. Aku masih ingat sewaktu aku menunggu van sampai, aku sedang duduk berdua dengan pembantu rumah aku di ruang tamu. Pada waktu itu aku ternampak seperti ada pergerakan dari ekor mata kananku, iaitu di ruang makan. Apabila aku menoleh, aku terlihat pantulan di dinding ruang makan (ber’tile’) yang menampakkan seseorang sedang makan dengan rakus di meja makan. Aku tidak nampak mukanya kerana dia duduk membelakangi dinding tersebut.

Aku berasa pelik kerana hanya aku dan pembantu rumahku sahaja ada di rumah pada waktu itu. Aku terus memerhatikan dinding ruang dapur itu, memang sah ada orang sedang makan di dapur! Nampak macam orang tu betul-betul lapar, kedua-dua tangannya digerakkan seperti sedang menggigit sesuatu dengan rakus sekali. Siapa tu?? Maka, aku memaklumkan perkara tersebut kepada bibikku namun aku hanya digelakkan dan dikatakan merepek. Dek kerana tidak berpuas hati, aku segera melangkah ke ruang dapur untuk mengesahkan apa yang kulihat tadi. Setibanya aku di situ, ternyata ruang makan kosong! Agak pelik disitu namun aku memutuskan untuk membiarkannya sahaja.

Percutian di Taiping
Ketika aku masih di sekolah rendah, aku dan keluargaku pernah pergi bercuti di taiping selama tiga hari dua malam dan menyewa sebuah rumah satu tingkat di sana. Kedudukan rumah itu agak dalam sedikit dan terasing berbanding rumah2 lain yang terdapat di situ. Malam pertama merupakan malam yang tidak boleh aku lupakan.

Sebelum itu, sedikit info untuk semua. Kedudukan ruang tamu terletak berhadapan dengan ruang dapur (open concept). Terdapat sebuah laluan koridor di sisi kiri dapur yang menempatkan sebuah bilik air, tandas, dan juga stor (iaitu bilik paling hujung). Bilik tidur pula terletak di sisi kanan ruang tamu.

Pada malam tersebut, hanya ruang tamu yang dinyalakan lampu maka ruang dapur agak gelap. Setelah bosan melihat siaran di ruang tamu, aku merancang untuk masuk ke bilik tidur. Sedang aku melangkah, aku ternampak sebuah kelibat gelap di dapur yang menyerupai kakak aku yang kedua. Aku ada dua orang kakak, yang pertama Maya dan yang kedua Mia (bukan nama sebenar). Bentuk badan dia sebijik macam Mia. Aku pun panggillah kakak aku namun tidak berbalas.

‘Dia ni dah kenapa?’ fikirku dek rasa hairan.

Beberapa saat kemudian, ‘Mia’ berlari pantas menuju ke koridor di dapur. Tanpa berfikir panjang, aku bertindak mengejarnya dan berhenti di hadapan tandas kerana lampunya sahaja yang menyala. Aku ingatkan Mia masuk ke dalam itu jadi aku mengetuk pintunya dan bertanya gerangan yang berada di dalam itu. Sebaliknya, Maya yang menjawab. Aku berasa hairan kerana aku sangat yakin aku nampak Mia tadi. Aku berpusing ke kiri dan terlihat pintu stor terbuka. Keadaan di situ sangat gelap. Aku berasa tidak sedap hati maka aku cepat2 berlari kembali ke ruang tamu, dan terserempak dengan Mia di situ. Jadi, siapa yang aku kejar tadi?

Zaman Persekolahan
Sepanjang zaman persekolahan, aku kerap bermimpi benda pelik. Di zaman sekolah rendah, aku pernah bermimpi bermain sorok2 dengan cik ponti kerana aku takut melihat mukanya dan tidak tahu cara untuk menghalaunya jadi aku menyuruhnya untuk mula mengira sambil aku menyorok. Belum sempat aku menyorok, dia datang kembali kepadaku sambil menyeringai. Sangatt laju, terkejut aku. Perkara yang sama berulang apabila aku memarahinya dan menyuruhnya untuk mengira kembali (untuk menghalaunya sambil menahan rasa takut).

Sebelum ini, dapur rumahku mempunyai tingkap besar yang terletak di kedua belah pintu belakang rumah hingga menampakkan ruang luar dengan jelas. Ketika itu, aku kerap bermimpi perkara yang sama, iaitu terdapat banyak hantu mengetuk tingkap dan pintu belakang dengan kuat sehingga banyak kali berjaya merobohkan pintu tersebut. Pada waktu itu, aku sudah mahir surah Kursi. Pada mulanya, aku tidak mampu untuk menghalang mereka dari masuk ke dalam ruang dapur namun setelah berkali2 mengalami mimpi yang sama, aku mula belajar melawan kembali dengan melaungkan azan sekuat hatiku dan juga membacakan ayat kursi. Beberapa lama kemudian, ruang dapur rumah aku direnovate dan mimpi tersebut pun hilang. Pernah sekali tu aku diarahkan oleh ibuku untuk mengambil barang yang teringgal di tingkat atas rumah. Masa tu malam. Aku tidak membuka sebarang lampu sebab kerana sekejap sahaja. Aku mengambil barang yang diminta ibuku di biliknya dan kembali menuju ke tangga namun belum sempat aku memijak tangga, aku ternampak sesuatu sedang duduk berlunjur sambil memerhatikanku di pintu bilik tidur ketiga. “Apa benda tu?” Bisikku pelik. Aku cuba mengerdip-ngerdipkan mataku beberapa kali, cuba untuk memastikan aku tidak berhalusinasi. Pada pandanganku terlihat seorang lelaki berwajah badut sedang tersengih dengan agak seram sedang memandangku. Bulat mataku tatkala aku tersedar apa yang sedang kulihat. Maka, aku melompat turun dengan kadar laju. Kena marah dengan mak pun tak kisahlah, yang penting aku selamat.

Tidur dihempap aku sudah lali, mimpi jatuh dari tempat tinggi sehingga terbangun tengah malam, dikejar ular semuanya pernah. Sebelum ini, aku ingatkan semua yang aku alami itu adalah normal. Aku juga perasan sikapku agak panas baran, midah marah dengan sesiapa dan agak annoyed apabila mendengar alunan surah atau azan (maaf tapi itulah apa yang aku dapat observe pada diri aku sepanjang aku mendapat gangguan ini).

Gangguan di Universiti
Ketika aku melangkah masuk ke universiti, aku pernah beberapa kali tidur dan terasa seperti dihempap sehingga pernah suatu masa, aku dapat merasakan nafasku sudah berada di kerongkong. Aku juga semakin kerap bermimpi buruk. Ada suatu mimpi di mana aku sedang berbaring di katil pada waktu malam, tiba2 datang sebuah makhluk hitam dengan berpakaian kain hitam koyak di sini sana dengan rambut yang menggerbang, kuku yang tajam dan mata yang merah menyala. Dia tersenyum menyeringai sambil merangkak ke arahku. Sangat menyeramkan kerana close-up. Aku berasa sangat cemas kerana tidak berjaya menghalaunya sehingga membuatkan aku terbangun. Aku terasa seperti ia baru sahaja betul-betul berlaku kepadaku, kerana posisiku dan tempat pada waktu itu adalah sama seperti dalam mimpi tersebut.

Aku juga pernah bermimpi dimana situasinya turut berlaku pada waktu malam. Salah seorang kawan aku mendapatkan aku dan mengatakan terdapat cik ponti di tingkat empat (bilikku di tingkat tiga). Lalu, aku mengikutinya ke tingkat empat. Di hadapan kami, betullah terdapat seekor cik ponti yang sedang berdiri lebih kurang jarak 10 langkah dari kami. Tiba-tiba, tangannya didepakan seperti ingin mencekikku dan aku terasa badan aku seakan-akan sedang melayang menuju ke arah cik ponti itu. Aku cuba untuk melepaskan diri nakun gagal lalu aku dicekik sebelum aku terbangun dari tidur.

Sewaktu cuti sem, aku pulang ke rumah. Pada suatu malam di rumah, aku bermimpi bahawa aku sedang berbual bersama keluargaku di bilik tidur ibu bapaku. Tiba-tiba terdapat encik gula-gula bermuka pucat dan mata terbeliak sedang berbaring di sebelah katil ibu bapaku. Aku memerhatikannya dengan rasa terkejut, dan baru menyedari bahawa mana ada apa-apa di sisi katil ibu bapaku. Jangan kata dia tengah terapung?? Aku berasa cemas namun cuba untuk kutahan. Aku segera membaca surah kursi dan azan untuk menghalaunya. Tidak lama kemudian, dia pun hilang.

Setelah itu, aku ada bermimpi berada di koridor tingkat atas rumahku dan ternampak sebuah bungkusan berwarna kuning diraja yang berbentuk seperti batu nisan. Aku berasa pelik dan terasa ingin membukanya namun aku tidak ingat kesudahan mimpi tersebut.

Mimpi terakhir yang paling aku ingat ialah dimana terdapat banyak tanda salib berwarna putih bersaiz sangat besar dan juga beberapa cik ponti, aku gunakan kudrat sedaya upayaku untuk mematahkannya dan melawan mereka semua dengan surah kursi dan azan sekuat hatiku.

Sahabat Istimewa
Di universiti, aku mempunyai seorang sahabat yang dapat melihat benda-benda yang tidak terlihat di penglihatan manusia melalui mata hati. Itupun aku dapat tahu setelah aku sudah tidak tahan dengan apa yang aku alami selama ini dan meluahkan padanya. Dia mengatakan bahawa di bilikku terdapat dua ekor makhluk, cik ponti di atas meja belajar rumetku dan encik gula-gula di hujung katilku. Terkejut aku tatkala mendengar kata-katanya itu. Aku mengandaikan bahawa encik gula-gula itu yang mengikutku balik ke rumah tempoh hari. Sibuk je ikut orang balik cuti kan.

Dia mengatakan apa yang aku lalui itu ada tanda-tanda gangguan jin dan mencadangkan aku untuk berubat dengan mana-mana ustaz yang mahir. Sejak itu, aku semakin tertanya-tanya tentang apa yang sahabat aku katakan.
Aku tak pernah sangka apa yang aku selalu baca dan dengar apa yang orang lain alami terjadi pada diriku juga.

Ikhtiar
Disebabkan aku tidak tahu mahu meminta tolong siapa, maka sahabatku yang baik hati itu telah membantu aku dengan merujuk pada ustaz kenalannya untuk mendapatkan petunjuk tentang apa yang sedang terjadi padaku. Ustaz itu berkata terdapat sesuatu yang berdamping denganku dan sahabatku itu juga diberikan amaran agar tidak membuatkan aku marah kerana benda itu akan membalas bagi pihakku. Aku berasa pelik, ‘dah kenapa nak kena balas untuk aku pulak?’

Aku pernah meminta tolong sahabatku itu kalau-kalau dia boleh nampak benda yang ‘berdamping’ denganku itu. Dia mengatakan bahawa benda itu muncul menggunakan rupaku dan melarangnya dari mencampuri urusanku. Benda itu juga tidak mahu menjawab apabila ditanya mengapa kacau aku. Pelik betul.

Aku cuba meminta izin beberapa kali dari parentku untuk berjumpa dengan ustaz namun beliau tidak mengizinkannya sama sekali kerana tidak percayakan hal begini. Aku berputus asa untuk meyakinkannya dan terpaksa melakukan ikhtiar secara senyap-senyap kerana hal ini mempengaruhi hidup aku sehari-hari. Selagi aku tidak mendapatkan penyelesaian, selagi itulah perkara ini tidak berkesudahan.

Jadi pada tahun lepas, sahabatku itu memperkenalkan aku pula dengan salah seorang perawat Islam yang dia kenal melalui media sosial. Hal ini kerana pada waktu itu, pergerakan kami terbatas dek PKP yang sedang berlangsung jadi aku pun setuju sahaja dengan cadangannya itu.

Betul-betul sebelum kami ingin memesej perawat itu, benda itu memunculkan diri dalam rupanya sendiri dan bertemu dengan rakanku. “Wana! Weh, weh! Dia datang jumpa aku!” Kata sahabatku dengan rasa terkejut sambil memegang lenganku.

Katanya benda itu memarahinya kerana mahu memperkenalkanku dengan perawat itu. Menurut sahabatku, benda itu muncul sebagai seorang wanita dengan pakaian klasik dan sangat cantik. Ciri-ciri benda yang menggangguku yang disebutkan sahabatku sama seperti apa yang dikatakan oleh perawat Islam itu setelah itu. Benda itu ialah puteri jin ulek mayang dari keturunan keluarga. Terkejut aku apabila mendapat tahu tentang perkara tersebut. Moyang aku pun ada saka ke? Ah sudah.

Selama ini, gangguan mimpi yang aku alami datang dari puteri itu. Menurut perawat itu, puteri itu merasakan aku yang paling layak untuk menjadi tuannya. Jadi, aku bertanya adakah benda itu ingin menjadikan aku tuannya kerana iman aku lemah? Dia berkata tidak. Bukan ke biasanya anak lelaki sulung yang selalu menjadi sasaran? (Yang ni aku tak ingat apa jawapannya). Setelah itu, aku diberikan beberapa surah untuk diamalkan setia kali sebelum tidur.

Setelah berubat, aku tidak lagi bermimpi pelik namun baranku masih ada dan baru-baru ini, sahabatku mengatakan puteri itu masih ada lagi. Aku sangat-sangat berharap agar perkara ini dapat selesai secepat mungkin.

Terima kasih semua kerana membaca, maaf jika ada yang tidak faham kerana aku tidak begitu mahir mengarang ayat.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Wana

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 10 Average: 4.4]

1 thought on “Pendamping yang tidak diundang”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.