Penunggu Malam : Jin, Hantu, Syaitan

Assalammualaikum dan salam sejahtera. Saya terpanggil untuk berkongsi cerita dengan semua pembaca mengenai pengalaman saya sendiri. Setiap apa yang terjadi adalah pengalaman sebenar saya yang kerap diganggu seperti penampakkan, bunyian dan sentuhan. Semua cerita ini dari pengalaman sebenar. Bukan terbawa-bawa atau terpengaruh atau perasaan semata-mata. Yang mana bila teringat, boleh terbayang lagi takutnya, cemasnya macam mana. Ayuh, mulakan membaca.

Ceritanya, sejak kecil saya memang selalu diganggu. Seingat saya sejak saya berjumpa seorang lelaki tua, saya kerap diganggu. Terlihat, diusik perkara biasa. Tipulah tak takutkan tapi takut sangat tak boleh juga. Terlajak berani buruk padahnya.
Terlalu banyak tetapi antara yang paling saya ingat waktu muda remaja dahulu. Sedang saya ralit melihat komputer riba, leher saya seakan miang. Seperti miang rambut yang d******g. Saya fikir mungkin rambut lama tak sikat (LOL). Rambut saya waktu itu hanya paras bahu tetapi bila saya sikat bahagian belakang, sudah hampir melepasi bahagian dada. Dan ya, bila hampir ke pinggang.. Rambutnya panjang dan kasar. Miangnya tak dapat ditahan. Bagaikan bersambung dengan rambut saya. Saya yakin itu bukanlah rambut saya. Maka merangkaklah saya keluar bilik.

Belum lagi waktu tidur tiba-tiba terasa sejuk. Sejuknya hingga ke tulang. Selaku orang yang berpengalaman, saya tahu ada sesuatu. Bingkas saya melompat ke katil, berselubung. Seakan asap pada mulanya lalu asap yang sedikit itu semakin bertambah dan terlihat seperti susuk badan orang. Saya hanya mengintai, dan ‘dia’ membalas intaian saya dengan berjalan lalu membongkokkan badan dan meletakkan muka diatas kelambu saya. Mukanya tidak jelas seperti orang sedang terbongkok. Selepas itu jangan tanya, saya hanya berpura-pura tidur hingga basah lenjun dengan peluh. Haha

Waktu selepas berkahwin, kami berpindah ke rumah baru. Peliknya saya hanya diganggu waktu keseorangan atau berdua bersama anak. Senang cerita, waktu suami tiada dirumah. Sedang nyenyak tidur, terdengar bunyi orang mengemas dibahagian bawah. Saya fikir mungkin jiran mahu suasana baru lalu ubah kedudukan sofa walaupun tak logik mengemas pada 3 pagi. Tetapi makin lama, semakin kuat bunyi sofa ditolak. Saya keluar bilik dan mengintai dari atas. Allah.. Allah.. Bunyi sofa itu datang dari rumah saya sendiri! Waktu itu suami saya keluar bertugas.

Ada satu malam, saya sedang tidur. Keletihan berjaga malam penangan si kecil. Tiba-tiba kaki saya digoyangkan, ditepuk. Saya hanya biarkan. Saya fikir suami mahu mengusik saya. Hehe Tiba-tiba ada jari seperti membelek jari kaki saya. Saya menendang kerana geli tetapi pelik juga tak terkena apa-apa. Jeng.. Jengg.. Jengg… Rupanya suami saya asyik menonton tv dibawah dan yang mengusik tadi bukan suami saya. Hmmm…

Ada juga pengalaman disergah suruh tidur. Dah lewat katanya. Serius tak tipu. Dan ada juga pengalaman dikejut bangun. Ditepuknya tapak kaki, bangun! Dan saya terus tersedar dan seperti biasa akan soal siasat suami. Dan seperti biasa, bukan suami saya. Waktu itu suami saya di bawah. Saya tidurkan anak di atas.

Ada suatu malam tu saya ingat lagi.. Waktu tu dah masuk awal pagi. Tengah sedap tidur tiba-tiba terdengar bunyi loceng kaki. Untuk makluman semua, kat rumah tu tak ada siapa pun yang bergelang kaki okay. Dia dok ulang alik jalan depan bilik. Sampai la dia tiba-tiba berhenti betul-betul depan pintu bilik. Tapi yang ajaibnya bila intai tak nampak kaki pun. Tak ada orang la senang cerita. Jadi siapa? Hmmm..

Jam pukul 8 malam. Terlewat sikit untuk mandi masa tu. Keluarga yang lain semua ada kat ruang tamu di depan, berkumpul dan berborak. Sekali ada pulak yang mengetuk pintu macam nak roboh pintu tu dikerjakan. Memang kena amuk la sebab orang baru nak mandi, engko sibuk pulak nak guna tandas macam tak nyempat-nyempat. Bila bukak, kat dapur tu senyap sunyi je. Tak ada sesiapa pun ke dapur masa tu. Jadi kita faham je lah siapa dia. Hehe

Ada sekali sekali tu.. Saya, adik dan sepupu sedang menonton tv. Tidaklah lewat malam lagi tetapi waktu itu hujan sangat lebat. Bahagian belakang kami ada tingkap kecil. Tengah layan tv, tiba-tiba terdengar suara memanggil sepupu. Suaranya sayup tapi sangat jelas. Minta dibukakan pintu, mahu masuk. Nama sepupu diulang berkali-kali. Yang paling dasyatnya, sepupu dapat satu pesanan SMS. Dari kawannya, yang mahu tumpang berteduh. Sudah basah berhujan diluar. Kami intai tapi tak nampak sesiapa diluar. Secara logiknya, takkan lah kawan perempuan (sepupu saya itu lelaki) yang tinggal entah dimana, tiba-tiba ada berhujan di laman rumah kami. SMS nya memang real, kawan perempuan itu juga memang wujud cumanya kami tak rasa tuan punya diri yang bergelap dan berhujan diluar. Waktu itu hanya guna telefon bimbit biasa. Tidak ada lagi screenshot. Esoknya SMS nya hilang begitu saja.

Masa saya bujang dulu, saya hanya gunakan katil bujang sahaja. Bawahnya kosong saja. Malam itu rasa gelisah, macam tak sedap hati. Paksa juga mata pejam tapi gagal. Jadinya saya pejam sambil berselubung dengan selimut. Berpusing ke kanan dan ke kiri. Tiba-tiba macam ada sesuatu dibawah katil. Bila saya ke kanan, seperti ada orang mengiring ke kanan juga. Bila ke kiri, begitu juga. Katil itu agak rendah jadi boleh rasa ada benda dibawah yang mengikut saya bergerak. Hingga satu tahap seperti ditumbuk-tumbuk tilam saya dari bawah. Sakitnya terasa. Malam itu saya hanya berbaring mengiring ke kanan, hingga betul-betul tertidur. Esoknya bangun sakit-sakit badan dibelasah. Pernah juga bila malam, semuanya biasa saja. Tak ada apa yang pelik, tak ada apa yang tak kena.. Tetapi bila bangun tidur, tangan terasa lenguh. Bila tengok tak apa apa-apa. Tiba-tiba ternampak seperti ada bekas kesan gigitan kecil di tapak tangan. Yang peliknya, kesan hanya ada di bahagian muka tapak tangan. Tiada kesan gigitan di bahagian atas. Macam mana kesannya? Gigitlah tapak tangan tetapi bayangkan saiz rahangnya hanya sebesar kanak-kanak 2-3 tahun. Bilik saya dindingnya tinggi, tingkap tiada kesan pecah, pintu pula masih terkunci. Mustahil ada orang pecah masuk. Apalagi melihat betapa kecilnya gigitannya itu. 2 ke 3 hari juga baru hilang.

Orang kata kalau terdengar bunyi tangisan tu, dengarkan betul-betul. Kalau bunyinya macam jauh, sebenarnya dia dekat. Pengalaman saya waktu bersembang tak ingat malam. Tiba-tiba terdengar suara tangisan. Bunyinya agak jauh tetapi sangat jelas. Kami memandang hutan di seberang parit. Tak nampak sesiapa pun disana. Dengan tiba-tiba suara tangisan itu betul-betul dibelakang kami! Waktu itu kami bertempiaran lari dan kerana terlalu takut, ada yang melompat memanjat tingkap. Hebat betul, padahal tingkap itu agak tinggi. Takut punya pasal, semua jadi.

Sebenarnya semuanya bermula waktu saya kecil dahulu. Tak ingat usia berapa. Mungkin 7 atau 8 tahun begitu. Masa itu musim raya, jadinya semua sudah berkumpul dikampung. Tengah asyik bermain bunga api, entah bagaimana saya tersesat ke belakang rumah seorang diri. Saya terjumpa seorang lelaki, pakaiannya seperti pendekar. Orangnya agak berusia, sedap mengasapkan sesuatu. Saya seperti terpaku, terus duduk bersila dihadapannya. Tak lama kemudian datang pula adik saya. Kami tidak bercakap, hanya memandang lelaki tua tersebut. Tiba-tiba terasa dipeluk dan didukung sambil berlari laju. Saya tak ingat siapa tetapi yang saya ingat katanya ‘Itu bukan orang!!’. Semua bertempiaran lari masuk ke rumah.

Semasa saya bersekolah rendah, ada satu hari tu saya ke tandas. Kawasannya agak sunyi. Sekolah lama, tandas lama. Tandas murid, cikgu semuanya sebaris. Belum sempat saya melangkah keluar, muncul seorang budak perempuan bertocang dua. Memakai skirt pendek dan agak lusuh. Seakan mengajak bermain. Saya yang pantang diajak (hehe) terus meluru keluar tandas mengejarnya. Kami berlari mengelilingi tandas dalam 2,3 pusingan. Pelik betul, larinya tidak laju tetapi saya langsung tidak dapat mengejar. Tiba-tiba dia yang berlari dihadapan saya, hilang begitu sahaja. Masa itu saya berada dibelakang tandas. Ya Allah.. Tak tahu nak terangkan. Tiba-tiba ada, tiba-tiba ghaib begitu saja! Saya yang ketakutan bertambah takut bila ada seorang kawan bertanya buat apa berlari keliling tandas seorang diri. Dia memanggil tapi langsung saya tak dengar.

Masuk tingkatan 1,saya ke sekolah menaiki basikal. Disebabkan hanya saya seorang bersekolah di sana (kakak dan adik beradik lain bersekolah di sekolah lain), jadinya saya perlu menunggu kawan sekampung sebagai peneman disebabkan jaraknya agak jauh dan melalui kawasan kebun. Ada sehari tu saya terpaksa pulang sendirian. Tak tahu ke mana kawan-kawan menghilang. Hampir pukul 7 petang. Sebelum sampai simpang kampung, saya perlu merentasi kawasan kebun. Jalannya lurus saja tetapi sangat sunyi. Disebabkan saya seorang diri, saya mengayuh laju. Tetapi bila semakin hampir di simpang kampung, simpang yang dihadapan seakan berganjak seribu batu jauhnya. Kayuh-kayuh tapi tak mahu sampai ke simpang. Boleh bayangkan tak?? Serentak dengan kayuhan maut itu, saya terdengar muzik lagu Makyong dimainkan. Siap ada bunyi libasan cemeti lagi. Allah.. Allah.. Allah.. Masa tu menangis-nangis kayuh, sampai rasa nak pitam keletihan. Masih juga tak sampai. Semakin lama semakin kuat muzik dan libasannya. Saya nekad kayuh juga hingga akhirnya basikal bergerak. Terus kayuh laju tanpa menoleh. Balik sekolah terus demam seminggu.

Masuk tingkatan dua, saya berpindah ke sekolah lain. Waktu itu ada badan berunifom. Saya memilih Pengakap. Dijadikan cerita, ada satu hari tu berkhemah di sekolah. Jadinya waktu malam di isi dengan mainan Burung Hantu. Yang saya ingat pelajar di ikat mata dan dibawa oleh pelajar senior. Bermain hanya dibahagian depan. Area bola keranjang, tapak perhimpunan dan kantin. Entah macam mana saya rasa saya menunggu terlalu lama hingga mahu membuka ikatan mata. Tiba-tiba ada tangan yang menarik dan memimpin saya. Saya okay saja, saya fikir mungkin sudah giliran saya. Tapi hairan, terasa jauh sangat berjalan dan dia hanya mendiamkan diri. Tiba-tiba kami berhenti dan dia melepaskan tangan. Suasana sunyi sepi. Langsung tidak dengar tapak kakinya berlalu pergi. Saya meraba (lurus betul waktu tu) dan memanggil kawan yang lain. Tapi tidak ada yang menyahut. Saya tak sedap hati dan terus membuka mata. Ya Allah.. Dihantarnya di pagar belakang sekolah. Siapa yang bersekolah di SEMAJA tahulah dari depan gelanggang bola keranjang nak ke pagar belakang menuju asrama tu betapa jauhnya. Dengan pasu bunga merata. Tapi waktu itu saya berjalan seperti berada di jalan yang lengang, langsung tidak ada berlanggar dengan apa-apa!! Terus menangis berlari ke pagar depan, tempat permainan bermula. Saya dah tanya, tak ada siapa yang nampak saya dan tidak tahu siapa yang membawa saya pergi. Yang saya ingat jarinya runcing halus. Hmm

Selepas sekolah saya menyambungkan pelajaran. Duduk di asrama. Paling saya ingat semasa mandi di tandas. Sedang saya mandi, terdengar bunyi tapak kaki berjalan masuk ke tandas. Bahagian bawah tandas terbuka dan mengalir buih sabun dari tandas sebelah. Hairan juga, siapa pula mandi bagai nak rak buih sabunnya ni. Saya mula tak sedap hati. Cepat-cepat mandi dan terus keluar. Sebelum tu saya sempat periksa tandas yang lain. Kering! Jadi dari mana datang sabunnya? Siapa yang mandi?? Terus lari dan ya, demam juga.

Belum lagi tombol pintu digoyang dan dipulas bagai nak rak. Disebabkan katil saya yang pertama, jadinya katil saya betul-betul disebelah pintu. Tengah nyenyak tidur, terdengar bunyi. Saya lihat tombol pintu dipulas dan digoyangkan dengan sangat kuat! Kejut kawan-kawan sorang pun tak bangun. Jadi saya mengintai di bahagian bawah pintu. Tiada kaki dan tiada orang tapi tombol masih dipulas. Lama juga. Kalau orang, dah tentu lah menjerit lama terkurung diluar. Seperti biasa, saya terus melompat ke katil. Berselubung selimut hingga tertidur ketakutan.

Ada juga pengalaman katil bergoyang. Katil dua tingkat, ingatkan hantu goyang rupanya kawan kat atas jenuh kena tindih. meronta-ronta nak gerak tak boleh. Yang line fon tiba-tiba bunyi bising macam tv terganggu siaran lah,yang dengar bunyi bising tapi tak ada oranglah. Macam-macam lagi.
‘APA PUN JANGAN TERLALU TAKUT, JANGAN PULA TERLAJAK BERANI.’
:: Ustaz kata ‘dia’ hanya mahu bergurau dan mengusik. Hijab saya terbuka dan ada masanya tertutup. Kira on off. Selagi tidak membawa mudarat, abaikan saja. Tetaplah dengan bacaan ayat suci Al Quran. Mulut jaga, adap jaga. Bumi Allah ini luas. Bukan kita saja yang ada.

Hantar kisah anda : fiksyenshashsa.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 3.5]
RainaS

2 thoughts on “Penunggu Malam : Jin, Hantu, Syaitan”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.