Perindu 4

Ini cerita kedua aku. Sesiapa yang masih ingat lagi cerita tentang Isteri Pak Shad (https://fiksyenshasha.com/isteri-pak-shad/), terima kasih sebab sudi baca. Kali ni aku nak kongsi cerita masa aku sambung belajar kat UiTM Shah Alam tahun 2012. Benda ni jadi masa aku semester satu dan aku tinggal kat Kolej Perindu 4. Aku ingat nombor bilik aku tapi aku rasa tak perlu bagi tahu secara spesifik nanti ada penghuni sedia ada ni terkesan pula. Tapi apa yang aku boleh bagi tahu, bilik aku aras 4 dan tingkapnya berhadapan Kolej Kenanga haha.

Kejadian berlaku masa aku tengah sibuk siapkan slide presentation aku. Biasalah esoknya nak kena bentang, hari ni baru kalut nak siapkan. Untuk pengetahuan semua, Perindu 4 masa tu baru lepas renovate besar-besaran, jadinya Perindu 4 paling lawa la daripada Perindu 1, 2 dan 3. Tapi apa yang tak best, disebabkan itu juga la Perindu 4 takde wifi lagi. Hampeh.

Jadi kami si penghuni Perindu 4 terpaksa la bertenggek dan habiskan masa guna wifi kat sick bay which is in between Perindu 4 and Perindu 3. Kat situ ada kerusi dan meja macam foodcourt tu. Tempat favorite aku meja hujung sekali depan pintu gym. Atas sick bay ni pula kafe Perindu masa tu nama kafe dia Wak Loloq (sekarang tak tahu dah nama apa kot dah tukar). Jadi, dari side tepi sick bay ni ada tangga untuk naik ke kafe. Meja favorite aku pula ni pula memang dekat sebelah tangga tu.

Satu malam tu hari Selasa (masih ingat) dan nak kena bentang tugasan dalam kelas esok pagi. Lepas maghrib tu aku duduk tempat kegemaran. Masa tu aku dengan classmate aku dua orang. Biasanya ramai yang akan duduk situ tapi malam tu aku perasan tak ramai orang. Tengah sedap buat kerja tu, bateri laptop aku pula nak habis so terpaksa pergi tempat yang ada plug. Jadi aku pun pergi la sebelah mesin air gedegang tu bawa laptop nak cas. Aku duduk membelakangkan meja kawan-kawan aku tu.

Bila aku tengah buat kerja, aku dengar bunyi orang berjalan macam seret selipar belakang aku. Makin lama makin dekat. Tapi aku tak peduli sebab aku fikir orang nak beli air gedegang ni. Bila bunyi tu makin dekat, tiba-tiba bunyi tu berhenti.
“gedegang!” bunyi air tin jatuh.
Dalam hati aku pun betul la ada orang beli air gedegang ni. Tak sampai 20 saat bunyi tu, tiba-tiba ada suara panggil nama aku macam bisik kat telinga aku.
”Amaaaaaarrrrrrrrrrrr” suara tu panggil nama aku dengan garau dan nada panjang.
Tapi, aku tak toleh sebab aku ingatkan kawan aku nak mengusik. Lepas tu aku dengar bunyi orang berjalan balik makin lama makin jauh. Bila dah hilang bunyi tu aku terus toleh ke belakang dan aku tengok kawan aku sorang ni baru nak duduk kat kerusi situ sambil pegang air tin. Tekaan aku betul masa tu memang kawan aku yang buat perangai tadi. Jadi aku tak fikir apa-apa masa tu.

Kemudian bila bateri laptop dah penuh, aku balik ke meja aku dengan kawan-kawan aku. Lebih kurang jam 11 atau 12 kawan aku berdua tu balik bilik sebab diorang dah siap. Aku belum siap so aku tinggal kat situ lagi. Jam nak dekat pukul 1 pagi macam tu aku masih buat kerja, dan aku perasan kat sick bay tu hanya ada 3 orang. Kat meja aku sorang dan dua lagi kat meja hujung sebelah sana.

Kerja aku siap lebih kurang pukul 2 pagi macam tu. Aku kemas-kemas barang dan balik bilik. Masuk bilik semua budak bilik aku dah bergelimpangan berdengkur-dengkur tidur. Biasa la bilik aku ni sesak dengan 8 orang. Katil aku sebelah pintu masuk jadi aku masuk bilik terus letak barang aku atas katil kemudian aku terus pergi tandas nak buat apa yang patut sebelum tidur. Apa aku boleh cakap, aku bukan la penakut dan bukan la berani.

Tapi setakat ni aku pergi tandas sorang-sorang tengah malam pun takde hal. Tak pernah pula ajak teman. Selesai urusan kat tandas sorang diri, aku balik bilik nak tidur tengok jam pukul 230 pagi macam tu. Aku katil bawah dan kawan aku yang katil atas ni tak tidur atas katil dia tapi tidur kat lantai bawah sebelah aku. Kipas siling kat tengah so aku tidur kepala menghala kipas.

Tengah sedap tidur, aku mula mimpi. Aku mimpi aku tengah buat kerja depan laptop dalam bilik kuliah aku. Keadaan bilik kuliah aku tu macam dalam auditorium kerusi bertingkat-tingkat. Aku buat kerja tu di kerusi bawah. Tapi sambil aku buat kerja, laptop aku letak atas kerusi dan aku duduk bersila jadi kiranya aku duduk membelakangkan whiteboard dan mengadap pintu masuk bilik tu. Anehnya, dalam bilik tu hanya aku sorang dalam keadaan gelap. Hanya ada cahaya laptop je. Kemudian bila tengah buat kerja, tiba-tiba aku dengar dan nampak pintu masuk terbuka macam ada orang masuk tapi takde orang. Hanya cahaya dari luar je nampak then pintu tertutup semula. Dalam mimpi tu aku diam je dan tak sampai beberapa saat, laptop aku pula tiba-tiba m**i.
“tup tup tup tup” aku tekan-tekan punat on-off laptop
Tengah-tengah tekan tu, tiba-tiba la aku rasa ada benda depan muka aku dalam gelap. Walau tak nampak tapi boleh rasa. Contohnya macam kawan korang sua muka dia depan korang makin lama makin dekat dan bunyi orang bernafas. Masa tu aku dah cuak dan deria tu makin dekat, makin dekat. Aku dah takut dalam mimpi tu. Punyalah takut sampai aku terus terjaga. Sejurus aku buka mata terus ada angin dengan kuatnya seakan sepak muka aku sampai ke telinga!
“suuuuuuppppp!!” bunyi macam tu lalu kat telinga (macam korang tengok F1, dia punya desupan angin tu)

Punyalah kuat angin tu sampai kepala aku macam tertekan sikit ke bantal dan telinga aku terus rasa bengang macam ada orang tiup angin kat telinga aku. Kemudian aku perasan bila aku buka mata tu, mata aku betul-betul memandang ke arah tingkap, dan tingkap bilik aku memang tak tutup langsir, tingkap terbuka.

Depan tingkap tu pula ada pokok besar yang dah tua (aku dah bagi hint bilik yang mana satu). Terus segala bulu mula naik. Aku rasa seram sangat masa tu. Takde apa-apa bunyi masa tu. Macam dunia tengah berhenti. Aku ambil selimut dan terus selubung dari kaki sampai kepala. Tak berani aku nak tengok luar. Aku capai handphone sony ericsson aku dan buka surah dalam tu. Masa tu jam lebih kurang pukul 4 pagi. Nasib baik la masa tu ada simpan surah-surah dalam phone. Aku pasang dan baca sekali sambil terketar-ketar dalam selimut. Kedudukan aku baring tak berubah walau seinci sebab masa tu dalam kepala aku risau kalau aku bergerak, takut tersentuh apa-apa benda yang pelik kat kiri atau kanan katil aku.

Bila aku mula nak terlelap, “benda” tu tak bagi aku tidur. Setiap kali dah mamai nak tidur, dia akan usik kaki aku. Aku terjaga balik dan ulang balik surah. Banyak kali dia usik-usik kaki aku tak bagi tidur. Setiap kali tu la aku ulang balik surah. Aku tawakal je masa tu. Aku terfikir nak telefon kawan aku kat sebelah tapi aku tak berani. Aku takut nanti bukan kawan aku yang jawab call (masa tu segala pengaruh cerita seram mula nak kuasai minda aku). Tak lama lepas tu, dalam keadaan surah dipasang tu, aku terdengar bunyi bising atau bunyi orang bercakap-cakap kat luar bilik aku. Memang pelik la sebab pukul 4 pagi punyalah riuh macam ada 4-5 orang tengah bercakap serentak depan pintu bilik aku.

Tapi, aku tak dapat tangkap sepatah pun apa dia cakap. Bunyi macam orang bercakap tapi langsung tak faham dia cakap apa. Ah sudah apa lagi dia ni nak mengusik aku. Tapi lama-lama aku dah macam lali jadi aku biarkan je dan aku cuba tidur bertemankan surah-surah yang ada. Alhamdulillah lebih kurang pukul 5 aku dah boleh lelap mata tapi masih dalam keadaan yang sama tak bergerak-gerak.

Kemudian aku terjaga dengar azan subuh. Alhamdulillah jam lebih kurang pukul 6 pagi. Aku terus bangun dari katil masa tu dan kekuatan dah ada sebab dah subuh kan. Aku terus pergi tandas (seorang diri lagi haha) ambil wuduk tu semua, then balik bilik dan solat subuh. Lepas tu aku call mak aku pukul 630 pagi macam tu. Mak aku ada baca sikit doa bagi aku dengar melalui telefon.
“Pergi kau! Jangan kacau anak aku!” mak aku tempik dalam telefon. Hahaha!
Lepas tu aku dah rasa tenang sikit. Tak lama lepas tu aku dapat mesej daripada pensyarah aku cakap kelas batal sebab dia muntah-muntah. Aku terus lega sebab aku pun rasa tak sihat (masih lemah semangat). Kebetulan hari tu memang ada satu kelas tu je. Jadi hari rabu tu boleh la rehat sebab takde kelas. Nasib aku teringat nak bagi tahu budak-budak kelas aku yang kelas batal (aku classrep hehe). Hal ni aku tak bagi tahu sesiapa sebab aku malas nak besarkan cerita. Tapi aku ada tanya kawan aku pasal kes kat mesin air gedegang tu. Aku syak malam tu dia yang panggil aku. Sebenarnya memang dia ada beli air gedegang tu tapi dia tak panggil aku pun. Aaaaaa seram pula.

Lepas daripada kejadian tu, aku ingatkan dah berakhir kat situ. Rupanya tak lagi. Lepas daripada tu ada beberapa kali aku ‘terkena’ lagi sama ada dalam mimpi dan yang realiti punya.
Terjadi dua malam selepas kejadian sebelum ni, aku bermimpi sekali lagi tapi tak berapa nak ekstrem sangat hehe. Cuma malam tu aku bermimpi aku dalam kelas tengah ada kuliah. Semua dalam kelas tu aku tak kenal. Ada pensyarah kat depan tengah mengajar. Kemudian tiba-tiba pensyarah tu tulis sesuatu kat white board:
“Hantu ialah hantu” – sambil sebut dan suruh semua pelajar sebut kuat-kuat sambil mata pensyarah tu pandang tepat ke mata aku! Kemudian semua pelajar sebut kuat-kuat sampai bergema bilik kuliah tu. Allahuakbar!
Terus aku terjaga. Tersentak aku daripada tidur! Mungkin sebab terkejut sekali lagi. Masa tu terjaga pukul 4 pagi juga. Tapi alhamdulillah setakat tu je gangguan tu. Lepas tu dah boleh tidur semula. Itu saja gangguan aku dalam mimpi. Selain tu, aku ada terkena juga gangguan alam realiti. Yang ni aku nak cerita semula pun aku rasa seram.

Dua tiga hari kemudian daripada kes mimpi tu, benda ni terjadi. Masa gangguan aku ni jadi, UiTM tengah sibuk dengan SAF. Kebetulan satu malam tu ada raptai untuk majlis penutup atau pembukaan (tak ingat mana satu) SAF UiTM jadi yang terlibat kena la turun padang. Raptai bermula lepas maghrib macam tu. Struktur Kolej Perindu ni berbentuk 4 segi which is bahagian tengah ni kosong sebab ada ampaian dan padang futsal ke badminton ke aku tak ingat. Jadi kedudukan bilik ada 4 side. Tandas pula ada di bucu bangunan setiap aras. Bilik aku bersebelahan dengan tandas.

Nak dijadikan cerita, bilik kawan-kawan aku K dan W ni sama aras dengan aku tapi opposite bilik aku la. Masa dah siap-siap nak maghrib aku dah siap mandi dan wuduk semua. Tunggu azan terus solat dan gerak ke stadium. Kemudian dah azan aku terus solat dan tunggu depan pintu bilik aku. Dari bilik aku dah boleh nampak bilik kawan-kawan aku. Kemudian nampak si W ni keluar bilik lepas tu aku jerit:
“wei W! K mana??”
“Kejap lagi!” – si W ni balas sambil isyarat tangan.
So since si W ni dah keluar, aku pun masuk bilik kejap ambil stoking. Bila aku nak pakai stoking, aku nampak si K dan W ni dah keluar bilik jalan berdua arah nak ke stadium dah (Perindu 4 dekat dengan stadium ikut jalan DATC). Aku pun apa lagi kelam kabut la siap pakai kasut sambil jerit ‘woii tungguuuu!! Tungguuuu!!’ – sambil mulut aku carut sikit la sebab diorang blah macam tu je tak tunggu aku. Dah siap pakai kasut aku terus lari la nak kejar diorang tapi masa tu diorang dah keluar dah Perindu lalu ikut tandas yang sebelah sana tu. Betul wei aku lari duk kejar bebudak dua ekor tu dah la aku panggil buat tak dengar. Menyirap la juga aku masa tu.

Bila aku sampai je depan tandas ada mesin air minum tu, tak tahu kenapa tiba-tiba aku rasa nak berhenti minum kejap. Tengah aku tadah tangan nak minum, aku kena sapa:
“Amar! Woi tak tunggu!”
Aku toleh sambil meneguk air. Oh damn! Masa tu aku dah menggeletar dah. Si K dengan W datang ke arah aku. Ada pula diorang kat sini (dalam hati aku). Aku diam tak cakap apa-apa. Aku macam dah faham tapi aku masih blur. Kemudian kitorang gerak ke stadium. Masa tengah jalan kat DATC agak gelap jadi aku tak berani cakap apa-apa. Bila dah nak sampai stadium, aku tanya si W.
“eh W, kau nampak aku lari tadi?”
“aah nampak. Eh sat sat, awat hang lari?”
Aku dah tak tahu nak cakap macam mana.
“ermm, ermm.. aku.. aku.. ermm aku cakap ni kau tenang ok. Tadi aku lari sebab aku kejar kau dengan K. Aku nampak korang berdua dah pergi tinggalkan aku. Sebab tu aku lari!”
Panggggggg!!!!!! – satu penampar sulung abad ini hinggap kat pipi aku.
“eh s*al la apa hang cakap ni. Mana ada aku dengan K pergi dulu. hang yang nak tinggalkan kami!”
“wei serius wei aku nampak korang jalan berdua keluar ikut jalan tandas tu! Semua sama! Baju sama, warna baju sama!, tinggi rendah semua sama! Aku tak tipu!” – cakap sambil pegang pipi.
“ish! Mana ada la! Aku dengan K baru keluar bilik nampak hang lari lepas tu berhenti minum! Hang yang tak tunggu!”
“adui kau ni. Tak kan aku nak tipu!”
Mula-mula diorang tak percaya tapi lepas aku cerita pasal gangguan aku kena sebelum ni, masing-masing terus meremang. Lepas daripada kes tu aku lebih berhati-hati. Tapi macam biasa aku masih lagi pergi tandas sorang-sorang tak berteman. Hahaha. Yela, kita jangan fikir sangat. Lagi fikir lagi dia suka. Alhamdulillah semua dah ok lepas tu dan habis semester satu. Semester dua dan seterusnya aku dah duduk rumah sewa.

Aku ada lagi beberapa cerita nak kongsi. Kejadian yang membuatkan aku jadi macam mayat hidup tak boleh tidur dua minggu! Insha Allah lain masa. Thanks!

*agak-agak kalau aku kejar dan jalan sekali dengan makhluk dua ekor tu apa la yang jadi kan? Nauzubillah! Nasib Allah jaga aku.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com /submit

aamvxxvw

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 3]

6 thoughts on “Perindu 4”

  1. Uitm dungun lagi seram kot.. Saya x pandai nak karang.. Hope ada la ex student yg cita kisah seram di situ.. Yg paling diingat kisah student lelaki m**i lemas dlm laut depan ITM masa term break dan mayatnya tak jumpa2..tak lama lepas tu tilam arwah dlm bilik asrama basah.. Student balik study mlm2 ada yg terjumpa lembaga menyerupai arwah berlegar2 di sekitar kampus.. Lokasi ITM yg berdepan dgn laut.. Tepi nya ada Tasik dan di belakang ada hutan dan bukit.. Kisah terjadi pada late 1980an..kematian student ni terpampang di muka depan paper Utusan Malaysia ketika itu..

    Reply
    • betul tu.. tu kat Kolej Perhentian kan. Saya dulu kat Kolej Kapas… kate kwn saya bilik tu xde org duduk. sbb kate nye ade kebocoran ape tah.. bilik dia sentiasa basah. xsilap saya la….

      Reply
  2. X baiklah yg Mana Komen buruk tuh. Sy baca best Jew… Ayat yg d gunakan pown mudah d fahami… Seronok membacanya… Terima kasih sbb sharing ☺️😊

    Nanti sambung lg eh? 🤩🤩🤩

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.