Aku dan Pak Long sememangnya rapat, dan perbezaan umur yang besar Pak Long menganggap aku seperti anaknya. Pak Long masih bujang ketika itu walaupun sudah memasuki sempadan 40an.
Pengetahuan aku, masa mudanya banyak merantau di utara Thailand mencari dan menyebar ilmu agama serta dakwah bersama bekas guru madrasahnya di Barokhas. Kemudian Pak Long kembali ke kampung membantu nenek setelah pemergian ayahnya iaitu atok menguruskan kebun-kebun getah dan kopi.Pak Long ni aku kategorikan orang yang jenis diam dan tak pandai bersosial. Hahahaha, Al-Fatihah buat Pak Long.
Lazimnya, usai solat subuh dia akan duduk minum bersama nenek dan bertanya nenek nak masak apa tengah hari dan dia akan cuba dapatkan di kebun. Kemudian turun dari rumah menolak basikal tua arwah atok menyusuri jalan ke kebun.
Tengah hari baru menjengah rumah untuk makan tengah hari dan solat. Kadan- kala Pak Long tak pulang ke rumah kerana Pak Long senang dan selesa di dangau yang atok bina di pinggir kebun getah. Makan minum, mandi dan solat pun disana. Selalu juga aku menjengah Pak Long kalau aku pulang dari Madrasah, nenek juga sudah tahu kalau aku pulang lambat mesti muncul bersama Pak Long. Ayah, ibu dan adikku pula menetap di kampung sebelah jadi kalau aku tak pulang ke rumah nenek aku akan pulang ke rumah setiap minggu.
Pak Long aku anggap ada sesuatu yang istimewa, baik daripada segi perbuatan dan akhlak. Cuma aku pernah nampak dia marah kalau aku melewatkan solat dan tidak berzikir lepas solat yang 5.
Memang cukup pantang dia aku habiskan masa bermain gasing, cari buah getah dan mandi sungai sehingga santak senja.Pak Long mengatakan Maghrib adalah waktu jin syaitan berkeliaran. Pernah terjadi ada rakanku kampung sebelah hilang selepas bermandi-manda. Puas dicari seluruh kampung, puas dipalu tabuh namun tidak berjumpa. Kata rakannya, budak itu sedang mandi dan ada pula orang kampung terserempak budak itu mundar-mandir di kebun getah seberang sungai.
Jadi pada malam itu Pak Long bersama rakannya menziarahi keluarga budak hilang ini. Ketika pulang, aku yang bertindak sebagai pemegang lampu picit berjalan dihadapan. Aku mencuri-curi dengar perbualan Pak Long aku yang mengatakan budak ini disembunyikan. Pada sekitar 3 pagi, Pak Long membangunkan aku dan aku lihat Pak Long dan 2 rakan-rakannya, salah seorang abang kepada budak hilang berada di kaki tangga.
Kami menuju ke sungai tempat terakhir budak itu dilihat bermandi-manda. Tiada persiapan yang dibuat, kecuali lempu picit dan unggun api. Pak Long aku lihat duduk mencangkung bersama rakan-rakannya ditepi sungai dan aku lihat seolah-olah sedang bercakap. Mereka bangun menghampiriku dan mengatakan budak itu tiada disini. Penghuni sungai memberitahu mereka, budak berkenaan di larikan.
Sehinggalah kami tiba di lereng kebun durian seberang sungai milik seorang Cina di Bandar. Pak Long mengatakan kepada rakan-rakannya untuk mencari busut. Akhirnya terjumpa satu busut setinggi betis berada dibawah lereng.
Tak jauh, hanya serelung dari sungai budak itu hilang. Pak Long mencebah busut berkenaan sehingga terkulai rebah tak tertahan. Dari celah celah busut terkeluar air hitam busuk macam air bangkai. Aku dan abang budak yang hilang ini diarahkan berundur jauh dari mereka. Aku perhatikan Pak Long dari jauh,Pak Long dan rakannya seorang lagi aku lihat berundur kebelakang busut. Dengan bantuan unggun api, aku dapat melihat ada 3 susuk tubuh.
Satu tubuh itu aku lihat setinggi 2 orang dewasa. Macam mawas, berbulu bongkok menghayun tangan. Pak Long dan rakannya pula aku lihat melompat ke sana sini melibas rotan ke arah mawas berbulu. Bunyinya macam kerbau mengamuk. Kebun yang dipenuhi pohon senduduk menjadi rata. Pergelutan mereka seolah-olah ingin menundukkan kerbau untuk disembelih.
Pak Long bersembunyi dibelakang perdu getah membiarkan rakannya berseorangan menghadapi mawas yang mengamuk. Aku fikir Pak Long penat. Pak Long menepuk-nepuk tanah. Mengambil semangat semula. Kali ini aku lihat Pak Long, berdiri tegak depan busut, mendepang tangan kiri ke atas tangan kanan didada. Seolah-olah hendak memancung badan mawas.
Ya, betul telahan aku. Mawas itu tertiarap seolah-olah dilibas cemeti didada. Beberapa kali cuba bangun namun tak berdaya. Mendengus bagai kerbau tumbang di sembelih. Rakannya aku lihat mengibas-ngibas mawas berkenaan dengan kain pelikat. Dari susuk mawas bertukar menjadi orang tua bertulang kurus. Aku tidak pasti apa yang aku lihat dari jauh, kelihatan mereka berbicara seketika dan ada bunyi ketawa jahat usai habis berbicara aku lihat Pak Long berdiri mengambil golok disisi pinggang kanan terkumat-kamit lalu menghunus ke leher orang tua berkenaan dan dibiar sahaja tanpa menoleh ke belakang lagi.
“Selesai sudah Amin, mari kita ambil budak itu dan bawa pulang” kata Pak Long dengan peluh berjurai di leher. Aku tertanya-tanya apa yang terjadi pada orang tua yang rebah ditengah kebun. Sembelih tu. “ Amin, kita kena ingat sesungguhnya syaitan ini bukan buat peneman mahupun sahabat kita memohon pertolongan. Mereka ini musuh manusia yang nyata.
Berlindunglah pada Allah swt” Pak Long menjawab seolah-olah tahu apa yang tertanya-tanya di hatiku. Lega aku mendengarnya. Budak yang hilang itu penduduk temukan di tepi tebing sungai bersebelahan dangau durian.
Walhal, lokasi itu tempat penduduk lalu lalang. Seminggu kemudian selepas pulih, budak berkenaan memberitahu abangnya selepas mandi-manda, dia menjengah ke kebun durian seberang sungai kalau-kalau ada durian yang gugur untuk dimakan.
Namun dia sesat ketika mencari jalan kembali ke sungai. Puas dia berjalan ke dalam kebun sehingga diserang oleh haiwan seakan-akan monyet. Sedar-sedar dia berada di rumah dan tidak ingat apa yang berlaku seterusnya.
Sebulan lepas peristiwa itu, di rumah ayah, aku mendengar perbualan diantara Pak Long dan ayah, di mana Pak Long mengatakan bahawa Jin yang menyerangnya itu adalah jin kafir yang tidak boleh dibawa berbincang serta mengugut mencederakan budak yang disembunyikan itu.
Pak Long terpaksa bertindak keras agar jin kafir berkenaan tidak mengamuk dan mengganggu orang kampung terutama yang hendak ke kebun. Jin itu asalnya dibela untuk menjaga dusun namun pemiliknya sudah lama meninggal dan kebun berkenaan terbiar.
Jadi barulah aku tahu kenapa ada kain merah disetiap pokok durian dan langsat di kebun tu.emmm sekian wassalam.
Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
Follow Whatsapp FS KLIK SINI
Best cerita. Tq for sharing. Ada lagi? Share la…
gaya bahasa terbaek. cerita pun best.. keep it up! share lg klu ada pls
okeylahhh
Hari tu penulis menulis cerita JIN/HANTU HUTAN kan. Memang menarik cerita-cerita dari penulis ni. Harap kongsikan lagi di sini ye.
cerita kedua mat tepos. pengalaman2 yg berharga. tq kongsi citer kat FS .. d=)