Pertama Kali

Pertama Kali.

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca FS. Terima kasih sekali lagi pada admin kerana sentiasa memberi aku peluang berkongsi cerita…

Nama aku Suri. Kali ini aku akan bercerita bagaimana pertama kali aku melihat makhluk ini. Semua kisah adalah kisah benar dari pengalaman aku sendiri.

Segalanya bermula di asrama.
Aku belajar di sekolah menengah perempuan dan tinggal di asrama masa tingkatan 1,2 dan 5 (Angah meninggal masa raya haji, jadi aku memang ada di rumah ketika itu.)
Kembali pada kisah. Pengalaman pertama aku melibatkan makhluk mistik ni kalau tak silap masa aku tingkatan 2.
Malam kejadian, angin agak kuat menandakan akan ada hujan ribut. Aku yang kebosanan hanya bersidai di koridor depan bilik, seorang diri melayan angin sejuk. Dari koridor tersebut aku boleh lihat bangunan sekolah. Jarak sekolah dengan asrama tidak jauh sangat pun.

Dalam asyik melayan angin sejuk tu, mata aku terfokus ke arah tangga sekolah. Disitu kelihatan sesusuk tubuh yang agak tinggi berselubung kain serba hitam sedang menaiki tangga. Makhluk ini hanya melayang tanpa kaki. (Apa motif dia guna tangga pun tak tau.)

Aku nampak dengan jelas kerana lampu tangga menyala terang. Hanya lampu koridor saja tidak dipasang semua. Dari bawah dia menuju ke tingkat 2 (sama paras dengan bilik aku, tingkat 2 juga) dan dia terus masuk ke kelas yang paling hampir dengan tangga. Kemudian dia muncul di kelas sebelah pula, dia melayang menembusi dinding. Akhirnya dia berhenti di kelas tengah dan menghadap aku. Aku pelik juga sebenarnya. Walaupun hanya samar-samar cahaya dari koridor, aku masih boleh melihat keberadaan dia di dalam kelas itu. Tapi wajahnya aku tidak nampak. Perlahan-lahan dia mula melambai.
Aku agak terpaku dan cuba untuk hadamkan apa yang aku lihat. Aku terus masuk ke bilik panggil roommate aku. Aku perlukan kepastian.

Maka berjemaahlah kami melihat makhluk tu melambai ke arah kami. Ada yang lari masuk semula ke bilik. Hanya aku dan beberapa yang lain masih bertahan melayan situasi mistik. Sebenarnya aku sangat lega bila roommate aku pun nampak. Sekurangnya aku berteman. Susah senang bersama lah katakan. Hahaha
Makhluk tu masih disitu. Hujan dari renyai menjadi lebat beserta angin kuat. Kami sudah tidak nampak makhluk itu kerana batas penglihatan. Kami pun beransur masuk bilik dan bersiap untuk tidur. Sudah jadi kebiasaan kami baca yassin di katil masing-masing sebelum tidur. Alhamdulillah, tiada gangguan lain malam tu.

Kejadian ke 2
Setiap awal pagi sabtu, aku dan roommate akan bangun dalam pukul 2 pagi untuk basuh baju. Ini semua untuk mengelakkan kesesakan di tempat mencuci. Cuci tangan tau.
Nak dijadikan cerita, aku tidur m**i masa roommate aku kejutkan pukul 2 pagi. Aku tersedar dalam pukul 3 lebih, itupun sebab roommate aku juga yang kejutkan. Tapi masa ni dia dah selesai mencuci.
Aku menyumpah dalam hati bila fikirkan aku kena turun mencuci solo. Aku marahkan diri sendiri sebenarnya. Aku takut tiada orang lain dibawah.

Dengan berat hati aku turun, tempat cuci tu sunyi sepi. (Mana manusia lain ni, taknak mencuci ke?!) Masa ni tengah popular dengan hantu purdah, yang kononnya minum d***h anak dara untuk jadi cantik. (Aku anak dara dan seorang diri. Memang sesuai sangatlah.)
Aku berharap sangat ada manusia lain yang turun tapi sampai aku selesai mencuci, tak ada satu batang hidung pun yang muncul.

Dah cuci kenalah sidai, kan?. Bab ni pun mencabar juga. Kawasan ampaian tu gelap tak berlampu. Hanya ada cahaya bulan (malam tu bulan terang) dan lampu koridor berhampiran. Aku sidai baju di ampaian tepi bangunan. Kawasannya tak adalah besar mana tapi dekat dengan tangga.
Ampaian besar ada dibelakang bangunan. Memang tidaklah aku pergi kesana sebab ex roommate aku pernah nampak Cik Lang kat puncak pokok cempedak di kawasan tu. Nanti aku ceritakan.

Kembali pada kisah. Tengah aku sidai baju, telinga aku tertangkap bunyi kain basah di kibas. Bunyinya sekali tapi cukup kuat dan jelas sebab sunyi. Aku fikir ada orang lain ke? Aku jengah bawah ampaian untuk kepastian. Aku harap nampaklah kaki orang lain selain kaki aku. Tapi memang tak adalah kan. Bulu roma dah meremang. Hati tak keruan. Bila otak mula fikir HANTU. Aku dah tak boleh fikir positif. Sebelum dia muncul dan kaki aku terkaku tak boleh nak angkat, baik aku naik bilik. Tanpa tangguh aku berlari naik. Kain pun tak sempat sidai habis. Mulut aku terkumat kamit baca doa. Mesti tunggang langgang. Mujurlah aku sampai bilik dengan selamat. Sebelum masuk bilik, aku tarik nafas dulu. Bagi salam dan masuk dengan tenang macam tiada apa berlaku. Nampak tak lakonan aku. Hahaha

Ex roommate
Aku gelarkan dia Kak M. Masa tu dia junior lagi. Jadi masih mentah tentang hal di asrama.
Pada hari kejadian, Kak M sedang mencuci baju dan niatnya nak mandi sekalilah. Ketika manusia lain semua ada di bilik masing-masing dan di surau tapi dia terus leka mencuci hingga tidak sedar hari sudah senja. (Dia datang bulan)

Selesai mencuci, dia pun menghala ke ampaian. Masa tu cahaya matahari pun dah suram. (Sebelum maghrib angkat baju, dia nak sidai baju. Jangan ikut aksi ini.)
Dia pilih ampaian yang menghadap pokok cempedak belakang pagar asrama. Jarak dia dengan pokok tu tak jauh dan tak dekat sangat. Masa dia tunduk untuk ambil baju, dia tak nampak apa lagi. Tapi bila dia angkat kepala, dia perasan ada kain putih lusuh koyak di pokok cempedak tu. Dia terus lihat dari bawah ke atas dan sudahnya dia nampak Cik Lang terawang-awang di puncak pokok cempedak tu dengan tangan didepakan. Mujurlah Kak M ni rabun orangnya, jadi dia tak nampak rupa makhluk tu.

Kak M tak tunggu lama, dia terus berlari naik ke bilik. Baldi baju pun tertinggal. Dia melompat naik ke katil. Mula menangis sebab teramat takut dan terkejut. Bila roommate dia tanya, dia pun ceritalah. Mereka nak membebel pun tak boleh sebab Kak M budak junior. Kasihan pun ada.
Mereka keluar untuk melihat, Cik Lang masih ada di situ. Akhirnya mereka panggil ustaz merangkap warden asrama untuk uruskan. (Kami ada warden lelaki dan perempuan. Ramai takut warden perempuan, dahlah garang dan orangnya agak misteri. Jadi kalau ada hal, memang cari warden lelaki dulu. Dia tinggal di bangunan asrama cuma di bahagian luar dengan anak isterinya. Nasi lemak dalam plastik yang dia jual sedap sangat.)

Maaf melalut. Kak M balik ke rumah beberapa hari untuk tenangkan diri. Ustaz bersama kawan dia halau makhluk tu. Macam-macam kejadian seram berlaku di asrama aku ni.
Kawan aku pernah nampak makhluk hijau di tandas sedang jilat pad. Sejak tu dia asyik sakit saja. Muka pucat. Bila aku tanya, kenapa pucat sangat?. Dia cakap aku datang bulan, d***h keluar banyak. Dah lebih 15 hari masih tak berhenti. Berlarutan untuk beberapa lama. Berhenti sekejap, datang balik. Satu hari tu, dia balik rumah dan sejak tu terus tak balik ke asrama. Tapi aku masih jumpa dia di sekolah.

Sampai sini dulu buat masa ni. Terima kasih kerana meluangkan masa baca kisah aku yang tak seberapa.

Wassalam.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Suri

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 5 Average: 4.2]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.