Penghuni Misteri

Aku tak tahu dah masuk kali ke berapa jadi perkara macam ni. Sejak aku pindah masuk ke dalam apartment ni, setiap kali aku tinggalkan makanan atas meja, mesti akan berluak. Sedangkan aku tinggal seorang diri. Mustahil aku makan sambil tidur! Kadang-kadang aku terfikir juga, mungkin tikus yang aku selalu dengar malam-malam tu yang makan.

Pernah sekali aku panggil rakan-rakan tempat kerja baharu datang ke rumah selepas waktu pejabat. Bukannya apa, saja nak bersuai kenal. Aku jemput dalam 10 orang, dan syukur, semuanya datang memenuhi pelawaanku. Teruja betul aku. Lagipun masa tu kami tak berapa kenal antara satu sama lain. Semua baru lepas training. Walaupun baru lepas training, bukan semuanya muda belia. Ada juga yang dah berusia. Tapi itu tak jadi masalah. Kami lepak layan bola sama-sama.

Malam tu, kami duduk tengok bola di ruang tamu. Riuh-rendah apartment aku dengan sorakan dan derai tawa. Masa tu aku baru mula bekerja. Duit pun tak berapa nak ada lagi. Untuk jamu rakan-rakan, aku pun belilah satu karton (12 tin) air bekarbonat dan satu paket besar makanan ringan yang ada 12 paket kecil di dalamnya. Aku pun letak di atas meja. Seorang demi seorang capai bahagian mereka. Disebabkan semuanya lelaki, tak ada faktor segan-segan.

Sedang asyik tengok bola, aku tengok, atas meja dah tak ada satu tin extra air bekarbonat tadi. Paket makanan ringan yang lebih satu tadi pun dah tak ada. Aku tak adalah cakap apa-apa. Tetamu, kan. Walaupun masa tu gaji belum masuk lagi, setakat seringgit dua tu tak ada masalah pun. Aku diamkan saja. Tiba-tiba salah seorang dari rakan aku tu bangun dengan muka pucat. Pandang ke arah aku. Aku tanyalah, kenapa?

Dia tanya semula, dalam rumah ni tadi ada berapa orang? Aku pun jawablah, termasuk aku, sebelas orang. Dia pandang sekeliling, seorang demi seorang. Macam tengah mengira.

“Kita datang dua kereta jer, kan?” Dia tanya pada rakan yang seorang lagi.

Rakan dia tu pun mengangguk. “Itu pun berhimpit-himpit,” kata dia.

Rakan aku yang tengah berdiri tu pun pandang aku. “Ada orang lain ke dalam rumah ni?”

“Tak ada,” aku jawab. Dia dah telan air liur. Kemudian duduk semula. Lepas daripada tu, dia senyap jer tengok TV. Dah tak bising-bising macam tadi.

Esoknya, dekat pejabat, dia datang jumpa aku. Dia kata, semalam masa dekat rumah aku, dia nampak seorang lelaki berusia, bertubuh pendek, datang terkedek-kedek dari arah belakang dia, capai air tin dengan makanan ringan dekat atas meja tu, lepas tu masuk dalam bilik. Dia ingatkan salah seorang rakan pejabat kitorang. Tapi bila dia kira balik, semua ada dekat depan TV masa tu.

Aku dah berkerut pandang dia. Lepas tu, aku teringat balik tentang makanan-makanan aku yang berluak tu. Aku pun tanyalah, bilik yang mana lelaki tu masuk. Dia kata, bilik nombor dua dari depan. Itu bilik aku!

Petang tu, lepas waktu kerja, aku minta tolong dia temankan aku balik rumah. Aku pun tak tahu apa yang buat aku rasa tak sedap hati dengan cerita dia tadi tu.

Perlahan-lahan, aku buka pintu rumah. Lokasi pertama yang aku jejak adalah dapur. Aku angkat tudung saji. Karipap sardin yang aku tinggalkan tiga ketul dekat atas meja pagi tadi, dah tinggal satu jer.

Aku dengan dia dah saling berpandangan. Dia macam faham apa yang sedang berlaku walaupun aku tak cerita apa-apa dekat dia. Dia isyaratkan aku untuk ke bilik yang dia nampak lelaki tu masuk semalam. Aku capai parang kebun pemberian ayah aku dari atas peti sejuk.

Perlahan-lahan kami melangkah ke depan pintu bilik tu. Aku kuakkan sedikit pintu tu. Keadaannya malap sebab aku tutup langsir sebelum keluar pagi tadi. Teragak-agak, aku pun melangkah masuk ke dalam bilik. Habis sampai dalam almari, bawah katil, belakang langsir, semua aku periksa. Tak ada sesiapa.

Dia pun tanya aku, malam-malam aku tidur tak ada apa-apa gangguan ke? Aku pun cakaplah, kalau ada pun bunyi tikus jer lah. Kadang-kadang waktu malam aku akan terjaga sebab macam terdengar bunyi bergerak-gerak dari arah dapur. Bila aku buka pintu nak periksa, aku akan terdengar bunyi tikus. Aku pun tutup pintu semula. Tikus memang aktif waktu malam pun, aku fikir.

“Kalau macam tu, kau rasa tikus ke yang makan makanan kau tu?” Dia tanya pada aku. “Takkan tikus pandai buka tutup tudung saji.”

Dalam hati aku dah berbelah-bahagi. Betul ke cerita dia dekat pejabat tadi tu? Entah-entah dia yang cilok makanan ringan dengan air tin semalam tu. Yalah, masing-masing tengah tak bergaji.

Tiba-tiba dari dalam bilik aku tadi, kitorang terdengar bunyi decitan tikus macam aku selalu dengar malam-malam tu.

Mata rakan aku tu dah buntang pandang aku. Tak berapa lama lepas tu, sekali lagi kitorang terdengar bunyi decitan tikus tu. Rakan aku pulak asyik geleng-geleng kepala tak kasi aku masuk dalam bilik tu.

“Kau ni takut tikus ke?” Aku dah naik bengang. “Kalau sebab tikus tu kita aku jadi tak keruan macam ni, baik aku bun*h jer.”

Aku pun capailah racun serangga dari bawah singki. Rakan aku ni dah macam tak boleh nak berkata-kata. Masih dok geleng-geleng lagi dekat aku.

“Kau ni kenapa? Dah bisu ke?”

Dia geleng jugak lagi.

“Kau ni, tikus pun takut?” Aku perli dia.

Dengan muka pucat lesi, dia cakap dekat aku separuh berbisik, “Man… tikus mana pandai gelak…”

Bila aku dengar betul-betul, setiap kali lepas bunyi decitan tikus tu, ada suara orang gelak bawah nafas. Aku pandang dia. Aku rasa sekarang muka aku dah sama pucat dengan dia. Dia pandang tangan aku. “Mana parang kau tadi?” Dia tanya.

“Dalam… dalam bilik tadi,” jantung aku dah rasa macam nak terkeluar dari dada.

Apa lagi, kitorang pun berlaga-laga berlari keluar dari rumah tu. Sampai tingkat bawah, aku telefon polis. Aku beritahu, ada penceroboh masuk rumah. Selang 15 minit lepas tu, kereta peronda polis pun datang. Dua orang polis melangkah keluar dari perut kereta. Seorang berusia, seorang lagi nampak macam rookie. Aku pun beritahulah yang penceroboh tu mungkin berparang.

Sampai depan pintu rumah aku, dua-dua dah siap genggam pistol dalam tangan.

“Kami polis!” Laung anggota polis yang berumur sedikit tu. “Serah diri sekarang atau kami akan masuk cara kasar!”

Tapi keadaan dalam rumah tu senyap jer. Lepas berkongsi isyarat apa entah antara diorang berdua tu, yang rookie tu pun melangkah masuk dulu. Yang lagi seorang tu berdiri dekat depan pintu, perhati. Satu-satu bilik rookie tu masuk. Selesai semua bilik, dia menggeleng ke arah polis berusia tadi. Dalam tangan, dia tengah pegang parang aku tu.

Anggota polis berusia tu dah pandang aku lain macam. Aku dengan rakan aku tu pun puaslah terangkan tentang apa yang kitorang fikir. Dah dengar penerangan kitorang, mereka berdua pun masuk balik dalam rumah, geledah sama-sama. Termasuk dekat dalam bilik air dan dapur. Tapi masa dekat dapur tu, tiba-tiba keadaan jadi sunyi sangat. Bunyi deruan kereta dekat bawah, bunyi kicauan burung, bunyi TV orang sebelah, semua macam diredamkan buat beberapa saat. Kemudian kembali semula. Aku ingat aku seorang jer yang perasan, tapi bila pandang yang lain-lain, diorang pun macam terpinga-pinga sekejap. Lepas tu, kitorang sambung semula misi mencari.

Lepas dah hampir dua jam menggeledah semua ruang, kitorang pun give-up. Memang langsung tak ada sebarang tanda yang ada orang lain dalam rumah tu. Anggota polis dua orang tadi tu pun pergilah ke beranda ruang tamu, nak tengok kalau-kalau ada belebas yang orang boleh panjat. Kira macam pemeriksaan terakhir sebelum beredarlah.

Lepas tu, diorang pun nasihatkanlah aku macam-macam. Sentiasa kunci pintulah, tutup semua tingkaplah, jangan selalu tinggalkan rumah tak ada oranglah, sampailah tiba-tiba kitorang terdengar bunyi decitan tikus datang dari arah dapur, lepas tu, suara orang tergelak tertahan-tahan. Kali ni bukan di bawah nafas dah. Memang dia nak kitorang tahu yang dia ada dekat dapur tu.

Polis dua orang tadi automatik pegang pinggang, nak capai pistol. Tiba-tiba, dua-dua muka berubah, saling berpandangan dengan riak ketakutan.

“Mustahil!” Kata yang berusia tu. Pistol diorang dua-dua dah tak ada dekat pinggang. Tali yang diikat pada holster pistol tu pun dah terputus.

Dari arah dapur, seorang lelaki tua bertubuh pendek kecil tidak berbaju sedang jalan berlenggang ke arah kami sambil mengajuk-ajuk bunyi decitan tikus. Dalam kedua-dua tangannya, dia menggenggam pistol hitam milik dua orang polis tu tadi.

Tapi nasib baik picu kedua-dua pistol tu berkunci. Orang tua tu langsung tak reti macam mana nak unlock safety tu. Terkial-kial dia. Yang polis dua orang ni, bila nampak keadaan macam tu, terus jerlah diorang terjah orang tua tu sampai terlentang ke belakang. Seorang bawa keluar gari, seorang lagi rampas kedua-dua pistol tu.

Orang tua tu dibawa digari, diiringi dua orang anggota polis tu turun ke bawah. Aku dengan rakan aku pun ikut turun sama, tapi kami diarahkan untuk guna lift yang lain. Atas faktor keselamatan, kata polis-polis tu.

Sampai jer tingkat bawah, kitorang tengok lift yang polis tu naik tadi belum sampai lagi. Beberapa saat lepas tu, baru pintu lift tu berdenting lalu terbuka.

Ternganga kitorang bila tengok cuma ada dua orang polis tadi jer dalam lift tu. Orang tua tadi dah tak ada. Diorang pandang kitorang macam pelik pulak.

“Kenapa, encik?” Tanya polis rookie tu.

“Mana orang tua tadi?!” Aku tanya gelabah.

“Orang tua?” Polis berusia tu berkerut. “Orang tua mana?”

“Orang tua yang encik tangkap tadilah!” Kata rakan aku pula.

“Kami datang sini…” diorang saling berpandangan. “Kenapa kita datang sini, ya?” Tanya rookie tadi dekat polis berusia tu. Dia sekadar henjut bahu macam tu jer, lepas tu mereka berdua pun dengan selambanya masuk dalam kereta peronda, lepas tu beredar macam tu jer.

Tiba-tiba rakan aku cuit bahu aku. “Man…” dia panggil. “Tadi dekat pinggang polis tu ada pistol tak?”

Aku berpaling ke arah kereta polis yang dah menderu laju meninggalkan perkarangan apartment tu. “Aku rasa… tak ada.”

Begitulah ceritanya bagaimana aku berpindah keluar dari rumah tu hampir sehelai sepinggang. Yang ada pada aku masa tu cuma handphone dan dompet sahaja. Barang-barang lain semua aku tinggalkan dalam apartment tu. Sampailah aku call tuan rumah, beritahu apa yang berlaku. Mula-mula dia marah-marah, kata aku mengarut. Lepas aku kata yang aku sanggup bayar sewa triple kalau dia tolong keluarkan barang-barang dalam rumah aku tu, dia terus senyap.

Last-last, kantoilah yang rumah tu memang dah banyak kali orang keluar masuk sebab asyik kena ganggu dengan ‘tikus’ kepala hitam tu.

Menurut tuan rumah, dulu ada seorang lelaki tua tinggal dalam rumah tu. Beberapa bulan lepas lelaki tua tu pindah masuk, dia mula buat hal tak bayar sewa. Tuan rumah pun tunggu sampai tiga bulan. Lepas cukup tiga bulan orang tua tu tak bayar sewa, tuan rumah pun bawa orang-orang dia datang nak halau lelaki tua tu.

Tapi bila diorang sampai dekat depan rumah tu, diorang tengok rumah tu dah kosong. Licin. Diorang pun anggaplah yang orang tua tu dah lari sebab tak mampu nak bayar sewa. Tapi bila tuan rumah tu buat report polis, bila polis check nombor kad pengenalan yang orang tua tu bagi tak wujud pun dalam rekod JPN. Si tuan rumah tu pun buat kesimpulan yang orang tua tu pendatang tanpa izin yang guna kad pengenalan palsu.

Tak lama lepas tu, dia pun mula sewakan rumah tu dekat orang lain. Tapi seorang demi seorang pindah keluar. Semua guna alasan yang sama; diorang selalu rasa macam ada seorang orang tua yang tinggal sekali dengan diorang. Menumpang tanpa izin.

Kongsi kisah anda: http://fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 5]

18 thoughts on “Penghuni Misteri”

  1. Misteri….nk kata dok atas bumbung..apartment mana de bumbung huhu….kot ada pintu tersembunyi ke dr umah sebelah …haishh pakai ilmu ghaib kot…

    Reply
  2. boleh tahan la jalan cerita. kalau compare dengan citer abang kachak tu. ni macam boleh terima lagi. abang kachak punya citer macam byk yg ditokok tambah. xlogik pun ada jugak. hahah

    Reply
  3. Polis tu dh kena pukau xper lg…
    Ini sampai pistol xde pn depa buat xtau bahaya tuuu…
    Mau sok lusa penyewa lain kena acu pistol plak ngak pakcik botak tu…

    Reply
  4. Nama pun fiksyen. Fiksyen je la. Semua pun nak percaya. Fiction = literature in the form of prose, especially short stories and novels, that describes imaginary events and people.

    Reply
  5. Kadang2 pelik jugak kalau dah jelas2 cerita yg macam rekaan. Mesti ada jugak yg tanya, ni betul ke? Pastu ada lagi yg comment, nampak cam tipu jek.. web page ni pun dah nama fiksyen shasha. Tanya lagi?

    Reply
    • Kalau awak perasan, kebanyakan yang share cerita kat FS ni berkenaan pengalaman masing2. Kalau dah pengalaman sendiri mesti la non-fiction.

      Patutnya FS tukar page ni jadi Non-Fiction Shasha (NFS) sebab boleh dikatakan semuanya ialah based on true events.

      Tapi tak tau la kalau ada orang reka cerita tapi dia cakap memang betul2 jadi kat dia. So originally, memang fiksyen kalau penulis share benda2 fiction, ni banyak pulak yang share pasal pengalaman masing2.

      So unfortunately Fiksyen Shasha jadi page non-fiction la. Patut FS nyatakan suruh penulis tulis cerita fiksyen sahaja. So jadi la 100% fiction. Sorry panjang lebar komen. Peace no war! ?

      Reply
  6. omg..

    polis plk tanya ape deols buat kat situ, rasanya ingatan deols dh dihilangkan.

    tp part pistol takde tu, takkan dua2 polis x kena dakwa.. pistol kot?

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.