PERPUSTAKAAN LAMA

Bunyi kipas yang berputar membangkitkan rasa dingin. Bulu-bulu roma yang mulai naik menambahkan rasa sejuk yang sukar diungkapkan. Di dalam ruangan yang penuh dengan buku ini, Khairil hanya sendiri. Fokus yang begitu tajam dengan tesisnya itu membawanya hanyut dalam penulisan.

Mesin fotostat yang tiba-tiba menyala agak mengganggu fokus Khairil. Bunyi helaian kertas yang dicetak bagaikan menusuk telinganya. Khairil mengerling sekilas. Aneh. Tiada orang. Khairil malas mahu mengambil endah. Dia hanya mahu fokus dengan penulisannya.

Tiba-tiba seorang wanita berbaju hitam duduk di sebelahnya. Khairil mengerutkan dahi. Siapa pula wanita ini? Sejak bila dia masuk?

“Sejuknya,” ucap wanita itu mematikan rasa sepi. Khairil berpaling.

“Ya, betul. Se..sejuk,” jawab Khairil masih cuba menyembunyikan rasa anehnya.

Wanita itu tidak membalas. Masih kaku di sebelahnya. Mata wanita itu masih pegun memandang hadapan. Lengannya diusap-usap tanda kesejukan.

“Mana yang lain ni? Sunyi betul,” ucap wanita itu kembali.

“Betul tu. Library ni jarang orang datang. Library lama lah katakan,” jawab Khairil cuba memecahkan kesunyian.

Wanita itu bangun. Langkahnya diatur perlahan ke rak belakang.

“Kenapa pompuan ni? Dia yang cakap, bila aku balas, dia pula senyap,” gumam Khairil sendiri lalu kembali menyambung penulisannya. Masih banyak lagi hal kajiannya yang perlu diuruskan. Dia tidak mahu lewat kerana pengajian PhDnya ini dibawah tajaan biasiswa. Jika lewat menyiapkan, maka denda bayaran yang tinggi bakal menanti. Dia tidak mahu hal itu terjadi.

“Menariknya buku ni,” ucap wanita itu kembali duduk di sebelah Khairil.

“Cara Melihat Hantu,” Khairil mengerling sekilas tajuk buku tersebut.

“Buku tu memang menarik. Tapi jangan baca suka-suka. Ada…”

“Wow, ada mentera menyeru pontianak!” Ucap wanita itu penus kekaguman.

“Ha, tulah yang saya maksudkan tadi. Jangan berani baca. Bahaya!” Balas Khairil kuat seakan amaran kepada wanita itu. Sayangnya Khairil tidak diendahkan. Sepatah-sepatah mantera lama itu dibaca wanita itu tanpa rasa takut.

“Diam! Diam! Diam!!!!” Jerit Khairil sambil menekup telinganya. Jujur dia takut. Dia takut mendengar mantera itu. Tanpa semena-mena, buku pada wanita segera diambil lalu dicampak ke tepi.

“Kenapa ni?!!” Wanita itu kebingungan. Buku yang jatuh segera diambilnya. Dia rasa dengan keadaan itu. Matanya liar memerhati sekeliling. Kosong. Kerusi di sebelahnya juga tetap kosong. Hanya dia seorang saja di sini.

Tanpa mengendahkan buku tersebut, wanita itu segera lari menuruni tangga untuk meninggalkan ruangan itu. Keanehan ini menggusarkannya. Perihal bukunya yang jatuh bagaikan dirampas seseorang tadi membuatkan dia takut. Dia sedang meremang.

“Adik, jumpa dia ke?” Soal pustakawan di kaunter. Melihat saja wajah pucat wanita itu, dia dapat mentafsir apa yang terjadi sebentar tadi.

“Jumpa apa kak?” Soal wanita itu kembali dengan penuh kebingungan.

“Kalau tak jumpa, kenapa laju sangat ni?”

“Saya tak faham maksud akak,” soal wanita itu.

“Ada rasa pelik waktu kat tingkat atas tadi?”

Mata wanita itu segera membuntang. Dia menceritakan perihal bukunya yang tiba-tiba tercampak bagaikan dirampas seseorang.

“Khairil lah tu,” jawab pustakawan itu dengan senyuman sinis. Sudah dijangka.

“Maksud akak?”

“Dulu ada pelajar Phd yang setiap hari buat kerja kat atas tu. Dia punya fokus sampaikan kesihatan pun tak terjaga. Sampailah…”

“Sampai apa kak?” Wanita itu memotong kata-kata.

“Akak jumpa dia jatuh kat atas tu. Akak memang takut lah waktu tu. Risau. Waktu ambulans sampai, dia dah disahkan meninggal. Sejak hari tu, ramai orang alami apa yang kamu rasa. Ada yang dengar bunyi orang menaip. Ada yang rasa macam ada orang bisik kat telinga. Ish, meremang!”

“Tak panggil ustaz ke kak? Bahaya lah macam ni,” saran wanita itu sambil memandang aras atas. Masih terasa nuansa-nuansa seram tatkala memandangnya.

“Tak boleh. Nanti akak pun kepanasan, hihihi.”

Kata-kata pustakawan itu membuatkan wanita itu terkejut. Dipandangnya semula ke arah kaunter. Kosong. Tiada orang di situ.

Tiba-tiba bahunya ditepuk.

“Allah!!!” Wanita itu terkejut. Segera dia menoleh. Rupa-rupanya jiran rumahnya.

“Macam mana Alya boleh masuk dalam ni? Pak Mat rasa, Pak Mat dah kunci tadi. Sekarang kan waktu rehat tengah hari,” tanya Pak Mat pelik.

“Eh, Pak Mat kerja sini ke? Dari tadi Alyah datang memang terbuka,” jawab Alya turut aneh dengan apa yang berlaku.

Pak Mat beristighfar. Dia faham benar dengan apa yang berlaku.

“Dah lah Alyah, Pak Mat faham. Alyah pergilah balik. Kalau nak datang sini, bawa kawan. Jangan sorang-sorang,” nasihat Pak Mat.

“Pak Mat macam mana? Tak apa ke?”

“Pak Mat dah biasa,” jawab lelaki tua itu ringkas sambil memandang kelibat-kelibat bayangan di sudut belakang.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

FIKRI FIQ

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 172 Average: 4.8]

3 thoughts on “PERPUSTAKAAN LAMA”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.