Assalamualaikum dan salam sejahtera pembaca Fiksyen Shasha. Sepanjang hidupku ada pelbagai pengalaman seram, mistik dan misteri yang aku alami. Tapi untuk kali ini aku hanya nak bercerita tentang sebahagiannya sahaja. Aku hanya ingin mengimbau kembali peristiwa zaman belajar di kolej dulu. Terlebih dulu aku mohon maaf kalau kalian rasa kisah aku ni tak seram pun. Tapi percayalah apa yang aku ceritakan ni memang benar2 terjadi dalam hidup aku, kawan-kawan & orang sekeliling aku. Aku tak ada tokok tambah untuk sedapkan cerita. Tapi kalau kisah ni ditokok tambah oleh sang pencerita kepada aku waktu dulu, aku tak tahu lah ye.
Biarlah aku kenalkan diriku secara ringkas. Aku merupakan salah seorang siswi yang belajar di sebuah kolej islam di Kuala Lumpur. Dah agak lama, sekitar tahun 2004 – 2007. Selama lebih kurang 3 tahun itu aku menetap di asrama kolej yang berada dalam bangunan kondominium. Penginap dalam kondo ni bercampur. Ada pelajar kolej kami, pelajar kolej lain, orang berkeluarga, orang bujang dan ‘lain-lain’. Kalau nak tahu, kondo ni dibina sekitar tahun 80 an, tapi walaupun dah siap dibina projek tu seolah-olah terbengkalai. Tak ada sesiapa menghuni dan ia dibiar usang atas sebab yang tak dinyatakan. Bila dah dibiar macam tu, mula lah wujud kejadian tak diingini berlaku.
Contohnya pernah berlaku kes bunuh diri di situ. Sehingga pada era 90 an ada pemaju lain yang beli dan bangunkan semula, kemudian di jual ke orang ramai. Gambaran tentang kondo ni ialah, ianya sebuah bangunan dalam pagar yang ada pengawal keselamatan berjaga di pintu masuk. Kondo ni ada 11 tingkat. Tingkat paling bawah ialah G. Di situ hanya ada parking kenderaan. Tingkat satu pun hanya parking. Tingkat 2 ada kolam renang yang dihujungnya ada air terjun buatan, ada gim, gelanggang squash, bilik serbaguna, dewan serbaguna, mini playground, sebuah kedai makan dan kedai runcit. Tingkat 3 hingga 11 adalah rumah. Kondo ini ada 2 unit lif dan 1 unit tangga kecemasan. Ok, itu intro cerita aku..maaf agak panjang lebar.
Apa yang aku nak cerita ni boleh diibaratkan macam kompilasi cerita pendek berkisar sekitar kondo ni sahaja ye.
Kisah 1: Siapa Menyanyi?
Peristiwa ini terjadi pada siang hari. Dalam bilik aku tu ada 4 orang termasuk aku. Katil pula 2 buah, jenis dua tingkat. Aku tidur di atas, bawah aku ialah Etty. Katil satu lagi, tingkat bawah dimiliki oleh Iza, tingkat atas pula Ina.
Pada hari tu, kami tak ada kelas. Aku dah lupa tu hari sabtu atau ahad. Selalunya kalau hari cuti memang aku bangun tidur agak lambat. Lepas solat subuh aku tidur semula. Pagi tu dalam pukul 10 am aku terjaga dan aku masih bermalas-malasan atas katil. Lagipun aku dapat dengar suara Iza dikatilnya sedang humming (mengeluarkan suara menyanyi tanpa menyebut perkataan) jadi aku fikir ada geng lah aku dalam bilik tu. Entah lagu apa yang dia alunkan, aku pun tak tau. Tapi aku tak kisah sangat sebab dia memang suka dengar lagu dari mp3 nya sambil pasang earphone lepas tu ikut menyanyi walau tak sedap pun suaranya (hehe..ampun). Sesekali aku terdengar bunyi katil besinya berkeriuk- keriuk, tanda dia bergerak atau beralih baring.
Sedang aku asyik melayan blues sorang-sorang sambil ditemani nyanyian sumbang Iza, tiba-tiba aku rasa bilik aku sunyi sepi. ‘Eh, Iza ni tidur semula ke?’ Bisik hati aku. Beberapa saat kemudian, kreek! Pintu bilik aku dibuka dari luar, berhadapan dengan aku kini si Iza masuk dengan kain tuala disanggul tinggi atas kepala, tanda dia baru siap mandi. Aku dah cuak, aku jenguk kepala, tengok katil Iza, kosong dan dah tersusun rapi. Katil Ina dibahagian atas memang tersedia kosong. Katil Etty di bawah aku juga kosong. Maknanya dari tadi aku seorang diri dalam bilik ni. Aku diamkan saja tak cerita pada Iza, beberapa hari lepas tu baru aku ceritakan pada dia & kawan-kawan lain.
Ini kisah hari lain pula, terjadi kepada kawanku Ella. Dia penghuni bilik 3. Oh ye, rumah kami ada 3 bilik. Bilik 1 master room ada 4 orang, bilik 2 iaitu bilik aku, bilik 3 yang paling kecil dihuni oleh Ella & senior kami kak Ani. Ella ni selalu tidur seorang sebab Kak Ani ni jenis jarang ada di rumah. Dia selalu tidur di rumah kawannya, kalau dah buat assignment sampai lewat2 malam memang dia terus tidur di rumah kawan sahaja.
Satu malam, seperti biasa Ella tidur sendiri lagi. Sambil layan matanya yang dah hampir terkatup dia mendengar lagu dari radio di biliknya. Waktu tu lagu ‘bunga angkasa nyanyian kumpulan Terra Rossa sedang berdendang. Dekat-dekat sampai ke penghujung lagu, dia terdengar suara nyanyian tu diikuti suara perempuan yang lembut dan halus. ‘kan ku korban jiwa raga. demi cinta untukmu bunga angkasa…’
Apa lagi, dari hampir layu matanya terus membulat. Perasaan cuak mengusai dirinya. Sudahlah hanya dia seorang dalam bilik tu. Mana pulak datang suara ‘penyanyi’ perempuan tu. Dia cepat-cepat tutup radio dan cuba pejamkan mata. Mujur suara tu tak muncul lagi.
Kisah 2: Nasib Si Pak Guard
Ini cerita dari pakcik-pakcik pengawal keselamatan kondo itu. Kisah ini diceritakan oleh mereka sendiri kepada salah seorang kawan aku. Maklumlah kawan aku ni peramah sikit. Ada harinya sambil balik dari kelas atau balik dari kedai makan sempat lagi dia singgah interview pak guard di pondok pengawal tu.
Kata pak guard selalunya mereka tak akan keluar meronda bila jam betul-betul tepat pukul 12. Iaitu 12 am dan 12 pm. Sebab apa? Katanya kalau keluar waktu-waktu begini memang padah yang menunggu. Jam 12 seolah-olah waktu keluarnya sang ‘penghuni’ ghaib. Senang cerita, pak guard yang keluar meronda bakal diganggu oleh mereka.
Pernah ada pak guard yang meronda pada tengah malam terserempak dengan ‘dia’. Waktu itu pak guard meronda di tingkat 2. Seperti yang aku terangkan sebelum ni, di tingkat 2 ada kolam renang dan dihujungnya ada air terjun buatan kan.
Sedang elok pak guard jalankan tugas tiba-tiba matanya terpaku pada sesusuk tubuh di hujung kolam itu. Siapa pula yang duduk bersantai tengah- tengah malam ni sedangkan sebelum pukul 12 am, kedai kedai di tingkat dua itu sudah tutup & lampu-lampu di aras itu juga dah dimatikan. Pak guard memberanikan diri untuk mengamati entiti itu. Berbekalkan cahaya lampu suluhnya dia dapat melihat susuk tubuh itu duduk di atas batuan air terjun buatan. Berpakaian putih lusuh, berambut panjang namun wajahnya tak kelihatan. Menggigil lutut pak guard, tanpa buang masa dia berlari meninggalkan tingkat dua.
Kisah 3: Lif Dan Bilik Sampah.
Lif kondo ini juga ada ceritanya tersendiri. Begitu juga dengan bilik sampah. Sebelum itu biar aku bagi sedikit gambaran. Berhadapan dengan lif terletak tangga kecemasan dan seperti biasa tangga kecemasan memang ada pintu. Manakala di sebelah sisi pintu tangga itu ada satu bilik. Di dalam bilik itu ada tong sampah besar. Ia disediakan disetiap tingkat sebagai kemudahan membuang sampah untuk semua penghuni kondo itu.
Ok, biar aku ceritakan berkenaan lif dahulu. Sebenarnya lif ni agak pelik kerana ia kerap kali akan berhenti di satu tingkat kondo ini walaupun tak ada siapa yang tekan butang tingkat tersebut. Tingkat berapa aku dah lupa. Tapi mungkin tingkat 3 atau 5. Dan di tingkat tersebut agak suram serta sunyi kerana banyak rumah di tingkat tersebut tak berpenghuni. Lif itu kerap kali berhenti dengan sendiri di tingkat itu lebih-lebih lagi waktu malam atau waktu-waktu sunyi. Pernah beberapa kali juga aku sendiri alaminya, dan pernah satu malam, aku dan kawan-kawan pulang dari makan malam, kami naik lif. Bila di tingkat itu ‘ting’ loceng berbunyi dan pintu terbuka tetapi tiada siapa yang masuk. Kami terdiam, malah waktu itu kawan aku, Ella nampak berubah riak wajahnya. Memang Ella ada sedikit kelebihan, matanya mudah terlihat jika ada kelibat makhluk halus. Sampai di rumah baru dia beritahu, sebenarnya ada ‘benda’ yang masuk waktu lif terbuka tadi. Mujurlah dah sampai rumah baru dia buka cerita.
Peristiwa lain, pernah balik dari makan malam juga, aku nak tekan butang lif. Belum sempat aku tekan, ada lintasan kelibat setinggi kanak-kanak 4 tahun melintas laju di hadapanku, aku mengelak dan agak tergamam. Kerana ia hanya sepintas lalu, laju dan kelibat itu seolah-olah bayang hitam. Kawan aku pelik, dia tanya aku mengelak apa? Aku hanya menggeleng dan dia tergelak. Mungkin rasa lucu melihat aksi aku tadi.
Satu lagi pengalaman ku di lif pada hari siang, waktu ini nak ke kelas. Seperti biasa, aku jenis yang lebih laju berjalan dari kawan-kawan maka aku lah yang sampai dulu di lif. Aku dah tekan butang lif dan tanpa menoleh, aku dapat dengar bunyi kasut kawan-kawan ku menapak ke arah lif. Satu..dah sampai ke sebelah ku, dua..berdiri sebelah kawan ku tadi..tap,tap,tap yang ketiga berdiri agak ke belakang ku, di hujung dinding. Aku tak menoleh pun cuma dengar bunyi kasutnya berhenti di situ. Pintu lif terbuka, aku masuk diikuti 2 kawan ku. Tapi mana sorang lagi? Aku menjenguk dari dalam lif. Dua kawan ku ini hairan, tanya aku tunggu siapa? Aku kata, ‘eh kan tadi ada sorang lagi yang datang dekat lif?’ Mereka berdua kata tak ada. Hanya mereka je yang keluar rumah tadi. Tanpa berlengah terus aku tutup pintu lif, entah-entah si pemilik kasut ketiga dah masuk, itu aku tak tau..wallahualam.
Cukup kisah lif, mari kita ceritakan hal bilik sampah pula. Dari cerita kawan yang tinggal di tingkat lain. Di tingkatnya itu kecoh kisah bayi berdarah di bilik sampah. Ada yang pernah terserempak. Aku namakan mangsa sebagai Aida sahaja. Ini kisahnya…
Pada malam itu, Aida keluar dengan menjinjing plastik sampah di tangannya. Dia ingin membuang sampah di bilik sampah. Walaupun hari sudah malam tapi dia tak fikir bukan-bukan kerana jarak antara bilik itu dengan rumahnya tidak jauh mana. Waktu hampir sampai ke bilik itu, dia terdengar bunyi bising. Diamati betul-betul rupanya ia datang dari arah bilik tersebut. Bunyi seolah-olah ada orang sedang menyelongkar sampah sarap. Pintu bilik yang tertutup itu dibuka perlahan dan alangkah terkejutnya dia apabila melihat seorang bayi sedang bergayut di tong sampah segi empat yang besar itu. Lebih mengerikan bila diamati bayi yang hanya berkain lampin itu berlumuran darah.. Anak siapa ada di tong sampah malam-malam ni?? Tak tunggu lama dia cabut lari. Dibiarkan sahaja sampahnya bertaburan di situ.
Selepas kejadian itu, ada beberapa orang lagi yang terserempak dengan bayi itu. Ada juga yang hanya terdengar bunyi tong sampah diselongkar, maka mereka dah batalkan niat untuk membuka pintu bilik sampah itu. Sejak itu kami hanya berani membuang sampah di bilik sampah pada waktu siang. Waktu malam? Maaf, tak sanggup bertentang mata dengan ‘si kecil’ itu.
Kisah 4: Tersesat Dalam Rumah
Ini kisah kawanku Waty. Dia adalah salah seorang penghuni yang mendiami tingkat bilik sampah berhantu. Kisahnya, satu malam dia dan teman serumahnya turun makan malam. Mereka lepak di kedai makan hingga lewat malam. Tiba masa untuk pulang ke rumah, kawannya naik dahulu kerana Waty masih ada hal yang nak dibereskan (maaf, dah lupa hal apa yang diberitahu dulu).
Selepas selesai, Waty bergegas ke lif. Dia mula rasa cuak kerana memikirkan jam telah hampir ke angka 12 am. Hatinya berdebar-debar. ‘Ting’ lif berbunyi dan terbuka. Dia melangkah masuk dan menekan butang lif.
Sampai ke tingkat misteri (baca dalam kisah 3:lif dan bilik sampah), ‘ting’ pintu lif terbuka. Dan seperti biasa tiada sesiapa yang masuk. ‘Ah, sudah!’ Dalam hatinya Waty rasa menyesal sangat kerana membiarkan rakannya pulang dulu ke rumah tadi. Pintu tertutup dan lif bergerak naik. Dirasakan pergerakan lif itu terlalu perlahan malah yang lebih menakutkan, tiba-tiba dia terasa ada angin panas menyapa tengkuknya. Ada suara mendengus sambil bernafas begitu hampir dengan telinganya sedangkan dia tau hanya dia yang ada dalam lif itu.
Dia cuba abaikan gangguan itu sambil berdoa agar segera sampai ke tingkat yang dituju. Namun nasibnya memang malang pada malam itu. Kini telinganya menangkap bunyi loceng pula. Bunyinya bagaikan gelang loceng yang selalu dipakai oleh penari dalam filem tamil. ‘cing,cing,cing’ bunyi semakin jelas. Dalam takut-takut itu Waty menoleh sedikit dan dari ekor matanya dia dapat melihat sepasang kaki hitam yang memakai gelang berloceng sedang menghentak-hentak lantai. Betul-betul dibelakangnya. Alunan loceng semakin rancak, degup jantungnya semakin laju, ayat-ayat suci Al Quran cuba dibacanya tetapi habis terabur dan lintang pukang.
‘Ting’ lif berbunyi dan pintu terbuka, tanpa berlengah lagi Waty membuka langkah seribu. Dia lega kerana dapat keluar dari lif puaka itu. Namun kelegaannya hanya untuk beberapa saat. Apabila berada di depan rumahnya, baru dia sedar yang dia tidak membawa kunci rumah dan handphone. Puas dia memberi salam dan memanggil kawan-kawannya. Tiada yang menyahut. Pintu rumah diketuk2 pun tiada siapa peduli. Entah berapa lama dia berusaha barulah ada kawannya yang membuka pintu.
Dia masuk ke rumah dengan keadaan menggigil. Bila ditanya mengapa, dia ceritakan kejadian itu. Lisa,salah seorang teman serumahnya yang matanya boleh melihat makhluk ghaib mengatakan ‘benda’ itu sebenarnya dah masuk sekali dengan Waty dan sekarang berlegar dalam rumah mereka.
Masing-masing ketakutan dan mereka mengambil keputusan untuk buat bulatan di ruang tamu dan membaca yasin bersama-sama sebagai usaha untuk menghalau ‘benda’ itu dari rumah mereka. Pintu sliding balkoni dibuka luas dengan harapan yang sesat akan keluar dari situ.
Puas membaca yasin malangnya kata Lisa, benda itu masih berlegar-legar di sekeliling mereka. Nita yang duduk berhadapan dengan laptop yang tidak terpasang terpandang dari skrin laptop yang gelap itu sesuatu melintas di belakangnya. Makhluk berpakaian putih!
Akhirnya salah seorang dari mereka cuba menelefon seorang ustaz dan dapatkan bantuan, keesokannya ustaz itu datang dan menghalau makhluk itu dari rumah mereka. Barulah lega hati penghuni rumah itu.
Kisah 5: Si Gelang Loceng
Ini kisah terakhir yang inginku kongsikan.Peristiwa ini berlaku beberapa minggu selepas kisah si gelang loceng tersesat di rumah kawanku Waty. Menurutnya, si gelang loceng itu rupanya jelmaan gadis India yang pernah mati bunuh diri di kondo itu satu masa dulu. Selalunya ia hanya ingin mengganggu kaum adam kerana dendamnya pada lelaki tetapi jika ada sesiapa yang lalu waktu dia berada di kawasan itu, tak kiralah lelaki atau perempuan, jika dia berkenan untuk menggangu maka jadilah mangsa pilihannya.
Itulah cerita asal usul si gelang loceng. Dari mana kawanku ini dapat cerita itu jangan ditanya sebab aku dah tak ingat.
Kehidupan kami berjalan seperti biasa. Tibalah malam minggu, aku dan kawan-kawan serumahku berkumpul di ruang tamu. Kami cuma lepak-lepak sambil bersembang. Maklumlah zaman itu bukan zaman gadjet canggih macam sekarang. Hanya yang benar-benar mampu sahaja dapat pakai laptop. Telefon bimbit pun paling-paling canggih telefon ‘sabun’. Jadi masa yang terluang memang diguna untuk bersembang sesama sendiri.
Punyalah seronok bercerita, dari satu topik ke topik lain. Masa terus berlalu dan kini jam sudah beranjak ke tengah malam. Ada di antara kawan-kawanku yang mengantuk, dah beransur masuk tidur. Tinggallah aku dan beberapa orang lagi yang masih galak bersembang. Aku rancak bercerita berkenaan episod kegemaranku dalam komik anak-anak sidek. Maklum aja lah waktu tu umur belasan tahun. Minat aku pun ke arah kebudak-budakan lagi.
Waktu tu aku sedang ceritakan kisah Bun (misbun sidek) bertemu bidadari. Kataku lukisan komik tu cantik, nampak real bidadari tu, cantik sangat. Kawan-kawanku tekun mendengar ceritaku. Sedang asyik bercerita tiba-tiba aku terdengar….’cing’. Lalu aku terdiam. Aku salah dengar ke? Kawan-kawanku turut memasang telinga. Rupa-rupanya mereka juga mendengarnya.
Kami saling berinteraksi dengan ekor mata dan memek wajah sahaja tanpa membuka suara. ‘Cing..cing..cing..cing’ Bunyi gemerincing itu kedengaran lagi. Kali ini bunyinya seolah-olah semakin hampir dengan rumah kami. Anehnya, jika manusia biasa mengapa berjalan seolah-olah langkah disusun atur satu demi satu, lambat-lambat tapi berentak senada. Bagai amat tersusun langkah itu.
Jantung makin berdegup laju. Bunyi itu kini benar-benar makin hampir dan…..tiba-tiba ia berhenti di hadapan pintu rumah kami. Senyap! Tiada lagi bunyi itu, entah perasaan takut apa yang melanda, serentak kami bertempiaran masuk ke dalam bilik masing-masing sambil terjerit. Aku dan Iza berlari menuju ke bilik kami. Etty yang telah lena terjaga, dia terpinga-pinga melihat kami yang ketakutan. Iza waktu itu terlalu takut dan dia bagai hampir terkena histeria. Dia menangis dan beria-ia menyebut perkataan takut. Sambil menekup telinga dan memejam mata rapat. Etty yang tak tahu cerita hanya menyuruhnya bertenang. Etty memeluk bahu Iza sambil membaca ayat kursi. Kali ini Iza bagai tenang sedikit. Kawan-kawan lain pun dah berkumpul di bilik kami kerana terdengar suara Iza yang menangis-nangis.
Keadaan agak terkawal dan suasana agak sunyi. Tak kami sangka bunyi loceng itu kedengaran lagi tetapi seolah-olah makin jauh dan terus hilang. Selepas rasa lebih tenang baru kami ceritakan apa yang terjadi kepada Etty dan kawan-kawan lain yang telah tidur tadi. Kata mereka, ‘itulah berani sangat bersembang bukan-bukan pada tengah malam.’ Pelik sangat ke topik yang kami sembangkan? Entahlah..tapi yang pasti akhirnya kami turut merasa bertemu si gelang loceng. Walau tak nampak dirinya tapi bunyinya sahaja sudah cukup menyeramkan.
Berakhir sudah kisah aku di kondominium tersebut. Ada lagi beberapa kisah lain terjadi tetapi aku dah ingat-ingat lupa. Walau apa pun satu pengajarannya, di mana pun kita berada, kita kena akur bahawa bukan kita sahaja yang tinggal di situ. Ada makhluk lain yang turut menumpang teduh. Jagalah mulut kita, jagalah perlakuan kita, jangan sampai mendapat padah kerana perlakuan kita sendiri. Namun ingatlah Allah lebih berkuasa. Hanya padaNya tempat kita memohon perlindungan. Sekian, wassallam.
Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
Jalan cerita yang mantap!! Baca pun takde rase bosan.?
Kondo 80an….mana eh…?
masa aku umur 12 tahun , ada jugak kes india perempuan terjun bunuh diri , masa tuu aku duduk flat kat gombak , dia terjun dari tingkat 5 , bebetul jatuh depan rumah aku .. beberapa hari kejadian tuu , aku pindah duduk ngan nenek aku dekat rumah teres area gombak jugak , dengar-dengar cerita dari jiran-jiran flat situ , selalu nampak jelmaan perempuan india tu terjun bila sampai kat bawah dia hilang , nampak dia bekeliaran., mujur aku dah pindah.. hahaha kalau tak , aku pon nampak agaknya sbb jatuh bebetul depan umah aku.. (dia bunuh diri sebab suami dia kaki pukul pastu mabuk , dia selalu kene pukul ,anak lelaki dia suka bawak perempuan balik rumah , mabuk2) so dia tekanan dengan tak fikir panjang dia terjun.
Macam medan intan apartment je. Hihi
Best
yg lift tu best..takot gak nak naik lift sebenarnye..huhu
Jipake. Ini cite seram or iklan nk sewakan rumah. Banyak sgt gambaran dr seram. Admin laen kali jgn approve cite mcm nie lg ye. Amaran terakhir.