Permulaan

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Pertama sekali terima kasih FS kerana sudi menyiarkan kisahku yang pertama Mayang Sari (Teman Tari Si Puteri) Kisah yang bakal aku kongsikan ini merupakan salah satu kejadian awal yang melibatkan aku dengan makhluk-makhluk ghaib. Kejadian ini berlaku sewaktu aku berumur 10 tahun dan bertempat di rumah maklong.

Sewaktu aku dibangku sekolah rendah, mak dan abah ada berniaga makanan secara kecil-kecilan berhampiran dengan rumah maklong iaitu kakak mak. Gerai itu milik anak maklong yang sulung. Jarak antara rumah maklong dan rumah kami mengambil masa kira-kira 30 minit perjalanan.

Ada satu minggu, mak dan abah bawa aku bersama kerana aku tidak kesekolah akibat demam yang tidak kebah hampir seminggu. Berbiji-biji ubat dari klinik sudah kutelan pun masih belum menunjukkan kesembuhan. Antibodi lemah mungkin. Rumah maklong hanya selang satu blok dari gerai mak dan abah berniaga. Untuk pengetahuan semua, rumah maklong merupakan flat yang sudah agak lama dan suram.

Oleh kerana keadaan aku yang tidak berapa baik, mak dan abah menyuruh aku untuk naik berehat di rumah maklong saja. Untuk ke flat maklong aku perlu lewat beberapa batang pokok kekabu. Faham-fahamlah keseramannya bila lalu dibawah pokok yang seakan-akan memanggil. Lagipula langit yang masih agak gelap kerana jam baru menunjukkan angka 6.45 pagi. Keadaan juga sedikit lengang kerana hari ini hari minggu. Jadi tiada budak-budak yang keluar untuk berangkat kesekolah. Mak temankan aku sampailah didepan rumah maklong ditingkat satu. Selepas aku masuk ke dalam rumah, mak beredar untuk kembali ke gerai menolong abah apa yang patut.

Aku lihat maklong masih lagi bertelekung, mungkin selepas solat subuh dia menyambung dengan solat sunat pula dan mengaji seperti selalu. Aku rebahkan badan di atas katil di bilik maklong. Badan yang lemah buatkan aku tidak larat untuk kemana-mana. Yang ada difikiran cuma mahu berehat. Maklong duduk ditepi katil dan sambung mengaji.

Entah bila aku terlelap, bila tersedar maklong sudah pun selesai mengaji dan berbaring tidur disebelahku. Sekiranya pintu bilik maklong tak ditutup, beranda rumahnya dapat dilihat dengan jelas. Nama pun rumah flat pusing kiri kanan itulah juga yang dilihat. Aku yang masih pening kesan dari suhu badan yang agak tinggi seakan terpaku seketika. Mata aku kelipkan beberapa kali. Ah sudah! Aku mula rasa tak tentu arah.

Dapat aku lihat dengan jelas, satu lembaga hitam yang besar dan tinggi bergayut turun dari tingkat atas masuk ke dalam rumah maklong melalui beranda. Aku yang baru darjah 4 ketika itu sudah pastinya ketakutan yang teramat sangat. Lagi-lagi ini pertama kali aku melihat makhluk seperti itu. Nak dikatakan manusia jauh sekali perbezaannya.

Aku teringat mak pernah bercerita ada yang membela hantu raya disitu, tapi aku sendiri tidak tahu lembaga yang aku lihat itu hantu raya ataupun bukan. Kenapalah dia datang kepada aku yang langsung tak mahu jumpa atau melihat makhluk-makhluk ghaib ni. Apa mungkin dia dapat merasa aura aku yang lemah ini agaknya.

Perlahan-lahan lembaga hitam itu berjalan menghampiri bilik maklong. Aku cuba tutupkan mata berharap dia tidak masuk ke dalam. Tapi mataku seakan terpaku. Tak sampai seminit lembaga itu sudah berdiri dihujung kaki aku dengan muka menyeringai. Matanya bulat merah menyala. Badannya yang besar hampir mencecah siling. Mulut aku seperti terkunci.

Aku cuba menggerakkan badan untuk pusing mengiring ke dinding, maklong disebelah lena seperti langsung tidak terkesan dengan apa yang sedang berlaku. Puas aku gerakkan badan. Berat, akhirnya aku berjaya. Tapi malang bagiku, bukan hanya lembaga hitam itu sahaja yang ada disitu.

Ada budak perempuan yang kakinya tidak berpijak terapung-apung diruangan kosong diantara aku dan dinding dengan senyuman yang mengerikan. Seperti budak 5 tahun berambut pendek paras bahu. Kepalanya dialas dengan selendang putih lusuh, berbaju gaun putih koyak rabak yang ada kesan kotor seakan tanah. Seperti tahu aku dalam ketakutan, dia tersenyum menampakkan giginya yang hancur dengan mata terbeliak sambil mendekatiku.

Aku dah nak menangis ketakutan, dengan keadaan aku yang lemah, suara pun tidak terkeluar. Aku cuba untuk menjerit tapi suara tetap juga terasa seperti tersekat dan sesak dikerongkong. Kedua-duanya seakan mengagah-agah aku yang dalam ketakutan. Seronok betul syaitan ini menguji aku yang tiada kudrat tika itu. Bila aku cuba untuk menutup mata sekali lagi, tangan yang tadinya terkunci tiba-tiba bergerak dengan sendiri. Bantal disisi aku ambil dan tekupkan ke muka sendiri. Pergerakan ku seolah-olah dikawal mereka. Meronta-ronta aku lemas dan panas. Suara budak perempuan itu terkekek-kekek ketawa melihat aku cuba melepaskan diri.

Aku cuba membaca ayat-ayat Al-Quran walaupun tunggang langgang bacaannya. Berbekalkan tenaga yang masih bersisa aku jerit sekuat hati dibalik bantal. Maklong yang terkejut dengan jeritan dan rontaan aku terjaga dari tidur. Terus maklong tarik bantal yang menekup muka aku dari tadi. Sekelip mata lembaga hitam dan budak perempuan itu menghilang seperti kabus yang ditiup angin.

Aku dengar maklong membaca ayat-ayat Al-Quran untuk menenangkanku. Mujur maklong tersedar, kalau tidak mahu hilang nyawa aku dek diusik kasar dua makhluk tadi. Bila aku sudah bertenang, aku minta izin dengan maklong untuk pergi dekat mak dan abah di gerai. Tak sanggup aku nak sambung tidur. Mana tahu kalau-kalau mereka datang lagi menganggu.

Aku tak pernah terfikir perkara-perkara menglibatkan makhluk ghaib ini akan berlarutan. Namun aku salah. Semua ini hanyalah permulaan. Permulaan kepada gangguan-gangguan yang bakal aku alami sehingga ke hari ini. Semasa aku menulis kisah ini pun hati rasa tidak tenteram. Bunyi seakan-akan barang dibaling marah menunjukkan protes atas penulisanku.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 70 Average: 4.5]
Inderamaya

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.